Oleh MUHAMAD MAT YAKIM
SUATU malam, selepas solat Maghrib, isteri kata kepada saya: "Abang, saya sedia nak bantu abang bina keluarga baru!"
Mendengar itu, saya terus terkedu. Dalam keadaan masih bertelekung,
saya tidak terfikir yang bukan-bukan untuk isteri tiba-tiba berkata
begitu.
Apa yang saya fikir ialah dia mungkin telah mencapai tahap kekhusyukan
solat yang di kemuncak sebentar tadi, hingga mungkin sudah ternampak
payung emas seperti yang selalu disebut-sebut orang (saya kata disebut
orang kerana saya difahamkan tidak ada dalil yang menyebut hal itu di
akhirat).
Suami mana tidak terkejut jika isteri tiba-tiba tawar diri untuk bantu
bina keluarga baharu. Ia umpama seorang wanita yang sudah umur 70 tahun
tiba-tiba diberitahu oleh doktor dia mengandung ketika datang ke klinik
hanya untuk minta ubat cirit-birit. Terkejut dan tidak tahu hendak
berkata apa-apa.
Rasa saya, seorang lelaki yang terlantar sakit berbulan-bulan pun boleh
bingkas bangun jika terdengar isterinya berkata seperti apa yang dikata
oleh isteri saya.
Setelah beberapa lama memandang isteri saya atas bawah selepas dia
berkata begitu, akhirnya saya dapat kekuatan untuk membalas: "Apa awak
cakap macam tu?
Abang tak pernah pun ada niat nak bina keluarga baru. Keluarga abang ini lah saja. Abang sayang awak, sayang anak-anak..."
Kemas, jelas, tegas dan tuntas kata-kata saya.
Isteri terus tergelak. Kemudian mencubit manja lengan saya. "Abang
ni... ke situ pulak dia. Bukan keluarga yang itulah. Ni, keluarga bisnes
kita ni. Abang buatlah network baru, buat dengan sungguh-sungguh, nanti
saya bantu abang bina grup abang. Itulah 'keluarga baru' abang."
"Ooohh, barulah abang faham." Malunya dalam hati hanya Tuhan yang tahu.
Alkisahnya, isteri saya sejak dua bulan lalu sertai satu bisnes
berangkai. Memang sekarang dia sedang ghairah dengan bisnes itu. Tidak
kira siang malam, pagi petang dia akan bercakap pasal itu, Apa lagi
setelah masuk bulan kedua sahaja dia sudah dapat pulangan empat angka.
Kerana itu, dia taja saya untuk sertai kumpulannya. Kiranya dia memang
sedang ghairah hendak bina lebih banyak 'keluarga baharu'. Yang saya
pula tersilap faham keluarga baharu itu sebagai kesediaan bermadu.
Ok, apa yang saya nak ceritakan di sini bukanlah mengenai bisnes itu.
Apa yang membuat saya terdiam seketika, dan ambil masa yang agak lama
untuk menjawab apabila isteri tawar diri untuk bantu saya bina 'keluarga
baharu' sebenarnya ada sebab.
Saya sudah ada pengalaman dan tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sebab
itulah apabila menyentuh hal yang itu, mahu tidak mahu, kena
berhati-hati.
Dalam apa juga keadaan, orang lelaki biasanya akan dianggap bersikap gelojoh.
Apabila saya kongsi cerita itu dengan kawan-kawan, mereka terutamanya
wanita kata saya gelojoh. Puncanya hanya kerana saya tersalah faham
akan maksud tawaran isteri untuk bantu saya bina keluarga baharu itu.
Tuduhan mereka menyebabkan saya terpaksa bertanya pula, apakah respons
saya yang negatif, yang bermaksud menolak meskipun jika benar isteri
tawarkan saya ruang untuk bermadu, masih menunjukkan saya seorang yang
gelojoh?
Soal salah faham, nak buat macam mana kerana memang saya tersalah faham!
Itulah apabila berkaitan dengan hal-hal poligami, lelaki tetap akan
dipersalahkan walaupun kita berkata 'tidak', 'tidak mahu', 'tidak pernah
terlintas dalam hati walau sekelumit'.
Untuk membuktikan pendirian anda yang kemas, jelas, tegas, tuntas dan
muktamad seperti saya, anda malah boleh buat pengakuan seperti ini:
"Poligami? Apa tu?
Saya tak pernah dengar perkataan tu... boleh terangkan kepada saya apa
maksudnya? Sepanjang umur saya, saya tak pernah tahu pun apa itu
poligami."
Tetapi percayalah, apa juga sikap atau respons anda, anda tetap akan
dipersalahkan juga jika anda lelaki yang membicarakan mengenai poligami.
Semalam, seorang kawan berkongsi cerita, ketika heboh Ashraff Muslim
berpoligami, dia teruk disoal siasat oleh isterinya. "Orang lain
bermadu, aku pula yang kena," rungutnya ketika kami 'mengeteh' petang
semalam.
Dalam hal poligami, lelaki walaupun berkata tidak, tetap akan
dicurigai. Lebih-lebih lagi apabila ada yang sebelum itu
bersungguh-sungguh menafikan, tahu-tahu pecah cerita sudah pasang dua
atau tiga.
Akhirnya, apa yang paling baik ialah diam walaupun diam itu lazimnya dikaitkan dengan tanda setuju.
Mengapa lelaki dianggap gelojoh?
Written By zabidi on Monday, 9 February 2015 | 10:17 am
Labels:
Artikel


Post a Comment