Dakwah dan Media
Sejak zaman dahulu, mereka yang terlibat di dalam
aktiviti dakwah sentiasa berusaha untuk menyampaikan seruan agama
melalui pelbagai kaedah dan media. Penggunaan teknologi sejagat dan
terkini adalah satu perkara lumrah bagi para pendakwah. Menurut sejarah,
kitab suci Al-Quran pertama sekali didokumentasikan dalam bentuk
penulisan ketika pemerintahan Saidina Usman ibn.
Affan (r.a). Tujuan
Al-Quran dibukukan ialah bagi mengekalkan isi kandungannya untuk dibaca
dan dihayati oleh generasi akan datang. Salinan Kitab Suci ini yang
ditulis dengan tangan seperti yang terdapat di Baitul Quran di Kuwait
sekarang memerlukan masa yang sangat lama untuk disediakan. Hal ini
pasti telah menghadkan keberkesanan dan kemampuan kerja-kerja dakwah.
Walaubagaimanapun di dalam tahun 1456 Masehi,
Gutenberg telah berjaya mencipta mesin cetak.
Kewujudan mesin cetak
mempercepatkan usaha menyediakan teks-teks berkaitan keagamaan. Kos
bahan-bahan tersebut juga menurun apabila salinan dapat disediakan
dengan banyak. Media cetak terus menjadi saluran utama aktiviti
pengembangan agama sehingga kurun ke-20. Kurun ke-20 merupakan kurun
revolusi komunikasi. Satu media komunikasi baru, iaitu media elektronik,
diperkenalkan di sekitar tahun 1910an. Alat pertama yang dihasilkan
ialah radio. Siaran radio mampu dipancarkan dengan meluas ke seluruh
pelusuk dunia. Seruan pendakwah dapat diamati lebih ramai pendengar.
Pada hari ini, kita dapati banyak stesen radio tempatan dan kebangsaan
menyediakan pelbagai rancangan bercorak keagamaan bagi menjalankan
aktiviti dakwah. Kuliah pendakwah diselang-selikan dengan respons
daripada pendengar yang menelefon untuk memberi pendapat atau menanyakan
soalan.
Selepas radio, televisyen pula diperkenalkan sebagai
media komunikasi elektronik. Perkara ini berlaku di sekitar pertengahan
kurun ke-20. Kemunculan televisyen memberi satu wadah dan peluang baru
untuk aktiviti dakwah. Selain suara, grafik dalam bentuk statik atau
video dapat dipertontonkan di dalam program-program keagamaan. Maklumat
dapat disampaikan dengan lebih realistik.
Keberkesanan pendakwah juga
semakin meningkat. Pada mulanya kelompok penonton televisyen agak
terhad. Namun demikian, dengan kewujudan satelit, siaran televisyen
dapat dipancarkan ke seluruh dunia. Di samping televisyen satelit,
kemudahan televisyen interaktif atau saling tindakan juga dijangka boleh
merevolusikan kaedah berdakwah menerusi media elektronik.
Internet
Ketika kita menghampiri milineum ketiga selepas
Masehi ini, bidang media elektronik maju setapak lagi. Satu sistem
komunikasi canggih, pantas dan berkesan yang berlandaskan teknologi
maklumat diperkenalkan. Sistem ini lebih dikenali sebagai Internet.
Berjuta-juta penduduk dunia kini dihubungkan antara satu dengan lain
oleh satu rangkaian sistem maklumat padu. Internet mudah digunakan.
Hanya dengan beberapa peranti asas dan sofwer sesuai, serta talian
telefon biasa atau selular, seseorang boleh dihubungkan ke rangkai
maklumat sedunia. Yang pasti, pendakwah juga tidak melepaskan peluang
keemasan ini untuk sama-sama menyalurkan maklumat serta menyampaikan
seruan agama masing-masing melalui Internet.
Internet pada mulanya merupakan media bersandarkan
teks bagi komunikasi surat elektronik atau `e-mail'. Internet dicipta
semata-mata bagi tujuan ketenteraan oleh pihak Pentagon, iaitu Jabatan
Pertahanan Amerika Syarikat. Selepas sekian lama teknologi ini tertekan
atas alasan kepentingan keselamatan, di awal tahun 1990an barulah ada
pihak yang memasarkan penggunaannya secara meluas. Institusi pengajian
tinggi serta makmal-makmal penyelidikan merupakan pelanggan terawal
kemudahan Internet. Pihak awam lain hanya menyedari kekuatan pengaruh
sistem ini apabila jaringan raya seluruh dunia atau `world wide web
(www)' Internet diperkenalkan. Www membolehkan komunikasi multimedia
dijalankan. Teks boleh digandingkan dengan bunyi, gambar dan video.
Jaringan raya Internet yang tidak mengenal sempadan
ini menjadi info-struktur terunggul media komunikasi sejagat. Justeru
itu, saluran Internet dapat digunakan bagi tujuan penyebaran ilmu dan
maklumat secara optima, termasuklah usaha-usaha menyampaikan dakwah.
Internet amat mesra pengguna. Kandungan Internet
boleh ditinjau melalui pelbagai enjin atau sofwer pencari yang sedia
wujud di dalamnya. Hanya dengan berbekalkan beberapa kata kunci yang
berkaitan dengan maklumat yang dicari, kita dapat melangkah masuk ke
ratusan ribu fail yang mengandungi kata kunci tadi yang terdapat di
server-server atau komputer penyimpan maklumat di seluruh dunia. Fail
data biasa dikumpulkan ke dalam pakej tertentu yang didahului satu papan
pengenalan yang bertindak sebagai `paparan induk' atau `homepage'.
Setiap pakej fail juga diberi satu alamat. Kita boleh terus memasuki
fail-fail tadi kalau kita tahu alamatnya di tapak jaringan.
Biasanya, `homepage' adalah saling berhubung. Kita
mudah bergerak dari satu fail ke satu fail yang berkaitan. Keupayaan ini
amat memukaukan sehingga kadang-kadang kita alpa tujuan atau maklumat
asal yang dicari. Aktiviti seperti ini biasanya dikenali sebagai
`net-surfing' atau `merayau di jaringan'.
Satu pencarian yang berdasarkan beberapa kata kunci
telah dibuat melalui salah satu daripada enjin pencari Internet pada 8
April, 1997. Kata kunci `Islam' menunjukkan bahawa terdapat 21 kategori
dan 460 tapak atau fail yang menyebut tentang `Islam'. Istilah
`Christian' pula menghasilkan 103 kategori dan 4474 tapak; `Judaism'
memberi 20 kategori dan 104 tapak; `Hinduism', 4 kategori dan 30 tapak;
dan `Buddhism', 10 kategori dengan 127 tapak.
Kata kunci `religion' (agama) memberi 463 kategori
dan 827 tapak, manakala `faith' (kepercayaan) pula terdapat di dalam 19
kategori dan 606 tapak. Pencarian dengan kata kunci `Allah' atau `God',
masing-masing memberi 0 kategori dengan 8 tapak, dan 16 kategori dengan
1085 tapak. Angka-angka yang diberi di atas adalah melalui pencarian
kasar, dan tidak membenarkan sebarang rumusan atau kesimpulan dibuat.
Setiap fail perlu diteliti bagi menentukan tujuan tulisan yang
mengandungi istilah tadi dibuat dan dimasukkan ke dalam Internet. Namun
demikian, keputusan yang diperolehi ini menunjukkan bahawa aktiviti
dakwah sudah meresap ke dalam Internet. Para pendakwah sekali lagi
menunjukkan ciri kreatif dan peka terhadap kemajuan teknologi.
Islam di Jaring
Apabila diteliti `homepage' yang berciri keagamaan,
nyata ianya disediakan oleh pelbagai pertubuhan, institusi pengajian
tinggi dan orang perseorangan dari seluruh pelusuk dunia. Setiap
`homepage' mempunyai gaya dan penekanan tersendiri. Contoh `homepage'
maklumat multimedia tentang Islam serta alamat masing-masing di dalam
Internet termasuklah Islamicity (www.Islamicity.org/), Kampung Net
masyarakat Islam Singapura (www.pointpub.co/kampungnet/), Pemikiran
Islam (wings.buffalo.edu/sa/muslim/isl/thought.html) dan Kesatuan Belia
Muslim Sedunia (www.maxinet.com/yusuf/wamy).
Selain daripada maklumat multimedia, Internet juga
berciri interaktif. Justeru itu pengguna dapat berinteraksi dengan
pembekal maklumat. Keupayaan ini amat penting bagi forum dakwah kerana
pelbagai persoalan mungkin timbul disebabkan salah faham atau salah
tanggapan. Pengguna boleh mengajukan soalan atau komen yang kemudiannya
akan dijawab oleh pembekal maklumat atau pihak pendakwah. Ciri
interaktif bukan sahaja memantapkan keupayaan Internet sebagai media
penyebaran dakwah, malah hal ini menjadikannya satu wadah percambahan
pendapat ahli-ahli teologi dan cendiakiawan-cendiakiawan bidang
keagamaan dan keilmuan, sesuai dengan maksud ayat 125 dari surah
An-Nahl, "Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan
kebijaksanaan dan pengajaran yang baik dan berbantahlah (berdebatlah)
dengan mereka dengan (jalan) yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih
mengetahui orang-orang yang sesat dari jalannya dan Dia lebih mengetahui
orang-orang yang mendapat petunjuk."
Sebagai khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan
agama Allah di muka bumi, pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat
tidak lagi boleh kita abaikan. Setiap Muslim adalah pendakwah. Justeru
itu kebolehan menggunakan Internet memberi satu peluang terbaik kepada
umat Islam untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada
keburukan. Golongan cendiakiawan Muslim terutamanya perlu memainkan
peranan aktif di dalam memanfaatkan kemajuan teknologi maklumat.
Ajaran Songsang
Namun demikian, di sebalik kehebatan aktiviti dakwah
melalui Internet, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab yang
sama-sama menumpang jaringan raya sedunia ini untuk menyebarkan ajaran
sesat, dakyah palsu dan kepercayaan karut. Oleh kerana Internet
merupakan sebuah wadah terbuka dan terdedah, maka sebarang jenis
maklumat boleh disebarkan melaluinya. Penapisan maklumat hampir mustahil
dilakukan. Justeru itu, golongan anti-keagamaan dan anti-kemanusiaan
juga bermaharajalela dengan `homepage' masing-masing. Internet kini
dikatakan menjadi padang permainan pengikut ajaran-ajaran songsang atau
`cult'. Satu contoh terkini ialah kumpulan ajaran songsang yang bergelar
`Heaven's Gate' atau Pintu Syurga. Kumpulan ini mempunyai ahli yang
pakar di dalam pembangunan `homepage' di Internet. Mereka telah
menggunakan saluran komunikasi tersebut untuk menarik ahli-ahli baru.
Terdapat kes di mana suri rumah yang terbaca dakyah
palsu kumpulan ini di Internet, telah terpukau dan terus meninggalkan
rumah tangga dan anak pinak untuk bersama-sama kumpulan ini. Ramai juga
ibu bapa yang kehilangan anak-anak muda yang terpengaruh dengan maklumat
karut kumpulan ini di Internet. Akhirnya antara 23 - 25 March 1997, 39
orang ahli dari kumpulan ini telah membunuh diri secara beramai-ramai di
dalam sebuah rumah mewah di Rancho Grande, California. Maka, tidak
hairanlah mengapa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato'
Seri Dr. Mahathir Mohamed menyatakan rasa bimbang apabila media maklumat
yang kuat seperti Internet dicemari ajaran songsang. Jelas bahawa
pengguna Internet bukan sahaja boleh tercabar intelektualnya, malah
kerohaniannya juga.
Ummah Siber
Menyedari hakikat bahawa Internet mudah diserapi
unsur-unsur negatif, maka Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan
Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) telah mengadakan satu
seminar bertajuk "Cabaran Teknologi Maklumat dan Internet: Agenda Umat
Islam" baru-baru ini. Tujuan seminar ialah bagi memahami keupayaan dan
penggunaan teknologi Internet, meneliti peluang, cabaran dan aspek-aspek
negatif Internet dan mempastikan orang Islam bersedia memperoleh dan
meneraju era teknologi maklumat, khususnya Internet, agar mampu
menampilkan diri dalam mengajukan idea-idea Islam dan mendapat faedah
daripada pelbagai penggunaan teknologi tersebut.
Menurut pendapat pembentang-pembentang kertas kerja
seminar tersebut, sudah sampai masanya masyarakat Islam seluruh dunia
dihubungkan dan disatupadukan sebagai suatu `ummah siber'. Bagi mencapai
tujuan ini badan-badan awam dan korporat perlu berganding bahu untuk
membekalkan maklumat tentang Islam. Satu `homepage' baru perlu
diwujudkan di dalam Internet bagi menerangkan pendirian Islam tentang
isu-isu semasa, memperjelaskan konsep pandangan dunia Islam (Islamic
world view) dan menonjolkan nilai-nilai murninya yang universal.
`Homepage' ini mestilah unggul, menyeluruh dan interaktif yang
membentangkan fakta-fakta mengapa Islam adalah satu pegangan cara hidup,
budaya dan peradaban yang sejagat.
Post a Comment