Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
CEKAL,
tegas, bersemangat dan suka bergurau. Itu penulis dapat simpulkan
mengenai gambaran sifat Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak
sepanjang lebih lima tahun mengenali beliau yang menghembuskan nafas
terakhir pada pukul 11.05 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),
Alor Setar pada usia 69 tahun akibat kegagalan fungsi organ dalaman
dan jangkitan kuman dalam darah.
Allahyarham mengangkat
sumpah sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan pada 9 Mac 2008 selepas
pakatan pembangkang yang dipimpinnya menang dalam Pilihan Raya Umum
Ke-12 (PRU-12).
Azizan mencipta sejarah sebagai pemimpin pembangkang
pertama memecah dominasi Barisan Nasional (BN) di negeri itu dan
diangkat sebagai ketua pentadbir negeri setelah 11 kali pilihan raya
umum diadakan.
Penulis berpeluang mengikuti kepimpinan
Allahyarham dengan secara dekat bermula ketika beliau melancarkan
manifesto Pas Kedah bagi PRU-12 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar pada
Februari 2008.
Kali terakhir penulis bertemu dengan Allahyarham
ialah semasa hari penamaan calon PRU-13 lalu di Dewan Datuk Madi,
Jerai pada 20 April lepas.
Dalam pertemuan itu, kami sempat
berbual serba sedikit mengenai situasi politik khususnya di kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang disandang Allahyarham
sejak 1995.
Allahyarham mempertahankan kerusi berkenaan untuk
penggal kelima pada PRU-13 apabila menang dengan majoriti 2,774 undi
tetapi terpaksa menyerahkan jawatan Menteri Besar berikutan kegagalan
pakatan pembangkang mengekalkan penguasaannya di Kedah.
Sebagai seorang pemimpin yang sudah lali dengan sepak terajang dalam dunia politik, Allahyarham disifatkan sebagai tokoh
pembangkang
yang cekal kerana mampu bertahan dalam tempoh lima tahun
kepemimpinannya sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan di sebalik
pelbagai isu, krisis dalaman, kritikan, tekanan luar serta faktor
kesihatan yang membelenggu beliau.
Mempunyai sifat humor dalam
dirinya, Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang tegas
dalam membuat sesuatu keputusan dan sukar bagi sesiapa untuk
mempengaruhi fikirannya berhubung sesuatu perkara yang difikirkannya
betul.
Allahyarham juga disenangi oleh banyak pihak termasuk
kawan dan lawan politik kerana beliau boleh bergaul serta mesra dengan
sesiapa sahaja tanpa mengambil kira ideologi mereka.
Aliran pendekatannya itu dapat dilihat apabila Allahyarham tidak keberatan untuk berada bersama dengan pemimpin UMNO dan BN
termasuk
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta bekas Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dalam
sesuatu majlis.
''Saya boleh pi (pergi) tang (ikut) mana pun,
tiada masalah apa. Semua kawan saya. Kalau saya setuju dengan dia
orang saya kata yes, tak setuju kata no.''
Kata-kata itu yang
pernah diungkapkan Allahyarham semasa menghadapi tekanan hebat
politik pada Februari 2012 ekoran krisis dalaman Pas Kedah, masih kuat
dalam ingatan penulis.
Meskipun sering menerima kritikan pedas
dalam pentabdirannya, Allahyarham sentiasa bersikap profesional
dengan semua pihak termasuk para wartawan yang mengajukan pelbagai
soalan terhadap beliau.
Allahyarham jarang 'melompat' jika
soalan itu kurang disenangi beliau dan akan menjawab dengan pelbagai
cara sama ada biasa, serius atau berseloroh. Lazimnya jawapan tersebut
bersertakan dengan contoh mengenai sesuatu isu yang diulasnya.
Pendekatan berkenaan mungkin berpunca daripada pengalamannya yang pernah menjadi Pengarah Urusan lidah rasmi Pas, Harakah
menyebabkan Allahyarham memahami selok belok dan tuntutan tugas warga media.
Sikapnya itu juga membuatkan rakan-rakan wartawan menyenangi Allahyarham walaupun kelihatan agak garang pada zahir dan nada
pertuturannya.
Allahyarham
tidak pernah menjadikan faktor kesihatannya sebagai alasan yang boleh
menjejaskan tumpuan mengetuai kerajaan Kedah ketika memegang jawatan
Menteri Besar mahu pun membawa jentera pembangkang menghadapi
PRU-13.
Beliau yang merupakan antara pemimpin Pas paling lama
menjadi wakil rakyat di Kedah berpandangan dunia politik bukan dari
segi usia atau kesihatan tetapi tentang visi dan strategi.
Allahyarham
yang merupakan anak kelahiran Sungai Limau Dalam, Yan berkelulusan
Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar dan Undang-Undang dari
Universiti of Kent, United Kingdom.
Beliau merupakan bekas Ketua
Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain pernah
menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan
pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun
1983 dan 1984 serta 1986 hingga 1995.
Allahyarham mula menyertai
Pas pada 1978 di England dan bergiat aktif dia dalam parti itu di
negara ini sejak 1986. Beliau pernah menyandang jawatan Naib Presiden
Pas (2003-2005), Ketua Penerangan Pas Pusat (2001-2003), Ahli Majlis
Syura Ulama Pas (sejak 1991) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat
sejak 1993.
Azizan juga adalah Pesuruhjaya Pas Kedah sejak 2000
menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor. Allahyarham menjadi
wakil rakyat Sungai Limau (dahulu dikenali DUN Sala), Kedah sejak
1995 dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya umum
lalu.
Allahyarham mencipta sejarah tersendiri apabila muncul
sebagai pemimpin Pas pertama dianugerahkan darjah kebesaran Panglima
Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena sambutan
ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim
Mu’adzam Shah pada Jun lepas.
Kehadirannya dalam arena politik
negara akan setiasa diingati dan dikenang sebagai seorang ahli
politik berpengalaman luas dan pemimpin Pas pertama yang pernah
menerajui pentadbiran Kedah.
Al-Fatihah!
Post a Comment