Headlines News :
Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Lekeh-lekeh orang kampung


Oleh Ronasina 

Istilah ‘orang kampung’ biasanya digunakan oleh kita untuk memperlekehkan seseorang atau sesetengah pihak yang kita rasa mereka terkebelakang.

Kalau kita nampak orang berpakaian tak kena dengan sekeliling, kita akan tertanya-tanya, “budak kampung mana ni?” Tak kiralah sama ada pakaiannya tak secantik orang lain, atau mungkin cantiknya terlampau berlebihan sehingga kelihatan janggal. Atau, bila kami para karyawan menulis rencana, novel atau skrip untuk drama TV atau wayang, sering ditanya oleh pihak penerbit, “karya awak ni berat sangat. Tak faham orang kampung nanti.” Ironinya, pengkarya ini pun asalnya budak kampung juga. Eh! Bukankah Anwar Ibrahim orang Cherok To’kun? Siti Nurhaliza kan budak Kuala Lipis?

Rendah sangatkah darjat orang kampung? Kolot sangatkah mereka dari segi kemodenan dan pembangunan? Tertinggalkah mereka untuk mengikuti pemikiran yang bijak-bijak?

“Jawapannya ialah ya dan tidak,” sambut kawan saya, Jais.

Jais, kawan baya-baya saya, pernah bekerja di Kuala Lumpur selepas tamat Tingkatan 5. Tetapi tak sampai dua tahun dia pulang semula ke kampung. Selepas mengikut-ikut orang bekerja kontrak pembinaaan, akhirnya dia jadi kontraktor kelas F dan buat kerja-kerja dengan majlis daerah sehingga hari ini.

“Kuala Lumpur bukan tempat aku,” kata dia. “Memang benar kami di kampung sedikit ketinggalan. Kami kurang terdedah dengan citarasa terkini, baik fesyen, muzik, budaya kopi hipster atau isu semasa. Dengar pun dari jauh saja. Kami tidak terlibat dengan ‘kehidupan malam’ di tengah hiruk-pikuk Bukit Bintang yang padat dengan bunyi muzik, kenderaan dan silau neon. Kenapa? Sebab kami yang pilih macam tu.”

Kata Jais lagi, “kami tak berminat bersesak. Kami lebih suka bunyi cengkerik, meranduk sungai dan masuk hutan. Takkan itu mundur?”

Betul juga. Sebaliknya saya lihat, orang bandar pun cari kampung, hutan dan sungai untuk ‘healing’. Orang kampung pula yang kegelian melihat orang bandar berhentikan kenderaan mereka di tepi jalan dan terlompat-lompat bergambar di tepi bendang. Takkan maksud nak ‘healing’ ialah menjadi mundur?

“Tapi bila orang macam kau tak tahu mainan politik, senang orang politik masuk menipu,” saya sengaja simbah Jais dengan minyak. Bukan saya tak tahu Jais bijak.

“Sebab itu kawasan kampung adalah deposit tetap bagi parti politik tertentu. Diorang pergunakan korang dengan mainkan isu kaum, agama dan macam-macam lagi supaya korang kekalkan sokongan.” tambah saya lagi.

“Itu kami tak peduli,” jawab dia selamba. “Biasalah. Mana-mana politikus akan pergunakan siapa sahaja tak kira di kampung atau di bandar. Tapi orang kampung tak rugi. Bantuan banjir, zakat, Baitulmal, WiFi berpusat, semua dapat. Boleh mohon rumah Mesra Rakyat, mohon bantuan Felcra…semua ada.”

Ya! Saya setuju. Orang kampung macam-macam dapat. Dalam kita memperlekehkan betapa kolotnya mereka, mereka sebenarnya menikmati banyak benda. Jadi, untuk apa mereka tak undi pihak yang memberi nikmat kepada mereka?

“Kau nak kata orang kampung malas?” tempelak Jais lagi. “Orang bandar apa kurangnya? Melepak kedai mamak 24 jam.”

Terbakar juga dia akibat simbahan minyak saya. “Ada antara korang terpaksa buat kerja ‘part time’ untuk duit lebih sedangkan kami di kampung tenang-tenang aja bekerja dan berkebun.”

Jais tak berhenti di situ. Dia bangkitkan betapa pentingnya kuasa beli orang kampung.

“Dulu, orang buat lagu dan buat album sasaran utama jualannya pun orang kampung. Pendek kata, semua orang mahukan duit orang kampung, undi orang kampung, kan? Sekarang pempengaruh media sosial pun turun kampung cari konten. Orang kampung pun ada yang dah jadi pempengaruh!”

Saya setuju tetapi tetap mengusulkan sesuatu agar orang kampung tingkatkan sikit pengetahuan mereka dengan banyakkan membaca.

“Orang bandar banyak ke membaca?” tanya Jais pula seperti memulangkan paku buah keras. “Apa yang penting sangat kalau kami tak baca apa yang engkau baca?”

Atau, tak dengar muzik yang orang bandar dengar dan berfesyen seperti orang bandar yang sentiasa terkini?

“Rugilah,” jawab saya mengacah lagi.

“Bolehkah kami kata orang bandar macam engkau rugi kalau tak kenal mana rotan dan mana damar? Mana tongkat ali dan mana tunjuk langit?” jawab Jais dengan nada sedikit meninggi. “Mesti orang bandar kata tak penting untuk kenal nama bermacam jenis ikan, kan? Cukuplah sekadar kenal ikan yang nak dimakan saja. Samalah! Buku yang kami tak perlu, buat apa kami baca?”

Jais mengawal emosinya. “Akhirnya, hidup kita ni nak apa, Ron? Kau ada rumah, aku ada rumah tapi aku tak berhutang. Kau ada kereta, aku pun ada. Aku pun hantar anak ke sekolah dan universiti macam orang bandar. Aku, orang tua aku pun dapat pergi haji. Kat mana kami tertinggal?”

Betul kata Jais. Saya mengaku. Kawan-kawan saya di bandar bila bersembang pasal politik, gemar merendahkan mentaliti orang kampung tetapi mereka sendiri jarang benar bercakap dengan orang kampung. Kalau masuk ke kampung waktu pilihan raya pun, bawa perangai orang bandar. Menyampah orang kampung tengok.

“Bak kata peribahasa, seperti rusa masuk kampung. Ha! Ha! Ha!” sindir Jais.

Nampaknya, saya mula sedar sesuatu yang lebih pedih. Istilah ‘orang kampung’ itu bukanlah merujuk kepada lokasi. Ia merujuk kepada cara kita meletakkan orang lain di bawah supaya kita rasa lebih tinggi. Benar, ada orang kampung mungkin tak tahu istilah-istilah besar yang kita di bandar selalu laungkan, tapi mereka memilih sendiri cara hidup yang mereka rasa selesa.

“Itu maknanya terlalu sedap duduk di zon selesa,” kata saya.

“Apa masalahnya dengan comfort zone?” Jais mula melibas balik. “Maksudnya orang luar desa tak hidup selesa? Jadi siapa yang lebih bermasalah sekarang?”

Kali ini nafas saya pula tersekat. Jais menyambung lagi. “Salahkah kalau kita berasa cukup dengan keperluan kita? Salahkah kalau kita tak ikut orang lain yang berlumba-lumba mengejar entah apa? Kalau kau kata kami tak tahu banyak sebab berada di zon selesa, maka di bandar pula penuh dengan orang yang tahu semua isu dunia tetapi masih tak selesa dengan hidup sendiri.”

Jais menegaskan bahawa orang sepertinya tidak berminat untuk mengikut perlumbaan yang kita semua anggap kononnya wajib.

Dari situ, saya makin faham bahawa istilah ‘orang kampung’ bukan lagi bermaksud untuk mereka di kampung, tetapi untuk kita yang suka memperlekeh orang lain demi hendak menampung kebocoran sendiri.

Saya melihat mulut Jais senyum menyenget dengan misai yang bergerak-gerak. Jais berasa dia menang. Dan saya rasa kali ini memang dia menang.

Trump ‘pewaris’ Firaun dalam empayar Amerika Syarikat


Oleh Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

“PERBARISAN khas menuju neraka yang diketuai Firaun akan disertai ramai pemimpin zalim dunia zaman berzaman termasuk para presiden Amerika Syarikat (AS)”

Perarakan Firaun ke neraka tidak berlaku seorang diri, sebaliknya akan disertai kaum atau para pengikutnya dari berbagai zaman.

Firman Allah yang bermaksud:

Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah dia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka. Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat. (Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan (Hud 11:98-99).

Para pengikut dan pewaris Firaun akan terus muncul silih berganti dari satu zaman ke satu zaman, sehingga ke hari kiamat.

Hal ini kerana Allah merekodkan kisah kejahatan Firaun sebagai peringatan dan pedoman abadi buat seluruh pemimpin dunia, agar berhemah dan berakhlak ketika diamanahkan kuasa.

Sesungguhnya, manusia tidak akan mampu menongkat langit selama-lamanya dengan secebis kuasa yang dipinjamkan.

Firaun pada zaman Nabi Musa telah mati ditenggelamkan di laut, namun genetik keangkuhan dan ‘ilmu puaka’ warisannya terus dibawa oleh Iblis merentas zaman, lalu diwarisi dan diamalkan oleh ramai diktator dunia.

Pendek kata saya boleh katakan Firaun ialah mahaguru semua pemerintah yang zalim termasuk para presiden AS seperti Donald Trump dan George W. Bush.

Tahun baharu 2026 yang seharusnya menjanjikan harapan global bermula dengan episod gelap apabila AS menculik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, berlandaskan alasan yang samar dan sukar diterima akal.

Jika diteliti rekod dasar luar para pemimpin tertinggi AS, budaya berdusta demi merosakkan pihak lain seakan-akan menjadi rukun yang tidak pernah ditinggalkan.

Sehingga wajar untuk dikatakan setiap dakwaan AS harus dianggap dusta, kecuali setelah dibuktikan kebenarannya dengan fakta yang telus dan bebas.

Sejarah menjadi saksi (berdasarkan apa yang berlaku di Iraq, Libya, Afghanistan) membuktikan betapa kebohongan dijadikan alat menghalalkan campur tangan dan kehancuran.

Tindakan jahat mereka menceroboh negara orang biasanya dijustifikasi dengan naratif palsu demi untuk membenarkan jenayah mereka.

Ini memang ‘mazhab Firaun’.

Perhatikan ulasan al-Quran mengenai isu ini:

Firaun berkata (kepada semua ahli sihirnya yang baru tewas kepada Nabi Musa): “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dialah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya” (al-Syu’ara’ 26:49).

Firaun mengucapkan naratif ini setelah para ahli sihirnya tewas kepada Nabi Musa dalam sayembara sihir perdana.

Risau rakyatnya yang menyaksikan kemenangan Musa terpengaruh mengikut Nabi Musa, Firaun bangkit membawa naratif palsu;

“Musa sebenarnya guru besar yang mengajar semua tukang sihir itu segala ilmu sihir.

“Oleh itu tidak hairanlah jika guru besar lebih handal dari muridnya.”

Naratif ini jelas palsu kerana Musa tidak pernah bertemu dengan semua tukang sihir yang datang dari segenap pelosok empayar Firaun.

Pun begitu, naratif itu diwujudkan bagi mengekalkan kuasanya di Mesir.

Tidak cukup dengan itu, Firaun memainkan naratif ‘patriotisme palsu’ dengan rakyat Mesir yang dungu fanatik kepadanya.

Allah berfirman:

Firaun berkata (kepada semua ahli sihirnya yang tewas dan beriman kepada Nabi Musa): “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu (wahai Musa dan ahli sihir) lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya) (al-A’raf 7:123).

Firaun seolah-olah berkata “Beta tahu! Hasil maklumat risikan beta, Musa dan semua tukang sihir ini sudah lama berpakat untuk merampas kuasa.

“Mereka ini ancaman besar kepada semua penduduk Mesir. Pertandingan sihir ini sudah lama disediakan skrip menang kalahnya oleh Musa dan semua ahli sihir ini. Mengapa? Tidak lain kerana mereka mahu merampas kuasa dan mengusir kita dari negara kita yang tercinta ini.”

Perkara sama turut disebut Allah dalam surah (al-Syu’ara’ 26:34-35).

Perhatikan alasan yang digunakan AS dalam tindakan jahat mereka menceroboh banyak negara.

“Iraq sedang membina senjata pemusnah yang bakal membahayakan rakyat AS. Afghanistan melalui Taliban memberikan perlindungan kepada ketua al-Qaeda Osama bin Laden. Maduro pula sebenarnya raja dadah Venezuela yang banyak menghantar dadah ke AS untuk merosakkan rakyat kita”.

Selain itu, kekuasaan AS turut disokong tiga tonggak utama iaitu; penasihat yang licik jahat (Haman), sokongan kewangan yang kukuh (Qarun) dan bala tentera yang patuh melaksanakan apa sahaja arahannya.

Ini sebabnya ketika membawa kisah Firaun, Allah selalu menggandingkan elemen tersebut, antaranya:

Firaun dan tenteranya berlaku sombong takbur di negeri itu dengan tiada alasan yang benar dan mereka menyangka mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami (al-Qasas 28:39).

Juga Firman Allah berkenaan tonggak politik dan kewangan:

Dan demi sesungguhnya! Kami mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata. Kepada Firaun, Haman (simbol penasihat) serta Qarun (simbol kekuatan ekonomi); maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: “Dia seorang ahli sihir, lagi pendusta!” (Ghafir 40:23-24).

Dunia ini terus berputar, berulang dengan putaran yang sama seperti yang telah berlaku sejak zaman purba, dan ia akan terus berputar sehingga tibanya hari kiamat.

Kisah-kisah lampau yang kita kenali dan pelajari sebagai sejarah bukan sekadar catatan masa lalu semata-mata; hakikat dan coraknya tetap sama, mencerminkan pola manusia dan masyarakat yang sering mengulangi kesilapan serupa.

Yang berubah hanyalah masa, tempat, dan watak-watak yang memainkan peranan di dalamnya.

Yang berubah hanyalah masa yang mengalir, lokasi di mana peristiwa itu berlaku dan watak-watak yang memainkan peranan di dalam sejarah, namun prinsip dan pengajaran daripada kisah-kisah itu tetap kekal relevan.

Yang paling penting, kita wajib sentiasa berhati-hati dan berwaspada agar tidak mewarisi atau mempraktikkan ilmu puaka Firau iaitu keangkuhan yang melampau, kesombongan yang membutakan hati, serta kezaliman yang merosakkan masyarakat.

Tindakan para pemimpn dunia termasuk Perdana Menteri Malaysia yang mengecam langkah gila Trump ini wajar disokong walaupun ia seperti bunyi dengungan sayap nyamuk pada telinga Trump.

Tidak mustahil untuk Allah tukar dengungan sayap nyamuk itu menjadi gendang kuat memecahkan gegendang telinga manusia gila seperti pemimpin AS itu, lalu dia segera berhenti menggila.

Saya berdoa Trump dikurniakan hidayah dan kesedaran, atau jika tidak, agar Allah meleraikan segala bentuk kuasa serta pengaruhnya supaya kerosakan terhadap dunia tidak terus merebak.

Penulis adalahTimbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Membaca, menulis dan menjadi manusia


Ada orang membaca untuk tahu. Ada yang membaca untuk lulus peperiksaan. Tetapi ada juga yang membaca tanpa sedar bahawa perbuatan itu sedang membentuk cara mereka melihat dunia. Membentuk bahasa dalaman. Membentuk cara bertanya, berfikir dan akhirnya—merasai.

Kita jarang menyedari bila detik itu bermula. Ia bukan pada buku yang tebal atau judul yang dianggap besar. Kadang-kadang, ia bermula dengan satu halaman yang dibaca perlahan. Satu ayat yang terasa dekat. Atau satu cerita yang membuat kita berhenti seketika kerana seolah-olah penulisnya sedang bercakap terus dengan kita.

Pada saat itulah, membaca berhenti menjadi aktiviti. Ia berubah menjadi pengalaman.

Buku sebagai ruang selamat

Bagi sesetengah orang, buku adalah tempat bersembunyi. Bukan daripada dunia, tetapi daripada kebisingannya. Dalam halaman-halaman itu, tidak ada suara yang meninggi. Tidak ada desakan untuk segera menjawab. Kita diberi ruang untuk berhenti, berfikir, dan memilih makna sendiri.

Buku tidak memaksa kita bersetuju. Ia hanya menawarkan sudut pandang. Dan dalam proses menerima atau menolaknya, kita belajar sesuatu tentang diri sendiri. Apa yang membuat kita tidak selesa. Apa yang menyentuh emosi. Apa yang kita pertahankan tanpa sedar.

Membaca mengajar kita bahawa dunia ini lebih luas daripada pengalaman peribadi. Bahawa ada kehidupan lain yang berjalan selari, dengan persoalan dan keresahan yang berbeza. Tanpa perlu bergerak ke mana-mana, kita belajar tentang empati—bukan sebagai konsep, tetapi sebagai rasa.

Menulis sebagai usaha memahami diri

Jika membaca membawa dunia masuk ke dalam diri, menulis pula membawa diri keluar ke dunia. Menulis bukan semata-mata tentang menghasilkan ayat yang cantik atau hujah yang tersusun. Ia adalah usaha memahami apa yang sebenarnya kita fikirkan dan rasakan.

Sering kali, kita hanya tahu apa yang kita percaya selepas kita cuba menuliskannya. Di atas kertas, fikiran yang kabur menjadi lebih jelas. Emosi yang bersimpang-siur mula mencari bentuk. Menulis memaksa kita untuk jujur—atau sekurang-kurangnya berdepan dengan ketidakjujuran sendiri.

Tidak semua tulisan perlu diterbitkan. Tidak semua yang ditulis perlu dibaca orang lain. Ada tulisan yang hanya berfungsi sebagai cermin. Ia memantulkan kembali soalan yang kita elakkan, atau kebenaran yang kita cuba lunakkan. Dalam diam, menulis menjadi satu bentuk perbualan dengan diri sendiri.

Antara halaman dan manusia

Hubungan antara membaca, menulis dan menjadi manusia terletak pada satu perkara: keupayaan untuk memperlahankan diri. Dalam dunia yang menuntut respons segera dan pendapat pantas, membaca dan menulis memerlukan kesabaran. Ia menuntut kita duduk lama dengan sesuatu yang tidak serta-merta memberi ganjaran.

Dari situ lahir kepekaan. Keupayaan mendengar tanpa menyampuk. Keupayaan memahami tanpa perlu segera membetulkan. Seseorang yang banyak membaca dan menulis bukan semestinya lebih pandai, tetapi sering kali lebih berhati-hati dalam membuat kesimpulan.

Mereka tahu bahawa satu cerita tidak pernah cukup untuk mewakili keseluruhan kebenaran. Bahawa satu sudut pandang sentiasa boleh diperluas. Dan bahawa menjadi manusia bukan soal memenangi hujah, tetapi memelihara hubungan—dengan orang lain, dan dengan diri sendiri.

Membaca dalam zaman yang serba pantas

Hari ini, membaca sering dipertandingkan dengan skrin. Dengan notifikasi. Dengan kandungan ringkas yang cepat memberi reaksi, tetapi jarang memberi renungan. Kita membaca lebih banyak, tetapi mungkin kurang mendalam. Kita tahu banyak perkara, tetapi jarang duduk lama dengan satu pemikiran.

Namun membaca tidak pernah benar-benar hilang. Ia hanya berubah bentuk dan ruang. Cabarannya bukan lagi ketiadaan bahan, tetapi ketiadaan masa dan kesediaan. Membaca memerlukan satu keputusan kecil—untuk tidak menatal, untuk tidak tergesa-gesa, untuk memberi perhatian sepenuhnya walaupun hanya beberapa halaman.

Dalam keputusan kecil itulah, manusia dipulihkan sedikit demi sedikit. Kita kembali belajar untuk fokus. Untuk menunggu. Untuk membenarkan makna datang dengan perlahan.

Ada juga orang yang kembali membaca selepas melalui keletihan tertentu—keletihan bekerja, keletihan berfikir, keletihan berdepan manusia. Pada tahap ini, membaca tidak lagi dikejar untuk pengetahuan atau pencapaian, tetapi sebagai cara menenangkan diri. Buku menjadi tempat untuk memperlahankan degup, bukan mempercepatkannya.

Dalam keadaan ini, kita tidak memilih buku kerana ia tersenarai sebagai penting, tetapi kerana ia terasa jujur. Kita membaca bukan untuk menghabiskan, tetapi untuk menemani. Kadang-kadang kita berhenti lama pada satu perenggan, bukan kerana tidak faham, tetapi kerana ia terlalu tepat menggambarkan sesuatu yang kita sendiri tidak tahu cara menyebutkannya.

Menulis juga berubah fungsinya. Ia tidak lagi berusaha untuk mengesankan sesiapa. Ia menjadi ruang untuk menyusun semula fikiran yang berselerak. Ayat-ayat ditulis perlahan, dipadam, ditulis semula. Proses itu sendiri menjadi terapi senyap—bukan untuk menyembuhkan sepenuhnya, tetapi cukup untuk memberi kelegaan.

Pada tahap ini juga, kita mula menyedari bahawa membaca dan menulis bukan sekadar kemahiran, tetapi latihan emosi. Ia melatih kita duduk dengan ketidakpastian tanpa tergesa-gesa mencari jawapan. Ia membiasakan kita dengan kerumitan manusia, termasuk diri sendiri. Kita belajar bahawa tidak semua persoalan perlu ditutup dengan noktah yang kemas.

Hubungan kita dengan orang lain turut dipengaruhi secara halus. Kita menjadi lebih berhati-hati dalam menilai. Lebih perlahan dalam membuat kesimpulan. Lebih cenderung mendengar sehingga habis. Bukan kerana kita sentiasa betul, tetapi kerana kita sedar betapa mudahnya salah faham berlaku apabila cerita dipotong separuh jalan.

Membaca dan menulis, dalam bentuk yang paling sunyi, mengajar kita satu perkara yang jarang diraikan: kesanggupan untuk memberi masa. Masa kepada idea. Masa kepada manusia. Masa kepada diri sendiri. Dan dalam dunia yang sering mengukur nilai melalui kelajuan dan hasil segera, kesanggupan ini menjadi satu bentuk keberanian yang tidak kelihatan.

Tentang memberi masa

Membaca dan menulis mungkin kelihatan seperti aktiviti sunyi. Tidak dramatik. Tidak segera kelihatan hasilnya. Namun dalam senyap itulah, ia membentuk sesuatu yang sukar diukur—cara kita menjadi manusia.

Ia membentuk cara kita mendengar orang lain. Cara kita memahami perbezaan. Cara kita memberi ruang kepada ketidakpastian tanpa panik. Dunia mungkin tidak menjadi lebih perlahan kerana kita membaca, tetapi diri kita boleh menjadi lebih tenang kerananya.

Dan dalam dunia yang sering mendesak kita untuk segera menjadi sesuatu, membaca dan menulis mengingatkan kita bahawa menjadi manusia itu sendiri sudah cukup kompleks—dan cukup berharga—untuk diraikan dengan perlahan.

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Dunia buku terpakai: Ekonomi alternatif yang disisih


Oleh Mohamed Nasser Mohamed

Saya sering mendapat manfaat saat terasak ke dinding kewangan atau tiba-tiba memerlukan perbelanjaan luar jangka—tiba-tiba sahaja ada yang membeli buku terpakai saya di laman e-dagang. Benar, rezeki tidak pernah salah alamat.

Secara peribadi, saya bukan pengumpul buku lama yang tegar. Namun, jika ada peluang, saya mahu sahaja mengumpul—untuk kepuasan dan koleksi peribadi. Saya sentiasa berusaha menjejaki novel Melayu lama, antaranya Ahad karya Zakaria Salleh, Hartini karya Aziz Afkar, dan Desa Pingitan karya Ibrahim Omar—sekadar menyebut beberapa novel Melayu ‘lejen’.

Selepas bergelar editor, untuk memudahkan urusan perolehan, saya mula berusaha mendapatkan Salina—novel ikonik Sasterawan Negara A Samad Said, cetakan pertama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP:1961). Selama berbulan-bulan, saya memujuk penjual dengan harga yang saya mampu. Akhirnya, naskhah itu bertukar tangan pada harga RM1,200—buku terpakai paling mahal pernah saya miliki.

Begitu juga dengan Imam karya Abdullah Hussain. Ketika mahu menerbitkannya semula, saya berusaha menjejaki edisi asal daripada seorang rakan di laman Facebook. Harganya: RM280. Mungkin ramai fikir saya gila—membayar sejumlah besar untuk buku lusuh. Tapi saya tahu, kita tidak membeli buku; kita membeli sejarah. Kita membeli warisan. Kita membeli jejak pemikiran yang mungkin telah terhapus di rak kedai.

Buku terpakai sumber rezeki

Mengapa saya kongsikan kisah ini? Kerana ada dalam kalangan kita yang menjadikan buku terpakai sebagai sumber rezeki—membeli dan menjual demi kelangsungan hidup. Saya sendiri pernah diajak oleh seorang teman untuk menyertai jualan di Amcorp Mall, syurga buku terpakai dan barangan antik. Saya teruja.

Pada kali kedua saya terlibat, satu insiden meninggalkan kenangan manis. Seorang wanita Tionghoa hadir ke ruang niaga saya dua hari berturut-turut, memujuk saya datang ke rumahnya di Shah Alam untuk membeli buku. Setelah tidak tahan dengan pujukan itu, saya bersetuju. Hasilnya—enam kotak buku berbahasa Inggeris pada harga tidak masuk akal: RM60! Hampir 70 naskhah berkulit keras. Saya hanya menjual dua daripadanya untuk mendapatkan semula modal.

Dalam insiden lain, saya dihubungi oleh seseorang yang tidak saya kenali selepas membaca hantaran saya di Facebook tentang hasrat menerbitkan sebuah buku tribut mengenang seorang sahabat yang telah kembali ke negeri abadi. Dalam pertemuan pertama, beliau membawa saya ke tempat kerjanya di sebuah perpustakaan agensi kerajaan. Selepas berbasa-basi, saya diperkenalkan kepada ketuanya dan ditunjukkan rak buku yang akan dilupuskan. Saya diberikan peluang memilih 80 naskhah buku—bagi membantu saya merealisasikan penerbitan buku kenangan tersebut.

Buku lama nafas baharu

Gerai buku terpakai bukan sekadar tempat jual beli. Ia adalah tapak arkeologi minda. Ia menjual memori, peluang kedua, dan kadangkala, takdir. Di bawah khemah lusuh, dalam rak kayu usang, ada penjual senyap yang mengurus khazanah bangsa. Setiap buku yang dibuka ada tandatangan pemilik lama, ada lipatan halaman yang menandakan bab paling disukai. Kadangkala terselit surat cinta, resit tahun 80-an, atau nota kaki yang menyentuh. Setiap helaian berbisik—jangan lupakan aku.

Namun, dalam dunia digital dan obsesi terhadap ‘baharu’, buku ini kian terpinggir. Pasarannya kecil, pengunjungnya setia tapi semakin sedikit. Gerai kecil ini bukan sahaja berjuang untuk hidup, tetapi juga berjuang untuk tidak dilenyapkan oleh sistem.

Siapa menyisih?

Dalam budaya membaca yang semakin terarah kepada kelajuan dan kecantikan muka depan, buku terpakai kadangkala dianggap sebagai gangguan pasaran. Penerbit melihatnya sebagai persaingan tidak sihat. Sesetengah penguasa menganggapnya sebagai barangan terpakai yang tidak lagi relevan. Bahkan ada perpustakaan awam yang melupuskan koleksi lama tanpa menilai nilai sejarah atau sasteranya.

Namun, yang rugi sebenarnya ialah pembaca—terutama golongan muda dan pencari ilmu di luar arus perdana. Buku terpakai membuka pintu kepada dunia yang lebih luas, beragam dan jujur. Dalamnya ada karya luar cetak, suara yang telah senyap dalam sistem penerbitan utama.

Ekonomi hijau yang dilupakan

Dalam dunia yang ghairah melaungkan kelestarian, buku terpakai adalah contoh ekonomi sirkular yang indah. Satu buku lama yang dijual semula bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi menyelamatkan pokok, mengurangkan cetakan baharu, dan memperpanjang hayat bahan bacaan. Ia adalah bentuk aktivisme senyap—memanjangkan hayat ilmu dengan cara berhemah.

Namun, masih tiada dasar yang jelas untuk mengiktiraf penjual buku terpakai sebagai sebahagian ekonomi alternatif negara. Mereka tidak mendapat insentif, tidak disokong skim bantuan mikro, dan kadangkala ditekan oleh peraturan yang menyamakan mereka dengan peniaga jalanan.

Penjual kecil, jiwa besar

Ramai penjual buku terpakai adalah pesara guru, pustakawan bersara, penulis tidak ternama, atau pencinta buku yang hidup dari hari ke hari. Mereka bukan pemain besar industri. Mereka tidak memiliki algoritma TikTok atau bajet pemasaran. Tapi mereka punya satu perkara yang mahal—semangat. Semangat untuk menghidupkan naskhah lama dan berkongsi ilmu dengan generasi baharu.

Sahabat penjual di Puchong, antara yang dianggap ‘otai’, Tuan Halim, pernah berkata: “Kalau semua orang nak buku baru, apa akan jadi pada buku lama yang belum sempat dibaca sesiapa pun?”

Di mana buku terpakai dijual?

Di Malaysia, antara lokasi jualan buku terpakai masih hidup walaupun kian terhimpit:

Pasar Chowrasta, Pulau Pinang – terkenal dengan koleksi majalah lama dan buku sekolah era 70-an. Lorong Kulit, Georgetown – syurga pencinta barangan lama, termasuk sastera klasik.

Brickfields, Kuala Lumpur – lokasi lama gerai buku terpakai, walaupun makin ditekan pembangunan. Amcorp Mall, Petaling Jaya – medan pertemuan pemburu buku hadir setiap hujung minggu.

Pasar Karat, Johor Bahru – ruang campur antara buku, piring hitam dan memorabilia lama.

Hentian Buku Selangor, di Hentian Kajang, Jalan Reko – lokasi terbaru untuk pencinta buku, khususnya buku terpakai dan langka.

Di luar negara budaya ini lebih terurus: Bouquinistes di Sungai Seine, Paris – lebih 200 penjual dalam peti hijau ikonik, diiktiraf Unesco. Hay-on-Wye, Wales – kota buku dengan puluhan kedai buku terpakai.

Jimbocho, Tokyo – lebih 150 kedai kecil tertumpu pada buku terpakai, mengikut genre dan era.

Powell’s Books, Portland, Oregon – gedung buku terpakai dan baharu terbesar di dunia.

Malaysia belum sampai ke tahap itu—tetapi tidak mustahil jika diberi dasar yang adil dan sokongan mampan.

Hidupkan, jangan singkirkan

Sudah tiba masa kita melihat buku terpakai bukan sebagai beban, tetapi penyelamat tamadun. Malaysia wajar mempunyai zon pasaran buku alternatif yang diiktiraf. Anjurkan festival buku terpakai nasional. Galakkan universiti membeli koleksi langka. Libatkan pelajar dalam kempen ‘buku hidup semula’ di sekolah dan komuniti.

Buku bukan sekadar bahan bacaan. Ia adalah tapak warisan, tanda tamadun, dan arkib pemikiran bangsa. Jika kita membiarkan buku lama hilang tanpa jejak, kita sedang memadam sejarah secara senyap.

Warisan di rak peribadi

Di rak saya, Salina masih tersimpan. Dalamnya bukan sekadar kisah wanita yang terpaksa menjadi pelacur dan zaman darurat, tetapi juga nilai tak terukur dalam dunia penerbitan. Imam, yang saya peroleh pada harga RM280, mengingatkan saya tentang kekuatan dan wacana semakin kabur dalam dunia intelektual moden.

Buku itu mengajar saya satu perkara: dalam dunia yang terlalu ghairah mengejar yang baharu, kita perlukan lebih ramai penyelamat yang memeluk yang lama. Dunia buku terpakai tidak perlukan simpati, tapi pengiktirafan, dan seperti kata seorang rakan penerbit—Rabak Lit—buku tak akan mati!

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Sampai bila agensi jadi paku, rakyat kena tukul?


Oleh Mohamed Nasser Mohamed

Tragedi demi tragedi. Tapi agensi masih tunggu suara warganet untuk bertindak. Sampai bila nak jadi paku? Dalam budaya kita, ada satu peribahasa lama yang masih hidup — bukan sekadar dalam perbualan, tetapi dalam tindakan: Sudah terhantuk baru tengadah. Maksudnya, seseorang hanya akan insaf atau berhati-hati selepas ditimpa musibah. Dalam konteks pentadbiran dan perkhidmatan awam, ungkapan ini sangat relevan — terlalu relevan — sehingga menjadi pantulan budaya kerja dalam banyak agensi kerajaan: Hanya bertindak selepas tragedi berlaku.

Tragedi Sungai Korok: Bukan kali pertama

Baru-baru ini, satu insiden menyayat hati berlaku di Sungai Korok. Enam sekeluarga maut — ibu bapa dan empat anak kecil — selepas kereta mereka terbabas ke dalam sungai. Lebih mengejutkan, lokasi ini bukan zon bahaya baharu. Dalam tempoh lima tahun, lapan nyawa terkorban di laluan sama. Namun, sepanjang tempoh itu, tiada sebarang penghadang dibina. Tiada pencahayaan dipasang. Tiada sistem amaran atau penanda bahaya. Kawasan itu kekal gelap, sempit dan sunyi seolah-olah menunggu korban seterusnya.

Setiap kali pulang ke Jitra, saya melalui jalan tersebut, ada sekali pada waktu siang saya melalui juga laluan tersebut dan singgah minum di sebuah warung, yang hadir sibuk bercakap mengenai tragedi yang baru berlaku beberapa hari lepas, itu pada 2022. Khabarnya ada juga aduan bertulis yang dipanjangkan kepada pihak berkuasa, selepas itu saya pun lupa kisahnya sehingga berita kematian enam sekeluarga minggu lepas.

Seperti biasa, selepas tragedi, muncullah janji: akan bina tembok, akan pasang lampu, akan tambah papan tanda. Persoalannya, kenapa bukan lima tahun lalu? Kenapa bukan selepas nyawa pertama, atau kedua, atau ketiga melayang?

Sikap reaktif: Barah dalam sistem

Ramai pegawai agensi awam masih berpegang kepada mentaliti ‘tunggu aduan rasmi’. Mereka hanya bergerak selepas ada laporan bertulis, surat rasmi, liputan media atau aduan tular. Sedangkan yang sepatutnya berlaku ialah pemantauan berterusan, tindakan awal, dan kepekaan terhadap risiko — tanpa perlu disuruh. Bersikap proaktif.

Mentaliti ini menjadi barah dalam sistem. Ia menyebabkan tindakan tertangguh, penyelesaian lambat, dan dalam kes seperti Sungai Korok — nyawa yang tidak sepatutnya hilang.

Tiang gol, nyawa anak sekolah

Mengenang kisah Sungai Korok, kita pernah juga dikejutkan dengan satu tragedi. Seorang murid Tahun 5 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk, Menggatal, Sabah, maut selepas ditimpa tiang gol ketika sedang menjalani aktiviti sukan. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Likas. Insiden ini berlaku pada Oktober 2022.

Tiang gol yang berat dan tidak stabil bukanlah benda baharu di sekolah. Ia ada di mana-mana — berkarat, senget, longgar — tetapi tetap dibiarkan atas nama ‘biasa’. Siapa yang menyemak keselamatan alat sukan ini? Siapa yang bertanggungjawab menyelia dan menyelenggara kemudahan sekolah? Jangan sampai selepas satu nyawa hilang, baru semua sekolah diminta semak tiang gol masing-masing. Mengapa perlu tunggu tragedi untuk ‘ambil maklum’?

Tragedi bas UPSI: Bila terlambat itu menjadi lazim

Satu lagi contoh kegagalan bertindak awal ialah insiden yang melibatkan kemalangan bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) beberapa minggu lalu. Bas yang membawa pelajar terbabas dalam keadaan jalan gelap, tanpa pencahayaan yang memadai. Tragedi itu mengorbankan 15 nyawa siswa, mencetuskan kemarahan awam. Hanya selepas itu, barulah diumumkan bahawa lampu solar akan dipasang di kawasan berkenaan.

Ironinya, laluan itu sudah lama digunakan oleh pelajar universiti, saban minggu, saban semester. Keadaan gelap bukan perkara baharu. Tetapi seperti biasa — tiada tindakan sehingga berlaku kemalangan besar. Maka keluarlah kenyataan: Akan tambah lampu solar, akan tambah pemantauan, akan tambah peruntukan.

Soalnya, kenapa perlu tunggu darah tumpah dahulu baru mahu suluh jalan?

Aduan bukan lesen untuk bertindak

Selalu kedengaran, ‘kami belum menerima aduan rasmi’. Tetapi jika agensi hanya bertindak bila dilaporkan, apa gunanya mereka ada? Agensi bukan posmen menunggu surat. Mereka punya pegawai, kakitangan lapangan, jabatan penyelenggaraan, dan maklumat.

Jika hanya mahu bertindak selepas menerima surat atau tekanan media, maka fungsi agensi itu bukan menjaga, tetapi menunggu. Menunggu untuk disalahkan. Menunggu untuk beri kenyataan. Menunggu hingga ada yang mati.

Amaran sudah ada tapi dibiarkan

Bayangkan ada kenderaan yang memiliki ratusan saman tertunggak, tetapi masih bebas berada di jalan raya. Bayangkan juga ada pemandu pengangkutan awam yang mempunyai puluhan saman trafik, tetapi masih memandu membawa penumpang setiap hari. Tidakkah semua data ini sudah tersedia dalam sistem? Tidakkah sistem kita cukup bijak untuk mengeluarkan amaran awal — atau sekurang-kurangnya mencetuskan satu bentuk tindakan?

Jika data sudah ada, tetapi tidak digunakan, itu bukan lagi masalah teknologi. Itu masalah sikap. Masalah keengganan bertindak. Dan lebih parah, masalah kehilangan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan awam.

Kalau sistem hanya menjadi arkib, bukan amaran, maka ia bukan sistem kawalan. Ia hanya peti simpanan bukti — yang dibuka semula hanya selepas tragedi.

Data bukan sekadar statistik

Kita bukan kekurangan data. Kita ada laporan audit infrastruktur, statistik kecederaan sekolah, rekod kawasan kemalangan. Tetapi semua itu kekal sebagai dokumen fail, bukan pendorong tindakan. Data hanya ‘dibuka semula’ selepas musibah berlaku. Bila sudah terhantuk, barulah statistik digunakan — untuk mempertahankan diri, bukan untuk mencegah tragedi.

Teknologi sudah ada tapi di mana gunanya?

Dron boleh meninjau cerun dan laluan bahaya. AI boleh ramal lokasi berisiko. GIS boleh tunjuk titik buta infrastruktur. Media sosial pula sudah cukup jadi radar awal masalah. Tapi semua itu sia-sia jika manusia yang diamanahkan tidak peduli. Hal-hal yang diadukan dalam ‘Aduan Rakyat’ disiarkan saban minggu di TV3 adalah bukti jelas bagaimana, aduan hanya tinggal aduan sehinggalah dipaparkan dalam media.

Contoh yang berulang, tetapi tak pernah dipeduli

Pelajar mati jatuh dari pagar reput. Kanak-kanak mati dalam pembetung terbuka. Remaja mati di jalan tak berpencahayaan. Dan setiap kali jawapannya sama: “Kami tidak menerima laporan rasmi sebelum ini.”

Tapi sampai bila rakyat perlu jadi tukul untuk mengetuk paku bernama agensi?

Implikasi terhadap kepercayaan rakyat

Rakyat makin hilang percaya. Maka mereka mula pasang lampu sendiri, letak kon sendiri, buat papan tanda sendiri. Bila rakyat lebih tangkas dari sistem, itu bukan kebanggaan — itu kegagalan.

Sebagai marhaen, kita harus berterima kasih kepada NGO seperti Ikatan Silaturahim Brotherhood diasaskan Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando atau Uncle Kentang untuk menurap jalan berlubang demi keselamatan penduduk setempat, jika agensi diamanahkan bersikap proaktif, hal-hal ini boleh dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

Budaya kerja baharu yang kita perlukan

Tugas agensi bukan menunggu. Ia membuka mata sebelum tragedi menutup semua. Pegawai perlu bertanya:

“Kalau anak saya lalu sini, adakah ini selamat?”

Kalau ragu-ragu, buat kerja. Jangan tunggu. Jangan tanya. Jangan cari tukul.

Penutup: Jangan jadikan kematian sebagai pelan tindakan

Kita tak perlukan satu lagi tragedi baru nak bergerak. Tak perlukan satu lagi ‘hashtag’ sedih. Tak perlukan satu lagi janji ‘akan siasat, akan tambah, akan luluskan’.

Apa yang kita perlukan ialah agensi yang tahu bila perlu memegang tukul, bukan jadi paku yang menunggu dipalu. Sampai bila nak biar rakyat yang ketuk untuk mereka buka mata?

Kita baru 15 hari melangkah ke Tahun Baharu Hijrah 1447, iltizam boleh dipancang oleh setiap kita untuk menjadi proaktif, mungkin ketua setiausaha negara boleh memulakan iltizam menjadi proaktif dalam kalangan penjawat awam. Cukup-cukuplah kita ‘tunggu aduan rasmi’; ini sudah tahun 2025, kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-69, sudah cukup matang, progresif dan proaktif!

Semoga tulisan ini menjadi renungan kita semua.

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Ketagihan video lucah buat hati jadi gelap, runtuhkan akhlak


Oleh Zuhaimi Abdul Rahim

Di akhir zaman ini, masyarakat didedahkan dengan pelbagai bentuk kandungan dalam media sosial termasuklah video berunsurkan lucah. Pendedahan video lucah kepada masyarakat ini mencetuskan kebimbangan terutama dalam kalangan umat Islam kerana ia boleh meruntuhkan akhlak umat khasnya generasi muda.

Baru-baru ini viral segelintir individu dilihat tidak menghiraukan soal dosa dan pahala sehingga tergamak beraksi lucah di media sosial demi memuaskan nafsu semata-mata. Perbuatan ini tidak wajar bahkan satu perkara sangat keji di sisi Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra' ayat 32 bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan keji dan satu jalan jahat (membawa kerosakan)".

Berdasarkan ayat al-Quran ini, maksud 'jangan mendekati' dalam al-Quran menunjukkan semua sarana membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan patut dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa kecil.

Selain itu, Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan Allah SWT melarang hamba-Nya daripada melakukan zina dan perkara membawa dekat kepada zina seperti sebab dan seruannya.

Maka, amat jelas perbuatan lucah menjalinkan hubungan seks sama ada melalui panggilan video dan audio, rakaman suara dan video antara dua individu adalah diharamkan dalam Islam dan wajib ditinggalkan.

Sebagaimana ditetapkan, hukum melihat aurat orang lain adalah haram apatah lagi menonton video lucah atau porno yang sudah terang lagi bersuluh adalah haram hukumnya kerana ia melanggar apa yang termaktub dalam ajaran Islam.

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur, ayat 30 bermaksud, "Katakanlah (Muhammad) kepada orang lelaki beriman; Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa mereka lakukan".

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Pandangan mata itu adalah panah daripada panah syaitan. Sesiapa menahan pandangannya kerana takut kepada Allah, nescaya Allah menggantinya dengan kebahagiaan akan selalu dia rasakan dalam hatinya." (HR Ahmad, An-Nasa'i dan Al-Hakim) Melihat kepada ayat al-Quran dan hadis di atas, ia mengandungi maksud kecaman dan cercaan terhadap orang gemar memerhatikan perkara haram. Apabila penglihatan secara tidak sengaja jatuh pada sesuatu diharamkan, seseorang harus segera beralih dan menundukkan pandangan.

Ini bagi mengelakkan diri terjerumus serta terdorong melakukan perbuatan lucah atau aktiviti pornografi.

Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya Allah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakan". (HR Bukhari dan Muslim).

Perbuatan membuat atau menonton video lucah adalah satu perkara sangat keji di sisi Allah SWT kerana boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan seseorang serta menyebabkan seseorang itu mengalami ketagihan seks.

Kesan pengaruh maksiat

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Al-Taubah Ilallah menukilkan tulisan Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa al-Syafi berkenaan kesan dan pengaruh maksiat.

Antaranya ialah segala urusan menjadi sukar dan sulit, hati menjadi 'gelap', melemahkan rangsangan ketaatan, melemahkan akal fikiran serta berasakan kehidupan seolah-olah menjadi sempit.

Berdasarkan kesan dinyatakan di atas, maka hal ini sangat bertepatan seperti dijelaskan Allah SWT dalam Surah Taha ayat ke-124 bermaksud: "Sesiapa berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Susulan daripada isu sedang hangat tersebar sekarang, sebagai ibu bapa serta penjaga seharusnya berusaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi daripada perspektif agama bermula keluarga sendiri. Nilai moral sangat perlu ditekankan kepada setiap ahli keluarga.

Keluarga adalah unit terpenting dalam masyarakat memiliki banyak fungsi dan di antara fungsinya sangat strategik adalah pendidikan dan agama. Pendidikan agama harus dimulai daripada keluarga. Pendidikan agama di luar keluarga hanya bersifat pelengkap kepada nilai ditanamkan dalam sesebuah keluarga.

Perlu ditegaskan di sini, pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada anak sejak awal adalah pendidikan agama mengajarkan nilai kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia bertanggungjawab dan berguna. Ia selari dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah paling berguna bagi sesama mereka".

Kesimpulannya, budaya video lucah ini wajib dibendung dengan segera demi menjamin masa depan baik terutama generasi muda dan demi mengelakkan berlakunya keruntuhan akhlak umat Islam. Sesungguhnya setiap daripada kita pasti tidak terlepas sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan walaupun kecil.

Namun indahnya Islam diwahyukan Allah ini, Dia amat menyukai dan mencintai hamba-Nya bertaubat. Sabda Rasulullah SAW, "Kesemua anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang melakukan kesilapan ialah mereka bertaubat".

Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia berakhlak mulia serta diberkati Allah SWT dalam kehidupannya. Salah satu penunjuk utama daripada akhlak mulia adalah menjauhi perbuatan, perkataan dan perilaku keji serta kotor termasuklah bahan pornografi.

Bahkan, antara ciri-ciri orang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti dinyatakan dalam Surah al-Mukmin ayat 5 bermaksud: "Dan mereka menjaga kehormatannya". Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin lebih penting daripada pengurusan hati.

Penulis adalah Pengarah Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia

Jangan biar generasi kita warisi bumi yang sakit


 CUACA panas yang melanda Malaysia ketika ini menyebabkan beberapa kes kelesuan dan kekejangan haba dilaporkan termasuk satu kes membabitkan kematian

Justeru, orang ramai disarankan mengam bil langkah pencegahan bagi menghindarkan masalah kesihatan yang boleh terjadi akibat cuaca panas.

Apa yang berlaku kini dikaitkan dengan fenomena El Nino. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam banyak kenyataan media yang dikeluarkan meramalkan fenomena El Nino dijangka akan berterusan selama lima bulan, iaitu bermula April lalu hingga September ini. Fenomena ini dijangka akan menyebabkan berkurangnya kuantiti penurunan hujan lalu menaikkan suhu cuaca. Situasi ini seterusnya boleh membawa kepada krisis air negara disebabkan kemerosotan paras air sungai dan empangan.

MetMalaysia menerusi media sosialnya menjelaskan, El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan lautan yang berlaku setiap dua ke tujuh tahun. Ia terjadi apabila arus laut yang panas menggantikan arus sejuk di Lautan Pasifik, Amerika Selatan, iaitu secara spesifiknya berhampiran luar pantai Peru.

Keadaan ini menyebabkan berlaku musim kemarau, berkurangnya hujan dan cuaca menjadi lebih kering daripada kebiasaannya di Asia Tenggara serta Australia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran kebarangkalian fenomena cuaca El Nino akan meningkatkan suhu global ke paras baharu.

Keadaan cuaca yang panas membahang ini turut menimbulkan persoalan kepada penyelidik berkaitan punca sebenarnya. Adakah ia memang disebabkan El Nino semata-mata atau dipengaruhi pemanasan global?

Ada segelintir ahli sains memberi pandangan, fenomena El Nino yang kebelakangan ini berlaku secara kerap mungkin dipengaruhi faktor pemanasan global antaranya faktor semula jadi seperti letusan gunung berapi. Bagaimanapun, faktor itu semata-mata tidak boleh menjadi punca utama berlaku perubahan cuaca ketika ini.

Sebelum ini saintis sudah melakukan simulasi model sistem bumi untuk mengkaji keadaan suhu dunia sepanjang abad ke-20 dengan mengambil kira pelbagai pemboleh ubah.

Pemanasan global

Hasil kajian ini mendapati terjadi pemanasan global pada abad ini akibat pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera. Kesan rumah hijau ialah proses penyerapan haba matahari yang terpancar dari permukaan bumi, memerangkapnya di atmosfera, sekali gus menghalang ia terlepas ke angkasa.

Gas rumah hijau seperti karbon dioksida, metana dan nitrus oksida yang memerangkap haba ini boleh dianggap sebagai selimut yang membaluti bumi. Justeru, ia menjadikan suhu bumi lebih panas daripada sepatutnya. Semakin banyak gas rumah hijau dilepaskan, semakin panas bumi ini.

Jadi, bagi mengatasi isu ini, langkah perlindungan alam sekitar merangkumi pengurangan gas rumah hijau harus menjadi keutamaan. Kempen meningkatkan kesedaran umum dan amalan kelestarian alam harus ditekankan. Pembangunan yang pesat dialu-alukan, namun ia tidak boleh dibanggakan sekiranya mengorbankan alam sekitar.

Pelbagai usaha boleh diambil seperti mengurangkan penggunaan tenaga fosil, menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, menanam semula hutan dan sentiasa utamakan pemuliharaan alam sekitar. Sudah tentu usaha ini membabitkan kesungguhan dan komitmen semua.

Di Malaysia, kesedaran alam sekitar masih pada peringkat yang rendah. Sungai dan lautan masih banyak dicemari sampah, longgokan sampah mudah terlihat. Malah, tong kitar semula sering disalahgunakan.

Kita sudah melihat dan juga turut merasai impak akibat mengabaikan alam sekitar. Apakah kita mahu melihat generasi anak cucu kita mewarisi keadaan bumi yang sakit?

Kepesatan pembangunan dan kemajuan teknologi tidak seharusnya menjadikan kita mengorbankan alam.

Basmin Maarof,
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media Pertubuhan IKRAM Malaysia

Nahas MH370 sukar dirungkai tanpa penemuan bangkai pesawat


Oleh Prof Madya Mejar Bersekutu (PA) Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian 

 TRAGEDI pesawat MH370 antara misteri terbesar dalam dunia penerbangan. Hari ini genap lapan tahun pesawat besar lagi canggih itu tidak dapat dikesan dan kehilangannya masih menjadi tanda tanya kerana tiada bukti kukuh lagi jelas dapat merungkai misteri ini.

MH370 seperti kita ketahui adalah nombor penerbangan bagi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur ke Beijing. Pesawat digunakan untuk penerbangan itu ialah Boeing 777-200ER.

ER membawa maksud Extended Range, iaitu jarak penerbangannya adalah lebih daripada pesawat konvensional Boeing 777 terdahulu.

Struktur pesawatnya utuh dan sebelum dihantar atau diambil pelanggan, ia diuji beratus atau beribu kali di makmal Boeing untuk memastikan komponen, fiuslaj, sayap dan sebagainya teguh serta mampu menghadapi tekanan ketika di udara dan mendarat.

Berdasarkan ciri-ciri ini, ada pihak menyatakan ketika MH370 terhempas di selatan Lautan Hindi, pesawat itu tidak berkecai sepenuhnya dan ini dikuatkan lagi dengan penemuan serpihan kecil saja sehingga kini.

Namun, selagi belum menemui bangkai pesawat itu, tidak dapat dipastikan banyak mana pesawat itu berkecai.

Pesawat Boeing 777-200ER dilengkapi dua enjin jenis Rolls Royce Trent 892 yang mempunyai sistem pengawasan dengan komputer pesawat dapat mengesan jika berlaku kecelaruan dalam penerbangan.

Data keadaan enjin ini juga direkodkan sistem pesawat dan dianalisis jurutera penyelenggara apabila pesawat dibaiki serta diselenggara. Semua ini membuatkan enjin pesawat selamat digunakan seberapa kerap yang mungkin bagi penerbangan jarak jauh.

Ada pihak menyatakan tragedi MH370 berlaku akibat kegagalan enjin, namun disangkal beberapa pihak. Enjin pesawat dilengkapi sistem pemadam api jika berlaku kebakaran padanya.

Enjin ini juga ditakrif dan dinilai sebagai Operasi Prestasi Standard Enjin Berkembar Dipertingkatkan (ETOPS). Ini membawa maksud jika satu enjin tidak berfungsi ketika penerbangan, satu lagi enjin dapat beroperasi pada julat masa tertentu untuk membawa pesawat ke lapangan terbang terdekat.

Ini menunjukkan enjin Rolls Royce Trent 892 adalah jitu dan boleh diharapkan. Alasan ini digunakan beberapa pihak untuk menyangkal teori kegagalan enjin pesawat yang didakwa menjadi punca utama tragedi MH370.

Menyentuh aspek sistem pesawat Boeing 777-200ER, ia adalah sistem canggih dan komprehensif. Mengandungi sistem pemantauan yang terdiri daripada sensor serta skrin elektronik memaparkan keadaan enjin, hidraulik, penjanakuasaan elektrik dan tekanan kabin.

Paparan ini dapat membantu juruterbang membuat keputusan tepat dan sahih untuk menerbangkan pesawat dengan selamat serta mengikut piawaian ditetapkan.

Disebabkan pesawat ini menggunakan banyak komponen elektronik, ia juga menggunakan kabel dan wayar secara meluas.

Perkara ini meningkatkan risiko dalam kokpit kerana kabel menghasilkan haba dan secara kolektifnya pengumpulan haba besar serta boleh menyebabkan kebakaran.

Ini antara teori dikemukakan beberapa pihak, iaitu berlaku kebakaran dalam kokpit MH370, sekali gus menjejaskan fungsi juruterbang dan pesawat berkenaan.

Pesawat Boeing 777-200ER dilengkapi juga dengan transponder yang berfungsi memberi lokasi pesawat kepada pengawal trafik udara. Pesawat dapat dikesan selalu dan pihak berkuasa boleh menjejaki pesawat berkenaan.

Namun, dalam kes MH370, dikatakan transponder ini ditutup individu dalam pesawat dan menyebabkan ia tidak dapat dijejaki.

Ada teori menyatakan juruterbang menutup transponder untuk mengelak api merebak dalam kokpit kerana ini adalah prosedur digunakan bagi mengelak penularan api dalam kokpit.

Bagaimanapun, ini semua adalah hipotesis yang perlu dikukuhkan dengan bukti utuh jika ada.

Antara ciri keselamatan pesawat yang sering terlepas pandang ialah keselamatan fizikalnya. Pintu kokpit pesawat Boeing 777-200ER adalah kalis peluru, selaras dengan ketetapan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Ia bertujuan mengurangkan risiko rampasan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Malah, pintu kokpit juga menggunakan pengunci elektronik-mekanikal yang boleh menangkis daya sebanyak 300 joules dan pengunci ini menggunakan kuasa bateri pesawat (28VDC) untuk berfungsi.

Pintu kokpit juga mempunyai lubang intip digunakan juruterbang untuk memastikan identiti individu yang hendak memasuki kokpit dan pengunci pintu kokpit dikawal juruterbang dalam kokpit.

Semua ini menimbulkan persoalan sama ada pesawat dirampas atau tidak dan adakah rampasan didalangi orang dalam?

Timbul juga persoalan sama ada pesawat dirampas ketika juruterbang keluar dari kokpit untuk ke tandas. Semua ini menjadi tanda tanya yang masih tidak terjawab.

Pesawat Boeing 777-200ER mempunyai protokol dipanggil 'sampul penerbangan' bagi memastikannya tidak bergerak atau terbang luar daripada sampul penerbangannya.

Sampul penerbangan terdiri daripada sempadan menggariskan pesawat tidak boleh melebihi nilai parameter ditetapkan.

Contohnya, jika ada individu mengendalikan pesawat ingin membelok pada sudut amat tinggi, sampul penerbangan akan menghindarkan orientasi itu.

Ini untuk mengelak pesawat menjadi tidak stabil dan salah satu ciri keselamatan pesawat Boeing 777-200ER. Faktor ini juga menimbulkan persoalan adakah pesawat MH370 dikendalikan secara manual semasa terhempas atau sebaliknya.

Pelbagai persoalan timbul susulan kejadian ini kerana teknikal pesawat memberi persepsi ia selamat dan tidak mudah dicerobohi, tetapi tragedi tetap berlaku.

Ada kemungkinan juga yang teknikal pesawat inilah secara langsung atau tidak menjadi punca nahas MH370. Inilah yang perlu dirungkai dan selagi tiada bukti kukuh, persoalan ini akan menghantui pelbagai pihak.

Penulis adalah Ketua Penyelidik Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT)

Budak lebih stres duduk di rumah


Oleh AZIMI MUSTAPHA

Di kala pandemik Covid-19 masih ‘mengganas’ di negara ini dengan mereka yang disahkan positif melebihi angka 5,000 setiap hari, ramai dalam kalangan kita yang sudah tidak tahan dengan keadaan ini dan mahukan penyelesaian lebih baik dilakukan.

Ramai yang mengalami stres atau kemurungan disebabkan pelbagai punca termasuk kehilangan mata pencarian untuk menyara keluarga.

Ia ekoran dibuang kerja memandangkan banyak sektor ditutup termasuk perhotelan, pelancongan serta sesetengah perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang disambung tanpa diberi had masa.

Selain itu, keganasan rumah tangga seperti penderaan kanak-kanak, pukul isteri dan sebagainya dikhabarkan terus meningkat kerana ramai yang hilang ‘pertimbangan’ akibat sudah tidak ada sumber kewangan demi kelangsungan hidup.

Paling menyedihkan, terdapat segelintir anggota masyarakat mengambil jalan mudah dengan membunuh diri disebabkan perniagaan yang diusahakan gulung tikar.

Dalam kita membicarakan tentang stres sana, murung sini, jangan dilupakan anak-anak kita yang dikatakan paling stres ketika PKP dilaksanakan.

Apa tidaknya, ketika orang dewasa masih ada kebebasan ke sana sini untuk urusan kerja dan membeli barangan keperluan, mereka hanya duduk ‘terperuk’ di rumah.

Sebelum ini, mereka dilihat riang bermain di luar rumah dan sekolah. Kini semuanya berubah.

Dalam usia semuda itu, mereka sebenarnya memerlukan rangsangan persekitaran yang positif seperti bermain dengan rakan-rakan sebaya kerana ia juga salah satu kaedah pembelajaran bersosial.

Disebabkan terlalu lama berkurung dalam rumah, emosi kanak-kanak ini dikhuatiri terganggu lebih-lebih lagi terpaksa menyesuaikan diri dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan sekolah ditutup gara-gara Covid-19.

Ini adalah sesuatu yang baharu buat mereka dan memerlukan masa bagi menyesuaikan diri. Dalam hal ini, kanak-kanak ini menghadapi sedikit sebanyak kesihatan mental.

Bagi memberikan sedikit ruang ‘bernafas’ kepada anak-anak ketika PKP agar mereka tidak terus berasa terpinggir dan stres, ibu bapa perlu pandai memainkan peranan sebagai pembimbing.

Paling penting, berilah sedikit ruang yang ada kepada mereka untuk meluahkan perasaan, lebih-lebih lagi jika mereka berasa takut, risau atau terasing dalam dunia tersendiri.

Ibu bapa juga mesti pandai mengambil pendekatan berbeza dalam hal ini kerana setiap anak perlukan penyelesaian berlainan dengan tekanan psikologi yang mereka hadapi.

Di samping itu, ibu bapa boleh mengambil masa ini untuk mengeratkan ikatan sesama keluarga serta menerapkan nilai kekeluargaan kerana mereka juga banyak menghabiskan masa di rumah.

 Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Sokong kempen bendera putih


 INILAH hikmah di sebalik musibah. Rakyat semakin beradaptasi mendepani kesukaran akibat pandemik COVID-19.

Kempen kibarkan bendera putih adalah cara berfikir di luar kotak. Pastinya ini dapat memudahkan urusan membantu mereka memerlukan bantuan.

Sekatan perjalanan dan pergerakan menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat mengalami kesukaran sama ada kewangan, sosial dan emosi.

Mungkin ada yang tiada wang untuk membeli makanan atau keperluan penting sudah buntu dan tidak dapat memikirkan jalan keluar. Mereka boleh mengibarkan bendera putih ini untuk meminta bantuan.

Antara kesan krisis pandemik sangat ketara ialah peningkatan kejadian bunuh diri. Kes dilaporkan polis pada tiga bulan pertama tahun ini ialah sebanyak 366 kes berbanding jumlah keseluruhan tahun lalu, iaitu 631 kes.

Semakin ramai individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan dan depresi.

Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 akan diteruskan hingga mungkin pertengahan bulan ini atau sehingga kes positif COVID-19 berada di bawah 4,000 kes dan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di paras sederhana dan 10 peratus rakyat mendapat dos lengkap vaksinasi.

Kempen kibarkan bendera putih patut diberikan sokongan. Setiap orang perlu menggerakkan peranan tanpa perlu menunggu ketua kampung atau pun wakil rakyat kerana mungkin ada keluarga yang tidak berada di dalam capaian bantuan mereka.

Setiap individu perlu membantu kawasan kejiranan masing-masing. Kini tiba masanya untuk semua orang melihat sekitar rumah di kawasan mereka atau kediaman yang dilalui ketika ke tempat kerja atau ke kedai.

Sekiranya ternampak bendera putih, cepat-cepatlah hulurkan bantuan termampu, di samping tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Jika tidak dapat membantu dari segi kewangan, mungkin boleh membantu melaporkan kepada pihak berwajib.

Masyarakat berkemampuan juga perlu memainkan peranan dengan tidak berkongsi gambar makanan mahal-mahal dan kemewahan dalam media sosial bagi menjaga sensitiviti golongan tidak berkemampuan.

Hulurkan bantuan sekiranya tidak terjejas pendapatan dengan membeli makanan daripada peniaga kecil di jalanan dan hotel yang berdekatan.

Walaupun ketika ini masih mempunyai pekerjaan, perbelanjaan perlu dikawal kerana kita mesti sentiasa bersedia sebarang kemungkinan.

Bagi individu yang terjejas pendapatan, perlu difikirkan perancangan jangka pendek dan panjang.

Antaranya, mengurangkan perbelanjaan bulanan atau memotong terus perbelanjaan tidak perlu dan kurang perlu seperti langganan siaran televisyen berbayar atau internet mahal.

Apa yang penting adalah untuk memastikan kelangsungan hidup masing-masing. Kita berharap dan berdoa semoga COVID-19 berlalu daripada kehidupan dan kita semua dipermudahkan urusan.

Salina Abdullah, Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Tun M, Trump dan 'troll'

 
Oleh Ahmad Naim Tahir

Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan pentas Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk al-Quds di ibu negara, mengkritik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berbangga dengan pelan dirangkanya bagi mendamaikan persengketaan Israel dan Palestin yang sudah berlarutan sekian lama.

Dirujuk sebagai ‘Perjanjian Abad Ini’ atau Deal of the Century, Trump mendakwa ia tawaran terbaik pernah dibentangkan walaupun dunia tahu pelan damai yang sekadar memperuntukkan beberapa kelompok kawasan kepada Palestin, langsung tidak mengambil kira pandangan pemimpin tanah Arab berkenaan.

Tanggapan negatif daripada negara Islam berasas kerana ketika mengumumkan pelan itu dengan wajah penuh bangga pada sidang media di Rumah Putih penghujung bulan lalu, Trump turut disertai Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tanpa seorang pun wakil Palestin kelihatan.

Lebih menghadirkan rasa sangsi adalah kerana pelan damai terbabit diusahakan menantu Presiden AS sendiri, Jared Kushner.

Kushner yang dilantik Trump sebagai penasihat kanannya, adalah generasi imigran Yahudi yang berhijrah ke AS dari Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) sebelum negara itu runtuh menjadi Russia.

Inisiatif berat sebelah itu disifatkan sebagai tindakan membuli Palestin yang majoriti penduduknya adalah Islam, namun tidak menghairankan kerana ketika kempen besar-besaran untuk merebut jawatan Presiden AS tiga tahun lalu, Trump memang memainkan isu perkauman dan ancaman terhadap imigran Muslim di negaranya.

“Ini adalah tindakan membuli. Hanya kerana anda mempunyai kekuatan, maka anda membuli yang tidak berdaya, tetapi kita di Malaysia dan negara lain di dunia, kita akan terus menegakkan undang-undang,” kata Dr Mahathir.

Bagi kita di Malaysia, kelantangan Perdana Menteri bukan perkara luar biasa kerana memang sejak dahulu lagi, beliau amat tegas apabila membicarakan hak Palestin, tidak pernah kendur suaranya setiap kali isu penindasan oleh Israel dijadikan topik bicara.

Malah, pakar sejarah Israel, Prof Ilan Pappe pernah berkata, pemimpin dunia lain perlu mencontohi ketegasan Dr Mahathir dalam menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, menyifatkan kelantangan pemimpin nombor satu Malaysia itu seharusnya memberi inspirasi kepada semua pihak.
Perdana Menteri tidak keseorangan kerana tindak-tanduk Trump sememangnya sudah lama di bawah radar beberapa media arus perdana AS, lama sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-45 pada Januari 2017 lagi.

Banyak kenyataan, tindakan dan keputusannya sebagai pemimpin kuasa besar dunia dipersoalkan.
Trump sentiasa menjadi bahan ‘troll’ dalam program bual bicara ditonton jutaan manusia, dikritik Trevor Noah, hos program The Daily Show, Stephen Colbert pula memperuntukkan segmen khas untuk menyindir Presiden AS itu dalam program The Late Show.

Pengacara terkemuka, Jimmy Kimmel juga dalam senarai teratas yang sentiasa ‘menghentam’ Trump, memperlekehkan jutawan dan bekas personaliti program realiti televisyen berusia 74 tahun itu menerusi program Jimmy Kimmel Live, begitu juga Seth Myers menerusi The Late Night.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai Donald Trump setiap malam, tiada seorang pun daripada kami mahu, tetapi dia tidak memberi kami pilihan,” kata Kimmel seperti dilaporkan akhbar The New York Times.

Namun, Trump juga tidak kalah dengan tindakan sama, menggunakan Twitter untuk ‘troll’ menyindir, mengkritik dan memperlekehkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan pendirian, tindakan, keputusan dan apa sahaja berkaitan dengannya.

Dalam satu daripada hantarannya di Twitter penghujung tahun lalu, Presiden AS itu menyelar dan menyifatkan penghormatan diberikan kepada Greta Thunberg, remaja perempuan berusia 16 tahun yang juga aktivis alam sekitar sebagai ‘Person of the Year’ bagi 2019 oleh majalah antarabangsa Time, sebagai tidak masuk akal.

Selepas dibebaskan daripada dakwaan untuk memecatnya dalam Senat AS pada Rabu lalu, diselamatkan anggota Republikan yang bersatu melindungi beliau, ramai pemerhati berpendapat Trump akan lebih agresif ‘menyerang’ lawan dan pengkritik, tentunya melalui Twitter.

Jadi, usah terkejut andai Dr Mahathir pun termasuk dalam senarai mangsa ‘troll’ Presiden AS selepas ini, sedangkan seorang remaja yang baru berusia 16 tahun pun tidak terkecuali.

Penulis adalah Pengarang Berita Kanan BH

Waspada bahaya virus dan viral

Oleh Ismail Mat

Sejak seminggu lalu, dunia dikejutkan penularan coronavirus (2019-nCoV) yang dilaporkan merebak dengan pantas, susulan pergerakan keluar penduduk dari bandar raya Wuhan dalam wilayah Hubei, China.

Meskipun Wuhan dan beberapa wilayah sekitarnya kini dalam perintah berkurung dengan penduduknya dihalang keluar, namun langkah itu boleh dianggap terlewat kerana kira-kira lima juta daripada mereka meninggalkan kawasan terbabit sebelum larangan berkuat kuasa.

Penularan wabak berkenaan sebenarnya sudah dikesan sejak Disember lalu, tetapi maklumat mengenainya disembunyikan pihak berkuasa wilayah itu seperti diakui Datuk Bandar Wuhan, Zhou Xianwang.

Akibatnya, virus yang menumpang dalam tubuh badan penduduk wilayah itu mula merebak dan menunjukkan tindak balas kepada mereka yang terkena jangkitan ketika berada di wilayah atau melancong di negara lain.

Dalam tempoh singkat, Malaysia menerima kesan apabila pelancong yang terlepas masuk ke negara ini dikesan terkena jangkitan yang setakat ini sudah lapan kes disahkan positif berada dalam kuarantin dan rawatan di hospital.

Setakat ini, jangkitan hanya dikesan dalam kalangan pelancong China dan belum ada lagi kes membabitkan jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan.

Namun, itu bukan jaminan rakyat tempatan terselamat kerana perkembangan terbaru menunjukkan seorang pemandu teksi di Thailand terkena jangkitan coronavirus selepas membawa pelancong China yang sakit.

Sewajarnya pemandu teksi dan e-hailing negara ini mengambil langkah pencegahan lebih ketat, demi melindungi diri masing-masing kerana mereka antara kelompok barisan hadapan yang berdepan pelancong yang bergerak sendirian.

Setakat ini, Malaysia membekukan kemasukan pelancong dari Wuhan dan wilayah sekitarnya yang terbabit dengan perintah berkurung di China, manakala Singapura yang merekodkan 16 kes bertindak lebih tegas apabila menghalang kemasukan pelawat baharu dari negara itu.

Perbezaan pendekatan ini mempunyai implikasi tersendiri kerana Malaysia dan Singapura bergantung kepada kehadiran pelawat dari China sebagai sumber pelancong utama.

Mungkin kelihatan keterlaluan, tetapi ketegasan Singapura itu boleh difahami kerana langkah sedemikian secara tidak langsung menyekat kemasukan baharu daripada negara sumber yang masih bergelut mencari penyelesaian terbaik kerana belum ada lagi vaksin bagi memusnahkan virus berkenaan.

Tindakan sama pasti sukar dicontohi Malaysia yang masih mengharapkan kemasukan pelancong China bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang sedang berlangsung, tetapi langkah lebih tuntas perlu diambil kerajaan bagi meredakan keresahan rakyat yang diselubungi kebimbangan untuk melancong dalam negara sendiri.

Ketika pelbagai langkah pencegahan diambil kerajaan, perbuatan segelintir individu menularkan maklumat palsu berkaitan jangkitan yang berlaku adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.

Atas nama kebebasan bersuara, berkongsi pandangan, pendapat atau melemparkan persoalan, golongan ini menjadikan media sosial sasaran melampiaskan agenda masing-masing mengikut nafsu peribadi yang sebenarnya mahu mencetuskan rasa panik dalam kalangan rakyat, apabila maklumat dikongsikan itu palsu atau fitnah.

Akaun media sosial memang hak peribadi pemiliknya, tetapi apabila digunakan bagi mempengaruhi pemikiran rakyat dengan maklumat palsu, apatah lagi kebanyakannya berbuat demikian kerana pertentangan ideologi politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14, itu adalah perbuatan keterlaluan.

Mungkin ada yang berbuat demikian demi mengejar populariti atau menarik perhatian masyarakat, tetapi apa yang pasti berpada-pada berkongsi maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya. Ibarat terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Justeru, tindakan pembanterasan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sewajarnya disokong semua pihak.

Siasatan dijalankan pihak berkuasa sewajarnya tidak mengambil masa terlalu panjang kerana kelewatan pendakwaan dan hukuman membuatkan amaran demi amaran yang diberi terus jadi sendaan pihak berkenaan, apabila masih ada yang berterusan berkongsi maklumat palsu tanpa rasa takut dan bimbang.

Pengarang Berita Kanan Kandungan dan Digital Berita Harian

2020 lebih bermotivasi, produktif

Oleh Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman

MELANGKAH ke tahun baharu 2020, pelbagai andaian memungkinkan kita untuk terus mengorak langkah dan mengutamakan budaya produktiviti dalam setiap gerak kerja dan amalan.

Mungkin sesetengah pihak menganggap ada lagi ruang dan peluang yang luas dalam pelbagai sektor.
Ada juga melihat seolah-olah wujud ketidakpastian membimbangkan, akibat turun naik ekonomi seluruh dunia.

Tahun baharu yang kita sambut seharusnya tidak menakutkan. Kita perlu menanam azam dan hasrat untuk lebih bermotivasi dan produktif, kerana setiap individu menyumbang kepada pembangunan negara.

Jika kita istiqamah dan secara cekal melakukan kerja yang mengutamakan pencapaian dan hasil berkualiti, sudah cukup memuaskan hati sendiri dan memenuhi sasaran dalam organisasi. Walaupun sumbangan kecil, sebenarnya ia cukup bermakna dalam menentukan produktiviti secara kolektif.

Dalam usaha mencapai status negara maju, Malaysia memerlukan peningkatan besar dalam produktiviti negara. Peningkatan produktiviti sesebuah organisasi boleh dicapai melalui pengambilan pekerja berkemahiran tinggi dan rajin.

Walaupun kita memiliki tenaga kerja bermotivasi dan mahir, organisasi di Malaysia juga seharusnya bersedia untuk melabur modal dalam membantu pekerja sedia ada bagi meningkatkan kemahiran kerja mereka melalui latihan lebih meluas.

Dengan melabur dalam pembangunan modal insan dalam organisasi, akan meraih manfaat besar kepada institusi dalam jangka masa panjang.

Menurut penyelidikan Harvard University, syarikat atau organisasi harus mempertimbang untuk membolehkan pekerja bekerja dari luar pejabat menggunakan pendekatan online dan digital.

Berdasarkan kajian itu, membolehkan pekerja bekerja dari mana sahaja bagi meningkatkan produktiviti 4.4 peratus, mewakili sehingga AS$1.3 bilion nilai tambah kepada ekonomi Amerika Syarikat.

Satu lagi kajian pada 2015 yang berpangkalan di agensi pelancongan China, mendapati ketika pekerja pusat panggilan beralih ke rumah, produktiviti mereka meningkat 13 peratus.

Peningkatan produktiviti nampaknya disebabkan pengurangan masa rehat dan cuti sakit digabungkan dengan persekitaran kerja lebih selesa.

Dalam hal sama, kerajaan Malaysia melalui Belanjawan 2020 mengukuhkan ekonomi negara, daya saing awam dan produktiviti keseluruhan. Belanjawan 2020 memberi tumpuan, terutama pada pelaksanaan langkah dirancang untuk mengoptimumkan pertumbuhan ekonomi.

Antara ciri penting belanjawan negara adalah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dengan memastikan semua lapisan masyarakat dapat menjadi pemain aktif dalam ekonomi melalui penciptaan lapangan kerja, perubahan struktur tanpa menjejaskan keadaan fiskal negara.

Pada 2020, kerajaan komited memulihkan keadaan fiskal jangka sederhana walaupun kerajaan mewarisi beban hutang dan liabiliti lebih RM1.1 trilion dalam penempatan semula kerajaan sebelum ini. Sudah tentu ia secara beransur-ansur melaksanakan penyatuan fiskal.

Campur tangan kerajaan melalui perkhidmatan dan pengurusan spesifik adalah penting untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Dengan mengutamakan penumpuan di sektor strategik, menghidupkan kembali industri berasaskan eksport dan menggalakkan keusahawanan mampu melonjakkan pendapatan dan ekonomi negara.

Ini dapat dilihat melalui belanjawan 2020 yang memperuntukkan RM297 bilion dengan RM241 bilion untuk membiayai perbelanjaan operasi, manakala baki RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan 2020, meningkat RM19.5 bilion berbanding 2019 sebanyak RM277.5 bilion.
Tanpa mengira peruntukan sekali untuk GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan ) dan cukai pendapatan tertunda, pendapatan kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada 2020, peningkatan RM11.2 bilion berbanding 2019 tanpa mengira dividen istimewa PETRONAS sebanyak RM30 bilion.

Ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat 4.7 peratus tahun ini dan meningkat 4.8 peratus tahun depan. Melalui usaha terancang ini diharap kadar inflasi kekal di bawah dua peratus pada 2020.

Belanjawan 2020 akan memberi tumpuan kepada empat bidang penting dalam pertumbuhan ekonomi baharu dan era digital; pelaburan rakyat untuk meningkatkan keupayaan modal insan; mewujudkan masyarakat yang bersatu, inklusif dan adil; serta memulihkan institusi dan kewangan awam.

Antara usaha kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi negara adalah menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama bagi destinasi pelaburan, peningkatan daya saing. Ini termasuk memudahkan operasi perniagaan dan mempercepatkan ekonomi digital.

Mempercepatkan ekonomi digital mengambil kira pembinaan infrastruktur digital, membina aplikasi digital dan melahirkan komuniti digital, yang antara lain akan melihat peningkatan penggunaan e-dompet oleh komuniti dan pedagang.

Kerajaan juga akan meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat melalui pelbagai inisiatif, sehingga mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah. Perhatian khusus diberikan kepada graduan menganggur yang menjadi isu masa kini.

Kerajaan juga komited memperbaiki kehidupan rakyat dan dalam belanjawan ini mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 sebulan di bandar utama tahun depan, berbanding RM1,100 sekarang.

Penulis adalah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Univerisiti Teknologi MARA

PRK menguji keserasian kempen Bersatu-DAP dan Anwar digesa lebih proaktif

Oleh ZAKARIA MUSA

Catatan pendek ini bukan berdasarkan penelitian turun padang di Tanjung Piai. Ia hanya nota ringkas bersumber pembacaan terhad dan pandangan teman-teman yang berkunjung ke lokasi paling selatan daratan benua Asia itu.

Memang tidak mudah PRK ini buat Pakatan Harapan (PH). Mungkin sahaja ia mengulangi tragedi di Semenyih yang menyaksikan PH kehilangan kerusi Dun yang baru dimenangi pada Mei 2018.
Tanjung Piai juga konstituensi tradisi milik BN sebelum PH menang tipis sekitar 500 undi dalam PRI2008 ketika gelombang menolak kleptokrasi begitu hebat.

Berdasarkan komposisi pengundi di Tanjung Piai — masyarakat Tionghua lebih 40 peratus — kerusi parlimen ini boleh dikategorikan antara kawasan selamat buat PH. Namun disebabkan ia terletak di luar bandar dan di negeri Johor pula, yakni lokasi yang dianggap dekat dengan Umno, cabaran buat PH mempertahankan kemenangan memang cukup sengit.



Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong bersama Karmaine Sardini dalam satu program kempen di Pontian.
Ditambah pula pengundi Cina juga berdepan isu-isu besar yang mungkin mengubah persepsi mereka terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad. Perang persepsi pasca-PRU14 dilihat tidak memihak kepada PH. Pelbagai halangan muncul, termasuk dalam konteks menunaikan janji manifesto pilihan raya.

Ragam pengundi di bawah kerajaan baharu tidak semudah dahulu. Mereka kini lebih kritis menilai prestasi pemerintah. Memang jika dibandingkan dengan zaman Umno-BN, PH jauh ke depan, meninggalkan amalan korupsi dan salahguna kuasa. Namun, rakyat mahu lebih daripada itu. Mereka mengakui kerajaan hari ini jauh lebih baik, tetapi masih banyak masalah yang melingkari hidup belum dapat diselesaikan. Perubahan dituntut untuk dilaksanakan dengan lebih cepat.

Di kala pengundi Cina dianggap deposit tetap buat PH pada PRU14, kini mungkin tidak lagi. Calon MCA daripada satu segi boleh dianggap satu kelebihan buat BN, tapi masa sama, jika diberikan penerangan menyeluruh dan gerak kerja lebih tangkas, wakil PH mampu melonjak ke depan.

Ramai pemerhati menjangkakan sokongan pengundi Cina kepada PH sudah sampai ke siling. Ia diramal berkurangan dalam PRK ini sementara ramai daripada mereka mungkin tidak balik mengundi. Sentimen masyarakat Tionghua pula agak negatif, disumbang beberapa isu, antaranya masalah perkauman ekoran Kongres Maruah Melayu, simpati kepada MCA, pembelajaran jawi atau khat, pergeseran Bersatu dan DAP.



Salahuddin Ayub giat berkempen di Tanjung Piai.
Sementara dukungan masyarakat Tionghua mungkin menurun, apakah kelompok teramai pengundi Melayu kepada PH mampu meningkat? Bolehkah faktor personaliti calon Bersatu, seorang imam berlatarbelakang profesional, dapat melonjakkan sokongan masyarakat kampung sehingga 35 peratus? 17 bulan lalu hanya sekitar 25 peratus pengundi Melayu menyokong calon PH di sini.

Presiden Pas mengakui PRK ini mempunyai impak besar khususnya dalam konteks menjelang PRU15 yang lebih kritikal itu. Ia turut dianggap satu referendum rakyat menilai prestasi PH yang ditohmahkan mengetepikan Melayu dan mengabaikan Islam. Keputusannya nanti juga boleh mengesahkan atau menafikan kebimbangan bahawa PH hanya kerajaan sepenggal. Tema kerajaan sepenggal ini mesti dikuburkan terus sekali gus menamatkan angan-angan Umno-BN untuk kembali berkuasa.

PRK ini juga menjadi medan terbuka apakah penyokong Pas akan mengalihkan undi mereka kepada BN susulan muafakat nasional ataupun mereka lebih condong untuk menolak BN dan memangkah PH? Atau mampukah AMANAH sebagai parti Islam yang progresif menangkis hujah Pas yang menganggap MCA sebagai “calon kita”? Hampir tiga ribu undi Pas pada PRU14 dahulu dilihat cukup signifikan mempengaruhi siapa pemenang PRK Tanjung Piai.

Pemimpin AMANAH, khususnya timbalan presiden Salahuddin Ayub, anak jati Tanjung Piai bekerja keras berkempen seolah-olah parti berkenaan bertanding.



Apakah sokongan Pas terhadap calon MCA memberi impak besar kepada PRK Tanjung Piai?
Tempoh berkempen masih terbuka, bergantung perancangan gerak kerja untuk menyantuni setiap pengundi. Enam hari berbaki mempunyai impak besar. Kesilapan kecil, seperti klip video Menteri Besar Perak, boleh merencatkan usaha PH. Sementara kerjasama dalam BN diperkukuhkan, kesepaduan komponen PH tidak boleh dipandang ringan. PH harus mempunyai imej muafakat yang benar-benar mantap dan solid.

Penglibatan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilihat harus lebih proaktif berkampung di sini. Mungkin sosok bakal PM ke-8 ini mempunyai aura tersendiri, khususnya dalam kalangan pengundi Cina.
Beliau juga ada tarikan tersendiri, mengimbangi kerisauan terhadap gelagat pemimpin tertentu Bersatu.

Keserasian dalam kalangan pemimpin Bersatu dan DAP teruji dalam kempen PRK ini. Mereka harus lebih bijaksana dan cermat menguruskan perbedaan terutama berdepan sentimen berbeda khalayak masing-masing. Status sebagai parti pemerintah sepatutnya mendewasakan setiap komponen PH.

Fahami sejarah, maksud hijrah

Oleh Latifah Arifin

SAMBUTAN tahun baharu hijrah perlu mencapai matlamat sebenar, tepat dan selari dengan kehendak Islam, apatah lagi dalam konteks hari ini, masih ramai yang tidak menyedari falsafah di sebalik peristiwa agung itu.

Ia bukan sekadar memperingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari Makkah ke Madinah, sebaliknya membuahkan hikmah cukup besar apabila kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan, manakala Islam mula berkembang dan tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Susulan peristiwa hijrah itu juga menyaksikan takwim Islam mula diperkenalkan, sekali gus ketetapan itu penanda aras kepada kehidupan Islam sebenar, iaitu pemisahan antara hak dengan batil.

Malah, keistimewaan Muharam perlu diketahui kerana ia diangkat sebagai bulan pertama dalam kalendar hijrah dan dikenali sebagai bulan Allah atau ‘syahrullah.’

Pengerusi Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) Putrajaya, Mohd Gunawan Che Ab Aziz, berkata akibat tidak ambil pusing, ramai menyambut Maal Hijrah sebagai budaya ikut-ikutan.

“Ada ramai yang sambut kerana orang lain meraikannya dan tidak kurang yang hanya melihat sambutan Maal Hijrah sebagai alternatif kepada sambutan tahun baharu, dengan beranggapan kita perlu sambutan yang kelihatan lebih Islamik.

“Hijrah ini sebenarnya perkara penting kerana ia bukan sekadar perpindahan Rasulullah SAW dan sahabat ke Madinah, kerana impaknya mewujudkan surah Makkiyah dan Madaniyah dalam al-Quran,” katanya.

Berbicara mengenai tahun baharu hijrah, Mohd Gunawan berkata, ramai salah faham termasuk mengaitkan tahun pertama hijrah itu bermula pada detik penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah.

“Sebenarnya dalam tradisi kehidupan orang Arab, mereka tidak ada ketetapan bilangan tahun, sebaliknya kiraan hanya mengikut bulan seperti Safar, Rejab dan Rabiulawal yang berlaku sekian lama serta berterusan.

“Cuma apabila kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengajar penting untuk memiliki penanda tarikh, tetapi waktu itu masih belum wujud bilangan tahun.

“Maka, sejarah takwim Islam sebenarnya hanya bermula pada zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab RA pada 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah,” katanya.

Mengulas lanjut sejarahnya, Mohd Gunawan berkata, ia bermula apabila pengaruh Islam mula berkembang luas ke seluruh pelosok negara Arab, termasuk di Basrah, Iraq.

“Pada satu masa, Umar menghantar surat kepada gabenor di Basrah, iaitu Abu Musa al-Ashaari dan ketika membalas semula, antara ungkapan disebut adalah ketidakpastian sama ada dihantar pada Syaaban tahun sebelumnya atau pada tahun berkenaan.

“Perkara ini dilihat secara mendalam kerana boleh menimbulkan implikasi kepada tadbir urus sesebuah negara.

“Justeru, Umar ingin melakukan inovasi supaya urusan pentadbiran dapat dimantapkan, sekali gus lebih tersusun, cekap dan telus,” katanya.

Beliau berkata, hasil perbincangan dengan sahabat lain, muncul pelbagai pandangan berbeza mengenai bagaimana untuk memulakan kalendar Islam.

“Umar waktu itu mendengar pelbagai cadangan, termasuk dikira sempena tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan detik Baginda diangkat menjadi Rasul.

“Bagaimanapun, pendapat diterima dan disepakati Umar bersama Saidina Uthman Affan RA dan Saidina Ali Abu Talib RA, adalah mengira kalendar Islam bermula detik hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah,” katanya.

Mohd Gunawan berkata, kefahaman mengenai kemuliaan Muharam juga perlu diketahui hingga ia diambil sebagai bulan pertama dalam takwim Islam.

“Berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari, ia antara empat bulan haram, iaitu dimuliakan dan ini dipraktikkan seperti tidak boleh berlakunya peperangan sepanjang tempoh itu.

“Muharam juga istimewa kerana dimuliakan sebagai bulan Allah SWT. Apabila makhluk atau perkara itu dinisbahkan kepada-Nya, maka ia menunjukkan kemuliaan.

“Nama Muharam juga dinisbahkan dalam syariat Islam sendiri, manakala orang Arab Jahiliah mengenalinya sebagai Safar Awal,” katanya.

Justeru, antara amalan sunnah yang digalakkan sepanjang bulan ini adalah dengan melaksanakan puasa sunat.

“Nabi Muhammad SAW berkata, bulan yang paling baik untuk berpuasa selepas Ramadan ialah puasa pada Muharam.

“10 Muharram ialah satu tarikh sangat penting dan dimuliakan Rasulullah SAW hingga disunatkan untuk berpuasa, iaitu dipanggil al-Asyura.

“Bagaimanapun, dalam mazhab Shafie, ulama menyatakan sunat untuk kita berpuasa pada 9,10 dan 11 Muharam,” katanya.

Antara fadilat terbesar puasa pada 10 Muharam yang tidak sepatutnya diabaikan adalah diampunkan dosa seorang hamba itu bagi tempoh setahun yang lalu.

Mohd Gunawan turut memberikan pencerahan mengenai amalan membaca doa awal dan akhir tahun, yang sinonim dengan sambutan tahun baharu hijrah.

“Hukum berdoa ini seperti disebut ulama, ia termasuk sebagai perintah Allah SWT dan ia tidak ditentukan masa untuk melaksanakannya.

“Maka, dalam persoalan boleh atau tidak membaca doa awal dan akhir tahun, ia tidak menjadi masalah walaupun bukan amalan Rasulullah SAW.

“Adalah lebih baik doa ini dibaca dan dihayati bersama dengan kefahaman kita terhadap takwim serta amalan hijrah itu sendiri,” katanya.

Beliau turut menyentuh kebiasaan umat Islam yang gemar memasang azam setiap kali tiba tahun baharu.

“Tidak semestinya pada tahun baharu sahaja menjadi masa terbaik untuk pasang azam, sebaliknya sebagai umat Islam sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk menjadi lebih baik setiap hari.

“Apa yang lebih penting, lembaran hijrah ini sentiasa dihidupkan dengan meletakkan matlamat memelihara dan menegakkan agama Allah SWT,” katanya.

Abu Qirsafah RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia, berhijrahlah dan berpegang teguhlah dengan Islam. Ini adalah kerana selama jihad kekal, selama itulah hijrah (keluar di jalan Allah SWT) akan berkekalan.” (HR Tabrani)
 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER