Headlines News :
Showing posts with label Rencana. Show all posts
Showing posts with label Rencana. Show all posts

Contohi Zohran Mamdani berani suarakan keadilan sejagat


Oleh Prof Madya Ratna Roshida Ab Razak

Dalam sejarah umat Islam, pemimpin besar lahir bukan semata-mata dari sekolah kepemimpinan atau warisan jawatan. Mereka lahir daripada kesedaran hati, kebangkitan jiwa dan tindakan berteraskan nilai hidup.

Hari ini, apabila dunia sedang bergelut dengan ketidaktentuan dan jiwa umat semakin goyah, kita menyaksikan anak muda Muslim bangkit semula, bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai pemain utama sejarah.

Zohran Mamdani, anak muda Muslim berusia 33 tahun, berdiri di pentas New York State Assembly bukan sekadar sebagai wakil rakyat, tetapi sebagai wakil nurani umat manusia. Suaranya tidak hanya mewakili kawasan diwakilinya, tetapi gema daripada hati yang sedar terhadap derita tersembunyi, di luar dan dalam negaranya.

Beliau lantang menyuarakan keprihatinan terhadap nasib Palestin yang ditindas saban hari, jelas menunjukkan keberanian luar biasa di pentas politik Barat yang sering berat sebelah. Namun, keprihatinannya tidak terhenti di situ.

Sebagai anak muda yang hidup bersama denyut nadi rakyat, beliau berdiri bersama penduduk bandar New York, sebuah kota gah pada mata dunia, tetapi menekan jiwa banyak warganya dengan kos sara hidup melambung tinggi.

Beliau memperjuangkan hak penyewa, menentang penindasan sistemik dalam perumahan serta menuntut pembaharuan dasar supaya rakyat biasa tidak terus terhimpit. Inilah pemimpin muda Muslim memahami keadilan tidak mengenal sempadan, dan agama mengajar untuk peduli, bukan sekadar terhadap umat sendiri, tetapi terhadap semua insan dizalimi.

Cerminan harapan

Ini bukan kisah luar yang asing dengan kita di Malaysia. Ini adalah cermin harapan, di mana ada hati yang hidup, di situlah akan lahir pemimpin benar. Pada zaman ini, terlalu ramai naik kerana suara, tetapi tidak bersuara kerana hati.

Zohran membuktikan jiwa dibentuk nilai agama, pengalaman hidup dan kesedaran sosial boleh mencipta gelombang perubahan, meskipun dalam sistem tampak asing. Jika seorang pemuda Muslim mampu berdiri lantang di tengah kota kapitalis, apa pula halnya dengan anak muda kita dibesarkan dalam naungan Islam dan budaya Timur penuh hikmah?

Soalnya bukan lagi 'boleh atau tidak', tetapi bila dan bagaimana kita menyediakan medan serta bimbingan untuk mereka menjadi pemimpin dengan roh, bukan sekadar dengan gelaran. Segala-galanya bermula dengan kesedaran.

Bukan sekadar tahu apa yang berlaku, tetapi berasakan dengan hati bahawa ketidakadilan itu menyakitkan, kezaliman bukan sekadar tajuk berita, tetapi luka umat belum sembuh. Kesedaran adalah detik ketika hati kita berhenti untuk memerhati dan mula menginsafi.

Anak muda yang benar-benar memimpin ialah mereka melihat dunia bukan sekadar melalui maklumat, tetapi melalui mata hati. Mereka berasakan kesengsaraan saudara di Palestin, mereka tersentuh dengan penderitaan warga marhaen. Bukan kerana disuruh, tetapi kerana jiwa mereka masih hidup.

Kesedaran inilah akar kepada perubahan. Tanpa hati yang sedar, tiada arah. Tanpa jiwa terjaga, tiada gerak. Apabila hati sudah sedar, ia tidak akan terus duduk diam, sebaliknya akan bangkit, bukan kerana ingin disanjung atau ditonton, tetapi kerana kebenaran itu memanggil.

Kebangkitan ini bukan sekadar reaksi spontan, tetapi hasil iman tertanam dan nilai meresap dalam darah perjuangan. Hati yang sebelum ini lembut dan sunyi berubah menjadi jiwa yang kuat dan berani. Berani berkata 'tidak' kepada kebatilan, berani memikul tanggungjawab dan berani berdiri di medan kebenaran, walaupun seorang diri.

Inilah jiwa anak muda yang tidak rela membiarkan saudara seagama ditindas atau bangsanya hanyut tanpa pedoman. Ia tidak menunggu semua orang sedar. Ia tahu kebangkitan bukan tugas orang lain, tetapi amanah peribadi.

Kebangkitan yang lahir daripada hati ini akan membentuk peribadi tidak mudah dibeli, digoyang dan tidak mudah menyerah. Apabila iman bertemu ilmu, nilai bertemu tindakan, maka lahirlah anak muda bukan sekadar simbol, tetapi penyambung risalah perjuangan.

Kepemimpinan bukan hanya membicarakan apa diperjuangkan, tetapi bagaimana ia diperjuangkan. Amal terhasil daripada jiwa yang sedar dan bangkit adalah amal beradab, tidak memijak untuk naik, tidak menindas untuk kelihatan kuat dan tidak meninggi untuk tampak mulia.

Malaysia mempunyai lautan bakat muda penuh daya fikir, daya cipta dan semangat juang. Namun apa yang mereka perlukan ialah ruang amanah, bimbingan jujur dan silibus hidup membentuk mereka sebagai khalifah, bukan sekadar tenaga kerja.

Kita perlu melahirkan pemimpin muda tidak kehilangan hati dalam dunia mengejar angka, hubungan dengan tuhan tidak putus, mengenal diri sendiri dan batas nafsu, menyantuni orang lain dengan kasih dan empati, melihat alam ini sebagai amanah, bukan sumber eksploitasi.

Inilah kepemimpinan berjiwa hamba, tidak mencari pangkat, tetapi mencari reda Allah dalam setiap amal. Jika kita ingin membina semula tamadun, mulakan dengan jiwa anak muda yang bukan hanya sekadar diberi ilmu, memahami ilmu berkenaan, bukan hanya diajar teori, tetapi dibimbing mengenal Tuhan dan diri serta bukan hanya membentuk mereka sebagai pekerja, tetapi sebagai pewaris peradaban.

Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Penjawat awam muda perlu berinovasi urus kewangan


SEJAK mengumumkan bakal memansuhkan skim pencen penjawat awam, ia mencetuskan pelbagai polemik dan persoalan penting terutama mengenai masa depan kewangan penjawat awam, khasnya generasi muda.

Perubahan dasar kerajaan ini turut menimbulkan persoalan sama ada generasi muda baru memulakan perkhidmatan atau bekerja dalam sektor awam tahun ini mampu menyediakan tabungan mencukupi untuk menjamin masa hadapan mereka atau sebaliknya.

Sejak sekian lama, skim pencen kerajaan diwarisi daripada sistem British sebelum ini memberikan jaminan kewangan kepada penjawat awam selepas mereka bersara. Namun, dengan cadangan pemansuhan ini, beban untuk merancang dan menyimpan bagi masa depan kini beralih sepenuhnya kepada bahu penjawat awam itu sendiri.

Langkah ini pastinya menimbulkan lebih banyak cabaran pada masa hadapan, terutama bagi generasi muda yang mungkin belum sepenuhnya bersedia dari segi kemampuan kewangan. Berdasarkan keputusan terbaru ini, generasi muda penjawat awam dihadapkan dengan realiti mereka perlu lebih proaktif merancang kewangan.

Mereka harus mengambil langkah pengurusan kewangan berkesan seperti melabur dalam skim simpanan persaraan swasta, mengawal perbelanjaan dan mengambil insurans untuk perlindungan masa depan. Namun, ini semua memerlukan pengetahuan kewangan mendalam dan disiplin konsisten.

Dari sudut pandangan lain, situasi ini juga membuka peluang untuk memberikan pendidikan pengurusan kewangan lebih baik dalam kalangan generasi muda. Ketika dunia bergerak pantas pada masa kini, penting bagi mereka untuk memahami asas pengurusan kewangan, pelaburan dan perancangan untuk masa depan.

Inisiatif kerajaan dan sektor swasta dalam menyediakan sumber pendidikan serta nasihat kewangan adalah sangat penting dalam membantu generasi muda bersiap sedia mengharungi cabaran ekonomi dan sosial semakin mencabar.

Di samping itu, perubahan dasar kerajaan ini juga dilihat akan mendorong inovasi dalam produk kewangan ditawarkan sektor swasta. Institusi kewangan mungkin perlu mengembangkan produk simpanan dan pelaburan lebih sesuai selaras penawaran gaji semasa negara untuk keperluan generasi muda dengan risiko dan pulangan yang seimbang. Inovasi ini penting untuk membantu mereka merancang kewangan untuk masa depan.

Walaupun pemansuhan skim pencen kerajaan membawa cabaran kepada generasi baharu penjawat awam, namun ia satu titik tolak kepada perubahan tatakelola perbelanjaan negara dan juga membuka peluang golongan terbabit menambah ilmu dalam pendidikan kewangan tepat serta akses kepada 'alat' perancangan kewangan sesuai.

Dengan cara ini, mereka dapat membangun masa depan lebih stabil dan terjamin dari segi kewangan. Apa yang penting ialah kesediaan untuk belajar, beradaptasi dan merubah paradigma terhadap landskap kewangan sentiasa berubah mengikut peredaran ekonomi dunia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan (Pengurusan) Sekolah Pengajian Siswazah Perniagaan Arshad Ayub, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Henti jadikan isu 3R jenaka, momokan tarik sokongan



Oleh Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain 

- Keghairahan berkempen dalam musim pilihan raya mahupun di luar tempohnya, bukanlah tiket untuk mana-mana pihak menggunakan alasan hak kebebasan bersuara untuk mewajarkan sebarang tindakan di luar batasan undang-undang.

Sistem demokrasi amalkan di negara ini membenarkan pihak bertanding sama ada secara individu dan mewakili parti termasuk penyokong mereka untuk mengemukakan manifesto agar rakyat terutama pengundi berdaftar dapat membuat pertimbangan sebaiknya calon bakal dipilih ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sistem demokrasi di negara ini tertakluk kepada kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, tidak mutlak seperti amalan Westminster.

Dalam bahasa mudah, sistem demokrasi berparlimen di negara kita adalah demokrasi berperlembagaan. Lantaran, mana-mana pihak menguasai jumlah kerusi di Parlimen dan DUN tidak bebas menggubal apa jua rang undang-undang dihasratkan.

Mereka tertakluk pada prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Tindak-tanduk mereka boleh bukan sahaja boleh dihakimi mahkamah, bahkan oleh pengundi kawasan pemilihan masing-masing.

Begitu juga halnya dengan pihak melaksanakan fungsi kedaulatan dari aspek kuasa eksekutif dan kehakiman. Mereka juga tidak bebas berbuat sesuka hati kerana perlu patuh kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Prinsip itu amat jelas kerana kuasa semua pelaksana fungsi kedaulatan dalam cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman adalah dibataskan Perlembagaan Persekutuan, bahkan disyaratkan mereka untuk mengikrarkan sumpah berjawatan seperti dalam Jadual Keenam Perlembagaan.

