Oleh Dr Saiful Irwan Zubairi -
HARI Makanan Sedunia digazetkan sejak 1981 oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) sempena kewujudan Pertubuhan Makanan dan Pertanian
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada 16 Oktober 1945.
Tema sambutan tahun ini, 'Pertumbuhan, Penyuburan, Kemampanan Dan
Kebersamaan: Tindakan Kita Penentu Masa Depan' sangat bertepatan dengan
situasi COVID-19. Dalam krisis pandemik global ini, kita perlu kembali
merefleksi bahan asas utama kehidupan yang ramai mengambil mudah, iaitu
sumber kemampanan makanan.
Buat masa ini, tumpuan utama terarah kepada mengiktiraf dan
memberikan sokongan padu kepada wira sektor makanan yang tidak
didendang, iaitu petani, pekebun, peraih, pengusaha dan pengilang
sepanjang rantaian penghasilan produk makanan.
Mereka juga wira, selain barisan hadapan utama sektor kesihatan,
gigih memastikan sumber dan produk makanan terhasil daripada peladangan
kepada pengguna (farm-to-fork) tidak langsung terjejas walaupun ketika
krisis pandemik.
Sumber kemampanan makanan ciri asas terpenting dalam mana-mana
komuniti dan budaya. Pengekalan sumber makanan selamat dan berkhasiat
tetap menjadi misi serta perjuangan utama di semua negara sebagai
sebahagian respon kritikal kepada COVID-19, terutama kepada golongan
miskin dan komuniti pengguna tidak berkemampuan yang paling teruk
terkesan.
Berdasarkan laporan tahunan The State of Food Security and Nutrition
in the World (FAO) pada 2019, lebih 2 bilion manusia, terutama di
negara penduduknya berpendapatan skala rendah dan pertengahan, tidak
mendapat akses penuh sumber serta produk makanan selamat, bernutrisi dan
mencukupi.
Ia diburukkan lagi dengan sumber pendapatan tidak sekata,
menyebabkan kebuluran juga semakin meningkat, sekali gus menjadikan
lebih sukar kepada golongan itu mendapatkan sumber makanan sempurna.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hampir 690 juta
penduduk dunia masih kelaparan pada 2019, iaitu 10 juta lebih
berbanding tahun sebelumnya (1 daripada 9 penduduk dunia didapati tidak
mendapat bekalan makanan mencukupi untuk berada pada tahap sihat).
Kebuluran dan kekurangan zat nutrisi boleh dikategorikan sebagai
penyumbang terbesar masalah kesihatan dunia, iaitu melebihi jumlah
keseluruhan pesakit AIDS, malaria dan tuberculosis (tibi).
Pada beberapa dekad lalu, dunia dilihat berkembang pesat dan maju secara signifikan dalam produktiviti agrikultural.
Walaupun sekarang dunia dilihat menghasilkan sumber makanan
mencukupi bagi menampung penduduknya, secara kolektif sistem kemampanan
sumber itu kini boleh dikategorikan sangat tidak seimbang.
Dengan kewujudan masalah kebuluran, obesiti, kemerosotan/kemusnahan
alam sekitar, kehilangan diversiti agrobiologikal, kerosakan makanan dan
sisa makanan berlebihan serta kekurangan keselamatan terhadap pekerja
dalam sektor rantaian makanan ialah sebahagian isu utama menyumbang
kepada ketidakstabilan sistem kemampanan sumber makanan.
Disebabkan kebanyakan negara sedang kembali membina dan menjalani
pelan pembangunan semula akibat krisis pandemik mengecut, ia memberi
peluang besar dalam memperkenal serta mencuba kaedah penyelesaian
berinovatif bersandarkan kepada penemuan saintifik.
Hal ini supaya pemain utama sektor agrikultural dan pemprosesan
makanan boleh membina serta menambah baik sistem kemampanan sumber
makanan menjadikannya lebih bertahan terhadap sebarang kejutan pandemik
dan ekonomi global.
Oleh itu, semua pihak disaran bersolidariti secara global bagi
membantu semua penduduk dunia, terutama golongan sangat terdedah kepada
ketidakstabilan semasa untuk bersama pulih daripada krisis pandemik dan
kejutan ekonomi.
Ia bertujuan memastikan sistem rantaian makanan lebih berdaya tahan
dan kukuh agar golongan terbabit mampu bertahan daripada sebarang
ketidaktentuan serta kejutan iklim, penyediaan diet sihat mampu milik
dan mampan untuk semua serta kehidupan sempurna kepada pekerja dalam
rantaian sistem makanan.
Semua saranan itu memerlukan skim perlindungan sosial dan pemberian
peluang baharu melalui konsep pendigitalan atau e-dagang agar sistem
rantaian pemprosesan produk makanan dan pengagihannya dapat dilaksanakan
lebih sistematik.
Sektor swasta dan komuniti sivil di seluruh negara disaran
memastikan sistem rantaian sumber makanan kita berkembang ke arah
kepelbagaian jenis makanan bagi menyediakan sumber makanan stabil,
berkualiti, tahan penyakit dan kerosakan.
Kita mesti mengenal pasti kepentingan menjaga sekuriti dan nutrisi
makanan dalam tempoh kesukaran ekonomi. Saranan pelaburan bijak dalam
tempoh itu akan mengurangkan kerentanan ekonomi dan membina kapasiti
pusingan modal baik agar mudah bangun kembali daripada kemelesetan.
Kita perlu lebih berani menangani trend masalah itu seperti
mempertingkatkan kerjasama multisektoral penting membabitkan agrikultur,
makanan, kesihatan, air dan sanitasi serta pendidikan, malah domain
polisi berbeza seperti perlindungan sosial (program pengurangan
kemiskinan tegar dan risiko sosial), perancangan pembangunan dan polisi
ekonomi terarah.
Teknologi digital kunci utama mentransformasi kaedah sesuatu makanan
dihasilkan, diproses, diperdagangkan dan dimakan, selain membina sistem
pemprosesan makanan berdaya tahan serta mantap dari aspek kejuruteraan
dan kualiti produk.
Teknologi digital ini mempunyai potensi tinggi pada era Revolusi
Industri 4.0 (IR4.0) bagi menutup jurang digital antara negara membangun
dengan sedang membangun; kawasan bandar-luar bandar, lelaki-perempuan
dan tua-muda.
Namun, proses pendigitalan agak sukar, tetapi berpotensi besar
dibangunkan bagi lebih 3 bilion penduduk dunia yang masih tidak mendapat
akses internet sempurna yang kebanyakannya tinggal di luar bandar dan
terpencil.
Oleh itu, teknologi terkini dilihat bakal menjamin revolusi
perubahan ketara kepada pekebun kecil seperti pengimejan satelit,
penggunaan dron pembajaan terarah, penderiaan jauh dan aplikasi rantaian
blok dengan potensi untuk mengoptimumkan rantaian sumber makanan.
Ia juga untuk meningkatkan akses makanan bernutrisi, pengurangan
kerosakan dan pembaziran makanan, peningkatan pengurusan air, melawan
serangan perosak dan penyakit, pemantauan hutan simpan atau
kesiapsiagaan petani dalam menghadapi sebarang bencana.
Latihan intensif bagi meningkatkan tahap keupayaan digital petani
moden dan memberi ruang menzahirkan keperluan semasa akan memberikan
insentif tambah nilai, selain ruang galakan kepada penghasilan makanan
bernutrisi dan berkepelbagaian.
Data analisis ditambah baik pasti akan membantu kerajaan di negara
membangun khususnya membuat keputusan lebih tepat bersesuaian polisi
perlindungan dan ekonomi semasa. FAO juga bersedia membantu mana-mana
negara dalam mengenal pasti rakan kongsi strategik dengan sektor swasta
untuk peningkatan jalinan usaha sama pelaburan penting.
Ini antara langkah utama membina infrastruktur penting seperti
perhubungan jalur lebar, penyedia servis data dan pusat hos data atau
pelantar awan yang menyokong pangkalan data besar dengan informasi
penting pada waktu sebenar ketika era mencabar IR 4.0.
Oleh itu, misi utama FAO dilihat boleh membantu dari segi khidmat
nasihat teknikal di bawah kelolaan badan atau kementerian
agrikultural/perusahaan/sains dan teknologi negara berkenaan dalam
bagaimana regulasi baik serta latihan mencukupi boleh membuka jalan
kepada masa depan digital untuk sektor makanan dan agrikultur moden.
Penulis adalah Teknologis Profesional dan Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM)