Oleh Prof. Madya Dr. Saodah
Abd Rahman
WANITA
ialah makhluk Allah SWT yang dihiasi dengan sifat-sifat kewanitaan
seperti malu. Malu adalah sifat yang membatasi wanita daripada melakukan
sesuatu perkara atau perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dirinya.
Jika wanita beranggapan bahawa kecantikan tubuh badan adalah satu
kebanggaan yang perlu didedahkan kepada orang ramai maka wanita itu
tidak segan silu berpakaian mencolok mata atau separuh bogel di khalayak
ramai. Konsep dan prinsip pemikiran begini semakin meluas mempengaruhi
pemikiran wanita yang bercirikan kehidupan sekular yang mengangkat
hedonisme sebagai satu cara hidup.
Konsep dan corak hidup wanita
yang tidak bersandarkan kepada nilai agama dan budaya bukan sahaja
boleh menyebabkan mereka melakukan apa sahaja mengikut hawa nafsu dan
cita rasa mereka malah juga boleh menjatuhkan maruah sebagai wanita yang
perlu dihormati. Tinggi atau rendah maruah wanita adalah bergantung
kepada prinsip dan corak kehidupan mereka. Negara yang dihuni oleh umat
Islam dan masyarakat beragama tidak akan menerima sebarang budaya yang
boleh menjejaskan kewibawaan sebagai manusia yang bertamadun dan
memiliki nilai budaya dan agama.
Sebarang aktiviti hiburan liar
yang membabitkan penganut agama Islam tidak sepatutnya berlaku di negara
yang mengangkat agama Islam sebagai agama rasminya. Jika pesta begini
adalah amalan masyarakat Barat maka setiap individu yang berada dalam
negara ini termasuk pelancong perlu menghormati budaya masyarakat dalam
negara ini yang majoritinya beragama Islam.
Kebebasan individu
tanpa batasan bukan menjadi budaya masyarakat beragama. Setiap agama
mempunyai nilai murni yang mampu membentuk penganutnya supaya menjadi
individu yang mempunyai maruah dan harga diri.
Tidak kesemua
masyarakat sekular beranggapan bahawa setiap individu mempunyai hak
untuk melakukan apa sahaja sehingga ke tahap berbogel di khalayak ramai.
Masyarakat yang bertamadun memiliki ciri-ciri budaya dan nilai hidup
yang murni. Mereka cuba menaikkan taraf masyarakat sebagai manusia yang
sejati iaitu berpakaian dan bertingkah laku yang boleh menjadi contoh
dan teladan kepada masyarakat lain.
Wanita sepatutnya lebih
prihatin terhadap tingkah laku dan budi pekerti dalam kehidupan seharian
mereka. Tingkah laku yang liar seperti berpakaian separuh bogel dalam
pesta-pesta hiburan dan seumpamanya adalah simbol kepada kegelisahan
dan ketidakpuasan dalam kehidupan dipamerkan dalam bentuk tingkah laku
yang bertentangan dengan fitrah manusia. Setiap manusia yang bermoral
dan mempunyai nilai kerohanian amat prihatin terhadap perwatakan dan
penampilan diri dalam masyarakat.
Fesyen pakaian yang terlalu
mendedahkan tubuh badan mungkin dianggap sebagai satu kebebasan dan
kepuasan wanita tetapi hakikatnya wanita meletakkan diri mereka ke tahap
yang boleh dipersendakan oleh lelaki.
Negara yang bercirikan
budaya agama tidak akan berkompromi dengan individu-individu yang
mempunyai pemikiran hedonist tanpa batasan. Persekitaran kawasan pantai
dan tempat peranginan negara sepatutnya tidak dicemari dengan pengunjung
yang tidak berpakaian kerana budaya demikian bukan sahaja tidak
menyenangkan pengunjung lain malah boleh menyebarkan budaya liar ke
negara ini secara perlahan-lahan.
Dalam era globalisasi pengaruh
hedonisme semakin menular dalam negara Islam kerana kemajuan teknologi
komunikasi begitu aktif menyebarkan pemahaman dan ideologi berkenaan.
Penganut ideologi hedonist merasai bahawa perbuatan dan tingkah laku
mereka adalah satu keseronokan dan kepuasan yang ingin disebarkan kepada
masyarakat tanpa mengira sempadan geografi. Pengaruh ideologi ini jika
tidak dibanteras akan mempengaruhi pemikiran dan jiwa remaja Islam.
Remaja Islam yang kurang ajaran agamanya mudah dipengaruhi oleh
unsur-unsur begini kerana mereka sering didedahkan dengan ideologi
tersebut melalui media sosial yang pantas penyebarannya.
Jika pesta liar
menjadi budaya remaja Islam maka akidah Islam semakin hari kian pudar
dalam pemikiran dan hati nurani mereka. Ketika ini isu penukaran agama
menjadi satu fenomena dalam masyarakat negara Islam.
Umat Islam
diseru oleh Allah supaya memelihara masyarakat Islam daripada
dipengaruhi oleh unsur-unsur yang boleh mengakibatkan mereka terpesong
daripada fitrah kejadian manusia. Jika pesta liar tanpa pakaian itu
menjadi tradisi masyarakat bukan Islam maka pengaruh tersebut sepatutnya
tidak dibenarkan berlaku di tempat-tempat peranginan di negara Islam.
Keindahan alam dalam dunia Islam tidak sepatutnya dicemari dengan pesta
liar dan tidak bermaruah.
Setiap pelancong yang mengunjungi
negara ini bebas bergerak tetapi mereka perlu menghormati budaya dan
tradisi masyarakat tempatan. Agensi pelancongan, hotel dan kawasan
peranginan perlu memaparkan maklumat kepada pelancong mengenai peraturan
mengunjungi pantai dan tempat peranginan di negara ini. Ramai pelancong
dari negara Barat dan luar tidak mengetahui dan memahami budaya negara
Islam kerana mereka didedahkan dengan budaya sekular bercirikan corak
hidup hedonist tanpa batasan. Mereka bebas melakukan sebarang tingkah
laku di pantai-pantai dan tempat peranginan di negara mereka.
Konsep kebebasan dan kecantikan yang dipegang oleh masyarakat hedonist
amat berbeza dengan prinsip kehidupan masyarakat beragama. Pesta lelaki
dan wanita tanpa pakaian di pantai-pantai dan tempat peranginan adalah
perkara biasa bagi mereka. Terdapat pantai-pantai di negara sekular
seperti Switzerland dan seumpamanya hanya membenarkan lelaki dan wanita
tanpa pakaian sahaja menikmati sinaran matahari di musim panas.
Budaya sedemikian perlu dihindari oleh masyarakat Islam kerana
bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang menganuti agama Ilahi.
Islam menyeru umatnya menjadi manusia yang mempunyai nilai budaya dan
tamadun yang bercirikan fitrah kejadian manusia di mana ia berbeza
dengan corak kehidupan makhluk yang tidak memiliki sejarah dan tamadun.
Prof. Madya Dr. Saodah
Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Home »
Bicara Islam
» Wanita dan maruah diri
Wanita dan maruah diri
Written By zabidi on Sunday, 27 March 2016 | 12:42 pm
Related Posts :
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment