BOLEHKAH meminta jawatan kerana Nabi Yusuf a.s. pernah meminta jawatan? Jawatan bukan batu loncatan mencari pengaruh. Bukan juga tunggangan yang dipacu deras bagi mengejar kekayaan. Ia adalah amanah yang bakal diaudit di akhirat kelak.
Itu prinsip asas dalam bicara
kepemimpinan. Pun begitu manusia rakus lagi tamak sanggup melakukan apa
sahaja demi mendapat jawatan. Lebih parah lagi apabila ada yang sanggup
menunggang agama dalam usaha mengejar jawatan.
“Saya melobi untuk jawatan ini kerana
mencontohi Nabi Yusuf. Bukan kecil jawatan yang dipinta oleh Baginda,
tetapi terus jawatan kedua tertinggi dalam empayar Mesir Purba. Itulah
pendorong utama usaha saya ini.”
Usah membanding diri dengan Nabi Yusuf,
debu di tepi kaki kuda Baginda jauh lebih mulia daripada kita. Manusia
rakus sebegini wajib meneliti hadis Rasulullah ini:
Abdul Rahman bin Samurah r.a. menceritakan
bahawa Nabi SAW bersabda: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah
engkau meminta jawatan, kerana jika engkau diberi jawatan itu kerana
permintaan, nescaya engkau diserahkan kepada jawatan itu. Tetapi kalau
jawatan itu diberikan kepada engkau, tanpa permintaan, nescaya engkau
akan mendapat bantuan dalam melaksanakannya. Apabila engkau bersumpah
(untuk menjalankan atau meninggalkan sesuatu hal), kemudian engkau lihat
ada yang lebih baik daripada itu, hendaklah engkau langgar sumpahmu itu
dengan membayar kaffarah dan perbuatlah yang lebih baik.” - Sahih
Bukhari dan Muslim.
KENAPA NABI YUSUF BOLEH MINTA JAWATAN?
Setelah membaca hadis ini timbul soalan
jika kita tak dibenarkan meminta jawatan, mengapa pula Nabi Yusuf secara
terang meminta jawatan setelah dibebaskan dari penjara?
“Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan
itu), raja berkata: Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia
orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa
mengadap dan raja) bercakap dengannya (serta mengetahui
kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: Sesungguhnya engkau pada
hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai
dalam kalangan kami. Yusuf berkata: Lantiklah aku menjadi pengurus
perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya
dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya,” (Yusuf
[12:54-55]).
Kejahilan kepada rahsia sebenar kisah ini
menyebabkan sesetengah manusia berasa tidak salah meminta atau melobi
jawatan walau kelayakan dan integriti mereka masih jauh daripada Nabi
Yusuf.
Bak kata pepatah Melayu, jauh panggang daripada api. Baginda
tidak bertindak kosong tanpa petunjuk. Takbir mimpi yang Baginda berikan
kepada raja Mesir adalah ‘sinaran wahyu’ dan sebuah tauliah pelantikan
sebagai Menteri Kewangan Mesir. Allah mewahyukan kepada Baginda bahawa
‘Mesir hanya selamat daripada bencana ini di bawah pengurusanmu sebagai
menteri.’
Subhanallah! Allah itu Maha Kaya lagi Maha Bijaksana, mimpi raja Mesir itu rupanya bercabang tiga iaitu:
1. Sebab pembebasan Yusuf
2. Pelantikan Baginda sebagai menteri penyelamat Mesir
3. Sebab agama Tauhid bersinar di Mesir.
Setelah bebas, Yusuf segera melaksanakan
wahyu itu dengan meminta jawatan tersebut. Kepada penggila jawatan dan
kuasa di luar sana, kuasa, jawatan dan pangkat adalah amanah. Orang yang
benar-benar sedar tentang beratnya amanah jawatan tidak bersorak
gembira setelah dilantik jauh sekali berhabis demi mendapat jawatan itu.
IBRAH KISAH UMAR ABDUL AZIZ
Bacalah kisah khalifah adil Umar bin Abdul Aziz ini:
“Ata’ bin Abi Rabah menyebut bahawa Fatimah
(isteri kepada) Umar bin Abdul Aziz menceritakan padanya: “Suatu hari
aku masuk bertemu dengan Umar dalam tempat solatnya sedang air mata Umar
membasahi janggutnya. Aku (Fatimah) bertanya: Wahai Amirul Mukminin ada
sesuatukah yang berlaku?” Beliau menjawab: Wahai Fatimah aku
bertanggungjawab terhadap umat Muhammad SAW baik yang berkulit hitam
atau berkulit merah.
Lalu aku terfikir tentang nasib orang fakir
yang kelaparan, orang sakit yang kehilangan, orang yang tidak
berpakaian lagi susah, orang yang dizalimi lagi ditindas, orang asing
yang tertawan, orang tua, orang yang mempunyai anak ramai serta harta
yang sedikit dan seumpamanya di segenap penjuru bumi dan hujung negeri.
Maka aku sedar bahawa Tuhanku pasti akan menyoalku tentang mereka kelak
pada hari kiamat, lalu aku sangat takut jika aku tidak mempunyai hujah
(mempertahan diriku), maka (itulah yang menyebabkan) aku menangis,” -
Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti.
Setelah faham hakikat jawatan, ucaplah
takziah bersama tahniah kepada sesiapa yang baru dilantik. Tahniah
kerana Allah memberikan peluang kepada mereka untuk berbakti kepada umat
dan menegakkan hukum Allah atas posisi yang ditanggung. Takziah pula
sebagai suatu peringatan jika mereka gagal menjalankan amanah kepimpinan
yang bakal disoal kelak.
Post a Comment