Terdapat tiga bentuk dalam Sumpah Jadual Keenam, iaitu Sumpah Jawatan dan Taat Setia, Sumpah sebagai ahli Parlimen dan Sumpah Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia perlu diikrarkan pihak berkenaan dalam cabang legislatif, eksekutif serta kehakiman.

Sumpah Taat Setia mensyaratkan ahli Parlimen berikrar untuk jujur menunaikan kewajipan jawatan dengan segala daya upaya, menumpahkan taat setia sebenar kepada Malaysia serta memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan.

Sebagai negara Persekutuan menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan jaminan diberikan kepada kedudukan Islam sebagai agama negeri, sifat kepemimpinan terpuji dianjurkan agama Islam perlulah menjadi amalan seorang pemimpin politik sama ada berhasrat untuk menjadi ahli Parlimen dan ADUN atau pendukung kepada kepemimpinan masing-masing.

Seruan sedemikian tidaklah salah di sisi Perlembagaan kerana nilai murni juga diajar dalam agama, selain Islam. Prinsip kebebasan beragama menjamin hak untuk hidup beragama dengan sendiri menganjurkan gaya hidup bertatasusilaan dan berkesopanan.

Lebih-lebih lagi seorang ahli Parlimen yang hendaklah pada setiap masa memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, begitu juga halnya dengan ADUN yang dikehendaki berikrar untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan atau Perlembagaan Negeri masing-masing.

Justeru, amat perlu dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, semua pemimpin dan petugas pilihan raya mengamalkan sifat Rasulullah SAW, iaitu siddiq (benar), amanah, fatonah (bijaksana) dan tabligh (menyampaikan) serta al-amin (kejujuran dengan amanah diberikan).

Sifat itu menganjurkan setiap orang melaksanakan kempen untuk mengelak daripada ucapan suatu tidak perlu, berdusta, mempolemikkan suatu boleh mendatangkan fitnah, menghasut dan melanggar undang-undang.

Sebaliknya pihak terbabit perlu berusaha meyakinkan pengundi mengenai kemampuan masing-masing untuk menjayakan manifesto berdasarkan prestasi lepas serta pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan yang ada bagi memberikan perkhidmatan terbaik.

Semua pihak juga harus menghormati isu sensitif yang tidak boleh dijadikan barang jenaka atau momokan seperti peranan institusi Raja kerana dikhuatiri boleh berlaku keterlanjuran sama ada disengajakan mahupun tidak.

Kebelakangan ini, isu 3R, iaitu Raja, agama dan kaum sering dijadikan bahan untuk menarik sokongan. Isu berkenaan kian semakin dimainkan sehingga terdapat cubaan menggugat kedudukannya yang sekian lama terpelihara dan dihormati oleh rakyat. Rujukan bolehlah dilihat kepada jumlah kes sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Dari sudut lain, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji untuk membawa rang Undang-undang (RUU) Kesetiaan Sumpah Jadual Keenam Perlembagaan di peringkat Persekutuan, begitu juga terhadap sumpah pelaksana fungsi kedaulatan dalam cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman (contohnya hakim Mahkamah Syariah) di peringkat negeri bagi menetapkan senarai kesalahan termasuk hukuman bagi mereka melanggar sumpah berkenaan.

Intipati kepada kesalahan di bawah RUU itu dicadangkan untuk mengandungi senarai di bawah kesalahan khusus bagi ahli badan legislatif, iaitu pertama, tidak mematuhi tatacara dalam penggubalan undang-undang.

Contohnya, cadangan penggubalan undang-undang dikemukakan di Parlimen tanpa mematuhi Perkara 38(4) mensyaratkan perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) terlebih dahulu dalam perkara dinyatakannya.

Kedua, tidak memelihara, melindungi dan mempertahankan peruntukan Perkara 159(5) yang mensyaratkan perkenan MRR dalam perkara dibutirkannya apabila undang-undang itu dilanggar.

Ketiga, membawa dan cuba mengembangkan ideologi, pemikiran, seruan dan kempen untuk menghapuskan prinsip kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri serta perkara diberi jaminan Perlembagaan seperti terjumlah dalam Perkara 38(4) dan 159(5).

Keempat, membangkitkan isu 3R dengan matlamat untuk meraih sokongan secara tidak wajar dan tidak jujur,

RUU berkenaan diharapkan dapat meningkatkan integriti pemain politik kepartian dan semangatnya juga seiring usaha kerajaan meningkatkan faham kenegaraan dalam kalangan pemimpin dan mereka yang dipimpin.

Adab tatasusila dan kesopanan hendaklah diteruskan sebagai budaya kita maka pemimpin wajib memberikan contoh baik. Silalah berkempen, namun jagalah adab.

Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

VIDEO BERKAITAN

Pusat, negeri perlu bertekad selesai segera isu air


 SEJAK merdeka pada 1957 sehingga kini atau 66 tahun Malaysia didirikan, bekalan air menyeluruh dan mencukupi antara isu masih membelenggu kehidupan rakyat negara ini. Penduduk di Kelantan dan Sabah diketahui masih dibelenggu masalah tidak mendapat bekalan air terawat sewajarnya berbanding negeri lain.

Sukar difahami bagaimana pada zaman serba maju dengan teknologi canggih hari ini masih ada negeri dan penduduk tidak dapat mengecapi bekalan air terawat secukupnya dan operator syarikat air gagal mewujudkan sistem rangkaian paip air menyeluruh di sesebuah negeri.

Di Kelantan contohnya, antara punca bekalan air terawat masih tidak dapat dibekalkan secara menyeluruh kepada rakyat disebabkan sistem paip air di negeri itu tidak meluas, kekurangan dana memasang paip baharu atau mengganti paip usang sehingga menyebabkan sering berlaku kebocoran, sekali gus meningkatkan jumlah air tidak berhasil (NRW).

Secara tidak langsung, isu kegagalan membekalkan air terawat ini akhirnya mengheret rakyat ke dalam kancah politik kerana ada parti 'menangguk di air keruh' menjadikan isu air sebagai umpan dan modal untuk kekal berkuasa tanpa menghiraukan hak penduduk untuk mendapat bekalan air terawat mencukupi.

Di negeri lain seperti Selangor, bekalan air terawat sering terjejas disebabkan berlaku pencemaran pada sumber air mentah atau paip bocor sehingga menyebabkan ribuan pengguna di Lembah Klang menderita dan menanggung azab hidup tanpa air berhari-hari.

Sukar difahami bagaimana pada zaman serba maju dengan teknologi canggih hari ini masih ada negeri dan penduduk tidak dapat mengecapi bekalan air terawat secukupnya. - Foto hiasan
Sukar difahami bagaimana pada zaman serba maju dengan teknologi canggih hari ini masih ada negeri dan penduduk tidak dapat mengecapi bekalan air terawat secukupnya. - Foto hiasan

Dalam pada itu, pengurusan sumber air juga boleh mewujudkan konflik antara negeri seperti berlaku di Pulau Pinang dan Kedah. Kedua-dua negeri sehingga hari ini masih bertelagah dalam isu tuntutan bayaran sumber air mentah yang berlarutan sejak 2010.

Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda, berpunca dari Kedah. Kerajaan Pulau Pinang pula dilihat tidak mahu melayan tuntutan itu.

Pertikaian berterusan apabila Kedah berhasrat membina 14 tangki air sepanjang Sungai Muda untuk menjimatkan air bagi pengairan padi dan memastikan bekalan air mencukupi sepanjang musim kemarau tetapi ditentang Pulau Pinang dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya projek itu dilaksanakan atas alasan membahayakan ekonomi serta mata pencarian penduduk Pulau Pinang.

Melihat kepada pertikaian dan contoh permasalahan berlaku ini, kerjasama rentas kementerian, jabatan negeri serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) perlu diperkukuhkan bagi menamatkan kemelut dan pertikaian antara pemegang taruh membabitkan komoditi berharga ini.

Kerajaan Pusat dan negeri perlu ada persefahaman bersama bagi memastikan pengurusan sumber air dan bekalan air terawat tidak dipolitikkan untuk kepentingan parti tertentu seperti berlaku sebelum ini serta ketika ini kerana ia membabitkan kepentingan rakyat.

Wujudkan undang-undang lebih tegas pelihara kesucian Islam


Oleh Shafezah Abdul Wahab -

 Video seorang lelaki memaki Nabi Muhammad SAW dan Islam tular di media sosial yang membawa kepada penahanan individu terbabit kelmarin, menunjukkan keperluan melihat kembali isu perundangan sedia ada.

Penghinaan Islam menjadi isu sensitif yang boleh menjejaskan perpaduan. Islam adalah agama Persekutuan dan dianuti lebih separuh rakyat di negara ini. Justeru, perbuatan mencemarkan kesucian dan memperlekehkan Islam boleh mencetuskan kemarahan umat Islam.

Apatah lagi sudah timbul tanggapan orang Islam dan agama itu sendiri mudah dihina serta dipermainkan, termasuk daripada orang seagama seperti berlaku dalam kes wanita menghina Islam dengan menanggalkan pakaian di khalayak awam selepas mendakwa menghafaz 15 juzuk al-Quran.

Apa yang berlaku menunjukkan penghinaan terhadap Islam di media sosial masih tidak dapat ditangani sebaiknya menerusi sistem perundangan sedia ada. Tiada peruntukan jelas dan tegas mengenai penghinaan Islam dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketika ini, kesalahan menghina agama hanya boleh didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi. Undang-undang syariah pula hanya boleh menghukum jika sabit kesalahan individu Muslim menghina agama Islam. Namun, ia tidak boleh menggunakan peruntukan sama terhadap individu bukan Islam.

Undang-undang syariah dalam konteks media sosial juga mempunyai beberapa kelemahan mengakibatkan kesukaran membuat pendakwaan dan pensabitan kes kerana skop kesalahan menghina agama terlalu umum dan kabur.

Hukuman berat perlu diberikan kepada pelaku supaya menjadi iktibar dan pengajaran sangat penting kepada seluruh rakyat agar saling hormat-menghormati. Ironinya, ini bukan kes pertama seumpamanya kerana sebelum ini sudah kerap sensitiviti umat Islam terus dicabar.

Tindakan perundangan

Kepemimpinan negara diterajui umat Islam perlu bangkit bersama masyarakat mengambil tindakan dan menghukum terhadap mana-mana individu cuba mencetuskan sensitiviti agama serta perkauman boleh menggugat keamanan negara berdasarkan pelbagai saluran, termasuk perundangan.

Keamanan asas utama menegakkan Islam, sekali gus memaju dan memakmurkan negara. Kedaulatan Islam pasti tercalar jika keamanan negara tergugat dan mustahil untuk menegakkan syariat Islam jika negara terus diganggu-gugat sebegini.

Pada masa sama, perlu diperhatikan konteks dan aspek faktor penghinaan terhadap Islam yang berkait rapat dengan isu pendidikan, hubungan etnik dan politik serta undang-undang.

Dalam konteks umat Islam sendiri, kefahaman terhadap agama, didikan ibu bapa dan pengaruh pemikiran liberalisme sangat berkait rapat dengan isu pendidikan serta pemantapan dakwah di negara ini.

Politik dan undang-undang turut dikaitkan sebagai antara aspek boleh menyebabkan berlakunya penghinaan Islam di negara ini.

Malah, berdasarkan pengamatan, isu agama turut dimainkan, terutama menjelang pilihan raya yang lazimnya mengakibatkan tercetusnya perbuatan dan percakapan yang memperlekehkan agama.

Akhirnya, keberanian melakukan perbuatan menghina agama Islam juga bertitik tolak daripada tiadanya peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini mendorong sesetengah pihak memburukkan serta merendahkan imej Islam tanpa rasa takut dikenakan tindakan undang-undang.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan meminda peruntukan dalam Perlembagaan atau mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) lebih tegas untuk memastikan insiden penghinaan kepada Islam tidak lagi berlaku sama ada orang Islam sendiri mahupun bukan Islam.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka

 

Di sebalik Rundingan Baling 1955


Oleh M Hifzuddin Ikhsan 

 BALING: Terma 'Rundingan Baling 1955' yang menjadi detik penting kepada kemerdekaan Tanah Melayu perlu disemak selepas kajian mendapati tiada rundingan berlaku antara kerajaan dan wakil Parti Komunis Malaya (PKM).

Peristiwa pada 28 dan 29 Disember 1955 itu membabitkan pertemuan antara wakil kerajaan antaranya Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Singapura, David Marshall dan Presiden MCA, Tun Tan Cheng Lock bersama wakil PKM antaranya Chin Peng dan Rashid Maidin.

Bagaimanapun sepanjang perjumpaan itu, Tunku lebih banyak bercakap mengenai tawaran pengampunan kepada pengganas komunis dan mengelak sebarang rundingan sehingga mencetuskan kemarahan Chin Peng apabila menyedari PKM tidak diberi sebarang pilihan.

Penulis buku 'Liku-Liku Pertemuan Baling', Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman, menjelaskan sebelum pertemuan di Baling, telah berlangsung Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu yang menyaksikan Parti Perikatan menang besar dan Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri.

Katanya, antara manifesto Tunku ketika pilihan raya itu adalah memberi pengampunan kepada pengganas komunis dengan syarat mereka menyerah diri, dibicara dan kemudian diberi pilihan sama ada pulang ke negara asal atau kekal di Tanah Melayu dengan memberi sepenuh ketaatan.

"British bagaimanapun tidak bersetuju dengan rancangan Tunku ini kerana mereka menetapkan syarat bahawa Tanah Melayu hanya akan dibenarkan memerintah atau berkerajaan sendiri selepas keadaan dalam negara aman sepenuhnya dan tiada darurat.

"Selaku Ketua Menteri yang diberi kuasa, Tunku mendesak mahu pengampunan diberi kepada pengganas komunis kerana sedar ia akan menjadi pintu ke arah mempercepatkan kemerdekaan Tanah Melayu selain mahu pertemuan diadakan bersama wakil PKM.

"Akhirnya buat julung kali, Baling dipilih menjadi lokasi pertemuan yang menarik perhatian antarabangsa kerana belum pernah berlaku perjumpaan rasmi antara komunis dan kerajaan di dunia ketika itu," katanya ketika Wacana 'Liku-Liku Pertemuan Baling 1955' yang berlangsung di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, baru-baru ini.

Rundingan Baling 1955 menjadi antara detik bersejarah buat negara apabila ia berjaya membina keyakinan bahawa rakyat Tanah Melayu tidak akan terpengaruh dengan fahaman komunis, sekali gus membuktikan kemampuan Tunku mentadbir negara.

Mengulas lanjut, Nor Ibrahim berkata, hasil rujukannya ke atas dokumen berkaitan perjumpaan itu termasuk yang disimpan di Arkib Nasional United Kingdom mendapati pertemuan itu dirujuk sebagai 'Baling Talks'.

"Terjemahan langsung rundingan ke dalam bahasa Inggeris sepatutnya adalah 'negotiation' tetapi dalam kesemua dokumen rasmi berkaitan tidak menyatakan berlakunya rundingan antara Tunku dan Chin Peng.

"Malah, Tunku dalam autobiografinya sendiri merujuk perjumpaan itu sebagai 'Baling Talks' maka adalah wajar terma 'rundingan' itu dilihat semula atau lebih tepat lagi sekiranya digunakan Pertemuan Baling 1955.

"Ini kerana dalam proses rundingan sepatutnya wujud eleman seperti tawaran, tawaran balas atau perbincangan, namun semua itu tidak berlaku malah ia sendiri diakui Rashid Maidin dalam bukunya bahawa pertemuan itu lebih kepada untuk menekan PKM," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Kasri Saidon, berkata persoalan mengenai terma sama ada rundingan atau pertemuan perlu dilihat pada intipati sebenar perjumpaan berkenaan.

"Terma 'Baling Talks' digunakan kerana perjumpaan itu hanya membabitkan perbualan sahaja, tetapi untuk dikatakan rundingan apa sebenarnya yang dirunding antara Tunku dan Chin Peng perlu dilihat.

"Sama ada sesuai atau tidak terma rundingan atau pertemuan kita perlu mengkaji lebih lanjut perkara ini dan merujuk kepada pakar sejarah lain bagi menentukannya," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Rundingan Baling 1955 adalah peristiwa penting yang perlu diangkat sebagai antara pembuka jalan kepada proses kemerdekaan Tanah Melayu yang akhirnya dicapai pada 31 Ogos 1957.

"Sebelum itu, kita perlu melihat ancaman diberikan pihak komunis melalui siri keganasan, penghasutan dan sabotaj justeru rundingan ini sebenarnya membawa kepada hasrat kerajaan bagi mencapai penyatuan bangsa dalam menolak fahaman komunis.

"Penyatuan itu akhirnya berjaya menunjukkan kepada British bahawa ketiga-tiga bangsa utama sudah bersatu dan tidak ada sebab mengapa kemerdekaan tidak boleh diberikan kerana semua bangsa ini sudah menentang anasir yang sama.

"Bermula 1948 kita melihat komunis menyusup masuk ke dalam masyarakat melalui pelbagai cara sehingga British terpaksa membuka skim kampung baharu, sekatan, catuan dan perintah berkurung...namun tiga bangsa ini dengan tegas menolak fahaman itu," katanya.

Mengulas lanjut, Kasri berkata, Tunku berjaya memainkan peranan sebagai serampang dua mata iaitu memperkuatkan organisasi masyarakat melalui perpaduan dan menolak bagi memberi sebarang pengiktirafan kepada PKM.

"Dalam sejarah, Rundingan Baling 1955 akan sentiasa dikenang sebagai titik penyatuan kepada rakyat menolak komunis dan titik pemisah bahawa komunis tidak dapat hidup bersama di Tanah Melayu.

"Apabila darurat tamat pada 1960, komunis berundur tetapi mereka masih cuba mengambil beberapa kesempatan antaranya ketika era konfranstasi Malaysia-Indonesia dan perselisihan faham antara kaum 1969 sebelum diikuti era insurgensi sehingga 1989.

"Bagaimanapun ketika era 80-an, berlaku banyak perubahan apabila geo politik dunia berubah, generasi muda mahu pembangunan maka komunisme menjadi gerakan usang maka akhirnya PKM meletak senjata sepenuhnya melalui Perjanjian Hatyai 1989," katanya.

Bagaimanapun, Kasri menegaskan walaupun PKM sudah lama meletak senjata, namun fahaman komunisme masih belum dapat dilenyapkan di negara ini dan kemungkinan fahaman itu datang dalam bentuk baharu boleh berlaku.

Pembangunan bandar pintar mampu mendepani COVID-19

 


Oleh Mohd Rozaimy Ridzuan 

 Sebelum pandemik COVID-19, banyak negara membangunkan bandar pintar untuk mengurangkan cabaran dalam menguruskan perbandaran seperti jenayah, kesesakan lalu lintas, sistem pengurusan sampah dan pencemaran.

Bagaimanapun, pandemik menyebabkan semakin banyak negara secara kolektifnya memberi fokus kepada sains dan teknologi dengan cara mengaplikasikan bandar pintar demi mengharungi kejutan dan krisis bersifat global ini.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT), data raya dan teknologi baharu lain dioptimumkan untuk memerangi pandemik itu. Kajian sarjana membuktikan pelaksanaan bandar pintar mengurangkan impak negatif pandemik.

Bandar pintar juga dapat mencegah dan mengawal pandemik tanpa perlu melaksanakan dasar kawalan pergerakan ketat kerana manfaat teknologi itu, terutama pengurusan maklumat berkaitan COVID-19.

Melalui teknologi bandar pintar, pembuat dasar dapat meningkatkan tadbir urus bandar melalui keputusan tepat dan responsif seperti di China, Korea Selatan dan India.

Bandar besar di China seperti Beijing, Shanghai dan Hangzhou membangunkan projek bandar pintar sejak sedekad lalu. Dilengkapi teknologi 5G, kamera beresolusi tinggi dan termometer inframerah, penggunaan robot dapat mengimbas suhu 10 orang secara serentak dalam radius 5 meter.

Hangzhou 'City Brain' umpamanya, dapat membantu kerajaan mengetahui jumlah penduduk disahkan positif COVID-19 dengan segera, sekali gus membolehkan pihak berkuasa pantas mengambil tindakan selanjutnya.

Korea Selatan sejak 2000 lagi, melaksanakan pelbagai projek bandar pintar dan membangunkan kerangka dasar bandar pintar. Epidemic Investigation Support System (EISS) dibangunkan untuk memantau penyebaran jangkitan epidemiologi yang membantu kerajaan mendepani pandemik melalui analisis data COVID-19.

Di India pula, peranti pintar seperti robot dilengkapi teknologi radiasi Ultraviolet-C dibangunkan untuk membersih dan membasmi kuman pada objek dan tempat. Integrated Command and Control Centers (ICCCs) dengan kamera pengawasan, rangkaian gentian optik, perkhidmatan pintar didayakan sensor dan modul tadbir urus berasaskan aplikasi membantu negara itu menangani pelbagai cabaran berkaitan COVID-19.

Talian bantuan, Hunger Helpline juga diwujudkan untuk memberi makanan kepada penduduk terkesan dengan pandemik.

Ternyata, pandemik COVID-19 faktor penyumbang pembangunan bandar pintar kerana teknologi ini mampu menawarkan penyelesaian secara inovatif.

Kerajaan Malaysia sendiri sedang mempergiatkan usaha membangunkan bandar pintar secara menyeluruh. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dilaporkan berkata Malaysia berharap membangunkan sekurang-kurangnya lima bandar pintar menjelang 2025.

Projek bandar pintar sudah mula dibangunkan di Selangor dan Pulau Pinang, selain secara spesifik di Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Lumpur, Iskandar Puteri di Johor dan Kulim.

Aplikasi MySejahtera adalah sebahagian mekanisme penting dalam bandar pintar tetapi masih ramai menggunakan buku rekod apabila memasuki premis perniagaan hingga boleh menyukarkan kerajaan mengesan kontak rapat sekiranya berlaku kes positif di premis terbabit.

Sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) juga diperkenalkan bagi membendung penularan COVID-19. Sistem ini menggunakan analisis data raya dan AI yang mampu membuat ramalan ke atas sesebuah premis berpotensi menjadi titik panas penularan COVID-19 dalam jangka tujuh hari.

Diharapkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan demi menyelaraskan pembangunan bandar pintar yang selama ini dibangunkan penggerak bandar pintar yang bekerja secara sendiri.

Dapatan kajian dijalankan pengkaji menunjukkan bandar dilengkapi teknologi 5G lebih berjaya mendepani pandemik COVID-19 menerusi teknologi seperti teleperubatan dan pengawasan pintar.

Oleh itu, penggunaan teknologi 5G di negara ini perlu segera diperluaskan untuk mendukung projek bandar pintar yang memerlukan teknologi tanpa wayar generasi baharu. Diharapkan penggabungan syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi.Com Bhd (Digi) mampu mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G serta memudahkan penyediaan sambungan internet berkelajuan tinggi di seluruh negara.

Penulis adalah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

Tangani isu penggunaan kalimah secara berhikmah


 Oleh Dr Mohd Nizwan Musling

SENSITIVITI masyarakat Islam di negara ini tercetus lagi selepas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah bersama perkataan solat, baitullah dan Kaabah bagi tujuan pembelajaran dan penerbitan agama Kristian.

Tidak dinafikan keputusan itu menimbulkan reaksi kurang gembira kepada penganut Islam kerana berasakan penggunaan berkenaan dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan dan ketegangan.

Oleh itu, kita dapati isu ini banyak dikupas dari sudut pandang agama khususnya menyentuh aspek akidah sejak dibangkitkan pada 2008.

Ini jelas menunjukkan isu ini bukanlah sekadar 'penggunaan' atau 'perebutan' sesuatu perkataan, tetapi perlu dilihat lebih menyeluruh, serius dan jujur, sekali gus bukan hanya sekadar atas nama 'kebebasan beragama atau 'pendidikan.'

Oleh itu, beberapa perkara perlu dijelaskan oleh pihak yang mahu dan membenarkan penggunaan berkenaan dalam agama mereka dalam konteks Malaysia.

Antaranya mengapa perkataan bahasa Arab sinonim dengan Islam dan teks al-Quran dipilih? Apakah perkataan Allah memang digunakan dalam Bible asal mereka?

Begitu juga, apakah penganut Kristian lebih memahami agama mereka dengan menggunakan perkataan berbahasa Arab bagi empat perkataan itu sahaja, sekali gus mengapa bukan perkataan lain?

Dalam wacana linguistik moden, sejak apa diutarakan ahli linguistik, semiotik dan falsafah Sweden, Ferdinand de Saussure, iaitu antara pasangan padanan mencirikan bahasa manusia ialah simbol/unsur bahasa serta gambaran/makna dalam minda.

Kemudian ditambah satu lagi elemen, iaitu apa yang wujud dalam realiti oleh Ogden & Richard dalam buku The Meaning of Meaning.

Menerusi kerangka ini, ia memberi gambaran perkataan Allah sebagai simbol bahasa mempunyai makna tertentu dalam minda penganut Islam, iaitu Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan Tempat Berlindung, Tuhan Tidak Berbapa, Tuhan Tidak Beranak dan Tuhan Tiada Sekutu dengan-Nya seperti dinyatakan secara jelas dalam surah al-Ikhlas. Allah secara zat realitinya hanya akan diketahui di syurga-Nya.

Maka, apakah makna ini akan turut sama tergambar dalam minda penganut agama Kristian di negara ini memandangkan simbol bahasa yang hendak digunakan adalah sama, iaitu Allah?

Melihat makna tertentu bagi Allah itu, menuntut kita membezakan antara dua perkara, iaitu perkataan dan istilah. Perkataan digunakan untuk makna konotasi umum, manakala istilah atau terminologi merujuk kepada penggunaan perkataan bagi sesuatu makna spesifik bukan umum yang berkongsi.

Maka, bagaimana mungkin Allah mempunyai makna tertentu boleh diguna pakai dalam masa sama bagi merujuk makna berlainan bahkan berlawanan? Atau hanya untuk digunakan untuk makna umum tertentu dan tidak menyeluruh seperti Tuhan yang mencipta alam, langit dan bumi.

Ini dapat menjelaskan penggunaan kalimah Allah dalam jawapan orang kafir apabila ditanya siapa mencipta langit dan bumi dalam surah al-Ankabut ayat 61; Luqman (25) dan al-Zumar (38), adalah berbentuk sebahagian tidak menyeluruh.

Begitu juga wujudnya frasa mengandungi perkataan Allah sebelum datangnya Islam seperti Abdullah atau bismikallahumma, menjadi perkataan umum, bukan istilah mempunyai makna tertentu diberi Islam melalui teks sucinya al-Quran yang menggunakannya sebanyak 980 kali seperti dinyatakan Muhammad Fuad Abdul Baqi dalam Mu'jamnya.

Maka, sekiranya istilah dan terminologi solat contohnya digunakan nanti dalam teks agama atau pendidikan Kristian di negara ini, apakah ia didefinisikan sebagai perbuatan diawali takbiratul ihram dan diakhiri salam berserta syarat tertentu?

Namun, sekiranya diguna pakai untuk membawa maksud doa semata-mata, maka ia perkataan umum perkamusan bukan istilah agama seperti digunakan masyarakat jahiliyah.

Antara perkara dasar perlu diutarakan dan dijawab dalam polemik ini adalah apakah kalimah Allah memang digunakan dalam kitab Injil asal?

Sebelum ini, sebahagian ahli agama menyatakan kitab suci penganut Kristian di negara Arab pun menggunakan perkataan Allah, maka apa masalahnya apabila ia turut digunakan penganut Kristian di Malaysia.

Penulis melihat ia tidak menggambarkan teks agama mereka asal, malah apa diguna pakai masyarakat Kristian Arab itu pun sendiri teks terjemahan daripada bahasa Hebrew.

Profesor Linguistik Arab Perbandingan Universiti Yarmouk Jordan, Prof Dr Yahya Ababneh dalam karyanya Al-Zat Baina Al-Bina' wa al-Tafkik menyatakan tiada lafaz atau kalimah Allah digunakan dalam bahasa Hebrew termasuk Bible Perjanjian Lama.

Adapun kalimah Allah dalam teks berbahasa Arab adalah sekadar terjemahan makna padanan perkataan 'Elohim' dalam bahasa Hebrew. Perkataan 'Elohim' inilah terminologi asal digunakan dalam kitab suci mereka melalui kitab Taurat untuk merujuk kepada makna Tuhan Yang Disembah (al-Ilah al-Ma'bud).

Prof Yahya menambah kalimah Allah hanya wujud digunakan dalam tiga bahasa sahaja, iaitu bahasa Arab, bahasa Suryani dan bahasa Nabaten. Adapun apa terdapat dalam bahasa Hebrew ialah tiga perkataan utama sinonim bagi kalimah Allah, di samping kalimah al-Rob dan al-Sayyid, iaitu Elohim, Yahweh serta Adunay.

Dalam aspek pembentukan kata Allah juga, penulis cenderung melihat ia kata nama khas, bukan 'mushtaq' atau kata terbitan daripada kata dasar ilah. Ini kerana sekiranya ia terbitan daripada ilah dengan pertambahan partikel 'al' pada awalnya, ia akan bertentangan dengan wujudnya perkataan 'al-Ilah.'

Ini juga disokong Ibnu Manzur dalam Lisan al-Arab yang mengatakan 'alif' dan 'lam' pada awal perkataan Allah ialah fonem asal, bukan imbuhan awalan finite seperti berada pada kata nama lain. Ini menguatkan lagi kalimah Allah ialah istilah atau kata nama khas merujuk kepada makna disebutkan sebelum ini.

Kesimpulannya, walau apapun keputusan sudah dan akan diambil berhubung perkara ini, kita sebagai rakyat beragama Islam khususnya perlu bertindak secara berhikmah dan tidak beremosi.

Pada masa sama, sekalipun penggunaan kalimah Allah dibenarkan, gunakanlah dengan jujur mengikut skop dibenarkan dan definisi tepat, bukan tujuan mengelirukan umat Islam.

Toleransi beragama bukan bermakna menggadaikan konsep dan pegangan dengan hanya berkongsi satu terminologi mempunyai definisi operasi bertentangan sama ada ia sengaja dirancang atau kebetulan.

Hargailah nikmat perpaduan dan kebebasan mengamalkan ajaran agama dengan meningkatkan kefahaman serta menghormati perbezaan dasar sekalipun hanya membabitkan penggunaan istilah bukan perkataan sekadar nama.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Bantu anak bermotivasi ikuti pendidikan dalam talian



PERANAN ibu bapa penting bantu dan sokong anak mengikuti pembelajaran dalam talian ketika mengharungi era pandemik.

Pada kebiasaannya, permulaan tahun adalah masa ibu bapa sibuk dengan persiapan anak ke sekolah dengan membeli perkakasan alat tulis, baju dan kasut sekolah baharu bagi menggantikan mana-mana yang sudah lusuh.

Tidak kurang juga ibu bapa yang mula menerangkan kepada si anak kecil mengenai kepentingan bersekolah sebagai persiapan mental mengharungi tahun baharu persekolahan. Guru pula bertungkus-lumus menyediakan prasarana dan alat bantu mengajar serta rancangan pengajaran tahunan bersesuaian, bagi menyambut kedatangan murid bagi tahun persekolahan baharu.

Namun, senario awal 2021 ternyata sangat berlainan. Tahun ini dimulai dengan perasaan bercampur-baur — ketidakpastian, kerunsingan dan kebimbangan — dikongsi bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa, bahkan guru berdedikasi di seluruh negara.

Umum mengetahui, pendidikan ialah komponen pengalaman dan pengayaan terpenting dalam menjamin kehidupan lebih baik pada masa hadapan untuk anak khususnya generasi muda sekarang. Namun, komponen ini di ambang bencana, terancam oleh keadaan sekarang yang kian mencengkam.

 Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama pengisytiharan darurat baru-baru ini memperlihatkan komitmen serius kerajaan dalam menangani masalah penularan COVID-19 yang kian meruncing di negara ini.

Berikutan pengumuman ini, sekolah diarah untuk ditutup, kecuali bagi calon peperiksaan penting bagi 2020. Segala proses pengajaran dan pembelajaran bagi murid lain, dijalankan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sebagai alternatif pembelajaran norma baharu.

Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan garis panduan PdPR sejak tahun lalu, yang menggariskan tiga pendekatan, iaitu PdPR secara dalam talian bagi murid dan guru yang boleh mendapat capaian internet; PdPR secara luar talian bagi murid dan guru di luar kawasan liputan internet dan PdPR secara off-site yang dilakukan secara berpusat di pusat komuniti atau mana-mana premis yang diisytihar sebagai pusat pemindahan.

Langkah kementerian dan kerajaan membataskan kehadiran murid ke sekolah mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat. Pelbagai keluhan ibu bapa mengenai pelaksanaan PdPR muncul di segenap skrin media sosial.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan keikhlasan guru dalam melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik, pendekatan digunakan guru dan kualiti pengajaran mereka. Naratif dengan nada sama juga dapat dilihat daripada kelompok guru.

Apa sahaja bentuk luahan itu, kedua-dua pihak sebenarnya mahukan perkara sama, iaitu mendidik anak bangsa.

Keprihatinan kedua-dua belah pihak terhadap permasalahan arahan yang timbul kerana kekangan terhasil daripada arahan kerajaan membataskan kehadiran murid ke sekolah mempunyai asas.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam siaran akhbar bertarikh 12 Januari lalu menyentuh kesan penutupan sekolah kepada kemenjadian murid.

Kemahiran membaca, menulis, dan mengira akan terkesan; kesihatan dan kesejahteraan mereka akan terganggu dan akses kepada pendidikan sangat bergantung kepada keberadaan dan prestasi capaian internet di seluruh negara. Bilangan murid yang tidak bersekolah (out-of-school) juga akan meningkat sebanyak 24 juta di seluruh dunia.

Dalam perkara ini, guru dilihat sangat terkesan dengan perubahan demi perubahan yang berlaku ketika era pandemik ini. Walaupun pihak kementerian mengeluarkan garis panduan jelas, pelbagai elemen lain perlu diambil kira guru, apabila merancang sesuatu pelan pengajaran pada masa ini.

Permasalahan seperti akses kepada internet dan peranti serta kualiti capaian internet memainkan peranan penting dalam merancang sebuah rancangan pengajaran. Pada masa sama, guru juga proaktif dalam mempelajari pelbagai jenis pelantar dan sistem serta aplikasi web yang boleh membantu mereka bentuk proses pembelajaran supaya murid dapat mencapai standard pembelajaran ditentukan.

Hakikatnya, mendidik bukan perkara mudah, lagi-lagi apabila perlu dilakukan dalam medium perantara yang tidak menyokong banyak jenis interaksi.

Kebanyakan aplikasi tidak direka khusus untuk kegunaan dalam bidang pendidikan. Sebagai contoh, Google Meet dan Zoom adalah medium direka khas untuk telesidang, tetapi ia sering digunakan guru untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian.

Walaupun terdapat beberapa ciri boleh menyokong pembelajaran, ciri terbabit tidak akan dapat mengimbuh pengalaman pembelajaran murid persis pembelajaran bersemuka.

Guru yang sebelum ini tidak bergantung kepada alat elektronik, kini terpaksa belajar cara menggunakan pelbagai peranti dan pelantar, bagi menyediakan pelan pengajaran untuk murid. Bagi yang memilih untuk menjalankan pengajaran secara luar talian, mereka pula menghadapi masalah mereka bentuk bahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bersifat pembelajaran kendiri, yang membolehkan murid belajar dengan bimbingan minimum daripada guru.

Ibu bapa juga sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pendidikan negara ketika pandemik ini dapat berlangsung secara teratur dan sistematik. Komitmen ibu bapa akan memastikan generasi muda kini tidak mengalami keciciran akademik.

Seperti semua sedia maklum, persekolahan sebelum era pandemik memperlihatkan majoriti masa murid adalah dalam pekarangan sekolah, tetapi keadaan sekarang menyebabkan durasi berkenaan bertukar.

Murid sekarang meluangkan masa sepenuhnya di rumah. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak mereka bersedia dan bermotivasi untuk mengikuti PdPR.

Mengikut kajian UNICEF di Bulgaria, bancian mendapati ada risiko murid akan tidak bermotivasi untuk belajar dan tidak akan mengikuti pembelajaran dalam talian. Hanya 20 peratus daripada ibu bapa dapat menyokong pembelajaran dalam talian, sedangkan lebih 50 peratus ibu bapa gagal berbuat demikian. Dalam kalangan 700,000 murid, 44 peratus didapati menghadapi masalah kesihatan mental makin meruncing jika dibanding dengan sebelum era pandemik.

Mampukah kita mengharungi pendidikan dalam talian di tengah-tengah kenaikan statistik penularan COVID-19, sekali lagi?

Jawapannya boleh didapati pada setiap warga Malaysia. Jika kita saling memahami, menghormati, bekerjasama dan bersungguh-sungguh bagi memastikan anak mendapat pendidikan sewajarnya, serta membantu guru yang sedang bertungkus-lumus saban hari dan waktu merancang dan menyediakan bahan pembelajaran kepada murid, nescaya generasi muda akan mempunyai masa depan yang lebih cerah dengan usaha kita jayakan ini. Malaysia Boleh!

Dr Mohd Hafiz Md Hanif

Pengarah Akademi Pendidikan/Sekolah Makmal, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


SMS, WeChat cemari bahasa Melayu era teknologi

 


Oleh Dr Hadina Habil

Slogan 'Bahasa Jiwa Bangsa' sering kelihatan di kaca televisyen suatu masa dulu. Ia antara pesanan khidmat masyarakat disampaikan kerajaan dalam usaha menyatukan bangsa Malaysia.

Peribahasa ini membawa maksud bahasa ialah ciri pengenalan atau identiti sesuatu bangsa. Bahasa juga melambangkan personaliti dan emosi seseorang.

Umumnya, bahasa kasar memberi imej seseorang itu kasar sifatnya, sementara bahasa sopan memberi maksud penuturnya menghormati audien yang sedang berkomunikasi dengannya.

Bahasa digunakan bergantung beberapa faktor. Antaranya dengan siapa kita berkomunikasi (audien), apa ingin disampaikan dan bila atau konteks komunikasi (formal atau informal).

Sebagai contoh, pertama kali bertemu seseorang, kita akan menggunakan bahasa sopan kerana menghormati audien. Ini termasuk memilih perkataan yang baik. Begitu juga apabila berinteraksi dengan orang lebih tua berdasarkan pengamatan diri.

Namun, kemajuan teknologi mendedahkan generasi muda kepada alam maya yang mempunyai komuniti tersendiri, malah mempunyai norma dan bahasa tersendiri.

Kecepatan interaksi dalam talian menyebabkan terciptanya perkataan baharu bersifat tidak formal dan slanga. Hasilnya, terciptalah 'bahasa SMS' atau khidmat pesanan ringkas yang membuang vokal 'a,e,i,o,u' dan meninggalkan hanya konsonan.

Begitu juga pengguna WeChat dengan bahasanya yang memendekkan perkataan dan membina perkataan baharu berdasarkan bunyi sebutan dan mengabaikan ejaan betul.

Ironinya, keadaan ini menyebabkan banyak perkataan dalam bahasa Melayu dipendekkan secara salah dan lebih menyedihkan penggunaannya dalam masyarakat amat berleluasa.

Masalah akan timbul apabila generasi muda tidak dapat membezakan situasi formal atau santai, lantas gagal menggunakan bahasa sesuai mengikut keadaan sepatutnya.

Puncanya, kebiasaan menyingkatkan perkataan bertukar menjadi tabiat. Tidak hairanlah ada pelajar menggunakan bahasa SMS dan WeChat ini semasa menjawab soalan peperiksaan.

Keadaan sama berlaku apabila generasi muda menulis e-mel yang kini semakin diterima sebagai medium komunikasi formal. Apakah generasi begini yang ingin kita ketengahkan sebagai pembina masa depan bangsa dan negara?

Media sosial seperti diketahui menyediakan wadah di mana semua orang mempunyai capaian internet dapat menulis dengan bebas.

Sifat 'synchronous' atau 'segerak' media sosial ini menyediakan medium rinteraksi secara terus di alam maya. Di sinilah ramai kurang sedar apa yang ditulis menjadi bacaan ramai pengguna media sosial itu.

Seringkali kita terbaca mesej ditulis menggunakan bahasa kesat. Perkataan sepatutnya tidak digunakan dalam penulisan seperti bersifat mencaci, memaki hamun dan membawa maksud negatif, digunakan berleluasa.

Apakah punca ini? Adakah rakyat Malaysia sudah kurang sifat malu dan semakin 'ganas' pemikirannya sehingga sifat ini dizahirkan terbuka di media sosial? Atau ada kekeliruan tentang medium digunakan iaitu media sosial?

Jika majoriti menggunakan bahasa 'WeChat' dan SMS ini generasi muda, bahasa kesat dan bersifat cacian ini pula digunakan semua golongan masyarakat, dari anak muda hingga orang dewasa.

Keadaan ini membimbangkan kerana kita tidak mahu penggunaan kata kesat, bersifat cacian dan maki hamun diterima sebagai kebiasaan dalam penulisan media sosial kerana bahasa menggambarkan jiwa sesuatu bangsa.

Ia tidak sepatutnya menjadi satu norma diterima masyarakat. Lebih teruk, kita tidak mahu orang Malaysia dilabel kasar, tidak sopan dan tidak beradab hanya kerana pilihan perkataan digunakan dalam penulisan di media sosial.

Mengetahui siapa yang akan membaca, apa yang akan ditulis, bila mesej ditulis dan apa medium digunakan akan dapat membantu seseorang itu memilih bahasa sesuai dengan keadaan dihadapi.

Ketidakupayaan mengambil kira faktor di atas akan menjejaskan mesej ingin disampaikan. Pemahaman berbeza antara penulis dan pembaca juga akan menyebabkan salah faham dan tujuan komunikasi tidak kesampaian.

Atas sebab itu, kesedaran perlu diberi kepada generasi muda untuk mendukung dan menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam perbualan tanpa mengira medium komunikasi.

Ini penting untuk memastikan kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan penulisan di era teknologi.

Penulis ialah Profesor Madya di Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Kitalah vaksin, kitalah penentu

 

Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
 
Daerah Kota Setar di Kedah menjadi kawasan terkini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) ekoran peningkatan kes Covid-19.

Bermula semalam sehingga 25 September ini, sebanyak 366,787 penduduk di 28 mukim akan menjalani kehidupan penuh sekatan.

Semua jalan keluar masuk Kota Setar ditutup, sesi pengajian sekolah dan pusat pengajian ditangguh, waktu operasi kedai runcit, restoran dan premis perniagaan lain dihadkan, aktiviti keagamaan dan rekreasi juga tidak dibenarkan.

Temco terbaharu itu memang sudah dijangka kerana kawasan sekelilingnya telah pun diletakkan di bawah perintah sama sebelum ini, bermula Napoh, Hosba, Padang Sanai pertengahan Julai lalu, sebelum merebak ke Baling, Sungai Petani dan Kuala Sanglang, malah melarat hingga ke Perlis dan Pulau Pinang.

Melihat pada kes tidak patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) menangani Covid-19, tidak mustahil akan ada lagi kawasan diletakkan di bawah Temco. Ramai sudah alpa dunia masih tercari-cari vaksin untuk pandemik itu. Mereka juga lupa perang melawan Covid-19 belum berakhir.

Setiap hari lebih 100 orang ditahan pihak berkuasa di seluruh negara kerana tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk berhibur di kelab malam dan ada juga yang lari dari pusat kuarantin.

Semuanya kerana sikap degil, sombong bodoh dan berasa kebal Covid-19

Kes positif Covid-19 global kini mencecah 28 juta orang dengan kes harian sekitar 287,000 manakala kematian dilaporkan 908,000 kes.

Memang pelbagai masalah timbul dan ramai terjejas apabila Temco dilaksanakan. Banyak urusan tertangguh dan paling dibimbangi kehilangan sumber pendapatan kerana sesetengah syarikat terganggu operasi perniagaannya.

Mahu tidak mahu semua pihak kena akur nasihat pakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal, basuh tangan selalu dan elak tempat sesak .

Sementara menunggu syarikat farmasi menghasilkan vaksin, meminjam kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah: “Kitalah vaksin itu dan kitalah yang menentukan penularan Covid-19 dapat dihentikan.”

PRN Sabah sentiasa berwarna-warni

 

Oleh AZNAN BAKAR

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah tidak pernah tidak mendapat tumpuan. Ini sentiasa penuh dengan warna-warni dan sukar untuk diramal.

Bermula daripada pengumuman calon, membawa kepada proses penamaan calon semalam, pelbagai kejutan berlaku. Ada saja perkara yang tidak dijangka.

Komitmen daripada parti yang akan bertanding untuk memastikan hanya pertandingan dua penjuru antara Warisan Plus dan Perikatan Nasional (PN) langsung tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya semua 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN kali ini menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru.

Yang lebih menarik ialah ada dua DUN yang menyaksikan pertandingan 10 dan 11 penjuru. Bayangkan bagaimana para pengundi akan membuat pilihan.

Pertandingan 11 penjuru berlaku di DUN Bengkoka di Pitas, sementara 10 penjuru di DUN Inanam.

Secara keseluruhannya sebanyak 447 calon daripada 16 parti disahkan akan bertanding dalam PRN Sabah pada 26 September ini. Jika dikira secara purata sebanyak enam calon bertanding di satu DUN.

Hanya satu parti, iaitu Parti Cinta Sabah (PCS) yang meletakkan calon di semua 73 DUN.

Menurut data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada PRN kali ini calon paling muda berusia 22 tahun. Sementara calon paling tua pula berusia 75 tahun.

Pertembungan antara anak beranak dan saudara mara turut mewarnai PRN Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dicabar oleh anak saudaranya, Norazman Utoh Nain dari PN di DUN Senallang.

Ini bukan kali pertama Mohd. Shafie ‘berentap’ dengan ahli keluarga sendiri’ kerana beliau pernah berdepan pertarungan satu lawan satu dengan sepupunya Datuk Seri Nasir Tun Sakaran (BN) di kawasan sama semasa pilihan raya umum lepas.

Satu lagi pertembungan membabitkan ahli keluarga ialah DUN Sulaman iaitu Pengerusi Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor juga dicabar oleh anak saudara iaitu Datuk Aliasgar@Ali Ashgar Basri daripada Warisan.

Itu antara warna-warni PRN Sabah termasuk ketiadaan calon Pas yang merupakan sekutu dalam PN.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia

Veveonah, internet dan Rom


Tragedi Beirut: Bila peraturan diambil enteng

Oleh Dr Faizuan Abdullah

TARIKH 4 Ogos lalu pastinya kekal menjadi ingatan penduduk Lubnan khususnya di Beirut berikutan insiden letupan berskala besar membabitkan lebih 2,700 tan bahan kimia ammonium nitrat.

Anggaran kekuatannya adalah bersamaan letupan daripada 1,500 tan TNT yang turut mengingatkan kita kepada peristiwa pengeboman di Hiroshima.

Malah, tragedi di sebuah pelabuhan Beirut itu direkodkan beberapa pakar dari University of Sheffield, United Kingdom sebagai antara letupan bukan nuklear yang paling besar dalam sejarah.

Agensi Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula melaporkan letupan itu menghasilkan gegaran kuat bermagnitud 3.3 skala Richter yang meninggalkan kawah sedalam 43 meter.

Lebih menyedihkan, letupan itu memberi kesan buruk terhadap penduduknya apabila lebih 220 terkorban, ribuan mangsa cedera, manakala ramai lagi individu belum dijumpai.

Tragedi ini adalah krisis terburuk sejak perang saudara yang meletus di Lubnan sebelum ini.

Impak serius daripada segi ekonomi dan krisis kemanusiaan dijangka mula menyelubungi Lubnan dalam tempoh terdekat.

Tentunya peristiwa ini perlu diambil pengajaran termasuk aspek keselamatan pengurusan bahan kimia.

Mengikut rekod, ammonium nitrat digunakan secara meluas sebagai bahan asas dalam industri pertanian seperti dalam pembuatan baja dan digunakan sebagai peledak lombong.

Ini bukan kali pertama tragedi letupan berpunca daripada stor penyimpanan ammonium nitrat.

Pada 2015, letupan di Tianjin, China mengorbankan 165 nyawa.

Manakala, letupan di Ryongchon Korea Utara pada 2004 yang mengorbankan 160 nyawa.

Sebelum itu, berlaku letupan di Galveston Bay, Texas Amerika Syarikat pada 1947 yang mengorbankan 581 nyawa serta letupan di Oppau Jerman pada 1912 mengorbankan hampir 600 nyawa.

Semuanya berpunca daripada sumber bahan kimia sama iaitu ammonia nitrat.

Pihak berkuasa tempatan dan pakar antarabangsa masih berdebat berkaitan punca letupan besar di Beirut.

Terdapat pelbagai kemungkinan yang membolehkan keseluruhan ammonium nitrat yang tersimpan di pelabuhan itu meledak, termasuk dakwaan kononnya berlaku kebakaran kawasan stor berhampiran yang menyimpan mercun.

Terdapat juga dakwaan letupan itu berpunca daripada tindakan sabotaj serta dilakukan pengganas.

Daripada laporan awal yang diterima, tragedi ini berkemungkinan berlaku berpunca daripada pengurusan penyimpanan bahan kimia berbahaya yang tidak mengikut piawaian dan mengabaikan langkah perlindungan keselamatan.

Di Beirut, ribuan tan ammonium nitrat disimpan sejak 2013 yang dikeluarkan daripada sebuah kapal yang mengalami masalah.

Bahan itu tersadai di pelabuhan Beirut dalam jangka lama.

Justeru, pelbagai perkara boleh berlaku terhadap bahan berbahaya itu termasuk bertindak balas dengan bahan lain dan potensi berlaku kebocoran tangki atau bekas penyimpanan.

Dalam konteks pengurusan, setiap bahan kimia mempunyai kaedah khas yang dikhususkan dalam setiap proses pembungkusan, pengangkutan dan penyimpanan.

Terdapat juga kaedah kawalan keselamatan dan kaedah rawatan sekiranya berlaku kemalangan yang membabitkan bahan kimia itu.

Data setiap bahan kimia berkenaan seperti komposisi, kestabilan dan kereaktifan terkandung dalam rekod safety data sheet (SDS).

Secara umumnya, ada banyak peraturan dan piawaian yang dijadikan praktis di seluruh dunia dalam memastikan keselamatan pengurusan bahan kimia berbahaya.

Bagi industri perkapalan iaitu pengangkutan air terbesar yang membabitkan pelabuhan, kandungan barangan yang diangkut kapal kargo perlu mematuhi kod IMDG iaitu International Maritime Dangerous Good.

Barangan yang diangkut menggunakan kapal yang tidak mematuhi kod IMDG tidak dibenarkan untuk diturunkan dari kapal dan perlu disimpan atas kapal sahaja (stowed on deck).

Bagi ammonium nitrat, ia adalah bahan yang dikawal di bawah kod IMDG.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang berpangkalan di Geneva juga mengeluarkan garis panduan bagi keselamatan pelabuhan yang dipanggil sebagai Safety and Health in Ports, ILO Code of Practice.

Setiap pelabuhan juga mempunyai peraturan keselamatan tersendiri yang perlu diguna pakai.

Berdasarkan kod UN NO 0222 di bawah IMDG, ammonium nitrat tidak boleh diturunkan dari kapal jika ammonium nitrat yang dibawa mengandungi lebih daripada 0.2 peratus jisim bahan mudah terbakar, termasuk sebarang bahan organik yang dikira dan lain-lain.

Manakala larutan ammonium nitrat yang pekat dan panas juga tidak dibenarkan mengikut kod UN NO 2426.

Bagi industri penerbangan terutama membabitkan kargo, peraturan yang membabitkan bahan kimia berbahaya terkandung jelas dalam International Civil Aviation Organization (ICAO) Dangerous Good and Prohibited Items dan dalam Dangerous Good Regulations di bawah International Air Transport Association (IATA).

Bagi penggunaan bahan kimia di industri, peraturan Control of Industrial Major Incident Hazards (CIMAH) perlu dipatuhi.

Di Malaysia, CIMAH dikuatkuasa dan dipantau Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Peraturan ini turut memberikan panduan kepada pengilang industri membabitkan pemprosesan, penggunaan, pengeluaran atau penyimpanan bahan berbahaya jika membabitkan kuantiti melebihi jumlah yang dibenarkan.

Selain itu, JKKP juga mengeluarkan garis panduan dan peraturan berkaitan penyimpanan bahan kimia merbahaya dalam gudang atau dikenali sebagai Guidelines On Storage of Hazardous Chemicals: A Guide For Safe Warehousing Of Packaged Hazardous Chemicals yang digazetkan pada 2005.

Harus diingatkan, bukan hanya mereka yang berada dalam industri, tempat kerja, pelabuhan dan pengangkutan udara yang perlu menguruskan bahan kimia berbahaya dengan betul.

Kita di rumah juga seharusnya mengamalkan prosedur keselamatan.

Contohnya, penyembur aerosol (pembunuh nyamuk dan cat) tidak boleh diletakkan berhampiran sumber api seperti dapur kerana ia akan menyebabkan letupan dan kebakaran di rumah.

Tuntasnya, undang-undang dan peraturan khas bagi pengurusan bahan kimia berbahaya sudah lengkap dan tersusun rapi.

Bagaimanapun, pematuhan dan juga penguatkuasaan berkesan perlu diperkasakan.

Jika semua pihak mengambil berat terhadap perkara ini bermula awal dan masing-masing tidak bersikap lepas tangan, tragedi sebesar letupan di Beirut mungkin boleh dielak dari awal.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Jawapannya meter pintar

MALAYSIA kini berdepan dengan situasi yang tidak pernah dialami dalam sejarah negara.

Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seluruh rakyat bersatu hati dan berusaha membantu mencegah penyebaran Covid-19 dengan duduk di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial menurut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara dan global.

PKP menyaksikan syarikat perniagaan merombak cara kerja dan beralih kepada kerja dari rumah, dengan melaksanakan rancangan kesinambungan demi meneruskan operasi perniagaan untuk terus berkhidmat kepada pelanggan.

Kesannya peningkatan penggunaan dan kebergantungan kepada teknologi sebagai alat untuk berkomunikasi, menguruskan organisasi dan menjalankan perniagaan secara umumnya. Teknologi dan daya hubungan yang disediakan tidak pernah kita hargai seperti pada hari ini.


Kemudahan ini membolehkan kita bukan saja untuk terus bekerja dan mencari nafkah, tetapi juga cara yang penting untuk terus mendapatkan maklumat dan berhubung dengan orang tersayang, memastikan fikiran kita waras dan tenang dalam suasana yang amat mencabar ini.

Sesungguhnya usaha mengekalkan kehidupan biasa dan kestabilan sangat penting pada ketika ini – dan faktor penyokong utama ialah bekalan elektrik.

Kebanyakan kita dilahirkan dalam kehidupan yang tidak asing dengan peralatan elektrik yang dipacu oleh bekalan tenaga stabil.

Kita sudah biasa dengan kewujudannya, sambil ia menerangi rumah dan jalan raya, menghidupkan peralatan kita, daripada komputer meja dan riba yang kita gunakan hari ini untuk bekerja dan belajar dari rumah kepada telefon untuk kekal terhubung dengan orang tersayang.

Di samping itu, terdapat pelbagai peranti lain (sistem keselamatan, penyaman udara dan banyak lagi) yang memberi kita kemudahan dan keselesaan yang kita perlukan untuk tidur nyenyak pada waktu malam.

Tenaga elektrik sentiasa menemani kita dan akan terus memainkan peranan lebih penting dan ketara sambil kita mengorak langkah ke hadapan selepas krisis untuk menyokong dan memulihkan ekonomi.

Selain perkhidmatan pertahanan dan profesional perubatan di barisan hadapan, jurutera dan juruteknik juga bekerja keras untuk memastikan bekalan dan pengedaran elektrik negara kekal stabil sepanjang tempoh PKP.

Tugas mereka penting untuk memastikan hospital terus mendapatkan bekalan elektrik supaya pesakit diberikan perhatian rapi.

Pihak polis dan angkatan tentera mendapat bekalan elektrik untuk menerangi lebih 120 pondok keselamatan sementara di serata negara bagi memastikan wira-wira kita bekerja dengan selamat sambil melindungi keselamatan negara dan rakyat.

Bekalan elektrik dan amanah yang digalas penyedia perkhidmatan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity (SESB) memastikan kita boleh hidup secara normal di rumah kerana tanpa bekalan elektrik, tiada manfaat yang boleh diperoleh daripada kemajuan teknologi yang dicapai selama ini.
Namun, penggunaan elektrik di rumah sudah meningkat dengan ketara akibat PKP.

Hakikat ini diperakui TNB dan kerajaan yang menawarkan diskaun bagi meringankan beban orang ramai sambil mereka kekal duduk di rumah dengan selamat.

Hakikatnya, orang ramai perlu diingatkan supaya peka terhadap penggunaan tenaga kerana bekalan elektrik kita diedarkan di seluruh negara menerusi rangkaian rumit dan tersusun rapi dikendalikan TNB.

Penyenggaraan rangkaian tenaga ini penting untuk memastikan gangguan bekalan tidak berlaku terutama di kawasan yang menempatkan hospital dan perkhidmatan asas lain.
Kestabilan elektrik teramat penting, lebih-lebih lagi pada waktu krisis demi kemandirian ekonomi dan rakyatnya.

Selaku pengguna, kita boleh membantu sektor tenaga menjamin kestabilan dengan mempertimbangkan tahap penggunaan tenaga kita sendiri.

Untuk tujuan ini, rumah yang menggunakan teknologi smart meter (meter pintar) mempunyai kelebihan memantau tahap penggunaan tenaga secara harian kerana mereka dapat menjejak penggunaan menggunakan aplikasi myTNB.

Pengguna yang tidak memiliki meter pintar juga boleh menjejak penggunaan tenaga masing-masing menggunakan aplikasi, tetapi hanya secara bulanan.

Selain menggalakkan pengguna meter pintar menggunakan tenaga secara lebih cekap, aplikasi ini juga membantu menjimatkan tenaga yang seterusnya boleh disalurkan kepada kumpulan yang lebih memerlukan terutama dalam sektor penjagaan kesihatan yang bergantung kepada tenaga elektrik untuk merawat pesakit.

Tambahan lagi, mereka yang mempunyai meter pintar mendapat manfaat tambahan tidak memerlukan pembaca meter datang mengambil bacaan meter.

Sebaliknya meter boleh dibaca secara jarak jauh, bil diberikan tepat pada masanya dan pengguna bukan saja boleh menyemak penggunaan harian, tetapi juga membayar bil dalam talian untuk memudahkan hidup mereka.

Dengan kata lain, penjarakan sosial dapat diamalkan.

Walaupun bekalan tenaga kita boleh ditampung pada hari ini, penggunaan bekalan elektrik yang semakin meningkat memerlukan cara yang lebih cekap untuk menguruskan penggunaannya. Dalam hal ini, kita sebagai pengguna bekalan elektrik harian boleh memainkan peranan penting dalam pengurusan tenaga kerana kita sebenarnya boleh mengawal permintaan tenaga.

Dengan menggunakan meter pintar, kita boleh mengatasi segala cabaran menguruskan penggunaan elektrik dengan lebih mudah.

Ia juga menjadi asas bagi penciptaan grid pintar yang akan menambah baik pengedaran bekalan elektrik di seluruh negara.

Dengan memanfaatkan teknologi IoT, komunikasi antara kawasan yang memerlukan bekalan elektrik dan kawasan yang tidak memerlukannya akan membolehkan TNB menguruskan pengagihan elektrik dan mengurangkan pembaziran.

Tindak balas lebih pantas boleh diberikan terhadap sebarang bentuk isu, lantas menambah baik kehidupan dan merintis jalan bagi Kehidupan Pintar dan Bandaraya Pintar.

Meter pintar adalah sebahagian daripada perjalanan negara kita ke arah proses pendigitalan, satu konsep yang sangat munasabah dan diterima pakai dalam dunia hari ini berbanding masa lalu sambil kita bekerja dan berhubung dari rumah.

Kita perlu ingat pendigitalan bukan saja berkaitan dengan peranti mahupun perisian yang kita gunakan dalam peranti berkenaan, tetapi lebih daripada itu ia meliputi manfaat teknologi yang mengubah cara hidup kita.

Tempoh mencabar ini seharusnya dijadikan pengajaran dan peringatan berkaitan betapa pentingnya tenaga elektrik dalam kehidupan kita dan mengapa perlu menaik taraf alat yang kita gunakan untuk memantau penggunaan elektrik dalam usaha meneroka segala kemungkinan untuk merangka masa depan yang lebih cerah dan lebih baik.

Muafakat tangani impak sosioekonomi pasca pandemik

Oleh Prof Dr Ismail Omar

Wabak COVID-19 menjadi sejarah hitam dalam tamadun dunia moden. Syukur, Malaysia antara negara yang berjaya memerangi wabak ini dengan cemerlang.

Namun, apa yang berlaku tentu ada hikmahnya. Antara pengajaran boleh diambil adalah penjagaan kebersihan dalam kalangan rakyat. Walaupun, kebersihan sering kali diberi peringatan, sering kali juga ia dilupai.



Kita selalu diperingatkan bahaya kekotoran, pada masa sama juga kita dapati sampah dibuang di merata tempat. Jadi, usaha mengekang wabak COVID-19 perlu dilakukan berterusan.

Tidak mustahil kluster baharu akan muncul bila-bila masa jika kesedaran dan langkah berjaga-jaga tidak diambil mengikut kesesuaian.

Selain mempertingkat kesedaran rakyat mengenai bahaya penularan wabak, menyediakan kemudahan berkaitan bagi memeranginya dan meningkatkan tenaga mahir yang berkaitan (terutama di barisan hadapan), usaha memulihkan impak wabak COVID-19 terutama sekali terhadap kesan sosio-ekonomi juga perlu diberi keutamaan.

Usaha kerajaan menangani impak COVID-19 amat dihargai. Namun, masih banyak ruang dan peluang boleh diusahakan. Asasnya adalah rakyat perlu bekerjasama.
Menurut pandangan beberapa pakar hartanah, berlaku kejatuhan pasaran hartanah antara 60 hingga 90 peratus mengikut jenis hartanah dan lokasi yang berkenaan.
Oleh itu, kajian mengenai impak COVID-19 perlu dilakukan lebih mendalam. Daripada dapatan kajian ini, langkah mitigasi boleh dilakukan sekiranya impak berkenaan negatif dan boleh ditingkatkan sekiranya impak positif.
Sebenarnya, usaha menangani impak COVID-19 melalui kajian mendalam dijalankan begitu agresif di luar negara. Di United Kingdom, undang-undang berkaitan bagi mencegah penularan COVID-19 digubal yang dinamai Akta Coronavirus 2020 yang menguatkuasakan garis panduan untuk menangani impak COVID-19 berkenaan isu komersial dan perundangan.
Di Amerika Syarikat pula, Akta Bantuan Coronavirus, Relief dan Sekuriti Ekonomi diluluskan baru-baru ini. Begitu juga di Australia dan Kanada. Barangkali di negara kita, satu garis panduan khusus sudah mencukupi bagi menangani penularan wabak berkenaan.
Namun, terdapat beberapa agensi ke hadapan dalam usaha menangani penularan wabak ini di negara kita. Pujian patut diberikan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang menawarkan bantuan dan dana kewangan untuk pensyarah serta penyelidik mengemukakan cadangan bagi menangani penularan wabak pasca COVID-19.
Begitu juga pihak British Council di Kuala Lumpur yang menawarkan peluang dan bantuan penajaan kewangan untuk menjalankan kajian pasca COVID-19 dengan bantuan agensi dan universiti di United Kingdom. Usaha sama digerakkan pusat kajian di seluruh dunia, termasuk dari Korea Selatan, Jepun dan sebagainya.
Namun, rakyat percaya masih banyak ruang dan peluang terbuka luas terutama daripada pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang boleh menghulur bantuan dalam menjayakan program pasca COVID-19.

Dalam konteks ini, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), bank dan agensi berkaitan keagamaan boleh menawarkan bantuan untuk menjalankan penyelidikan berkaitan filantropi dan usaha keagamaan seperti menangani wabak COVID-19 melalui cara wakaf, sedekah dan infak.

Begitu juga Lembaga Penyatuan Tanah Persekutuan atau FELDA yang boleh menawarkan bantuan dana untuk penyelidikan berkaitan cara mengoptimum penggunaan tanah bagi mengeluarkan hasil pertanian dan seterusnya mengurangkan kos mengimport makanan serta menurunkan harga barang makanan di pasaran.

