Oleh P Kamalanathan
Cuti sekolah tiba lagi. Ketika ini pelbagai ragam dan keadaan dialami
pelajar dari 10,101 sekolah yang memulakan cuti semester akhir penggal
persekolahan tahun 2014 selama 44 hari sejak minggu lalu.
Ketika ramai yang sudah mengemaskan beg sekolah masing-masing dan
menutup buku lama. Ada yang gembira dan bersedih apabila sudah menerima
keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang diumumkan
pada 26 November di seluruh negara.
Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan sekalung tahniah kepada
pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang 5A dan 7A dalam ujian
itu. Kepada yang kurang menyerlah, usah bergundah-gulana kerana
perjuangan belum selesai. Anda tetap boleh melanjutkan pelajaran di
Tingkatan Satu pada tahun 2015 nanti.
Bercerita pengalaman cuti sekolah yang pernah saya lalui beberapa
tahun lalu amatlah menarik untuk dikongsi bersama pelajar, guru dan ibu
bapa kepada lebih 5,218,621 pelajar seluruh negara. Dulu lain, sekarang
pula lain.
Saya menggunakan masa lapang sempena cuti sekolah ketika berada dalam
alam sekolah menengah dengan melakukan kerja sampingan mencari wang
saku untuk belanja digunakan ketika melanjutkan pelajaran di menara
gading. Saya membantu meringankan beban ditanggung kedua ibu bapa.
Ketika itu, saya berkerja sambilan di sebuah kilang memproses simen di
Rawang, Selangor.
Masa yang ada juga digunakan untuk menambahkan pendapatan sampingan
apabila mengambil upah memotong rumput di beberapa rumah jiran
berdekatan perumahan sekitar bandar di Rawang, Selangor. Pengalaman itu
cukup menyeronokkan apabila dikenang kembali.
Bijak rancang program bermanfaat
Kini, masa dan zaman sudah berubah. Ramai adik pelajar kita gemar
menggunakan cuti semester untuk mencari pendapatan sampingan dengan
menjadi pembantu jurujual di restoran, pasar raya, stesen minyak dan
gerai menjaja makanan harian di kawasan kediaman mereka.
Usah dilupakan pesanan lebih 400,000 guru di sekolah rendah dan
menengah kepada anak murid mereka akan kepentingan mengisi masa dengan
tabiat bermanfaat musim cuti persekolahan.
Kini, dapatlah dilihat anak pelajar lebih proaktif, kreatif dan
berketrampilan mengisi masa lapang sempena musim cuti sekolah. Ada yang
mengambil kursus jangka masa pendek, kelas bahasa, kelas kemahiran dan
kelas bidang perniagaan.
Sebaiknya, pelajar perlu bijak memilih dan merancang program
bermanfaat sepanjang cuti persekolahan ini. Anda perlu mengikut nasihat
guru yang amat berguna. Tambahan pula cuaca yang tidak menentu
mengundang bencana alam seperti banjir dan kejadian yang tidak baik
berlaku di beberapa kawasan dalam negara kita.
Saban kali, kita terbaca dan terdengar berita kurang baik yang
berlaku kepada masyarakat pelajar di beberapa sekolah negara ini. Ada
yang menghidap sakit ketika cuti sekolah dan juga ada yang meninggal
dunia kerana terbabit dengan beberapa kejadian yang tidak disengajakan.
Beri faedah tersendiri
Cuti sekolah tidak bermakna, pelajar terus bercuti daripada buku dan
juga dunia pendidikan. Pembelajaran adalah sepanjang hayat dan tidak
pernah ada noktahnya. Sebaiknya rancanglah aktiviti cuti persekolahan
agar memberi faedah tersendiri.
Penyertaan pelajar dengan program kecergasan, dunia keilmuan,
teknologi maklumat, kesukanan, kemahiran teknikal dan kem keagamaan amat
menarik untuk dipraktikkan. Ibu bapa perlu bijak memilih destinasi
terbaik untuk dihantar anak mereka mengisi masa lapang. Ramai yang gemar
menganjur program berbentuk kem cuti sekolah dengan pengisian slot yang
amat menarik dan sesuai diikuti anak remaja.
