Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
INGAT sebelum kena, hemat sebelum habis. Barangkali inilah peribahasa yang tepat untuk
mengingatkan kita supaya sentiasa berhati-hati dengan suasana dan
persekitaran terutama kejadian jenayah ragut yang semakin menjadi-jadi
sejak kebelakangan ini.
Peribahasa ini membawa maksud bahawa kita perlu berikhtiar dengan bersungguh-sungguh supaya tidak menyesal pada kemudian hari.
Merujuk kepada Kamus Dewan, jenayah bermaksud sesuatu perbuatan jahat
seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain yang salah di sisi
undang-undang, manakala ragut bererti menarik sama ada menyentak,
merabut atau mencabut dengan paksa atau dengan kekuatan.
Jenayah ragut sering dikaitkan dengan barang berharga seperti beg tangan dan perbuatan ini salah serta tanpa kerelaan mangsa.
Sasaran penjenayah terdiri daripada golongan yang lemah seperti wanita
dan warga emas di samping kanak-kanak yang dipakaikan barang kemas.
Jenayah ini semakin hari semakin bertambah. Apakah undang-undang dalam
membanteras perbuatan jahat ini sudah tidak ditakuti atau peluang untuk
meragut semakin terbuka serta mudah? Mungkinkah sikap masyarakat yang
masih leka dan lalai itu perlu disedarkan pada kadar segera?
Indeks jenayah
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, kes jenayah
ragut di ibu kota meningkat 195 peratus tahun lalu berbanding tempoh
yang sama pada tahun 2013.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 632
kes direkodkan berbanding 214 kes tahun 2013, sekali gus menjadi
penyumbang kepada kadar indeks jenayah secara keseluruhan,” katanya
selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK)
Kuala Lumpur pada pertengahan bulan Januari lalu .
Peningkatan
kes hampir 200 peratus itu merupakan satu angka yang sangat besar dan
perlu dipandang serius oleh semua pihak, terutamanya orang awam. Mereka
boleh menjadi sasaran seterusnya pada bila-bila masa sekiranya tidak
mengambil langkah berjaga-jaga.
Menurut Tajudin, walaupun kadar
indeks jenayah di Kuala Lumpur secara keseluruhannya menurun sebanyak
11.9 peratus iaitu 20,940 kes berbanding 23,758 kes direkodkan pada
tahun 2013, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha dan memperbanyakkan
lagi rondaan serta aktiviti cegah jenayah ragut pada masa akan datang.
Selain usaha secara fizikal, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan usaha melalui media sosial dan digital.
Contohnya, melalui laman web www.rmp.gov.my, pihak polis mengeluarkan
amaran berjaga-jaga dan sentiasa waspada terhadap jenayah ragut ini.
Sikap tidak mengambil berat mengenai aspek keselamatan diri dan harta benda boleh membawa padah kepada diri sendiri.
Matlamat penjenayah kes ragut hanya untuk mendapatkan barang berharga dengan cepat dan mudah.
Oleh itu, mereka akan mencari peluang-peluang yang terhidang untuk
melakukan jenayah ini. Sebagai contoh, berjalan seorang diri di tempat
yang sunyi dan gelap akan memudahkan lagi perbuatan jahat ini.
Desakan hidup
Peragut-peragut ini tidak memikirkan soal keselamatan diri mangsa dan
diri sendiri. Apa yang penting, mereka dapat apa yang mereka mahukan
walaupun sedikit.
Sementara itu, pensyarah di Jabatan Psikologi
Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM),
Prof. Madya Mariani Md. Nor menjelaskan, pelbagai faktor menjadi sebab
dan punca kepada jenayah ragut ini.
“Desakan hidup adalah antara
penyebab, khususnya kepada golongan muda yang banyak menganggur, apatah
lagi mereka tinggal di ibu kota yang serba-serbi memerlukan wang.
“Kos sara hidup yang tinggi dicampur dengan status kewangan yang tidak
mencukupi menyebabkan mereka bertindak di luar batasan normal.
“Bagi golongan belia yang tinggal di luar bandar pula, keciciran dalam
aspek pendidikan menyebabkan mereka sukar untuk mendapat kerja apabila
merantau ke bandar. Kedatangan mereka ke ibu kota juga tanpa hala tuju
yang jelas,” jelasnya.
Menurut Mariani, peragut lazimnya
melakukan aktiviti ini bukan kerana keseronokan tetapi ia disebabkan
untuk mendapatkan apa sahaja barangan berharga yang boleh ditukar ganti
menjadi wang bagi menampung keperluan hidup.
Ditanya mengenai
faktor kelekaan dan ketidakpekaan masyarakat terhadap jenayah jalanan
ini, Dekan Fakulti Pendidikan UM itu sangat bersetuju dengan faktor
tersebut.
Tambahnya, kesibukan orang ramai untuk mengejar masa
dalam melakukan rutin harian menambahkan kealpaan mereka terhadap
keadaan sekeliling.
“Penjenayah jalanan seperti ini tidak
memerlukan perancangan yang rapi sebelum bertindak. Apa sahaja peluang
yang terhidang akan digunakan dengan sebaik-baiknya.
“Ditambah
pula dengan topi keledar yang mempunyai pelindung gelap, ia memudahkan
usaha mereka untuk melakukan aktiviti jenayah ini,” ujarnya lagi.
Mariani mengakui bahawa wanita sememangnya suka pada barang perhiasan.
Namun, perbuatan mempamerkan barang perhiasan seperti barang kemas, beg
tangan dan telefon bimbit boleh mengundang padah, terutamanya di
tempat-tempat yang sering menjadi sasaran peragut.
Mariani
menasihati orang ramai terutama wanita yang sering menjadi mangsa ragut
supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, pastikan agar laluan
yang diambil itu selamat dan elakkan berjalan seorang diri di tempat
sunyi dan gelap.
“Pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan
peranan masing-masing dengan menyediakan infrastruktur yang mempunyai
ciri-ciri keselamatan seperti memasang rakaman televisyen litar tertutup
(CCTV), menyediakan kemudahan lampu di kawasan yang gelap, meletakkan
papan tanda amaran dan sebagainya,” jelasnya.
Semoga tahun 2015
ini menjadikan kita sebagai masyarakat yang bertamadun dan berilmu,
sekali gus sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta bertindak
dengan lebih bijak dalam usaha membanteras jenayah ragut.
Post a Comment