Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
Lukisan dipamerkan sememangya ‘melekat’ di dinding, tetapi apabila
dirakam dengan lensa kamera,
ia seperti ‘hidup’ dan pelbagai perasaan
bermain di minda saat anda memikirkan keunikan imej berkenaan.
Ia membuatkan pengunjung seolah-olah berada dalam situasi dan lokasi sebenar saat merakamkan kenangan bersama lukisan berkenaan.
Itulah keistimewaan seni lukisan tiga dimensi (3D) yang makin
mendapat sambutan menggalakkan walau di mana sahaja ia dipamerkan
terutama di kawasan tumpuan pelancong.
Situasi sama turut dirasai penduduk pekan Sungai Lembing dekat
Kuantan, Pahang apabila Sg Lembing Three Dee Gallery (Galeri 3D) mula
dibuka kepada orang ramai mulai November tahun lalu.
Penulis yang pertama kali berkunjung ke galeri berkenaan turut teruja
apabila dapat merakam detik manis bersama figura seni mempertahankan
diri terkenal dunia, mendiang aktor Bruce Lee dan potret Monalisa di Mr
Bean.
Bukan mudah untuk bergambar dengan kedua-duanya biarpun hanya dalam bentuk 3D.
Selain itu, galeri yang mempamerkan 30 lukisan 3D bersaiz besar itu
turut mengetengahkan beberapa produk pelancongan dan suasana kehidupan
penduduk di pekan berkenaan serta imej yang mempunyai ‘hubungan mesra’
dengan masyarakat.
Pengurus galeri berkenaan Thomas Lee berkata, idea mewujudkan galeri
lukisan 3D itu tercetus apabila melihat kebangkitan semula Sungai
Lembing sebagai destinasi pelancongan selepas mengalami zaman gelap
dengan berakhirnya aktiviti pelombongan bijih timah pada pertengahan
1980-an.
“Lukisan 3D membuatkan kita seperti berada dalam situasi sebenar
menerusi pelbagai bentuk kehidupan seperti di hutan, dasar laut serta
alam fantasi malah tidak ketinggalan gambaran daripada kerja
perlombongan yang dijalankan penduduk pada waktu itu.
“Bagaimanapun, pengunjung perlu menggunakan kreativiti tersendiri
untuk merakamkan gambar terbaik dari sudut tepat supaya gambar itu
kelihatan benar-benar ‘hidup’,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Lee berkata, galeri itu antara usaha mempromosi aktiviti pelancongan
khususnya di pekan berkenaan yang turut dikenali sebagai El-Dorado Timur
kerana aktiviti perlombongannya ketika itu.
“Bagi mendapatkan lukisan 3D menarik, ia memerlukan beberapa teknik
lukisan yang betul dan ketelitian bagi menghasilkan lukisan yang
berkualiti.
“Saya berpuas hati dengan kualiti kerja seorang pelukis dari Pulau
Pinang yang mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan semua lukisan
ini,” katanya.
Menurutnya, antara imej yang dipaparkan ialah Bukit Panorama, Air
Terjun Pelangi, jambatan gantung Kuala Kenau, terowong Sungai Lembing
dan peti surat lama serta peta penunjuk arah yang menjadi antara ikon
pelancongan pekan bersejarah itu.
Lukisan lain ialah kanak-kanak bermain layang-layang, menangkap
kupu-kupu, memancing, aktiviti kenderaan pacuan empat roda, hidupan laut
seperti jerung dan sotong, permainan Star Wars serta beberapa lukisan
3D lain.
Orang ramai boleh berkunjung ke galeri berkenaan yang dibuka mulai
jam 9 pagi hingga 6 petang. Tiket berharga RM16 bagi dewasa, kanak-kanak
(RM12) dan orang kelainan upaya (RM10).
Galeri berkenaan yang mula dibuka sejak November tahun lalu mendapat
sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan dikunjungi
pelancong luar setiap hujung minggu.
“Pengunjung memerlukan sekurang-kurangnya sejam untuk ‘menjelajah’
dan bergambar dengan semua lukisan di dinding bangunan dua tingkat ini.
Kita juga ada kakitangan untuk membantu pengunjung bergambar.
“Ada pengunjung yang belum pernah melihat lukisan 3D teragak-agak
untuk bergambar menyebabkan mereka gagal mendapat sisi yang menarik,”
katanya.
Sementara itu, beberapa pengunjung teruja melihat lukisan berkenaan,
sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada mereka terutama yang
baru pertama kali melihat imej berkenaan secara berdepan.
Kakitangan swasta, Siti Zaleha Khairuddin, 32, berkata muzium yang
dipenuhi lukisan ‘seni silap mata’ itu berpotensi sebagai tarikan utama
pekan Sungai Lembing.
“Ketika melihatnya dengan mata kasar, ia hanya sekadar sebuah
lukisan, tetapi selepas gambar dirakam, saya teruja kerana lukisan di
galeri ini benar-benar ‘hidup’ apabila dirakam menerusi lensa kamera,”
katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.
Elias Abdullah, 45, berkata lukisan 3D mempunyai daya tarikan tersendiri kerana berbeza dengan lukisan biasa.
“Lukisannya menarik kerana menggambarkan situasi sebenar pekan ini,
malah kelihatan hidup sehingga sukar dipercayai apabila dirakam,”
katanya.
Post a Comment