Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
ALHAMDULILLAH syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan kita dalam tanah air Malaysia
tercinta ini insan bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bak kata pepatah;
harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Itulah ungkapan yang mampu kita lafazkan terhadap Tuan Guru Nik Abdul
Aziz Nik mat (TGNA) yang telah meninggalkan nama baik, bukan sahaja di
persada tanah air ini, malah di seluruh pelusuk dunia.
Justeru,
nama al-marhum TGNA dimasukkan dalam kategori 500 individu muslim
berpengaruh seluruh dunia seperti yang terakam dalam buku The 500 Most
Influential Muslims In The World tahun 2009 terbitan The Royal Islamic
Strategic Studies Center yang berpengkalan di Amman, Jordan yang
memperlihatkan TGNA disebut sebagai pemimpin Islam yang amat berpengaruh
kerana kesederhanaan dalam tindak-tanduk dan akhlaknya.
Bukan senang
untuk menceburi bidang politik terutama mereka yang bergelar agamawan,
apatah lagi politik sering dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan
seumpamanya. Namun TGNA tetap mampu bertahan hingga mencecah 23 tahun
menerajui politik negeri Kelantan, antara beberapa negeri yang ditadbir
oleh pembangkang menghadapi politik Barisan Nasional yang sering
dikaitkan dengan politik tidak bersih dan berat sebelah terutama dalam
pilihan raya seperti yang dilaporkan berita dunia sebagai pemerhati.
Bagi warganegara yang tidak mengambil tahu langsung mengenai perjalanan
politik dalam negara, sudah tentu mempunyai alasan sendiri untuk
mengatakan ketidak-persetujuan mereka tentang perjalanan sistem politik
yang dilihat sebagai meruncing, apatah lagi ia dianggap kotor lagi
menjijikkan.
Benarkah politik di Malaysia atau di negara-negara
umat Islam bersifat demikian, lebihlebih lagi tiada mana negaranegara
umat Islam di dunia ini yang menjalankan sistem politik yang berasaskan
‘Siasah Syar’iah’ sebagai undang-undang tertinggi negara, kerana senorio
politik menunjukkan, bahawa negara-negara Arab sama ada di utara Afrika
dan di teluk lebih cenderung kepada sistem politik Sekularisme,
Kapitalisme, Sosialisme dan lain-lain.
Apatah lagi jika para
pemimpin negara terlibat dalam kes-kes rasuah kemudian ia ditukar kepada
istilah politik wang bagi mengelabui rakyat, konspirasi jatuh-menjatuh
antara satu sama lain, salah laku, skandal, mengaut keuntungan daripada
projekprojek mega yang hanya berkisar di kalangan mereka sudah menjadi
sinonim yang bukan lagi rahsia yang perlu ditutup.
Tindakan-tindakan negatif seumpama itu memberi impak besar kepada
kelancaran perjalanan sistem politik negara, yang akhirnya mengheret
rakyat untuk membenarkan tindakan mereka, tidakkah pengamalan politik
seumpama itu mencemari demokrasi yang difahami umum sebagai satu sistem
yang boleh dipercayai?
Justeru, penjelasan mengenai politik sama
ada kotor atau sebaliknya perlu diberi pendedahan secara ilmiah, ia
bertujuan untuk mendidik rakyat agar sentiasa menjadi individu
warganegara yang bukan hanya sekadar menerima pelaksanaan sesuatu konsep
politik, malah bersedia untuk berdebat bagi menegakkan kebenaran
politik yang bersumberkan kepada wahyu kebenaran Ilahi.
Namun kenapa TGNA tegar untuk terus berpolitik?
Dalam salah satu penjelasan TGNA, beliau melibatkan diri dalam arena
politik yang penuh dengan sepak terajangnya, adalah kerana hari ini kita
dapat lihat bahawa Buddha ada negara sendiri, Kristian pun ada,
Komunis, Sekular, Nasionalis semua ada, tetapi Negara Islam bagaikan
tidak wujud di alam nyata, maka menjadi wajib umat Islam menerajui urus
tadbir negara/negeri yang berinspirasikan Islam yang melatakkan al-Quran
dan Sunnah serta Sirah Nabawiyyah sebagai perlembagaan tertinggi.
Jika umat Islam tidak ambil peduli persoalan politik tanah air, hingga
golongan sekular dan seumpamanya menguasai kepimpinan negara, maka
seluruh umat Islam berdosa. Maka tegas TGNA, mahu tidak mahu dengan
kudrat yang terbatas, penglibatan dalam politik adalah satu kewajipan
walaupun melalui pilihan raya.
Kerana politik merupakan antara
disiplin ilmu penting serta mempunyai kedudukan tersendiri, adapun dari
sudut praktikal pula ia memberi kebaikan jika negara ditadbir mengikut
lunas-lunas sistem pentadbiran dan pemerintahan berasaskan kebenaran
agama yang diceduk daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w,
kerana sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik yang ditadbir
oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik sepanjang zaman.
Sehubungan itu, Imam Ibn al-Qaiyim al-Jawziah berpendapat, bahawa
politik adalah satu perlakuan manusia untuk membawa kebaikan menyeluruh
serta menjauhkan mereka daripada sebarang bentuk kerosakan yang
bercanggah dengan hukum Syariat Allah SWT.
Politik yang baik
menurut beliau, ialah satu sistem pentadbiran negara penuh suasana
keadilan selari dengan tuntutan ajaran Allah dalam al-Quran dan Sunnah
Nabi Muhammad s.a.w. (sila lihat at-Turuq al-Hukmiah fi as-Siasah
al-Syar’iah m.s 13-15)
Sementara Imam al-Ghazali pula
mentakrifkan politik, sebagai dunia yang menjadi tempat bercucuk tanam
untuk mendapatkan hasil di akhirat, tidak sempurna agama melainkan
dihubungkan dengan dunia, sebagaimana tidak sempurna sesebuah kerajaan
tanpa agama, kerana kedua-duanya adalah kembar yang tidak boleh terpisah
antara satu sama lain, agama itu adalah pokok, pemerintah adalah
penjaganya, sesuatu perkara yang tidak ada pokoknya maka ia akan hancur
dan sesuatu yang tidak ada penjaganya, maka ia akan hilang. (Ihya’ Ulum
al-Din 1/17 bab tentang ilmu, Dar al-Makrifah, Beirut).
Para
ulama’ bersepakat menyatakan, bahawa pemerintah (khalifah) adalah
pengganti kepada pelaksana Syariat Islam pertama iaitu Nabi Muhammad
s.a.w., di mana baginda merupakan penjaga kepada agama Islam dan
dasar-dasar politik dunia yang berteraskan kepada agama.
Baginda
Rasulullah s.a.w bukan sahaja seorang pendidik, motivator, hakim, malah
seorang ahli politik yang berjaya sebagai ketua negara atau pemerintah
umat Islam yang disusuli dengan para pemerintah di kalangan ‘Khulafa’
Rasyidun’ yang telah melakarkan sejarah gemilang kerana berjaya
memerintah negara dengan penuh keadilan dan keharmonian hidup
bermasyarakat berasaskan ilmu pengetahuan dan keimanan yang kental.
Tetapi apa yang menjadi masalah kepada rakyat di negaranegara umat
Islam hari ini, ialah mereka tidak mendapatkan para pemerintah yang
melaksanakan sistem politik dalam negara masing-masing yang bersih,
adil, telus, kerana ia diimport daripada peraturan dan undangundang
Barat yang memisahkan pentadbiran negara daripada agama.
Maka
lahirlah para pemimpin atau pemerintah yang memiliki cita rasa
memerintah dengan peraturan yang sedikit pun tidak ada kena mengena
dengan Islam, mereka sanggup menjadi penyambung golongan penjajah yang
memisahkan rakyat daripada agama, malah memperkenalkan ideologi falsafah
yang cenderung kepada mengutamakan akal semata-mata.
Justeru,
lahirlah gerakangerakan Islam yang tersohor seperti Ikhwan Muslimun di
Mesir dan beberapa buah negara Arab lain, Jamaat Islami di Pakistan,
Masyumi di Indonesia, MILF di Filipina, PAS di Malaysia dan lain-lain
yang berani memasuki arena politik kerana ia adalah sebahagian daripada
ajaran Islam, kerana mereka melihat bahawa hukum dan undang-undang Islam
tidak akan sempurna melainkan terlibat dalam politik bagi memegang
kuasa eksekutif untuk melaksanakan Islam.
Sikap dan tindakan
berani segenap gerakan Islam berkenaan menceburi bidang politik, sedikit
sebanyak mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat, bahawa Islam hanya
boleh dibahaskan di masjid-masjid atau pun di surausurau, malah
membebaskan pemikiran masyarakat tidak hanya beranggapan bahawa ahli
politik tidak boleh bercakap mengenai agama, sedangkan baginda
Rasulullah menerusi sirahnya telah membuktikan keupayaan sebagai
pemimpin negara, pentadbir atau imam di masjid tanpa melakukan pemisahan
antara agama dan politik.
Apabila tidak ada individu yang faham
Islam dengan sebaikbaiknya menceburi politik, sudah pasti banyak elemen
agama tidak boleh diperjuangkan, ini dapat dilihat bagaimana parti-parti
politik berhaluan Islam di Tunisia tewas dan segelintir sahaja sebagai
wakil rakyat di parlimen, maka pihak berkuasa yang berhaluan Sekular
sebagai golongan majority telah mengisytiharkan pengharaman pemakaian
hijab (tudung kepala) di universiti-universiti seluruh negara tanpa
dapat dihalang kerana ketiadaan kuasa untuk menghalang.
Malah
pihak berkuasa begitu angkuh dengan nada sinis mengatakan di parlimen,
bahawa pemakaian hijab itu bukan sebahagian daripada pakaian Islam,
malah ia lebih kepada pakaian suku kaum tertentu, sebagaimana solat hari
raya di kawasan lapang bukanlah sunnah nabi, malah ia adalah solat
politik yang dicetuskan oleh pembangkang.
Justeru, tindakan kejam
pemerintah dengan membelakangkan hukumhukum Allah, sedikit sebanyak
memberi gambaran yang tidak sihat mengenai Islam, pada masa sama
tindakan memberi dan menerima rasuah, berkepentingan adalah di antara
aspek yang dikenal pasti merosakkan imej Islam di mata masyarakat hingga
menyifatkan politik adalah satu agenda atau wadah jijik lagi kotor yang
sepatutnya dijauhi, inilah kejayaan penjajah yang berjaya menanam
bibit-bibit fahaman Sekular dalam minda, cara dan gaya hidup umat Islam
agar terus berbangga bahawa Sekular lebih baik daripada Islam.
Maka syabas diucapkan kepada TGNA kerana berjaya menangkis serangan
musuh yang mengamalkan politik kotor, malah sekali gus menutup mulut
golongan Sekular dan Nasionalis yang memisahkan politik dari urus tadbir
negara kepada satu hala tuju politik bersih dan adil dengan pentadbiran
Islam.
Semoga roh TGNA aman di alam Barzakh dan dirahmati Allah.
Tok Guru tepis tohmahan agamawan tidak mampu berpolitik
Written By zabidi on Sunday, 8 March 2015 | 9:50 pm
Labels:
Artikel
Post a Comment