SEMENYIH: Tindakan Indonesia menggantung levi eksport untuk semua produk minyak sawit sehingga 31 Ogos ini akan memberikan kesan kepada Malaysia.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, berkata sebarang dasar yang dikeluarkan oleh negara jiran itu yang juga pengeluar minyak sawit terbesar dunia akan memberi kesan kepada industri minyak sawit negara.
"Mereka baru keluarkan pengumuman itu dan secara dasarnya ia akan memberi kesan kepada pasaran eksport kita. Penggantungan levi eksport ini membolehkan negara itu mengeluarkan minyak sawit dengan lebih besar dan memberikan persaingan yang kuat.
"Ini kerana. tanpa levi dari kerajaan, ia akan memberikan kos yang berbeza kepada pembeli.
"Kementerian akan memantau secara serius tindakan Indonesia ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Isella Sofa Design Sdn Bhd (Isella Sofa) di sini, hari ini.
Indonesia mengumumkan langkah menggantung levi eksport untuk semua produk minyak sawit selama dua bulan.
Ia adalah langkah terbaharu negara itu dalam usaha untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan inventori yang tinggi.
Keputusan oleh pengeksport minyak sawit terbesar dunia itu boleh menekan lagi harga minyak sawit mentah (MSM), yang telah jatuh kira-kira 50 peratus sejak akhir April lalu ke paras terendah dalam tempoh lebih setahun.
Sementara itu, CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor agriperniagaan susulan pembetulan harga yang berlaku kebelakangan ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pengumuman Indonesia untuk menggantung levi eksport minyak sawit sehingga akhir Ogos ini adalah usaha terbaharu untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan limpahan stok negara itu.
Levi eksport diturunkan kepada sifar daripada AS$200 satu tan bagi MSM bermula 15 Julai lalu dan penggantungan itu turut terpakai kepada produk sawit lain.
Post a Comment