Tidak kurang juga GLC berkaitan pertanian, penternakan dan pertanian yang boleh melakukan usaha serupa. Syarikat Perumahan Negara pula boleh bekerjasama dengan pemaju hartanah swasta seperti Persatuan Pemaju dan Hartanah Malaysia (REHDA) dan agensi kerajaan berkaitan seperti Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) bagi menjalankan kajian berkaitan tekanan terhadap pemilikan rumah mampu milik, pola pasaran hartanah akibat impak COVID-19 dan sebagainya.

Pihak swasta sudah tentu mampu dan sanggup menghulur bantuan demi kebaikan bersama.

Sesungguhnya, bantuan dihulurkan bukan semata-mata dalam bentuk kewangan, malah buah fikiran, keringat dan tenaga empat kerat, strategi melawan wabak berkenaan dan usaha boleh dihulur bagi membentuk polisi dan peraturan yang berkaitan.

Apabila semua pihak bekerjasama, usaha ini dapat dilakukan dengan baik. Kata orang sesungguhnya sepakat membawa berkat, muafakat memperkasa darjat dan bersekutu bertambah mutu, baharulah kejayaan untuk mengekang wabak berkenaan membuahkan hasil.

Ringkasnya, bantuan dalam pelbagai cara patut dihulur untuk memulihkan impak negatif daripada penularan wabak pasca COVID-19.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Dron merevolusikan pertanian

Oleh Nurafifah Mohammad Suhaimi

Penggunaan teknologi dron dalam sektor pertanian semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan petani moden.

Teknologi ini penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi pertanian mapan untuk merealisasikan salah satu matlamat pembangunan negara, iaitu meningkatkan status pendapatan petani, nelayan, penternak dan usahawan tani.

Hal itu turut ditekankan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang menyatakan kerajaan sentiasa berusaha memperluaskan inovasi dan penggunaan teknologi baharu bagi memperkasa serta meningkatkan produktiviti sektor pertanian, sekali gus meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara.

Bukan itu sahaja, dengan permintaan global yang dijangka tumbuh hampir 50 peratus dalam tempoh 40 tahun akan datang, persoalan sering timbul adalah bagaimana untuk menghasilkan makanan cukup bagi menjamin kelangsungan kehidupan manusia.

Kini, jumlah penduduk global kian bertambah, tetapi apa merisaukan perubahan iklim global semakin ekstrem. Ini memberi impak besar terhadap sektor pertanian kerana ia akan menjejaskan hasil pengeluaran pertanian negara.

Di sini teknologi dron dapat memodenkan industri pertanian supaya memenuhi permintaan masa depan. Dron digunakan secara meluas dalam banyak bidang seperti tentera, operasi mencari dan menyelamat, pemantauan lalu lintas serta pertanian.

Dalam sektor pertanian, dron digunakan sebagai kaedah pertanian ketepatan
-
bagi meningkatkan hasil dan keuntungan tanaman, pada masa sama, mengurangkan jumlah input diperlukan untuk penanaman seperti tanah, air, baja dan herbisida atau racun herba.

Dengan kata lain, dron membantu petani memastikan teknik pertanian yang tepat digunakan dan membantu mereka membuat keputusan jitu mengenai tanaman mereka.

Seperti kita maklum, hasil pertanian bergantung kepada beberapa faktor yang tidak dapat dikawal petani. Antaranya akses air, perubahan iklim, angin, kualiti dan kelembapan tanah, kejadian rumpai dan serangga serta musim pertumbuhan tidak konsisten.

Oleh itu, bagi mengatasi masalah, petani digalakkan mengaplikasi teknologi dron dalam kaedah pertanian.

Namun, bagaimanakah dron dapat membantu sektor pertanian?

Dron membantu petani sebelum musim penanaman bermula menganalisis keadaan ladang. Teknologi ini berupaya memetakan keadaan ladang dalam bentuk imej tiga dimensi (3D) dan menunjukkan kawasan bermasalah.

Hasil analisis dapat digunakan untuk menentukan pola maksimum penanaman benih. Kini, petani bukan sahaja dapat menjimatkan masa, malah meningkatkan hasil tanaman.

Melalui imej ini juga, pengiraan tanaman dan pengesanan kemunculan tanaman baharu dapat dilakukan. Tugas ini dikenali sebagai analitik tanaman dapat mengenal pasti berapa banyak benih bercambah. Maklumat ini sangat berguna untuk menentukan sama ada benih perlu disemai semula atau tidak.

Selain itu, kaedah penyemburan racun boleh dilakukan dron yang dapat mengurangkan risiko manusia dengan bahan kimia, racun perosak dan baja berbahaya. Dron juga dapat menentukan jumlah optimum bahan semburan diperlukan serta memastikan semburan dibuat secara rata pada tanaman.

Di Kedah, proses menyembur racun menggunakan dron dan teknik Ultra Low Volume (ULV), iaitu penyemburan halus secara kabus memudahkan penyerapan cairan ke dalam tanaman padi. Ketika proses semburan dilakukan, tekanan kipas dron akan menghasilkan aliran angin ke bawah dan membuka pokok padi supaya bahan kimia sampai ke pangkal tumbuhan.

Bukan sahaja dapat mengeluarkan hasil tanaman lebih baik, malah dapat menjimatkan masa petani. Ini juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak muda.

Dron juga dapat mengesan tanaman dijangkiti penyakit 10 hari lebih awal sebelum dapat dilihat dengan mata kasar menggunakan kamera inframerah. Kewujudan kamera ini pada dron membolehkan petani melihat kehadiran atau ketiadaan kulat dan bakteria dalam tumbuhan.

Dengan cara ini, petani boleh mengetahui sebarang jangkitan pada tanaman dengan lebih cepat dan segera menyelesaikannya, sebelum ia menjangkiti tanaman lain.

Kesimpulannya, teknologi dron memberi penyelesaian segera untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti tanaman. Kewujudannya membuktikan teknologi tidak perlu dikhuatiri untuk digunakan.

Penulis adalah Pembantu Penyelidik di EMIR Research

Subur semangat patriotisme dalam jiwa rakyat

Oleh Dr Ghazali Din

Kemerdekaan membawa konotasi kebebasan daripada belenggu penjajahan. Tarikh 31 Ogos 1957 dianggap sangat bersejarah dan membahagiakan seluruh rakyat negara ini ketika itu. Sambutan ulang tahun kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang disambut lagi tahun ini dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih’ dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini di Melaka.

Apapun cabaran yang mendatang, kita seharusnya berbangga dan bersyukur hidup di bumi bertuah Malaysia ini. Tidak sedikit keringat rakyat pelbagai bangsa dan keturunan mengerah kudrat untuk melihat negara ini dipacu dan dimajukan dengan harmoni.

Kita berharap agar nasib negara ini tidak menjadi seperti sesetengah negara di Asia Barat yang hancur dan rakyatnya menderita di bumi sendiri lantaran ketidakupayaan mempertahankan kedaulatan dan kestabilan negara.

Sebagai rakyat, rasa kesetiaan, kecintaan dan bersyukur dengan apa yang dinikmati bukan suatu kerugian, sebaliknya manifestasi kepada wajah dan keperibadian kita terhadap negara. Semangat patriotisme, seharusnya dipupuk sejak tadika, sekolah berterusan ke peringkat universiti sehingga menjangkau usia warga emas.

Walaupun apa bangsa dan keturunan sekalipun, kesetiaan kepada raja dan negara kelahiran adalah benteng pegangan kita yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan negara, Keluhuran perlembagaan, Kedaulatan undang-undang, Kesopanan dan kesusilaan.

Kita bersyukur kerana negara ini mengamalkan prinsip dan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Institusi diraja dipertahankan sekian lama. Rakyat pula berpeluang bersuara dan memberi pandangan, malah menentukan pentadbiran negara menerusi kuasa undi pilihan raya umum atau kecil. Pola pemikiran rakyat juga berubah dan media sosial mendominasi komunikasi seharian.

Ketika zaman remaja, keluarga penulis sendiri memiliki sahabat dan jiran India dan Cina yang akrab bagaikan saudara sendiri. Antara watak yang hadir dalam kehidupan ialah Ah Seng, Raja, Letchumi, Guan Hong, Ogiak (Cina), Kecik (tukang gunting rambut India) dan Ah Kuang (pengusaha kedai kopi).

Kami menjalani kehidupan di kampung tanpa rasa curiga dan mereka sangat menghormati masyarakat Islam. Ketika belajar di Sekolah Menengah Keat Hwa, Alor Setar, selama lima tahun, penulis berpeluang mempelajari tulisan Cina. Ia bukan suatu masalah, malah menyeronokkan. Begitu juga dengan tulisan khat dan Jawi – warisan kemelayuan.

Memperkenalkannya bererti memberi peluang kepada semua murid menikmati seninya, mempelajarinya dan menghayati keunikan aksara itu.

Penulis berpendapat, semangat patriotisme seharusnya tidak disemarakkan hanya pada bulan kemerdekaan. Lagu-lagu patriotik perlu dikumandangkan setiap hari oleh media elektronik. Maka, setiap hari rakyat Malaysia akan menghayati dengan perasaan mereka semangat cintakan negara.

Kewujudan, sumbangan dan peranannya harus dijiwai seluruh rakyat Malaysia. Kementerian Pendidikan (KPM) menjayakan Kembara Siswa Patriotik serta Sistem Penilaian Indeks Patriotisme dan Perpaduan Nasional (iPPN) dalam kalangan mahasiswa universiti awam. Institusi pengajian tinggi swasta juga menjayakan pelbagai aktiviti berteraskan semangat patriotisme.

Sejak 1987 sehingga kini, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Nasional (GAPENA) menjayakan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan sebagai pendekatan menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan di setiap negeri. Malaysia negara unik. Rakyatnya pelbagai bangsa dan etnik.

Kepelbagaian budaya dan keturunan ini mewarnai perpaduan. Perbezaan harus diraikan. Bukan menjadi titik kepada perselisihan. Walaupun pemikiran rasis masih membayangi pemikiran rakyat negara ini, namun dalam kebanyakan hal kehidupan, kita masih menerima kebersamaan untuk hidup saling menghormati.

Falsafahnya mudah – menyanjung bahasa kebangsaan. Alangkah indahnya, jika seawal sekolah rendah lagi murid semua kaum disatukan tanpa mengira kaum di sebuah sekolah. Kelihatan sukar dizahirkan, namun atas prinsip perpaduan, kebersamaan dan keunikan mengapa tidak.

Ia menjadi institusi yang mendidik makna perpaduan. Tiada halangan mempelajari bahasa ibunda, dan bahasa Inggeris. Namun, bahasa Melayu harus dijulang kerana ia bahasa kebangsaan. Semangat patriotisme perlu dimekarkan sepanjang zaman sebagai tanda kesetiaan kita kepada negara tercinta.

Setiap rakyat yang bernama Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik perlu menginsafi nikmat rezeki dan kebahagiaan hidup di negara ini. Ibarat kata, lautan mana tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Malaysia ibarat sebuah lukisan - rakyat itu seniman yang melukiskannya. Sayangilah negara kita.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER