MADISON, — Krisis kegagalan antibiotik telah mendorong para
saintis untuk mencari sumber baru bagi ubat tersebut. Kini, sejenis
semut mungkin adalah jawapan yang dicari mereka.
Para saintis
mendapati sesetengah spesies semut, termasuk semut pemotong daun dari
Amazon, menggunakan bakteria untuk mempertahankan sarang dari serangan
kulat serta mikrob, yang berpotensi untuk dijadikan antibiotik untuk
kegunaan manusia.
Salah seorang saintis yang terlibat dalam
penyelidikan itu, Prof Cameron Currie daripada University of
Wisconsin-Madison di Amerika Syarikat sini berkata bahan kimia yang
dikumuhkan oleh bakteria tersebut dipercayai mempunyai kesan antibiotik
yang kuat.
“Ketahanan antibiotik adalah masalah yang semakin
meningkat. Bagaimanapun, mengenal pasti antibiotik baru menggunakan
teknik biasa melalui persampelan tanah untuk bakteria adalah sukar.
“Secara purata, hanya satu dalam sejuta jenis bakteria memberi
harapan. Namun, kami telah membongkar satu jenis bakteria bagi setiap
15 jenis yang telah disampel dari sarang semut itu,” katanya minggu
lalu seperti dilaporkan The Guardian.
Kumpulan semut
yang dimaksudkan itu adalah spesies yang “membiak” kulat untuk dimakan
di kawasan tropika di Amerika Utara dan Selatan.
“Semut ini
menyelongkar bahan tumbuhan untuk dibawa pulang ke sarang mereka untuk
memberi makan kepada kulat. Mereka memakan kulat selepas kulat mengurai
bahan tumbuhan itu,” kata Profesor Jon Clardy dari Harvard Medical
School.
Namun, sarang semut ini sering diserang kulat merbahaya yang membunuh kulat yang dibiak mereka.
Sebagai tindakbalas, semut ini telah menghasilkan pertahanan diri
menggunakan bakteria anti-kulat di seluruh badan mereka, yang nampak
seperti mereka dicelup dalam gula.
Bakteria ini sama dengan yang digunakan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal untuk membuat antibiotik.
Semut dan bakteria jenis ini telah bertanding sejak jutaan tahun dan
hasil keputusannya telah menghasilkan beberapa antibiotik yang sangat
menarik, kata para saintis.
Kegagalan antibiotik kini merupakan
antara ancaman terbesar kepada kesihatan manusia sedunia, menyebabkan
lebih kurang 700,000 orang maut setiap tahun.
Mampukah semut jadi penyelesaian kepada krisis antibiotik?
Written By zabidi on Wednesday, 28 September 2016 | 8:48 am
Related Posts :
Labels:
Global
Post a Comment