Headlines News :
Showing posts with label Global. Show all posts
Showing posts with label Global. Show all posts

China tutup bandar biarpun kes COVID-19 kekal kecil


SHANGHAI/BEIJING: Penularan jangkitan COVID-19 memaksa bandar pelabuhan Tianjin di utara China untuk menutup banyak tempat hiburan dan tadika serta agensi bimbingan, sebagai langkah terbaharu untuk memerangi wabak itu.

Data hari ini menyaksikan Tianjin dengan populasi lebih 12 juta dan rumah kepada kilang-kilang yang dikaitkan dengan Boeing dan Volkswagen, hanya melaporkan 11 jangkitan domestik hari ini selepas kira-kira seminggu berdepan sifar kes.

Beban kes untuk Tianjin dan seluruh China adalah rendah dalam konteks global selama lebih dua tahun, namun China mengekalkan dasar 'sifar COVID dinamik' untuk membendung wabak sebaik sahaja ia muncul, walaupun langkah ketat itu dilihat mengganggu perniagaan tempatan dan mengaburkan prospek ekonomi kedua terbesar di dunia.

Pegawai Tianjin lewat semalam berkata, pelbagai tempat hiburan dalaman, seperti rumah catur dan rumah kad dan bar, di dua daerah dengan jumlah lebih dua juta penduduk turut diarah tutup, tanpa menyatakan tarikh bagi pembukaan semula.

Salah satu daerah juga menyatakan bahawa mereka mengarahkan penutupan selama tiga hari di tadika dan agensi bimbingan.

Penganalisis Nomura dalam satu kenyataan semalam berkata, dianggarkan 264.1 juta orang di 41 bandar di China terjejas oleh penutupan penuh atau separa atau langkah kawalan lain, dan ia meningkat daripada 247.5 juta di 31 bandar pada minggu lalu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan hari ini berkata, termasuk kes Tianjin, China dilaporkan berlaku 699 kes jangkitan domestik baharu pada semalam dengan 199 adalah bergejala dan 500 tidak bergejala.

Majoriti kes baharu semalam berlaku di wilayah barat laut Gansu dan wilayah selatan Guangxi.

Di ibu kota wilayah Gansu di Lanzhou, sebuah daerah dengan lebih 100,000 penduduk ditutup mulai semalam dengan setiap isi rumah boleh meninggalkan kawasan kediaman mereka hanya sekali setiap hari untuk mendapatkan barangan runcit.

Sekatan untuk empat daerah utama lain dengan kira-kira tiga juta orang sudah bermula minggu lalu dan dilanjutkan hingga 24 Julai ini.

Di Guangxi, bandar pesisir pantai Beihai, kini mencatatkan lebih 700 kes tempatan sekali gus menjadi bandar pelancongan terbaharu yang dilanda sekatan perjalanan.

Beihai berkata, hotel dan agensi pelancongan perlu membayar balik sepenuhnya perjalanan dan penginapan yang ditempah.

Situasi itu juga memerangkap lebih 2,000 pelancong yang di bandar itu, sebahagian daripada mereka telah berhubung rapat dengan jangkitan atau melawat kawasan yang terjejas oleh virus itu dan tidak boleh pergi tanpa melalui kuarantin.

Pelancong yang boleh keluar perlu menunjukkan keputusan ujian negatif dalam tempoh 48 jam sebelumnya.

Hab kewangan Shanghai, yang melaporkan 23 kes tempatan baharu pada semalam juga sudah memulakan ujian besar-besaran pada hari ini di kebanyakan 16 daerahnya, selepas saringan sama minggu lalu.

Setakat ini, tiada kematian baharu dan menjadikan jumlah kematian di negara ini kekal sebanyak 5,226 orang.Sehingga semalam, China juga mengesahkan 227,830 kes dengan simptom, termasuk kedua-dua kes tempatan dan pelancong antarabangsa yang dijangkiti. - REUTERS

 

Kaabah terima Kiswah baharu

 


MEKAH: Kiswah yang merupakan kain berwarna hitam menutupi ruang Kaabah digantikan dengan kain baharu hari ini sempena tradisi tahunan menjelang Hari Raya Aidiladha.

Saudi Press Agency melaporkan proses penggantian itu dijalankan oleh Pentadbiran Kompleks Raja Abdulaziz dengan langkah pencegahan Covid-19.

Setiap empat penjuru Kiswah diangkat secara terpisah sebagai persiapan meregangkannya di sisi lama.

Timbalan Ketua Presiden Umum Bagi Masjidil Haram, Dr. Saad Mohammad Al-Mohammad dalam kenyataan berkata, Kiswah dibuat daripada 670 kilogram (kg) sutera berkualiti tinggi, 120 kg benang emas dan 100 kg benang perak.

Seramai 200 ahli kraf tangan terlibat dalam pembuatan Kiswah di Kompleks Raja Abdulaziz tersebut.

Indonesia tetapkan hanya penerima vaksin dibenar merentas provinsi

 


Jakarta: Pemerintah Indonesia menetapkan peraturan bahawa hanya mereka yang sekurang-kurangnya sudah menerima dos pertama vaksin dibenarkan melakukan perjalanan jarak jauh atau merentas provinsi.

Berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, peraturan keperluan vaksin itu dikuatkuasakan untuk perjalanan menggunakan semua jenis pengangkutan, di Pulau Jawa dan Bali dan ia berkuat kuasa hingga 30 Julai.

Syarat itu termaktub dalam pekeliling yang disiarkan Kementerian Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi berkenaan panduan aktiviti masyarakat bagi tempoh Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat.

Selain itu, bagi yang menggunakan pesawat udara, mereka juga diwajibkan menjalani swab test atau PCR, manakala mereka yang menggunakan pengangkutan darat termasuk kenderaan peribadi, diwajib melakukan ujian antigen sebelum merentas provinsi.

Pada 1 Julai, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan pelaksanaan PPKM Darurat bagi menangani lonjakan kes Covid-19 di Pulau Jawa dan Bali.

Antara peraturan yang dikenakan adalah penutupan pusat-pusat beli belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor bukan keperluan, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoran, kedai makan atau warung dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup.

Peningkatan kes baharu sejak dua minggu terakhir ini dikaitkan dengan kegiatan balik kampung semasa sambutan Aidilfitri lepas, dan varian Delta yang lebih cepat menular.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia, setakat semalam, kes positif keseluruhan di Indonesia kini meningkat kepada 2,228,938, manakala jumlah kematian kini berjumlah 59,534 orang.

Semalam, kes positif baharu dicatatkan sebanyak 25,830 kes, jumlah tertinggi direkodkan sejak kes pertama dikesan pada Mac 2020.

Setakat ini, lebih 30.8 juta orang sudah menerima dos pertama vaksin, manakala lebih 13.7 juta juga sudah diberikan dos kedua.

Biden angkat sumpah presiden AS ke-46


PRESIDEN  Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris mengangkat sumpah jawatan dalam satu upacara berlangsung di bangunan Capitol yang dikawal ketat semalam, lapor Agensi Anadolu.

Kebiasaannya acara empat tahun sekali itu dihadiri ratusan ribu rakyat, tetapi tahun ini diadakan tanpa kehadiran ramai memandangkan penularan wabak Covid-19.

Seramai 25,000 anggota pasukan Pengawal Negara turut dikerahkan mengawal keselamatan di Washington.

Pagi semalam bekas presiden Donald Trump dilihat meninggalkan White House menuju ke Florida, tidak bersama-sama menyertai upacara angkat sumpah itu.

Secara tradisi sejak 1937, bekas presiden akan turut sama menyertai upacara pelantikan rasmi.

Trump bekas presiden pertama yang tidak turut serta sejak 1879, selepas Andrew Johnson tidak menghadiri upacara penggantinya Ulysses S. Grant. – Bernama, 21 Januari, 2021.

Biden janji AS akan pulihkan hubungan dengan sekutu

 


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dalam ucapan sulungnya semalam berkata AS akan memulihkan hubungan dengan sekutunya dan kembali melibatkan diri dengan dunia, lapor Agensi Berita Sputnik.

“Kami akan pulihkan hubungan dengan sekutu kami dan sekali lagi melibatkan diri dengan dunia bukan untuk mengharungi cabaran semalam tetapi cabaran hari ini dan akan datang.

“Kita akan memimpin bukan hanya sekadar teladan menggunakan kekuatan, tetapi daripada kekuatan teladan yang ditunjukkan,” kata Biden.

Biden turut berikrar untuk menjadi penyokong kuat dan boleh diharapkan untuk keamanan, kemajuan dan keselamatan.

Sejurus sebelum berucap, Biden mengangkat sumpah di depan Ketua Hakim Mahkamah Agung John Roberts. – Bernama

'Saya akan kembali' - Trump


 WASHINGTON: Donald Trump meninggalkan Rumah Putih buat kali terakhir beberapa jam sebelum penggantinya Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46.

Trump, 74, bersama isterinya, Melania Trump, turut melalui permaidani merah sebelum menaiki helikopter rasmi, Marine One di halaman Rumah Putih menuju ke pangkalan udara Andrews.

"Tempoh empat tahun ini amat menakjubkan. Kami akan kembali," katanya di hadapan ratusan penyokong sebelum menaiki pesawat Air Force One buat kali terakhir menuju Florida.

Beliau yang sebelum ini lantang mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya Presiden turut mendoakan kejayaan pentadbiran Biden.

Walaupun jurucakapnya memaklumkan Trump ada meninggalkan sepucuk surat kepada penggantinya, beliau menjadi Presiden pertama tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah penggantinya sejak 1869.

