Cerita manusia disambar petir ketika berada di kawasan lapang, atau
sedang memancing bukan
perkara baharu dan memeranjatkan. Mangsa
biasanya mati di tempat kejadian
Baru-baru ini lain pula ceritanya apabila empat mangsa terkorban
apabila sebuah pesawat ringan terhempas lalu terbakar di sebuah pantai
di timur Indonesia, selepas dipanah petir.
Pesawat dua enjin, Piper Seneca itu, sedang dalam perjalanan dari
timur wilayah Papua ke bandar Tual di Kepulauan Maluku apabila ia
terperangkap dalam ribut pada waktu tengah hari.
Di negara kita pada Januari lalu, dalam satu kejadian di Alor Gajah
Melaka pula, sebanyak 22 ekor lembu ditemui mati bergelimpangan dalam
kandang akibat disambar petir membabitkan kerugian RM45,000.
Isu pokok yang ingin dibincangkan ialah bukan cerita mengenai
kerugian tetapi bagaimana petir menjadikan objek yang bukan kecil
sebagai mangsa. Manusia, haiwan dan objek yang sedang terbang
ketiga-tiganya menjadi mangsa.
Berbeza dengan ketiga-tiga mangsa tersebut, objek atau struktur
yang perlu diberi perhatian ialah bangunan yang kekal pada satu-satu
kedudukan tidak bergerak yang sering menjadi sasaran panahan petir.
Seorang pengkaji petir tempatan, Hartono Zainal Abidin berkata, petir
atau kilat adalah fenomena nyahcas elektrik (electrical discharge)
berarus tinggi yang berlaku antara awan dengan awan atau di antara awan
dengan bumi.
Katanya, laluan kilat berukuran antara beberapa kilometer (kilat awan ke bumi) hingga beratus kilometer (kilat awan ke awan).
“Kilat terdiri daripada cas positif atau cas negatif. yang mana
setiap kilat, awan ke bumi terdiri daripada satu hingga dua dozen lejang
(strokes).
“Kilat boleh menyambar sejauh 20 kilometer (km) dari awan yang
mengakibatkan fenomena bernama kilat langit biru atau
bolt-from-the-blue" ujarnya.
Beliau berkata, sekiranya seseorang yang berdiri di tengah padang,
individu terbabit adalah sasaran yang berisiko tinggi untuk disambar
kilat. Sekiranya ada kilat di kawasan berdekatan, individu terbabit
mungkin akan memintas lejang kilat dan menjadi mangsa penahan kilat.
“Dalam keadaan seperti ini, seseorang mesti mencari tempat
perlindungan yang besar dan kukuh apabila mendengar guruh atau melihat
awan hitam yang berdekatan," ujarnya.
Bagaimanapun insiden manusia disambar kilat atau petir sering menjadi
isu tetapi menurut Hartono, semenjak memulakan kajian pada tahun 1985,
beliau telah mengumpul beberapa insiden yang membahayakan penghuni
dalam bangunan.
Oleh itu, beliau banyak memerhati insiden berkaitan kilat dan
menjalankan penyelidikan berkaitan serangga kilat ke atas bangunan yang
boleh disifatkan sebagai perlu diberi perhatian. Malah, katanya, insiden
yang melibatkan bangunan besar pun pernah dilaporkan.
“Malah pada tahun 1990, sebuah dewan latihan tentera di negara ini
telah disambar kilat yang mengakibatkan kematian seorang askar dan
mencederakan berpuluh yang lain," ujarnya.
Sehubungan itu kata beliau, sesiapa yang mengatakan bahawa 'tidak ada
insiden kilat menyambar bangunan hingga membahayakan penghuni' telah
membuat satu kesilapan yang besar.
Ini kerana kata Hartono, individu terbabit mungkin baru saja membuat
kajian dalam bidang tersebut dan dia mungkin belum terserempak dengan
insiden yang mencederakan atau mengorbankan penghuni bangunan.
Menurut Hartono, sebagai perbandingan kekuatan kilat adalah di antara
2,000A (ampere) hingga 250,000A berbanding cerek elektrik yang diguna
di rumah biasanya menggunakan sebanyak 10A sahaja.
Berdasarkan kajiannya, ancaman kilat terhadap bangunan adalah amat
serius. memandangkan negara ini terletak dalam kawasan kepadatan kilat
yang amat tinggi (very high lightning flash density zone).
Menurut beliau, tahap kerosakan yang dialami oleh bangunan bergantung
pada kekuatan kilat yang dipintas dan bahan binaan pada bahagian yang
rosak.
Sebagai contoh, bahagian bangunan yang mengguna batu bata sahaja
boleh mengalami kerosakan lebih teruk berbanding bahagian yang mengguna
konkrit dan tetulang besi.
Menurut Hartono lagi, jumlah bangunan rosak akibat disambar kilat di Kuala Lumpur adalah yang tertinggi di dunia.
Ini berlaku kerana penggunaan meluas rod kilat yang digunakan sebelum
ini, iaitu pelepasan penjurus awal (ESE) tidak langsung melindungi
bucu bangunan daripada disambar kilat.
Hartono berkata, sejak tahun 1995, kajian bergambar yang beliau
hasilkan mengenai kerosakan bangunan akibat disambar kilat di negara ini
telah dijadikan asas untuk beberapa organisasi menyemak semula piawaian
sistem perlindungan kilat.
Sistem piawaian tersebut termasuk,Standards Australia, Persatuan
Perlindungan Kilat Kebangsaan (NFPA), IEC, National Standards of
Colombia serta Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Menghuraikan lebih lanjut, Hartono berkata, sistem perlindungan
kilat berdasarkan konsep, iaitu apabila setiap kali lejang kilat
(lightning stroke) memasuki kawasan yang perlu dilindungi, ia akan
dipintas oleh sistem itu dan melencongkannya ke bumi melalui laluan yang
selamat.
Beliau berkata, sistem perlindungan kilat terdiri daripada beberapa
rod kilat yang diletak di lokasi yang berisiko tinggi untuk memintas
lejang kilat.
Berdasarkan kajian beliau yang bermula pada 1990-an, kira-kira 90
peratus bangunan di negara ini dipasang dengan sistem perlindungan
kilat yang tidak tidak menepati piawaian.
Sistem perlindungan kilat yang tidak betul terdiri daripada sistem
yang ralat reka bentuknya atau mengguna rod kilat yang tidak terbukti
dari segi saintifik.
Rod kilat yang tidak saintifik termasuk jenis:
Pelepasan penjurus awal-Early Streamer Emission (ESE).
Sistem pemindahan cas-Charge Transfer System (CTS) atau juga dengan nama Dissipation Array System (DAS).
Penghapus kilat semikonduktor -Semiconductor Lightning Eliminator (SLE).
Laporan terkini daripada Majlis Antarabangsa Sistem Eelektrik Besar
(CIGRE) telah memberi asas saintifik yang kukuh mengapa rod kilat jenis
ESE dan yang lain tidak boleh digunakan demi keselamatan umum.
Kajian Hartono telah di sebut sebagai bukti kukuh yang mendedahkan kegagalan rod kilat ESE.
Post a Comment