Headlines News :

Lekeh-lekeh orang kampung


Oleh Ronasina 

Istilah ‘orang kampung’ biasanya digunakan oleh kita untuk memperlekehkan seseorang atau sesetengah pihak yang kita rasa mereka terkebelakang.

Kalau kita nampak orang berpakaian tak kena dengan sekeliling, kita akan tertanya-tanya, “budak kampung mana ni?” Tak kiralah sama ada pakaiannya tak secantik orang lain, atau mungkin cantiknya terlampau berlebihan sehingga kelihatan janggal. Atau, bila kami para karyawan menulis rencana, novel atau skrip untuk drama TV atau wayang, sering ditanya oleh pihak penerbit, “karya awak ni berat sangat. Tak faham orang kampung nanti.” Ironinya, pengkarya ini pun asalnya budak kampung juga. Eh! Bukankah Anwar Ibrahim orang Cherok To’kun? Siti Nurhaliza kan budak Kuala Lipis?

Rendah sangatkah darjat orang kampung? Kolot sangatkah mereka dari segi kemodenan dan pembangunan? Tertinggalkah mereka untuk mengikuti pemikiran yang bijak-bijak?

“Jawapannya ialah ya dan tidak,” sambut kawan saya, Jais.

Jais, kawan baya-baya saya, pernah bekerja di Kuala Lumpur selepas tamat Tingkatan 5. Tetapi tak sampai dua tahun dia pulang semula ke kampung. Selepas mengikut-ikut orang bekerja kontrak pembinaaan, akhirnya dia jadi kontraktor kelas F dan buat kerja-kerja dengan majlis daerah sehingga hari ini.

“Kuala Lumpur bukan tempat aku,” kata dia. “Memang benar kami di kampung sedikit ketinggalan. Kami kurang terdedah dengan citarasa terkini, baik fesyen, muzik, budaya kopi hipster atau isu semasa. Dengar pun dari jauh saja. Kami tidak terlibat dengan ‘kehidupan malam’ di tengah hiruk-pikuk Bukit Bintang yang padat dengan bunyi muzik, kenderaan dan silau neon. Kenapa? Sebab kami yang pilih macam tu.”

Kata Jais lagi, “kami tak berminat bersesak. Kami lebih suka bunyi cengkerik, meranduk sungai dan masuk hutan. Takkan itu mundur?”

Betul juga. Sebaliknya saya lihat, orang bandar pun cari kampung, hutan dan sungai untuk ‘healing’. Orang kampung pula yang kegelian melihat orang bandar berhentikan kenderaan mereka di tepi jalan dan terlompat-lompat bergambar di tepi bendang. Takkan maksud nak ‘healing’ ialah menjadi mundur?

“Tapi bila orang macam kau tak tahu mainan politik, senang orang politik masuk menipu,” saya sengaja simbah Jais dengan minyak. Bukan saya tak tahu Jais bijak.

“Sebab itu kawasan kampung adalah deposit tetap bagi parti politik tertentu. Diorang pergunakan korang dengan mainkan isu kaum, agama dan macam-macam lagi supaya korang kekalkan sokongan.” tambah saya lagi.

“Itu kami tak peduli,” jawab dia selamba. “Biasalah. Mana-mana politikus akan pergunakan siapa sahaja tak kira di kampung atau di bandar. Tapi orang kampung tak rugi. Bantuan banjir, zakat, Baitulmal, WiFi berpusat, semua dapat. Boleh mohon rumah Mesra Rakyat, mohon bantuan Felcra…semua ada.”

Ya! Saya setuju. Orang kampung macam-macam dapat. Dalam kita memperlekehkan betapa kolotnya mereka, mereka sebenarnya menikmati banyak benda. Jadi, untuk apa mereka tak undi pihak yang memberi nikmat kepada mereka?

“Kau nak kata orang kampung malas?” tempelak Jais lagi. “Orang bandar apa kurangnya? Melepak kedai mamak 24 jam.”

Terbakar juga dia akibat simbahan minyak saya. “Ada antara korang terpaksa buat kerja ‘part time’ untuk duit lebih sedangkan kami di kampung tenang-tenang aja bekerja dan berkebun.”

Jais tak berhenti di situ. Dia bangkitkan betapa pentingnya kuasa beli orang kampung.

“Dulu, orang buat lagu dan buat album sasaran utama jualannya pun orang kampung. Pendek kata, semua orang mahukan duit orang kampung, undi orang kampung, kan? Sekarang pempengaruh media sosial pun turun kampung cari konten. Orang kampung pun ada yang dah jadi pempengaruh!”

Saya setuju tetapi tetap mengusulkan sesuatu agar orang kampung tingkatkan sikit pengetahuan mereka dengan banyakkan membaca.

“Orang bandar banyak ke membaca?” tanya Jais pula seperti memulangkan paku buah keras. “Apa yang penting sangat kalau kami tak baca apa yang engkau baca?”

Atau, tak dengar muzik yang orang bandar dengar dan berfesyen seperti orang bandar yang sentiasa terkini?

“Rugilah,” jawab saya mengacah lagi.

“Bolehkah kami kata orang bandar macam engkau rugi kalau tak kenal mana rotan dan mana damar? Mana tongkat ali dan mana tunjuk langit?” jawab Jais dengan nada sedikit meninggi. “Mesti orang bandar kata tak penting untuk kenal nama bermacam jenis ikan, kan? Cukuplah sekadar kenal ikan yang nak dimakan saja. Samalah! Buku yang kami tak perlu, buat apa kami baca?”

Jais mengawal emosinya. “Akhirnya, hidup kita ni nak apa, Ron? Kau ada rumah, aku ada rumah tapi aku tak berhutang. Kau ada kereta, aku pun ada. Aku pun hantar anak ke sekolah dan universiti macam orang bandar. Aku, orang tua aku pun dapat pergi haji. Kat mana kami tertinggal?”

Betul kata Jais. Saya mengaku. Kawan-kawan saya di bandar bila bersembang pasal politik, gemar merendahkan mentaliti orang kampung tetapi mereka sendiri jarang benar bercakap dengan orang kampung. Kalau masuk ke kampung waktu pilihan raya pun, bawa perangai orang bandar. Menyampah orang kampung tengok.

“Bak kata peribahasa, seperti rusa masuk kampung. Ha! Ha! Ha!” sindir Jais.

Nampaknya, saya mula sedar sesuatu yang lebih pedih. Istilah ‘orang kampung’ itu bukanlah merujuk kepada lokasi. Ia merujuk kepada cara kita meletakkan orang lain di bawah supaya kita rasa lebih tinggi. Benar, ada orang kampung mungkin tak tahu istilah-istilah besar yang kita di bandar selalu laungkan, tapi mereka memilih sendiri cara hidup yang mereka rasa selesa.

“Itu maknanya terlalu sedap duduk di zon selesa,” kata saya.

“Apa masalahnya dengan comfort zone?” Jais mula melibas balik. “Maksudnya orang luar desa tak hidup selesa? Jadi siapa yang lebih bermasalah sekarang?”

Kali ini nafas saya pula tersekat. Jais menyambung lagi. “Salahkah kalau kita berasa cukup dengan keperluan kita? Salahkah kalau kita tak ikut orang lain yang berlumba-lumba mengejar entah apa? Kalau kau kata kami tak tahu banyak sebab berada di zon selesa, maka di bandar pula penuh dengan orang yang tahu semua isu dunia tetapi masih tak selesa dengan hidup sendiri.”

Jais menegaskan bahawa orang sepertinya tidak berminat untuk mengikut perlumbaan yang kita semua anggap kononnya wajib.

Dari situ, saya makin faham bahawa istilah ‘orang kampung’ bukan lagi bermaksud untuk mereka di kampung, tetapi untuk kita yang suka memperlekeh orang lain demi hendak menampung kebocoran sendiri.

Saya melihat mulut Jais senyum menyenget dengan misai yang bergerak-gerak. Jais berasa dia menang. Dan saya rasa kali ini memang dia menang.

Malas bergerak punca perut buncit


Oleh FAQIHAH FAUZI

Perut buncit sering dianggap masalah biasa dalam kalangan lelaki, khususnya selepas berkahwin atau apabila usia semakin meningkat.

Namun hakikatnya, keadaan itu bukan sekadar isu penampilan, sebaliknya menjadi petunjuk awal kepada pelbagai risiko kesihatan yang lebih serius jika tidak dikawal.

Pegawai Perubatan Kanan, Mahsuri Medical Centre (MMC), Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid berkata, punca utama perut buncit dalam kalangan lelaki hari ini adalah gaya hidup sedentari atau kurang aktiviti fizikal.

Keadaan itu menjadi lebih ketara apabila digabungkan dengan tabiat pemakanan tidak seimbang, khususnya pengambilan kalori, gula dan karbohidrat berlebihan.

“Zaman sekarang, ramai lelaki kurang bergerak. Kerja lebih banyak duduk, kurang bersenam dan ditambah pula dengan pemakanan berlebihan.

“Gabungan faktor ini akhirnya membawa kepada obesiti dan pembentukan perut buncit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, tanggapan perut buncit hanya berlaku apabila usia meningkat tidak sepenuhnya tepat.

Walaupun risiko sememangnya lebih tinggi dalam kalangan lelaki berusia, golongan muda juga tidak terkecuali sekiranya mengamalkan gaya hidup tidak aktif.

Peningkatan usia menyebabkan paras hormon testosteron lelaki menurun, sekali gus mengurangkan jisim otot dan memperlahankan pembakaran lemak dalam badan.

Keadaan ini menjadikan lelaki berusia lebih mudah mengalami pengumpulan lemak di bahagian perut.

“Namun bagi lelaki muda, jika kurang aktiviti dan tidak mengawal pemakanan, masalah sama tetap akan berlaku.

“Tidak kira muda atau tua, perut buncit boleh terjadi jika gaya hidup tidak sihat,” katanya.

Daripada sudut sains, bahagian perut merupakan kawasan utama penyimpanan lemak dalam badan, terutamanya bagi lelaki.

Lebihan tenaga daripada makanan akan disimpan sebagai tisu adipos, dengan abdomen menjadi kawasan simpanan utama.

Berbeza dengan wanita yang cenderung menyimpan lemak di bahagian paha dan pinggul, lelaki lebih mudah mengumpulkan lemak di bahagian perut. Katanya, kenaikan berat badan dalam kalangan lelaki lazimnya bermula dengan perut yang semakin ke depan.

METABOLISME MENURUN

Kurang aktiviti fizikal turut memberi kesan besar terhadap kadar metabolisme badan.

Apabila jarang bergerak, keupayaan badan untuk membakar kalori akan menurun dan lebihan kalori ini akhirnya disimpan sebagai lemak.

“Orang yang aktif mempunyai metabolisme lebih tinggi dan badan lebih cekap membakar lemak.

“Sebaliknya, lelaki yang banyak duduk dan kurang bergerak akan mengalami metabolisme rendah, menyebabkan lemak mudah terkumpul,” jelasnya.

Keadaan ini menjadi lebih ketara dalam kalangan warga emas yang secara semula jadi mengalami penurunan metabolisme.

Justeru, golongan berusia sebenarnya perlu lebih aktif bagi mengekalkan pembakaran lemak yang berkesan.

Risiko penyakit

Perut buncit bukan sekadar masalah kosmetik, sebaliknya merupakan tanda awal kepada risiko pelbagai penyakit tidak berjangkit.

Antaranya termasuk diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Jika tidak dikawal, keadaan ini boleh membawa kepada komplikasi serius seperti penyakit jantung koronari, strok, kerosakan buah pinggang serta penyakit hati berlemak.

“Oleh itu, perut buncit perlu dilihat sebagai amaran kesihatan, bukan isu remeh,” katanya.

Dr. Zaki berkata, aktiviti fizikal tidak perlu rumit atau mahal bagi mencegah dan mengurangkan perut buncit.

Aktiviti mudah seperti berjalan kaki atau brisk walking sudah mencukupi membantu pembakaran kalori.

Berjalan selama 30 minit hingga satu jam sehari atau sekurang-kurangnya 150 minit seminggu mampu membantu kawalan berat badan dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Selain manfaat fizikal, aktiviti ini juga memberi kesan positif kepada kesihatan mental.

“Lelaki yang kerap berjalan kaki berisiko lebih rendah mengalami kemurungan, kebimbangan, demensia dan Alzheimer.

“Kualiti tidur juga menjadi lebih baik,” katanya.

Tambahnya, usaha mengecilkan perut melalui diet semata-mata tidak mencukupi.

Kawalan pemakanan perlu digabungkan dengan aktiviti fizikal bagi memastikan hasil yang berkesan dan berkekalan.

“Perubahan gaya hidup sihat perlu menjadi langkah pertama sebelum bergantung kepada ubat-ubatan.

“Senaman dan pemakanan sihat mesti bergerak seiring. Itulah kunci utama,” katanya.

Justeru, perut buncit dalam kalangan lelaki bukan isu kecil yang boleh diabaikan.

Ia merupakan isyarat awal yang perlu diberi perhatian selain memerlukan perubahan gaya hidup demi kesihatan jangka panjang

Berguru dengan alam dan orang bodoh?


Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

“Manusia punya ramai guru. Bukan hanya manusia bijak, alam semesta pun sudah lama menjadi guru manusia. Bahkan, orang bodoh pun patut dijadikan guru agar kebodohannya mengajar kita menjadi lebih cerdik.”

Guru kerja mulia. Allah adalah ‘Mahaguru’ pertama manusia dalam kata perbuatan ‘ajar’ yang menjadi ayat pertama diturunkan kepada Nabi SAW yang bermaksud: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang ‘mengajar’ manusia melalui pena dan tulisan, Dia ‘mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (al-‘Alaq 96:1-5).

Allah juga sangat baik kerana memberikan sukatan pelajaran kehidupan terbaik dengan penurunan al-Quran (al-Rahman 55:1-3).

Nabi Ibrahim AS selepas pembinaan kaabah berdoa agar seorang guru penyelamat lahir di Mekah untuk membimbing manusia. Berikutan itu, lahirlah nabi SAW.

Maksudnya: (Selepas selesai membina kaabah, Nabi Ibrahim berdoa) “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat (Firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (al-Baqarah 2:129).

Nabi SAW sendiri sangat bangga dengan peranannya sebagai guru. Maksudnya: Pada suatu hari Nabi masuk ke masjid dan Baginda dapati ada dua kumpulan manusia. Satu kumpulan sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah, manakala kumpulan kedua sedang belajar dan mengajar (sesuatu kepada manusia). Baginda bersabda: “Keduanya berada dalam kebaikan, mereka ini sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah. Jika Dia mahu Dia boleh kurniakan kepada mereka permohonan mereka atau menghalangnya, manakala yang ini pula sedang mempelajari sesuatu. Sesungguhnya aku diutus sebagai guru!” Baginda pun duduk bersama mereka (Sunan Ibn Majah, 225).

Penciptaan alam semesta yang kaya dengan pelbagai makhluk turut menjadi guru kepada manusia. Lihat sahaja banyak pepatah Melayu yang diinspirasi daripada pemerhatian kepada alam. Kita dengar orang tua-tua berkata, ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk untuk mengajar sifat rendah diri. Bagai aur dengan tebing mengajar manusia sifat kerjasama.

Manusia juga berguru dengan haiwan, antaranya anak Nabi Adam AS yang membunuh saudaranya.

Maksudnya: Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu jadilah dia dari golongan orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”. Kerana itu jadilah dia dari golongan orang yang menyesal (al-Ma’idah 5:30-31).

Juruterbang tentera udara juga belajar daripada kawanan angsa yang terbang dalam formasi V. Pesawat pejuang yang terbang berkumpulan dalam formasi V mampu meluaskan cakupan skop radar pesawat untuk menjaga jarak serangan musuh secara lebih berkesan.

Guru pula biasanya diangkat dalam kalangan cerdik pandai kerana biasanya untuk memandaikan anak bangsa dan ummah, yang mendidik perlu bijak. Ini sebabnya kelayakan untuk menjadi guru dinilai secara ketat oleh pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pun begitu, ramai tidak sedar rupanya manusia bodoh pun boleh menjadi ‘guru’ berguna kepada mereka. Bagaimana? Tidak mengulangi kesilapan serta kebodohan itu.

Biasanya manusia bodoh boleh menjadi mangsa akibat kebodohan mereka atau memangsakan orang lain. Lihat kisah pengikut Nabi Musa AS yang hampir memangsakan baginda sendiri.

Firman Allah yang bermaksud: Dan Nabi Musa memilih 70 lelaki daripada kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa (kerana syarat biadab mereka hanya akan beriman setelah melihat Allah) , Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersamaku sebelum ini. Adakah engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaan-Mu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana

Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun (al-A’raf 7:155).

Allah SWT juga menyentuh tentang golongan yang memperbesar isu peralihan kiblat:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhi-Nya); Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus” (al-Baqarah 2:142).

Dalam ayat 177 surah al-Baqarah, Allah SWT menjelaskan kepada semua Muslimin agar tidak melayan isu remeh bawaan mereka tentang kiblat. Kiblat bukan isu pokok Islam.

Islam bukan hanya ditegakkan kerana arah kiblat, sebaliknya binaan kukuh yang merangkumi penghayatan kepada akidah, syariat dan akhlak. Lalu, apa yang boleh kita pelajari daripada mereka dalam kes ini? Kita perlu bijak membawa isu dan tidak perlu memperbesar isu remeh sehingga menutup isu yang lebih besar.

Sama juga Allah menyifatkan orang munafik sebagai bodoh kerana sanggup mengorbankan nasib akhirat dengan sedikit habuan dunia (al-Baqarah 2:13-14). Lalu, demi menjadi insan yang bijak kita perlu menjauhi semua sifat munafik yang disebut al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Guru manusia sangat banyak di alam ciptaan Allah SWT yang terbentang luas. Gunakan kebijaksanaan kita untuk berguru dengannya semoga ia mampu meningkatkan ilmu, iman serta pengalaman kita.

Kenapa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad?


Baru-baru ini saya dijemput memberi syarahan berkaitan kecantikan al-Quran. Tajuknya ringkas tetapi mempunyai huraian yang mendalam berkaitan keistimewaan al-Quran dalam membawa manusia kepada kehidupan bertuhankan Allah dan bersyariat.

Kandungan al-Quran adalah menyeluruh dan sempurna. Di dalamnya terdapat kisah umat terdahulu yang memberi banyak pengajaran, catatan berita yang jelas tentang masa hadapan manusia dan hukum-hakam perundangan yang perlu dilakukan semasa di dunia ini.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang meninggalkan al-Quran kerana angkuh akan dibinasakan Allah. Sesiapa yang mencari petunjuk selain al-Quran menemui kesesatan. Al-Quran adalah tali Allah yang kukuh dengan maksud kandungannya menyediakan jalan menuju kepada Allah dan kebahagian yang didambakan manusia. Mengingatkan manusia tentang hukum hakam dan perundangan yang perlu dilakukan oleh manusia.” (al-Tirmizi)

Kecantikan al-Quran amat terserlah dari sudut penggunaan lafaz yang sesuai dan berkesan dalam susunan ayat. Makna kalimah yang kukuh dan tepat. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh seorang pemuda Quraisy yang kuat menentang dakwah Rasulullah SAW iaitu al-Walid Ibn al-Mughirah.

Selepas mendengar bacaan Nabi secara berhadapan, hatinya luruh dan jiwanya bergetar sambil berkata, “Cukup wahai Muhammad.”

Selepas itu, dia mengungkap kalimah menceritakan perihal al-Quran, “Demi Allah, sesungguhnya al-Quran sangat manis (menyentap jiwa dan akal) dihiasi dengan lafaz yang indah dan terpesona. Sesungguhnya ia ibarat pohon kayu yang besar. Dahannya dipenuhi dengan buah ranum dan akarnya terpasak kukuh di bumi.”

Di akhir sesi syarahan saya, satu soalan diajukan kenapa nabi terdahulu dan umat mereka tidak diberikan al-Quran tetapi al-Quran dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya?

Secara ringkas jawapan yang saya berikan adalah nabi-nabi terdahulu dikurniakan mukjizat dalam bentuk hissiyyah (boleh dilihat) bagi membuktikan kepada umat mereka bahawa mereka adalah Rasulullah. Mukjizat itu juga menjadi hujah yang kuat kepada kaum mereka dan mengikut kepakaran sesuatu umat.

Ahli Sihir

Sebagai contoh ramai ahli sihir pada zaman Nabi Musa AS. Oleh itu baginda dikurniakan tongkat yang boleh bertukar menjadi ular besar dan menelan semua ular yang disihirkan oleh ahli sihir Firaun.

Ahli sihir Firaun melihat perkara ini dan amat yakin ia adalah mukjizat kurniaan Allah. Lantas mereka beriman. Firman Allah, “Dan kemenangan Nabi Musa menjadikan Ahli Sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud sambil berkata: Kami beriman kepada Tuhan sekelian alam iaitu Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun.” (al-‘Araf: 120-122)

Semua mukjizat nabi terdahulu dirumuskan kepada dua perkara berikut:

1. Berbentuk hissiyyah dengan makna mampu dilihat seperti api menjadi sejuk dan sejahtera semasa Nabi Ibrahim dicampak ke dalam api. Menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit yang berlaku kepada Nabi Isa AS.

2. Terhad kepada zaman dan tempat tertentu sahaja. Ini kerana setiap nabi diutuskan hanya kepada umat mereka sahaja.

Namun begitu, berbeza dengan mukjizat yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang mempunyai dua kategori:

Pertama, mukjizat hissiyyah yang boleh dilihat seperti air keluar dari jari jemari Nabi SAW, bulan terbelah dan lain-lain.

Kedua, mukjizat maknawiyyah aqliyyah iaitu al-Quran al-Karim.

Keistimewaan al-Quran ialah Allah mengekalkan kiab suci itu untuk manusia beriman dan beramal dengannya sepanjang zaman. Ini bertepatan dengan pengutusan Nabi SAW kepada seluruh manusia.

Jika dilihat kepada bangsa Arab sebelum dan selepas al-Quran diturunkan, satu perbezaan yang amat besar. Pada asalnya mereka adalah kaum yang suka berperang, menyembah berhala, minum khamar, menanam anak perempuan, jahil dan fakir.

Ibn Abbas RA pernah menerangkan kejahilan bangsa arab, “Apabila kamu mahu melihat kejahilan bangsa arab maka kamu bacalah ayat 140 Surah al-An’am. Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedangkan Allah lah yang memberi rezki kepada sekelian makhluknya) dan rugilah orang yang mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dengan berdusta terhadap Allah.” (al-An’am: 140)

Berbeza dengan bab akidah

Allah SWT mensyariatkan hukum hakam setiap umat sesuai dengan keadaan dan situasi umat tersebut. Berbeza dengan bab akidah di mana semua nabi membawa usul iman yang satu iaitu tauhid kepada Allah SWT.

Tanggungjawab menjaga kitab Injil dan Taurat diberikan kepada ulama dalam kalangan Bani Israel. Mereka mengkhianati amanah tersebut dengan mengubah kandungan kitab Taurat dan Injil. Al-Quran diturunkan untuk menasakhkan seluruh kitab terdahulu. Kandungannya sesuai sepanjang zaman dan tempat. Allah sendiri yang menjaganya. Walaupun terdapat usaha untuk menyelewengkan lafaz dan makna al-Quran, namun semuanya gagal dan tidak berjaya. Al-Quran tetap terpelihara.

-Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia.

Trump ‘pewaris’ Firaun dalam empayar Amerika Syarikat


Oleh Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

“PERBARISAN khas menuju neraka yang diketuai Firaun akan disertai ramai pemimpin zalim dunia zaman berzaman termasuk para presiden Amerika Syarikat (AS)”

Perarakan Firaun ke neraka tidak berlaku seorang diri, sebaliknya akan disertai kaum atau para pengikutnya dari berbagai zaman.

Firman Allah yang bermaksud:

Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah dia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka. Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat. (Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan (Hud 11:98-99).

Para pengikut dan pewaris Firaun akan terus muncul silih berganti dari satu zaman ke satu zaman, sehingga ke hari kiamat.

Hal ini kerana Allah merekodkan kisah kejahatan Firaun sebagai peringatan dan pedoman abadi buat seluruh pemimpin dunia, agar berhemah dan berakhlak ketika diamanahkan kuasa.

Sesungguhnya, manusia tidak akan mampu menongkat langit selama-lamanya dengan secebis kuasa yang dipinjamkan.

Firaun pada zaman Nabi Musa telah mati ditenggelamkan di laut, namun genetik keangkuhan dan ‘ilmu puaka’ warisannya terus dibawa oleh Iblis merentas zaman, lalu diwarisi dan diamalkan oleh ramai diktator dunia.

Pendek kata saya boleh katakan Firaun ialah mahaguru semua pemerintah yang zalim termasuk para presiden AS seperti Donald Trump dan George W. Bush.

Tahun baharu 2026 yang seharusnya menjanjikan harapan global bermula dengan episod gelap apabila AS menculik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, berlandaskan alasan yang samar dan sukar diterima akal.

Jika diteliti rekod dasar luar para pemimpin tertinggi AS, budaya berdusta demi merosakkan pihak lain seakan-akan menjadi rukun yang tidak pernah ditinggalkan.

Sehingga wajar untuk dikatakan setiap dakwaan AS harus dianggap dusta, kecuali setelah dibuktikan kebenarannya dengan fakta yang telus dan bebas.

Sejarah menjadi saksi (berdasarkan apa yang berlaku di Iraq, Libya, Afghanistan) membuktikan betapa kebohongan dijadikan alat menghalalkan campur tangan dan kehancuran.

Tindakan jahat mereka menceroboh negara orang biasanya dijustifikasi dengan naratif palsu demi untuk membenarkan jenayah mereka.

Ini memang ‘mazhab Firaun’.

Perhatikan ulasan al-Quran mengenai isu ini:

Firaun berkata (kepada semua ahli sihirnya yang baru tewas kepada Nabi Musa): “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dialah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya” (al-Syu’ara’ 26:49).

Firaun mengucapkan naratif ini setelah para ahli sihirnya tewas kepada Nabi Musa dalam sayembara sihir perdana.

Risau rakyatnya yang menyaksikan kemenangan Musa terpengaruh mengikut Nabi Musa, Firaun bangkit membawa naratif palsu;

“Musa sebenarnya guru besar yang mengajar semua tukang sihir itu segala ilmu sihir.

“Oleh itu tidak hairanlah jika guru besar lebih handal dari muridnya.”

Naratif ini jelas palsu kerana Musa tidak pernah bertemu dengan semua tukang sihir yang datang dari segenap pelosok empayar Firaun.

Pun begitu, naratif itu diwujudkan bagi mengekalkan kuasanya di Mesir.

Tidak cukup dengan itu, Firaun memainkan naratif ‘patriotisme palsu’ dengan rakyat Mesir yang dungu fanatik kepadanya.

Allah berfirman:

Firaun berkata (kepada semua ahli sihirnya yang tewas dan beriman kepada Nabi Musa): “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu (wahai Musa dan ahli sihir) lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya) (al-A’raf 7:123).

Firaun seolah-olah berkata “Beta tahu! Hasil maklumat risikan beta, Musa dan semua tukang sihir ini sudah lama berpakat untuk merampas kuasa.

“Mereka ini ancaman besar kepada semua penduduk Mesir. Pertandingan sihir ini sudah lama disediakan skrip menang kalahnya oleh Musa dan semua ahli sihir ini. Mengapa? Tidak lain kerana mereka mahu merampas kuasa dan mengusir kita dari negara kita yang tercinta ini.”

Perkara sama turut disebut Allah dalam surah (al-Syu’ara’ 26:34-35).

Perhatikan alasan yang digunakan AS dalam tindakan jahat mereka menceroboh banyak negara.

“Iraq sedang membina senjata pemusnah yang bakal membahayakan rakyat AS. Afghanistan melalui Taliban memberikan perlindungan kepada ketua al-Qaeda Osama bin Laden. Maduro pula sebenarnya raja dadah Venezuela yang banyak menghantar dadah ke AS untuk merosakkan rakyat kita”.

Selain itu, kekuasaan AS turut disokong tiga tonggak utama iaitu; penasihat yang licik jahat (Haman), sokongan kewangan yang kukuh (Qarun) dan bala tentera yang patuh melaksanakan apa sahaja arahannya.

Ini sebabnya ketika membawa kisah Firaun, Allah selalu menggandingkan elemen tersebut, antaranya:

Firaun dan tenteranya berlaku sombong takbur di negeri itu dengan tiada alasan yang benar dan mereka menyangka mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami (al-Qasas 28:39).

Juga Firman Allah berkenaan tonggak politik dan kewangan:

Dan demi sesungguhnya! Kami mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata. Kepada Firaun, Haman (simbol penasihat) serta Qarun (simbol kekuatan ekonomi); maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: “Dia seorang ahli sihir, lagi pendusta!” (Ghafir 40:23-24).

Dunia ini terus berputar, berulang dengan putaran yang sama seperti yang telah berlaku sejak zaman purba, dan ia akan terus berputar sehingga tibanya hari kiamat.

Kisah-kisah lampau yang kita kenali dan pelajari sebagai sejarah bukan sekadar catatan masa lalu semata-mata; hakikat dan coraknya tetap sama, mencerminkan pola manusia dan masyarakat yang sering mengulangi kesilapan serupa.

Yang berubah hanyalah masa, tempat, dan watak-watak yang memainkan peranan di dalamnya.

Yang berubah hanyalah masa yang mengalir, lokasi di mana peristiwa itu berlaku dan watak-watak yang memainkan peranan di dalam sejarah, namun prinsip dan pengajaran daripada kisah-kisah itu tetap kekal relevan.

Yang paling penting, kita wajib sentiasa berhati-hati dan berwaspada agar tidak mewarisi atau mempraktikkan ilmu puaka Firau iaitu keangkuhan yang melampau, kesombongan yang membutakan hati, serta kezaliman yang merosakkan masyarakat.

Tindakan para pemimpn dunia termasuk Perdana Menteri Malaysia yang mengecam langkah gila Trump ini wajar disokong walaupun ia seperti bunyi dengungan sayap nyamuk pada telinga Trump.

Tidak mustahil untuk Allah tukar dengungan sayap nyamuk itu menjadi gendang kuat memecahkan gegendang telinga manusia gila seperti pemimpin AS itu, lalu dia segera berhenti menggila.

Saya berdoa Trump dikurniakan hidayah dan kesedaran, atau jika tidak, agar Allah meleraikan segala bentuk kuasa serta pengaruhnya supaya kerosakan terhadap dunia tidak terus merebak.

Penulis adalahTimbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER