Kudis buta merupakan jangkitan kulit yang paling mudah berjangkit dan sering dilihat penularannya di tempat seperti asrama sekolah, rumah orang tua, pusat penjagaan kanak-kanak dan lain-lain. Ia merupakan kondisi yang boleh dirawat tetapi perlu dikenal pasti pada peringkat awal dan rawatan perlu diberikan mengikut cara yang betul bagi mengelakkan ia semakin merebak.

Merupakan sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit dan dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit seseorang dengan orang yang mengalami kudis buta, penyakit kulit ini akan menyebabkan rasa kegatalan yang keterlaluan pada permukaan kulit.

Tangan merupakan bahagian yang pertama dijangkiti kutu kudis kerana kudis buta hanya boleh dijangkiti melalui sentuhan langsung antara kulit ke kulit kerana kutu kudis yang berada di permukaan kulit tidak mampu terbang atau melompat dari permukaan kulit seseorang.

Penyakit ini sering diambil mudah mereka yang dijangkiti kerana merasakan ia adalah gatal-gatal kulit yang biasa. Kudis buta perlu dirawat segera kerana ia boleh mengganggu kualiti hidup dan membuatkan si penghidapnya tidak selesa selain boleh menjangkiti orang lain.

Malah rupanya yang kemerah-merahan dan timbul di permukaan kulit akan menyebabkan rasa tidak selesa kepada orang di sekeliling.

Kudis buta ataupun lebih dikenali sebagai skabies sebenarnya berpunca daripada serangan sejenis kutu atau hama yang dikenali sebagai Sarcoptes Scabiei. Merupakan sejenis mahkluk parasit iaitu suatu organisma yang hidupnya menumpang pada mahkluk hidup lain, ia merugikan mahluk hidup yang ditumpangi.

Kutu kudis ini bersaiz amat kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Menurut kajian, kutu kudis mempunyai badan berwarna krim yang berbulu dan berduri serta memiliki empat pasang kaki. Biasanya, spesies kutu kudis betina bersaiz lebih besar (sekurang-kurangnya 0.4 milimeter × 0.3 milimeter) jika dibandingkan dengan spesies jantan (0.2 milimeter × 0.15 milimeter).

Menurut Pakar Dermatologi Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Sabeera Begum Kader Ibrahim, kutu betina inilah yang akan menggorek lapisan kulit untuk membentuk laluan atau terowong di bawah lapisan luaran kulit dan kemudian ia akan bertelur di dalam lapisan luaran kulit tersebut. Kutu betina ini mampu bertelur sebanyak 40 hingga 50 biji telur dalam seumur hidup.

“Selepas tiga hingga empat hari, telur-telur kutu akan menetas dan membentuk larva. Kemudian ia membesar menjadi kutu dewasa dan matang hanya dalam jangka masa 10 hingga 15 hari. Secara purata, bilangan kutu kudis yang boleh menyerang seseorang adalah dalam lingkungan 10 hingga 12 ekor.

“Kebanyakan simptom atau gejala jangkitan kudis buta adalah disebabkan oleh tindak balas sistem imun seseorang individu terhadap kutu kudis ataupun terhadap telur, najis dan bangkai kutu kudis tersebut. Oleh itu, ruam dan rasa kegatalan yang timbul pada permukaan kulit sebenarnya berpunca daripada reaksi alahan badan terhadap kutu kudis,” ujarnya yang juga merupakan ahli Exco Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM).
Simptom

1. Kegatalan

Simptom utama penyakit kudis buta ialah rasa kegatalan yang keterlaluan pada kulit sehingga meyebabkan keadaan yang tidak selesa.

Ia selalunya berlaku pada waktu malam dan ini akan mengganggu tidur orang yang dijangkiti.
Pada mulanya, rasa kegatalan hanya wujud setempat, khususnya bahagian telapak tangan tetapi akan merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain. Ia semakin teruk pada waktu malam atau selepas bermandi air panas. Individu yang terjejas dengan penyakit kudis buta boleh berasa gatal di seluruh badan walaupun dijangkiti dengan bilangan kutu kudis yang kecil sahaja.

2. Ruam

Ruam penyakit kudis buta ini akan terbentuk dengan serta-merta pada permukaan kulit setelah rasa kegatalan muncul. Biasanya, ruam akan kelihatan berbintik-bintik dan berketul-ketulan kemerahan dan boleh muncul di mana-mana bahagian badan.

Bahagian badan di mana ruam kelihatan jelas adalah pada kawasan lipatan kulit seperti di tangan dan kaki terutamanya di celah-celah jari, bahagian dalam paha, pusat, abdomen, punggung dan celah-celah ketiak. Bahagian yang tersebut menjadi tumpuan kutu kudis disebabkan suhu yang lebih tinggi berbanding kawasan lain di tubuh badan.

3. Laluan atau terowong kutu kudis

Terowong atau laluan yang dibentuk oleh kutu kudis betina dapat dilihat pada permukaan kulit. Biasanya, ia kelihatan seperti garisan-garisan yang nipis, halus dan berwarna gelap sekurang-kurangnya dua hingga 10 milimeter panjang.

Garisan-garisan ini biasanya dapat dilihat pada bahagian kulit yang longgar antara jari, bahagian dalam pergelangan tangan dan telapak tangan. Garisan-garisan ini juga boleh muncul pada bahagian-bahagian lain badan tetapi hanya akan timbul selepas wujudnya rasa kegatalan dan ruam.

4. Kesan-kesan calar

Kesan calar juga boleh diperhatikan pada permukaan kulit dan mungkin disebabkan oleh kegiatan menggaru secara agresif, mengakibatkan bahagian permukaan kulit tersebut cedera dan seterusnya menyebabkan kerosakan pada kulit.

Kerosakkan pada kulit pula boleh menjadi parah dan akan terdedah kepada bakteria dan kuman yang lain. Kulit yang dijangkiti bakteria pula akan kelihatan merah, dan berinflamasi.


5. Mengganggu penyakit kulit lain yang sedia ada
Penyakit kudis buta boleh menyebabkan simptom-simptom keadaan kulit yang lain untuk bertambah teruk, khususnya penyakit kulit gatal seperti ekzema dan juga psoriasis. Penyakit kudis buta juga akan menjadi lebih sukar untuk dikesan dalam situasi ini.