Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
SIAPA
sangka? Lahir di Iraq tapi dikebumikan di Kampung Sungai Pusu Gombak,
Selangor! Itu yang berlaku kepada Prof. Dr. Irfan dan Dr. Baha’uddin,
dua pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berasal dari
Iraq. Siapa sangka lahir di Malaysia tetapi meninggal dunia di ruang
udara Ukraine. Itu pula yang berlaku kepada mangsa nahas pesawat
Malaysia Airlines, MH17.
Siapa pula
tahu, tokoh agama, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din, lahirnya di Perlis
tapi disemadikan di California, Amerika Syarikat (AS). Jarak antara dua
lokasi ini beribu kilometer jauhnya.
Apabila mengenang lokasi
persemadian arwah Haron, iman kita kepada Allah sepatutnya mencanak
naik.
Hebat sekali Allah SWT yang merencanakan segala sesuatu. Benar
sekali firman Allah ini:
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan
yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan,
dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam
rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul
mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat);
dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan
mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi
Pengetahuan-Nya,” (Luqman[31:34]).
Siapa tahu? Ketika malaikat
diarah meniup roh ke dalam janin Allahyarham pada usia empat bulan,
tarikh dan tempat matinya sudah ditetapkan Allah berlaku di bumi
California, AS yang nun jauh di sana. Benar sekali sabda Rasulullah
SAW:
“Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam
perut ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah selama
itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi seketul daging selama itu juga
(40 hari), kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu diarahkan agar
menulis empat perkara. Lalu dikatakan kepada malaikat itu: Tuliskan
perihal amalannya, kadar rezekinya, ajalnya dan sama ada dia menjadi
orang yang celaka (sebagai ahli neraka) atau bahagia (sebagai ahli
syurga). Kemudian ditiup padanya roh,” - Sahih Bukhari, Sunan Abu
Dawud, Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad.
Ketika
mengulas ayat misteri tempat mati yang ditetapkan bagi manusia, Imam
Ibn Kathir membawa sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya
apabila Allah mahu mencabut roh hamba-Nya di sebuah bumi, dijadikan
bagi hamba-Nya itu sesuatu hajat (urusan) di bumi tersebut,” - Musnad
Ahmad, Sahih Ibn Hibban, hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani.
Ketika
mengulas ayat 34 surah Luqman di atas, para mufassir membawa sebuah
riwayat yang mengisahkan satu peristiwa ajaib pada zaman Nabi Sulaiman
a.s.
“Pada suatu hari Malaikat Maut bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s.,
Malaikat Maut terpaku melihat seorang lelaki dalam majlis baginda.
Lelaki itu bertanya kepada Nabi Sulaiman: “Siapakah dia ini?” baginda
menjawab: “Dia adalah Malaikat Maut.” Lelaki itu berkata: “Seakan-akan
dia mahu mencabut nyawaku, wahai tuanku suruhlah si angin agar
membawaku jauh ke negeri Hind.” Nabi Sulaiman pun melaksanakan
permintaan lelaki tersebut. Sesudah itu Malaikat Maut berkata:
“Sebenarnya aku melihatnya kehairanan kerana aku diarahkan Allah agar
mencabut nyawanya di negeri Hind sedangkan (dalam beberapa ketika
sebelum matinya) dia masih berada bersamamu.” (Tafsir al-Alusi, Tafsir
al-Baydawi dan Tafsir al-Nasafi).
Mati
adalah misteri Allah. Tiada siapa tahu tarikhnya dan di bumi mana akan
dikebumikan. Apa yang pasti, ikatan sempadan negara hanya berlaku
dalam alam zahir ini. Alam barzakh yang menjadi negeri persinggahan
sementara sebelum ke akhirat pastinya tiada sempadan ruang dan masa
seperti alam dunia.
Orang beriman seperti Allahyarham mungkin sedang berbahagia di sana bersama rakan-rakannya yang lain.
Ya
Allah! Walau di bumi mana pun dia disemadikan, jadikan kubur guru kami
itu sebagai sebuah taman antara taman syurga-Mu. Insya-Allah.
Post a Comment