Masuk
hutan tetapi bergaya dengan pakaian cantik persis mengunjungi pusat
beli-belah. Malah, boleh memuat naik gambar, video serta status di laman
sosial saat berada di dalam hutan berusia 130 juta tahun itu.
Ini tentunya bertentangan dengan ‘etika’ berpakaian ketika menyertai aktiviti penerokaan alam semula jadi terutama di hutan.
Biasanya, gajet terutama telefon pintar pula hanya digunakan sebagai
kamera untuk merakam gambar atau video. Jika ingin memuat naik ke media
sosial, kita biasanya akan melakukannya selepas ke luar dari hutan.
Bagaimanapun, di Fashion Forest Awana, Genting Highland, penerokaan
di dalam hutan dipterokarpa atas (upper dipterocarp) di ketinggian 3,000
meter dari atas laut itu, anda boleh memakai pakaian kasual dan santai.
Anda juga tidak akan terputus dengan talian Internet, malah boleh
memuat naik gambar, video dan status di laman sosial pada bila-bila
masa.
Hutan ini juga menjadi lokasi ‘Poke Stop’ dan ‘Gym’ dalam permainan Pokemon Go.
“Pokok pun ada rupa sendiri. Ada bentuk sendiri. Flora dan faunanya
juga pelbagai dan sangat menarik untuk diteroka,” kata Pengarah Trek
Events, Eddie Chan selaku pemandu pelancong alam semula jadi (nature
guide) ketika kunjungan penulis ke hutan itu, baru-baru ini.
Apabila alam semula jadi bertemu teknologi, proses penerokaan akan
lebih menarik dan mengujakan. Ini sekali gus mendekatkan pengunjung
dengan alam semula jadi.
Keterujaan saat menemui pokok, buah, serangga dan haiwan dan terus
memuat naik ke laman sosial membuatkan pengunjung dapat segera berkongsi
rakan.
Kerjasama Resort World Genting dan Treks Nature membawa alam semula
jadi dengan cara bergaya antara faktor kenapa ia dinamakan ‘Fashion
Forest’.
Mula dibuka pada 1997, Fashion Forest juga diberi bagi menggambarkan
haiwan dan hidupan di hutan itu sebagai ‘supermodel’ manakala pengunjung
yang berjalan santai ketika menerokai hutan ini seolah-olah melakukan
‘catwalk’.
Menurut Chan, Fashion Forest bagaikan medan peragaan yang menawarkan pelbagai keistimewaan sukar diperoleh di tempat lain.
“Di sini, warna hutan berlainan, tidak hanya hijau. Flora dan faunanya juga berwarna-warni.
“Haiwan di sini juga pelbagai. Ada lima spesies burung enggang boleh dilihat di sini,” katanya.
Kemudahan Internet tanpa wayar (wiFi) yang disediakan membantu
pengunjung ‘melihat lebih banyak, mengetahui lebih lanjut dan menikmati
lebih banyak’ keseronokan secara praktikal melalui alat bantuan visual.
Memulakan penerokaan, pengunjung akan menemui lima kawasan di Fashion Forest iaitu Galeri 1, 2, 3, 4 dan 5.
Menuruni anak tangga, pemandangan pokok menghijau menjadi santapan
mata cukup mengujakan. Di Galeri 1, pengunjung dapat melihat keindahan
pokok tinggi yang mempunyai pelbagai bentuk.
“Kalau kamu perhatikan betul-betul, pokok tinggi di hadapan ini tak
sama bentuknya dengan yang di belakang?” tegas Chan walaupun ia spesies
yang sama.
Kerana itulah beliau menegaskan pokok juga ada rupa tersendiri.
Tidak ada nama pokok diletakkan kecuali kod bar yang boleh diimbas
menggunakan aplikasi yang dimuat naik di telefon pintar. Sebaik diimbas,
nama dan maklumat pokok berkenaan akan tertera.
Memasuki Galeri 2, lantai di kawasan itu dibersihkan tanpa tumbuhan
bagi membolehkan pengunjung terutama kanak-kanak melihat lebih dekat
titik permulaan pertumbuhan pokok.
Beberapa pokok yang sudah mati turut diukir dengan ukiran menarik.
“Di sini, artis boleh mengukir di pokok, tapi mesti di pokok yang
sudah reput. Mereka boleh menzahirkan idea dan kreativiti di pokok
berkenaan.
“Secara tidak langsung ia dapat memberikan kelainan, sesuai dengan objektif Fashion Forest,” katanya.
Di Galeri 3 pula, kelihatan anak pokok baru tumbuh, sekali gus pengunjung boleh melihat proses pertumbuhan berkenaan.
Tatkala khusyuk mendengar penerangan Chan, rupa-rupanya kami ada
pemerhati. Lutung (dusky leaf monkey) comel, tetapi garang antara
spesies monyet yang menghuni di sini.
Dari lantai yang bersih, kemudian ditumbuhi pokok kecil, di Galeri 4 pula penuh dengan daun pokok kering.
Di sini, semuanya dikekalkan kerana ia mempunyai kepentingan sendiri
terutama dalam proses pembelajaran. Pengunjung boleh belajar mengenai
serangga dan macam-macam lagi. Apabila terjumpa buah, kita boleh tahu ia
jenis apa berdasarkan pokok di sekelilingnya.
Galeri 5 pula mempunyai pokok besar termasuk yang sudah berusia lebih
130 juta tahun. Namun, disebabkan matahari sudah mula melabuhkan
tirainya, kami tidak dapat meneruskan penerokaan hingga ke bahagian
lebih dalam.
Sepanjang penerokaan, wifi yang disediakan bagaikan satu bonus.
Sedang asyik meneroka, kami sempat memuat naik gambar di laman sosial
Instagram dan Facebook.
Hanya beberapa minit selepas dimuat naik, ia mendapat maklum balas
luar biasa daripada kawan-kawan. Secara tidak langsung, ia menjadi
promosi kepada Fashion Forest.
Di sebelah malam, penerokaan di sekitar Awana Genting diteruskan
dengan aktiviti herping. Herping ialah aktiviti mencari reptilia atau
mamalia di dalam hutan pada waktu malam.
Diketuai Steven Wong, iaitu Ketua Koordinator untuk Herpetofauna
Special Interest Group, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan
Selangor, kami berpeluang menemui beberapa spesies katak dan cicak di
sekitar Awana Genting Resort.
Berbekalkan lampu suluh, berjalan di dalam gelap dengan cuaca dingin
cukup mendamaikan. Kaki berjalan manakala mata pula mencari hidupan alam
yang aktif pada waktu malam.
Pelbagai spesies katak dapat dilihat, antaranya katak puru sunda,
katak rumput, katak sawah hijau, katak pokok berjalur empat dan
dark-sided chorus frog. Cicak juga antara hidupan yang ditemui.