Oleh Muhammad Ismail Ibrahim
Jika sesetengah daripada kita yang jarang menonton filem hitam putih era 50-an dan 60-an, persoalan
mungkin timbul tentang apakah dakwah yang disampaikan di kala aktres
yang membintangi filem tersebut boleh dikatakan 'berbungkus nangka'
belaka?
Sebelum kita berbicara persoalan sejarah tentang
sesuatu perkara, premis pertama yang harus diambil kira untuk difahami
ialah berkenaan latar masa dan tempat yang mewujudkan satu suasana
kepada seseorang seniman untuk menghasilkan sesebuah karya.
Beberapa
persoalan harus diambil kira, adakah Islam benar-benar dihayati ketika
itu? Apakah ada penggiat industri filem lain yang turut menghasilkan
karya yang 'Islamik' seperti beliau? Kenapa sesuatu tema itu digarap
dalam sesebuah filem? Ini semua perlu diberi ruang dan peluang untuk
diberikan penjelasan.
Pada separuh pertama abad ke-20, perkembangan
dan penghayatan tentang agama Islam tidaklah sesegar yang kita hirup
hari ini. Islam ketika itu hanya tertumpu di masjid, surau,
pondok-pesantren di mana tok-tok guru (tradisionalist) mengajarkan
ilmu-ilmu berkaitan tasawuf dan feqah.
Masyarakat kurang menghayati
unsur-unsur di 'dalam masjid' itu untuk dibawa keluar supaya dapat
diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.
Maka tidak hairanlah
kenapa kita jarang melihat wanita zaman itu menutup aurat dengan
sempurna. Dan jika kita masih memiliki foto lama keluarga, lihatlah
cara mereka berpakaian dan ia menceritakan sedikit sebanyak tentang
zaman tersebut.
Saya pernah melihat sekeping gambar Perhimpunan
Muslihat Parti Islam di awal 1960-an yang dihadiri oleh perwakilan
yang rata-ratanya tidak memakai tudung! Itu 'muslimat' zaman tersebut,
jadi apalah nilai Islam yang hendak diharapkan kepada insan seni yang
bermain wayang ketika itu. Tetapi kalau seseorang anak wayang yang
tampil dengan idea-idea Islamik ketika itu, ia merupakan sesuatu yang
luar biasa! Dan itulah P Ramlee yang kita kenal.
Permulaan jalan seni
Pada awal tahun 1940-an, industri seni tanah air mula berkembang.
Teater bangsawan (troupe) mengambil tempat di pentas awam dengan tema
jenaka dan tragedi. Kebanyakan bakat baru yang menyerlah ketika ini
antaranya ialah Daeng Harris, A R Tompel, Siti Tanjung Perak dan
lain-lain.
Ketika ini juga, industri filem tanah air mula
berkembang mengikuti perkembangan filem luar yang semakin mendapat
tempat terutama dari Hong Kong dan India. Shaw Brothers melihat satu
potensi besar dengan merintis pembukaan studio baru di Jalan Ampas,
Singapura.
Di awal perkembangan Malay Film Production (MFP)
Jalan Ampas, filem kebanyakannya diarah oleh pengarah dari India
seperti B S Rajhans dan L Krishnan. Kemudian lahirlah bintang-bintang
filem (film stars) produk Jalan Ampas seperti S Roomai Noor, Maria
Menado dan Siput Sarawak.
Persoalannya, di manakah filem arahan
mereka sekarang? Kenapa tidak diputar di kaca televisyen seperti filem
arahan dan lakonan P Ramlee? Aktor yang membintangi filem ini tidak
kurang 'star' nya. Dan jika di ukur daripada sudut nilai filem samada
jenaka atau air mata tidak kurang hebatnya.
Maka di sinilah
timbul kajian tentang idea serta pemikiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee
dalam menerapkan sesuatu elemen dalam sesebuah filem arahan beliau.
Pertama, tema dalam filem-filem arahan P Ramlee sangat dekat di hati
masyarakat. Konflik rumah tangga antara bapa dan anak, ibu mertua dengan
menantu, cinta yang tidak kesampaian kerana darjat dan keturunan,
kehidupan anak bujang, kedaifan hidup seorang miskin dan banyak lagi
unsur yang menjadikan filem beliau begitu dirasai oleh setiap insan yang
mewakili tema tersebut dalam setiap zaman. Inilah antara sebab mengapa
filem beliau tidak lekang dek zaman.
Kedua, elemen 'Islamik'
digarap dengan baik oleh beliau dalam beberapa filem seperti Anakku
Sazali, Ahmad Albab, Tiga Abdul, Semerah Padi, Nasib Labu Labi dan Ali
Baba Bujang Lapok. Jika ditinjau filem lain yang sezaman dengannya baik
keluaran Studio Jalan Ampas milik Shaw Brothers mahupun Cathay Keris
milik Ho Ah Loke, hampir tidak ada seorang pun pengarah lain yang
berani menampilkan idea berunsur Islamik untuk digarap dalam filem
mereka.
Ketiga, beberapa filem lakonan dan arahan P Ramlee
kurang mendapat sambutan kerana tema yang cuba digarap merupakan satu
idea dan percubaan baru. Ini terbukti dengan filem Sitora Harimau
Jadian, Sesudah Suboh dan Gelora yang kurang mendapat sambutan baik
ketika ditayangkan ketika itu mahupun diputarkan di kaca televisyen
hari ini.
Memang benar filem-filem ini diterbitkan di Studio
Merdeka yang kurang mahir daripada segi kepakaran dan teknologi yang
digunakan. Bagaimanapun, idea pengarah merupakan sesuatu yang paling
menonjol dalam sesebuah filem.
Pemikiran dakwah P Ramlee
Jika diimbas secara sepintas lalu, filem Tiga Abdul, Ahmad Albab dan
Ali Baba Bujang Lapok merupakan babak yang paling banyak menerapkan
unsur Islamik berbanding filem lain arahan beliau yang lebih merupakan
pentas kritik sosial tanpa kita sedar.
Walaupun P Ramlee cuba
menerapkan elemen keagamaan dalam Semerah Padi, versi hudud yang
dilaksanakan masih boleh diberikan kredit walaupun tidak mencerminkan
pelaksaan hudud yang sebenar. Di dalam filem Tiga Abdul, P Ramlee
menggunakan latar Isketambola yang mungkin boleh dirujuk Istanbul dalam
keseluruhan cerita tersebut.
Melalui watak Abdul Wahub, beliau
berjaya menghimpunkan segala sifat kebaikan dan nilai positif dalam
menghadapi kejahatan abang-abangnya, Sidek Segaraga dan Kassim Patalon.
Di dalam filem ini juga, P Ramlee mengajar kita supaya menyantuni
anak-anak yatim, berkahwin dengan orang yang tidak disukai pada awalnya
tidaklah menandakan tidak bahagia pada akhirnya, membalas dendam kepada
orang yang mengkhianati hanya semata-mata untuk menyedarkan mereka dan
banyak lagi unsur Islamik yang digarap melalui watak-watak tersebut.
Di dalam Anakku Sazali, ia memberi teladan kepada bapa yang terlalu
memberikan kesenangan kepada anaknya atas nama ingin mencurah kasih
sayang sehingga ia memberi kesan buruk kepada kehidupan si anak. Melalui
watak Haji Bakhil lakonan Udo Umar (Nasib Labu Labi) P Ramlee ingin
menegur orang kaya supaya ikhlas dalam menginfaqkan harta mereka kepada
rumah anak-anak yatim.
Selain itu, menurut kenalan yang rapat
dengan beliau, P Ramlee memang seorang yang pemurah. Dan sifat
kepemurahan ini ditonjolkan dalam filem beliau melalui watak Abdul
Wahub yang menghadiahkan rumah kedai kepada persatuan anak yatim, watak
Ali Baba (Ali Baba Bujang Lapok) yang menderma wang emas kepada orang
ramai, watak Ramli (Bujang Lapok) yang ditipu oleh seorang wanita
tetapi selepas mengekori, beliau membiarkannya setelah menyedari wanita
itu adalah orang miskin, watak Harun (Anak Bapak) yang menjaga
kebajikan pekerja ladang milik bapanya, watak Syawal (Ahmad Albab) yang
mengadakan kenduri kesyukuran setelah diberi kesenangan.
Ini
merupakan sebagai elemen yang digarap oleh P Ramlee di dalam kebanyakan
filem arahan beliau.
Begitu juga lagu-lagu beliau di mana lirik-lirik
tersebut cukup bermakna yang memberi bekas kepada pendengarnya.
Kita tidak tahu sampai bila tulisan berkenaan P Ramlee akan berhenti.
Ia akan terus-menerus dinukil oleh pengkaji dan peminat filem kerana
akan ada sisi-sisi baru yang dapat dianalisis daripada pemikiran beliau.
Ia bergantung kepada kita bagaimana kita melihat sesebuah filem itu.
Adakah kita ingin tahu tentang jalan ceritanya, atau adakah kita ingin
melepaskan tekanan dengan menonton filem humor? Atau adakah kita ingin
mengkaji apakah idea pengarah di sebalik wayang yang dpertontonkan
kepada orang awam? Terpulanglah.
Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh (22 March 1929 – 29 May 1973). Semoga roh beliau ducucuri rahmat.
* Penulis merupakan editor di The Kelantan Times.


Post a Comment