KAIN buruk adalah keperluan penting di dapur yang berfungsi
memastikan persekitaran dapur dan peralatan memasak dalam keadaan
bersih.
Penggunaannya juga praktikal berbanding tisu dapur kerana lebih efektif selain menjimatkan kos.
Namun penjagaan kain buruk perlu dititikberatkan bagi mengelak sebarang
jangkitan kuman yang boleh memudaratkan kesihatan berpunca daripada
kain berkenaan yang dicemari kuman.
Pegawai Perubatan Columbia
Asia Hospital, Dr S Malar Santhi berkata, terdapat lima cara penggunaan
kain buruk yang betul dan pengguna boleh mengamalkannya bagi menjamin
kesihatan diri serta keluarga.
Beliau berkata, cara pertama ialah mengkategorikan setiap kain buruk mengikut kawasan dan tujuan penggunaannya.
"Kedua, mengasingkan penggunaan kain buruk di dalam dan luar dapur.
Begitu juga dengan kain yang digunakan untuk membersihkan dalam rumah.
Ia tidak boleh digunakan bagi pembersihan kawasan luar atau persekitaran
rumah.
"Cara ketiga adalah mengasingkan kain buruk mengikut warna dan jenis kain," katanya.
Menurut beliau, seterusnya ialah mengetahui tarikh kain buruk itu
digunakan bagi menetapkan tempoh penggunaannya sebelum dilupuskan.
"Cara terakhir ialah mencuci kain buruk sekurang-kurangnya sekali
sehari atau sebaik-baiknya selepas digunakan dengan serbuk pencuci yang
mempunyai fungsi nyah kuman," katanya.
Menyentuh tempoh tertentu
penggunaan sehelai kain buruk, Dr S Malar Santhi berkata, tiada kajian
saintifik yang menetapkan tempoh penggunaannya.
Bagaimanapun,
pengguna pasti sedar kain buruk perlu dilupuskan berdasarkan dua perkara
iaitu perubahan warna daripada putih kepada kuning.
"Satu lagi ialah keadaan kain ini yang sudah terkoyak dan menjadi lebih nipis daripada asal.
"Ini kerana perubahan permukaan atau warna kain itu adalah ukuran
paling mudah yang menunjukkan fungsi kain berkenaan tidak lagi sesuai
digunakan," katanya.
Pengguna juga boleh menetapkan kira-kira
tiga hingga 12 bulan sebagai jangka hayat bagi sehelai kain buruk, ia
bergantung kepada kekerapan penggunaan dan jenis kain.
"Sebagai
pegawai perubatan dan seorang ibu, saya membuang kain buruk dan
menggantikannya dengan yang baru sekiranya mendapati ahli keluarga
mengalami muntah serta cirit-birit.
"Saya bimbang jangkitan penyakit itu berpunca daripada kain terbabit yang tercemar.
"Ada kemungkinan ia akibat jangkitan daripada sumber lain, tetapi terkena pada kain buruk atau papan pemotong," katanya.
Dr S Malar Santhi berkata, pengguna dinasihati tidak menggunakan semula
kain buruk lembap yang dikeringkan di ampaian tanpa dicuci terlebih
dahulu kerana tindakan itu salah.
"Kain buruk yang lembap menjadi
tempat pembiakan kuman. Kain buruk digunakan untuk mengelap dan
membersihkan kotoran serta kuman. Ia perlu dinyah kuman sebelum
digunakan semula.
"Rendam kain buruk dalam cecair peluntur
sekurang-kurangnya lima hingga tujuh minit selepas digunakan dan
kemudian keringkan," katanya.
Katanya, bagi wanita berkerjaya, sudah tentu tidak mempunyai masa untuk mencuci banyak kain buruk.
"Mereka boleh menggunakan tisu dapur sebagai alternatif mengurangkan penggunaan kain buruk," katanya.
Penggunaan kain buruk cara betul
Written By zabidi on Wednesday, 17 June 2020 | 8:01 am
Labels:
Tips
Post a Comment