Bagi mereka yang berkemampuan dan mempunyai sumber pendapatan
mencukupi bolehlah melancong dalam negara melihat keindahan bumi
Malaysia kita yang tercinta ini. Pengalaman dilalui anak pelajar kita
ini amat berguna kepada mereka. Sambil merehatkan minda daripada
kepenatan belajar di sekolah, mereka mampu memperoleh kenangan baharu
yang amat berharga.
Kepada pelajar yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) yang sudah menamatkan alam persekolahan sekolah menengah, tahniah
diucapkan. Anda perlu bijak menyesuaikan diri melangkah kaki ke alam
baharu dunia pendidikan tinggi pula.
Masa senggang yang ada lebih tiga bulan boleh digunakan melakukan
pelbagai aktiviti yang berguna dari semasa ke semasa. Antara aktiviti
yang boleh dilakukan adalah belajar memandu kereta, belajar berniaga,
belajar kelas bahasa antarabangsa, kelas komputer dan menyertai aktiviti
kesukanan.
Sertai aktiviti kemasyarakatan
Tidak ketinggalan juga, aktiviti khidmat sosial dan kemasyarakatan
turut boleh disertai bekas pelajar kita di seluruh negara. Sebelum
menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mereka boleh menyertai
program belia secara aktif di setiap kawasan kediaman masing-masing.
Selain itu, saya juga ada dimaklumkan oleh seorang rakan yang juga
guru dan jurulatih berpengalaman acara sukan catur bahawa banyak temasya
dan kejohanan diadakan sepanjang musim cuti persekolahan.
Pengalaman menjadi atlet catur yang dimiliki pelajar sekolah mampu
menggilap bakat mereka agar lebih cemerlang. Peluang yang ada ini perlu
direbut pelajar dengan menguji kemampuan diri masing-masing.
Pemimpin di setiap kawasan perlu memberikan sokongan padu dalam usaha
memastikan penyertaan aktif generasi pelajar dalam acara catur
terbabit. Minda menjadi matang dan sentiasa terbuka dalam apa jua
keadaan. Tidak ketinggalan beberapa acara sukan lain seperti bola sepak,
hoki dan badminton juga boleh disertai secara aktif ketika cuti sekolah
ini.
Tradisi balik kampung yang diamalkan ketika musim cuti persekolahan
ini juga perlu diteruskan lagi demi membudayakan amalan ukhuwah dan
muafakat antara satu sama lain. Ibu bapa kebiasaannya mengambil cuti
tahunan mereka membawa keluarga pulang ke kampung. Selain dapat bermesra
dengan nenek dan datuk, anak kita dapat mengenali budaya dan adat resam
bangsa dengan lebih rapat lagi.
Tingkat azam, komitmen
Warna-warni alam cuti persekolahan terlalu indah untuk dibicarakan.
Dari kenduri perkahwinan hinggalah amalan kunjung ziarah ke rumah sanak
saudara, itulah yang sering bermain dalam minda generasi pelajar kita
di negara ini.
Saya terus mendoakan agar pelajar, guru dan ibu bapa sentiasa sihat
dan mampu selesa ketika musim cuti persekolahan ini. Teruskan
menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan sepanjang masa agar
bersama mendokong aspirasi pendidikan kita bertaraf dunia.
Selamat tinggal tahun 2014 dengan seribu satu kenangan indah untuk
dikenangkan. Marilah kita tingkatkan azam dan komitmen menyambut tahun
baharu 2015 dengan berjanji melonjak prestasi diri ke tahap lonjakan
saujana yang mengagumkan lagi.
Penulis ialah Timbalan Menteri Pendidikan II merangkap Ahli Parlimen Hulu Selangor
Rancang cuti sekolah elak masa terbuang
Written By zabidi on Tuesday, 2 December 2014 | 12:10 am
Labels:
Artikel


Post a Comment