Oleh Zaitie Satibi
Alahan berlaku apabila tubuh bertindak balas secara keterlaluan
terhadap bahan atau pencetus yang biasanya tidak berbahaya bagi
kebanyakan orang. Pencetus alahan juga dipanggil alergen dan setiap
orang alah pada bahan yang membangkitkan reaksi berlainan.
Dianggarkan suku daripada populasi penduduk menderita alahan dan
kanak-kanak mewakili separuh daripada keseluruhan penghidap alahan.
Secara saintifiknya, alahan disebabkan kesilapan identiti apabila
alergen yang masuk ke dalam badan dan ia tersilap dikenal pasti oleh
sistem imun sebagai bahan asing atau bahan yang berpotensi membahayakan.
Sistem imun kemudian mengumpul tindakan untuk menyerang alergen terbabit dan kesan tindakan imun itu menyebabkan gejala alahan.
Menurut Perunding Pakar Kanak-kanak dan Neonatologi Pusat Perubatan
Sunway (SunMed), Dr Lim Wei Leng, ada pelbagai jenis gejala alahan dan
kebanyakannya tidak khusus dan boleh menyerupai gejala penyakit lain
yang bukan alahan.
“Gejala alahan yang biasa dalam kalangan kanak-kanak seperti ruam
kulit, gegata, bersin, hidung berair, batuk, gatal-gatal mata, sesak
nafas, semput, muntah, cirit-birit dan sakit abdomen.
“Tahap gejala alahan ini boleh jadi ringan atau serius termasuk
berlaku serta-merta atau kronik yang terjadi berpanjangan. Paling buruk
adalah lemas kerana tidak dapat bernafas atau anafilaksis iaitu tindak
balas alahan paling serius dan boleh membawa maut jika lambat mendapat
rawatan,” katanya.
Katanya, banyak bahan yang mengakibatkan alahan bagi setiap orang dan
alergen yang kerap membangkitkan alahan adalah makanan seperti produk
tenusu, telur, kacang dan makanan laut.
“Persekitaran di dalam rumah juga menyumbang bahan alergen seperti
bulu haiwan peliharaan, hama dan kulat. Malah, di luar kawasan rumah
juga kita terdedah kepada gigitan serangga dan debunga.
“Ubatan juga boleh menyebabkan alahan termasuk ubat preskripsi
daripada doktor, ubat yang dibeli di kaunter dan herba. Selain itu, asap
rokok, minyak wangi, bahan kimia kegunaan rumah seperti sabun dan
pencuci juga boleh menyebabkan alahan,” katanya.
Dr Lim berkata, disebabkan gejala alahan muncul dengan pelbagai rupa,
adalah mustahak untuk ibu bapa supaya tidak tersilap mendiagnosis anak
mereka dan melakukan rawatan sendiri tanpa nasihat doktor.
“Jika anak mengalami mana-mana gejala atau mengesyaki mereka alah
pada sesuatu bahan, bawa anak anda menemui doktor atau pakar alahan.
Dalam kebanyakan kes, ada ubatan yang berkesan untuk menguruskan gejala
alahan dan memberikan kelegaan kepada anak.
“Bagi mengenal pasti bahan yang menyebabkan alahan, kaedah tertentu
seperti ujian pada kulit atau darah digunakan walaupun dalam segelintir
kes punca alahan dapat diketahui dengan hanya melihat gejala yang
timbul.
“Kadangkala lebih daripada satu jenis alergen dapat dikesan dalam
ujian berkenaan dan menjauhkan kanak-kanak daripada punca alahan boleh
menghilangkan gejala,” katanya.
Beliau berkata, bagi kes yang rumit atau mengancam nyawa, ia
memerlukan jadual ketat rawatan yang khusus bagi mencegah episod alahan
pada masa depan.
“Jika anak mempunyai alahan tertentu, adalah penting memaklumkan
masalah itu kepada pihak sekolah, pengasuh dan perawat supaya
berjaga-jaga dengan alahan terbabit untuk tindakan pencegahan dan
melakukan rawatan segera jika terdedah dengan alergen,” katanya.
Budak mudah terkena alahan
Written By zabidi on Sunday 25 September 2016 | 8:34 am
Labels:
Kesihatan
Post a Comment