Biden dan Kamala Harris masing-masing akan mengangkat sumpah sebagai Presiden dan Naib Presiden AS di bangunan Capitol dalam beberapa jam lagi. - AFP

Moderna bakal caj vaksin COVID-19 RM151.44


FRANKFURT: Firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Moderna, akan mengenakan caj antara AS$25 hingga AS$37 (RM102.30 hingga RM151.44) bagi setiap dos vaksin COVID-19 yang dihasilkannya, bergantung kepada jumlah pesanan.

"Vaksin kami hampir sama dengan suntikan selsema, iaitu antara AS$10 hingga AS$50 (RM40.93 hingga RM204.65)," kata Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel kepada mingguan Jerman, Welt am Sonntag (WamS).

Pada Isnin, pegawai Kesatuan Eropah (EU) yang terbabit dalam rundingan itu menjelaskan Suruhanjaya EU mahu mencapai kata sepakat dengan Moderna untuk membekalkan jutaan dos vaksinnya dengan harga di bawah AS$25 (RM102.32) setiap dos, lapor agensi berita CNA.

"Belum ada yang ditandatangani, tetapi kami hampir mencapai kesepakatan dengan Suruhanjaya EU. Kami ingin menghantarnya ke Eropah dan ia masih dalam perbincangan," kata Bancel kepada WamS, sambil menjelaskan hanya 'menunggu hari' hingga kontrak disediakan.

Moderna menjelaskan vaksin percubaannya kini 94.5 peratus berkesan bagi mencegah COVID-19, berdasarkan data interim daripada percubaan klinikal peringkat akhir, menjadi pembangun kedua melaporkan hasil melangkaui jangkaan selepas Pfizer dan rakannya BioNTech.

EU berunding dengan Moderna bagi mendapatkan vaksin COVID-19, sejak Julai lalu.

Vaksin Moderna, yang dikembangkan bersama oleh Institut Kesihatan Nasional AS, diberikan dalam dua dos yang terpisah 28 hari, dan hasil awal berdasarkan kepada 95 sukarelawan dari 30,000 yang jatuh sakit akibat COVID-19.

Moderna juga mengumumkan bahawa vaksinnya dapat kekal stabil pada suhu peti sejuk standard dari 2 darjah celsius hingga 8 darjah celsius selama 30 hari dan ia boleh disimpan dalam simpanan jangka panjang pada suhu beku standard -20 darjah selsius hingga enam bulan. - AGENSI

Rakyat Palestin seru adakan protes terhadap perjanjian Arab-Israel

BAITULMAQDIS: Pemimpin Palestin hari ini menyeru diadakan demonstrasi menentang perjanjian 'memalukan' yang diatur oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain dengan Israel.

Pegawai dari kedua-dua negara Teluk itu akan menghadiri upacara di Rumah Putih Selasa ini untuk mengesahkan hubungan dengan Israel, mendorong puak-puak Palestin bersatu dalam rayuan untuk tunjuk perasaan.


"Kami mengundang rakyat kami, khususnya mereka yang berada di kem pelarian (Palestin), untuk mengecam perjanjian memalukan ini," kata satu kenyataan yang ditandatangani oleh kumpulan-kumpulan termasuk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pemerintah Gaza, Hamas.

Kenyataan itu juga menyeru tunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS), Israel, Bahrain dan UAE.

Rakyat Palestin bulan lalu menuduh Abu Dhabi sebagai 'menikam dari belakang', kerana negara Teluk itu menjadi satu-satunya negara Arab ketiga selepas Mesir dan Jordan yang mengumumkan akan mengadakan hubungan formal dengan Israel.

Bahrain mengikutinya pada Jumaat lalu, melanggar sikap lama pemimpin Arab bahawa perjanjian damai Israel-Palestin adalah prasyarat untuk menormalkan hubungan.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Israel dan AS telah mengundang negara-negara Teluk berikutan permusuhan mereka terhadap Iran.

Perjanjian dengan Israel diberi jolokan 'perdamaian untuk perlindungan' oleh Saeb Erekat, setiausaha agung PLO.

"Beberapa pembuat keputusan di dunia Arab sekarang percaya bahawa tahap keselamatan nasional Arab akan bergantung pada perlindungan Israel," katanya kepada wartawan hari ini.

Erekat merujuk kepada polisi Washington sejak lama untuk memastikan Israel lebih kuat secara ketenteraan daripada negara-negara lain di Asia Barat.

Negara-negara Arab tidak dibenarkan 'memiliki kelebihan terhadap Israel dalam bidang apa pun," kata Erekat.

Namun, polisi itu menjadi perhatian sejak beberapa minggu terakhir, mengenai laporan bahawa AS mungkin menjual jet pejuang F-35 stealth kepada Abu Dhabi sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Israel. - AFP

Kes tembak lelaki kulit hitam, ketua polis Atlanta letak jawatan

WASHINGTON: Ketua Polis Atlanta meletak jawatan selepas seorang anggotanya menembak mati lelaki kulit hitam, dalam cubaan menahan mangsa, kata Datuk Bandar pada Sabtu, ketika Amerika Syarikat (AS) dilanda rusuhan, membantah perkauman dan keganasan polis.

Datuk Bandar, Keisa Lance Bottoms, yang dianggap berpotensi membantu calon Presiden dari Demokrat, Joe Biden berkata, Erika Shields sudah berkhidmat dengan Jabatan Polis Atlanta selama lebih dua dekad.

"Berdasarkan impian beliau untuk melihat Atlanta menjadi model pembaharuan di negara ini, Shields menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Ketua Polis," katanya secara langsung di televisyen.

Insiden berkenaan berlaku ketika AS berhadapan rusuhan bersejarah menentang perkauman, yang dicetuskan oleh pembunuhan lelaki kulit hitam, George Floyd oleh anggota polis Minneapolis pada 25 Mei lalu.

Floyd meninggal dunia selepas lehernya ditekan menggunakan lutut anggota polis terbabit selama lebih sembilan minit.

Bantahan yang bermula di AS itu kemudiannya turut tersebar seluruh dunia dan memaksa perbincangan hangat berhubung isu perhambaan, kolonialism dan keganasan komuniti kulit putih ke atas golongan kulit hitam, selain keganasan polis di Amerika.

Mangsa kulit hitam dikenali sebagai Rayshard Brooks, 27 tahun, ditembak mati malam Jumaat lalu di Atlanta.

Beliau sedang tidur di dalam kereta di kaunter pandu lalu sebuah restoran makanan segera, apabila seorang pekerja bertindak membuat aduan kepada polis, dengan mendakwa mangsa menghalang pelanggan lain.

Biro Siasatan Georgia mendakwa, mangsa gagal melepasi ujian kewarasan dan cuba melawan apabila ditahan. - AFP

Pelan damai Trump cubaan hapus Palestin

Oleh Dr Hafidzi Mohd Noor

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk sekian kalinya terus menzahirkan kegilaannya dalam isu berkaitan penduduk Palestin. Apa diumumkan sebagai Deal of the Century, akhir Januari lepas diperincikan butirannya di dalam dokumen setebal 81 halaman.

Tawaran itu diberikan motto muluk, iaitu Peace to Prosperity atau Keamanan Menuju Kemakmuran bertujuan untuk memadamkan tuntutan rakyat Palestin dan melenyapkan negara Palestin dari peta dunia.

Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu seperti cuba merasuah penduduk Palestin untuk meninggalkan perjuangan membebaskan tanah air mereka dan melupakan cita-cita untuk mendirikan negara Palestin berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Mereka menjanjikan kemakmuran kononnya dengan menawarkan suntikan dana bagi membangunkan infrastruktur, mewujudkan rangkaian perdagangan bebas dengan Gaza sebagai pelabuhan antarabangsa di bawah kedaulatan Israel atau lebih tepat di bawah penindasan sistem aparteid Israel.


Di bawah tawaran itu, AS dan Israel secara sepihak mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel; sementara rakyat Palestin ditawarkan satu tempat tidak jelas kedudukannya di luar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Tawaran pertama ini sudah cukup menjadi provokasi bertujuan mengundang kemarahan dan bantahan rakyat Palestin. Melenyapkan tuntutan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sudah cukup menjadi penghinaan dan pencabulan maruah penduduk Palestin dan umat Islam di seluruh dunia.

Seiringan itu, ia meletakkan semua kawasan penduduk Palestin di Tebing Barat di bawah pentadbiran dan kawalan tentera Israel. Ia membatalkan semua status pentadbiran pihak berkuasa Palestin di beberapa tempat seperti Ramallah dan Ariha (Jericho) yang diperuntukkan di bawah perjanjian Oslo.

Meskipun perjanjian Oslo ialah inisiatif gagal untuk dilaksanakan sepenuhnya pada 1998 dan dengan itu tidak lagi relevan, Deal of the Century memadamkan terus kuasa pentadbiran pihak berkuasa Palestin di Tebing Barat.

Seterusnya pelarian Palestin yang hidup di khemah pelarian di negara Arab berjiran seperti Jordan dan Lubnan akan diserahkan kepada negara hos sebagai sebahagian proses normalisasi dengan negara Arab. Tanpa sebarang perincian bagaimana proses naturalisasi ini akan dilaksanakan, nasib pelarian Palestin akan terus terumbang-ambing tanpa sebarang penyelesaian.

Apa yang penting bagi Trump dan Israel, hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara mereka akan dihapuskan buat selama-lamanya, meskipun jaminan itu di bawah resolusi PBB 194 (III) diluluskan pada 1949.

Melihat kepada pemetaan ‘negara’ Palestin tanpa kedaulatan ini, jelas wilayah Palestin yang terpisah-pisah di Tebing Barat dan Gaza dihubungkan dengan jalan darat yang dikuasai sepenuhnya Israel.

Perhubungan dagang dengan AS akan diwujudkan dan pelabuhan Gaza kononnya akan mengalami transformasi seperti Singapura bagi Asia Tenggara.

Semua kemajuan pesat ini akan ‘menjadi kenyataan’ melalui dana sebanyak AS$50 bilion (RM205 bilion) yang akan disuntik dalam tempoh 10 tahun. Sumber dana itu datang dari negara Arab dan Teluk yang memberikan komitmen yang akan menjayakan Deal of the Century.

Pada dasarnya Deal of the Century tidak banyak berbeza daripada beberapa pelan damai diketengahkan AS sama ada Oslo Accord (1993); Declaration of Principle (2003) dan Pelan Damai (2005). Semuanya menjanjikan kemakmuran ekonomi tanpa sebarang hak mendirikan negara Palestin berdaulat.

Apakah dengan menjanjikan kemakmuran bersifat fatamorgana itu boleh mengumpan penduduk Palestin menggadaikan tuntutan mereka membebaskan tanah air daripada penjajahan zionis Israel.

Tidak ada sebuah negara sepanjang sejarah kewujudan tamadun kemanusiaan yang bersedia menggadaikan tanah air dengan imbuhan ekonomi kecuali mereka menjadi budak suruhan penjajah mengkhianati bangsa sendiri.

Jika semua perjanjian itu tidak berjaya mempengaruhi rakyat Palestin, bagaimana mungkin Deal of the Century akan disambut sedangkan ia secara terang-terangan bertujuan memadamkan negara Palestin daripada ingatan dan peta dunia? Apatah lagi Deal of the Century ini dirangka tanpa dirunding sama sekali dengan rakyat Palestin?

Deal of the Century ialah legasi tinggalan kolonial yang melakar sempadan dan masa depan sesebuah wilayah tanpa sebarang rundingan serta merujuk kepada penduduk pribumi itu sendiri.

Apakah Trump dan Israel berasa mereka boleh memperkotak-katik penduduk Palestin dengan tawaran murahan ini? Apakah negara Arab yang menjadi ‘tawanan’ ekonomi AS beranggapan mereka boleh memadamkan perjuangan pembebasan bumi Palestin yang tidak pernah terpadam sepanjang sejarah konflik Palestin-Zionis sejak awal kurun ke 20?

Sesungguhnya regim Arab sendiri meyakini rakyat Palestin sama sekali tidak akan meninggalkan perjuangan murni membebaskan bumi Palestin dan Baitulmaqdis yang berdirinya Masjid al-Aqsa. Namun, mereka tidak berdaya menolak keuntungan diumpan AS yang menyebabkan mereka sanggup bersekongkol dengan rejim Zionis yang terus menindas penduduk Palestin.

Deal of the Century ialah skema untuk mengekalkan pendudukan ke atas bumi Palestin. Ia wajib ditolak seluruh warga antarabangsa kerana ia tindakan amat biadap bukan sahaja ke atas rakyat Palestin, bahkan kemanusiaan seutuhnya.

Kegagalan masyarakat antarabangsa secara sepadu menentang Deal of the Century akan menjerumuskan Asia Barat ke dalam konflik berterusan lebih parah.

Penulis adalah Pengerusi MyCARE

Hidupan liar jangan terus diperdagang, elak wabak, penyakit tak diundang

PENGHARAMAN sementara China terhadap perdagangan haiwan liar perlu dijadikan larangan kekal.

Ini saranan Tabung Hidupan Liar (World Wide Fund for Nature atau WWF) melalui satu kenyataan yang disiarkan Badan Penyiaran Britain (BBC).

Langkah pengharaman sementara diambil China ekoran penularan novel koronavirus keseluruh dunia yang sudah mengorbankan lebih 400 nyawa dan semakin meningkat.

Kes kematian kini berlaku di luar China
Pada Selasa, berita diterima tentang korban koronovirus kedua di luar China dengan kematian dilaporkan di Hong Kong.

Seorang warga Hong Kong berumur 39 tahun yang pulang dari Wuhan pada 23 Januari meninggal akibat komplikasi jantung pada awal pagi Selasa.
Sebelum itu Filipina mencatatkan kematian luar China pertama pada Ahad.

Seorang warga China dari Wuhan berumur 44 tahun meninggal sementara teman wanitanya masih menerima rawatan setelah kedua dua mereka jatuh sakit.

Penularan ini berkemungkinan bertukar ke fasa `pandemik’ sekiranya kes jangkitan keseluruh dunia dan kematian di luar China meningkat dengan mendadak.

Kelawar punca penularan perlu lebih siasatan

Menurut laporan BBC itu lagi, pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation atau WHO) akui wujud kemungkinan besar koronavirus terbaharu ini berpunca dari sebaran kuman dari kelawar.

Namun tidak diketahui samaada patogen atau bakteria dan kuman dari kelawar berjaya `melompat’ ke spesis lain yang belum dikenalpasti, dan dari situ, berjangkit kepada manusia pula.

Jika itu cara transmisi koronavirus terkini, maka usaha perlu dipertingkat untuk mengenal pasti apa sebenarnya spesis pengantara yang berbahaya ini.

Kewujudan pasar menjual haiwan liar samaada hidup atau disembelih menjadi sumber yang berpotensi untuk menyebar kuman dan patogen baharu kepada manusia.

Pengharaman sementara tidak mencukupi

China sudah mengambil langkah mengharam sementara perdagangan haiwan liar bagi tujuan makanan atau pemeliharaan selepas berlakunya penularan koronavirus.

Walaupun ini langkah yang baik tetapi disifat sebagai tidak memadai.

Sepatutnya, pengharaman itu bukan hanya perlu untuk mencegah bahaya kepada manusia tetapi wajar diambil bagi tujuan menghentikan sepenuhya sebarang pemerdagangan haiwan liar.

Permintaan untuk pelbagai organ dari haiwan eksotik liar untuk tujuan pemakanan mahupun ubat ubatan merupakan antara penyebab kepupusan pelbagai spesis hutan.

Sumber penularan utama

Pakar kesihatan dunia menganggarkan lebih 70% dari penularan wabak penyakit berpunca dari binatang, terutama kalangan spesis liar.

Virus SARS (Severe Acute Respiratory Syndrom) dan MERS (Middle East Respiratory Syndrome) turut berpunca dari kelawar tetapi berpindah `hos’ kepada musang dan unta sebelum berjangkit kepada manusia.

Mengikut WHO, apabila manusia terdedah kepada haiwan tersebut melalui apa acara sekalipun, terutama jika disentuh sebagai makanan, jangkitan kuman dan patogen mudah berlaku.

Pendedahan kepada pelbagai haiwan eksotik menyebabkan kemunculan pelbagai virus, bakteria dan parasit yang sebelum ini belum ditemui ataupun dikenali.

Satu kajian WWF menunjukkan perdagangan haiwan liar haram bernilai sekitar AS$420 bilion setahun. Ini merupakan perdagangan haram keempat terbesar dari segi penjanaan pendapatan selepas dadah, penyeludupan manusia dan pemalsuan matawang.

Adakah Beijing akan berubah arah?

Buat masa ini, kerajaan China tidak berhasrat mengharam dagangan haiwan liar secara kekal.

BBC melaporkan kenyataan dari tiga ajensi berkaitan perdagangan haiwan menetapkan pemeliharaan, pengangkutan dan penjualan segala jenis haiwan liar hanya dikenakan selagi darurat wabak seluruh China belum berakhir.

Tindakan pengharaman sementara yang sama diambil Beijing sewaktu kemunculan SARS pada 2002.

Para pemerhati menganggap selagi penularan koronavirus ini tidak menunjuk tanda reda, selagi itulah mereka ada peluang dan akan mendesak Beijing secara berterusan untuk mengenakan pengharaman kekal.

Polis tembak penunjuk perasaan Hong Kong

HONG KONG: Polis menembak seorang penunjuk perasaan bertopeng manakala seorang lelaki dibakar di Hong Kong hari ini, dalam pertempuran paling ganas di bandar itu, sejak lima bulan tunjuk perasaan prodemokrasi.

Seorang penyerang bertopeng menuang cecair mudah terbakar ke atas seorang lelaki disebabkan pertikaian dan insiden terbabit dimuat naik di internet.

Polis berkata, seorang penunjuk perasaan melakukan serangan dan menuduh perusuh berpakaian hitam melakukan keganasan termasuk membaling bom petrol dalam gerabak kereta api.

“Keganasan berterusan ini adalah situasi merugikan bagi Hong Kong,” kata jurucakap polis, John Tse dalam sidang media sambil menunjukkan rakaman mangsa dibakar.

Ketua eksekutif Hong Kong, Carrie Lam turut mengadakan sidang media mengutuk keganasan terbabit dan berjanji kerajaan tidak akan berkompromi.
Penunjuk perasaan membina halangan di jalan di daerah Sai Wan Ho, Hong Kong. - Foto AFP
 
“Saya membuat kenyataan ini secara jelas dan terang, ia tidak akan berlaku,” kata Lam.

Rakaman insiden tembakan itu disiarkan secara langsung di Facebook, ia menunjukkan anggota polis mengacukan pistol, ketika cuba menahan suspek bertopeng di persimpangan yang disekat penunjuk perasaan.

Seorang penunjuk perasaan bertopeng tidak bersenjata kemudian menghampiri polis dan ditembak. Pihak berkuasa berkata, beliau dalam keadaan kritikal di hospital.

Lam berkata, lelaki yang dibakar turut kritikal di hospital sambil menyifatkan serangan itu sebagai ‘amat tidak berperikemanusiaan’. - AFP

Kura-kura berusia 344 tahun di Afrika sudah tiada

LAGOS: Seekor kura-kura milik keluarga diraja yang didakwa berusia 344 tahun mati di istana pemerintah tradisi Ogbomosho, tenggara Nigeria, menurut seorang jurucakap, hari ini.

Walaupun pakar haiwan meragui kura-kura itu mampu mencapai usia begitu panjang, pemiliknya berkata, Alagba hidup di istana itu selama beberapa kurun.

Alagba mati selepas penyakit singkat, Khamis lalu, kata pembantu peribadi Raja Jimoh Oyewunmi, Toyin Ajamu.

“Alagba tinggal di istana ini selama berkurun-kurun. Kura-kura ini menyambut ramai Raja di Ogbomoso, sejak dahulu,” kata Ajamu sambil menyifatkan kura-kura itu sebagai yang tertua di Afrika.

Kura-kura itu dipercayai dibawa ke istana oleh pemerintah tradisi ketiga kawasan itu, Isan Okumoyede beberapa ratus tahun lalu.

Namun, seorang pakar meragui usia haiwan itu.

“Saya meragui jika Alagba berusia 344 tahun, sebelum mati. Biasanya, purata usia kura-kura adalah kira-kira 100 tahun,” kata doktor haiwan di Lagos, Yomi Agbato. - AFP

Hapuskan kuasa veto lima negara PBB

 Oleh Dr Muzaffar Syah Mallow

SUDAH sampai masanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai sebuah pertubuhan dunia mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan drastik terhadap peranan serta pengurusan yang dimainkan olehnya supaya ia lebih adil dan saksama untuk semua pihak.

Dengan munculnya banyak konflik kemanusiaan berpanjangan yang tidak dapat diselesaikan PBB seperti peperangan yang berlaku di bumi Syria, kesengsaraan dihadapi masyarakat Palestin, tragedi pembunuhan puak Rohingya di Myanmar, ramai pihak menganggap PBB tidak memainkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka sejak ditubuhkan pada 1945.

PBB ditubuhkan 74 tahun lalu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua (1939-1945) yang menyaksikan jutaan kematian manusia di negara yang terbabit dengan peperangan itu.

Pada asalnya, PBB dianggotai 51 negara, kini sudah menjangkau 193 negara anggota. Penubuhan PBB adalah berdasarkan matlamat bagi menjalin hubungan kerjasama sesama negara-negara dunia serta mengekalkan suasana aman, harmoni dan adil di antara semua negara dunia.

Namun, matlamat ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya PBB gagal melaksanakan beberapa perubahan dalaman bagi memastikan pertubuhan berkenaan kekal relevan serta efektif di mata dunia.

Antara faktor utama menyebabkan PBB gagal berfungsi dengan baik ialah kerana ia dilihat masih didominasi oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Russia, United Kingdom, Perancis dan China. Bukan sahaja PBB didominasi oleh kelima-lima kuasa dunia ini, malah PBB turut memberi mereka kuasa yang boleh menentukan arah tuju perjalanan PBB itu sendiri.

Antara kuasa yang diberikan kepada lima negara ini ialah kuasa veto. Kelima-lima negara ini boleh menggunakan kuasa veto yang dimiliki oleh mereka bagi menghalang sebarang cadangan atau draf resolusi yang dikemukakan melalui Majlis Keselamatan pertubuhan berkenaan.

Kuasa veto yang dimiliki lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan terbabit sudah pun wujud sejak penubuhan PBB setelah tamat Perang Dunia Kedua. Walaupun tiada peruntukkan khusus mengenai kuasa veto dinyatakan dengan jelas melalui Piagam PBB 1945 itu sendiri, jika dianalisis dengan teliti melalui Artikel 27 Piagam PBB 1945 ada menyatakan sebarang keputusan yang ingin diambil oleh pihak Majlis Keselamatan, PBB perlu mendapat persetujuan serta tanpa bangkangan lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan itu.

Ini sekali gus boleh ditafsirkan sebagai pemberian kuasa khas veto kepada kelima-lima negara berkenaan. Penggunaan kuasa veto yang dimiliki itu banyak mengundang perasaan tidak puas hati banyak negara anggota PBB sendiri.

Kuasa veto yang diberikan kepada lima negara berkenaan sering disalah guna mengikut kepentingan politik kelima-lima negara berkenaan. Antara yang teruk menerima impak akibat salah guna kuasa veto terbabit ialah masyarakat Palestin yang menghadapi kezaliman rejim Israel sejak penubuhan negara Israel pada 1948.

Banyak resolusi dikeluarkan PBB yang menentang Israel, diveto oleh sekutu kuat Israel iaitu Amerika Syarikat. Akibatnya, rejim Israel tanpa rasa takut serta bersalah masih melakukan siri-siri kekejaman mereka terhadap masyarakat Palestin.

Impak buruk kuasa veto ini juga turut terkena kepada Malaysia apabila pada 2015, pihak Russia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan PBB menghalang cadangan lima negara, yang dipelopori Malaysia bagi menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Wilayah Timur Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 nyawa termasuk 43 orang warga Malaysia.

Penggunaan kuasa veto itu memang sudah banyak mengundang perasaan tidak puas hati negara anggota PBB sendiri. Malah ia turut menyebabkan PBB menjadi sebuah agensi yang tidak membawa apa-apa makna di mata dunia bagi melindungi serta mempertahankan hak asasi manusia.

Oleh itu, sudah sampai masanya PBB mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan bagi memastikan ia kekal relevan serta bebas menjalankan aktivitinya tanpa gangguan serta pengaruh daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan.

Kuasa veto yang diberikan kepada kelima-lima negara berkenaan perlu ditarik balik. PBB juga perlu melihat kembali kepada piagamnya supaya tiada lagi peruntukan khas diberikan pada mana-mana negara anggota tertentu hingga wujudnya ketidakadilan terhadap negara anggota yang lain dalam PBB itu sendiri.

Sudah sampai masanya juga, semua negara anggota PBB dilayan sama adil tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mana-mana negara anggota tertentu. Sekiranya tiada langkah berani diambil bagi melaksanakan segala pembaharuan terhadap agensi berkenaan, PBB sudah pasti akan rebah seperti yang berlaku terhadap pertubuhan antarabangsa sebelum wujudnya PBB iaitu Liga Bangsa-Bangsa (League of Nations) lebih 80 tahun lalu.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
328 dibaca

Enggan terima bekas Obama

LONDON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menarik diri dari perjanjian nuklear dengan Iran semata-mata kerana alasan peribadi iaitu perjanjian berkenaan dipersetujui presiden sebelum itu, Barrack Obama.

AFP melaporkan menurut Main on Sunday yang menyiarkan kandungan memo sulit itu semalam, Duta Britain di Washington menyatakan dalam kabel diplomatik pada 2018 bahawa ‘pentadbiran itu (Trump) berasaskan vandalisme politik untuk ideologi dan sebab peribadi - ia adalah persetujuan Obama.

Kenyataan mengenai perjanjian nuklear dengan Iran itu adalah memo kedua disiarkan akhbar berkenaan selepas Mail on Sunday minggu lalu, menyiarkan kandungan memo pertama daripada Kim Darroch menyifatkan pentadbiran Donald Trump sebagai ‘tidak cekap’ dan ‘tidak berfungsi dengan baik’, mencetuskan kemarahan Trump.

Berikutan kebocoran memo itu, Darroch meletak jawatan awal minggu lalu.

Sementara itu, Reuters melaporkan pihak berkuasa Britain sudah mengenal pasti orang yang membocorkan memo sulit Darroch itu.

Sunday Times menyatakan, sumber kerajaan Britain menyatakan suspek yang membocorkan kandungan memo itu sudah dikenal pasti.

“Bukti dan maklumat lanjut dikumpul untuk membina kes bagi dibawa ke mahkamah,” kata sumber itu.

Pegawai kanan polis anti-keganasan Britain memberi amaran kepada media supaya tidak terus menyiarkan sebarang dokumen dibocorkan kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi.

Namun, amaran itu dikritik hebat pengamal media dan ahli politik termasuk Menteri Luar, Jeremy Hunt dan bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson, yang bersaing untuk menggantikan Theresa May sebagai Perdana Menteri.

30 minit Israel boleh hancur!

TEHERAN - Iran memberikan amaran bahawa Israel boleh ‘hancur dalam tempoh setengah jam’ jika Amerika Syarikat (AS) menyerang negara ini.

Times of Israel yang memetik Pengerusi Keselamatan Kebangsaan Parlimen Iran dan Pesuruhjaya Dasar Luar Iran, Mojtaba Zolnour berkata, ‘semua hidupan di muka bumi wilayah haram Israel akan lenyap sekelip mata’ jika AS menyerang Iran.

“Jika AS serang kita (Iran), hanya setengah jam sahaja hayat Israel untuk hidup,” tegasnya.
Iran semalam mengakui pihaknya melanggar perjanjian nuklear yang ditandatangani pada 2015 apabila menghasilkan uranium melebihi daripada paras yang sepatutnya.

Pengumuman itu dilaporkan agensi berita IRNA yang memetik kenyataan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif ketika ketegangan antara negara ini dengan AS terus memuncak.

Ketika ditanya oleh media adakah Iran sudah melanggar perjanjian tersebut, Mohammad Javad menjawab ‘ya’.

Namun Mohammad Javad tidak menyatakan berapa jumlah uranium yang digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear sudah dihasilkan setakat ini.

Selain itu, agensi perisikan Israel, Mosad menuduh Iran merupakan dalang dalam beberapa siri serangan di Teluk Parsi baru-baru ini.

Ketua Mosad, Yossi Cohen berkata, perkara itu berdasarkan hasil risikan dan maklumat yang diperoleh dari sumber Israel serta Barat.

Katanya, serangan yang dilancarkan terhadap kapal tangki minyak di Teluk Oman dan loji minyak di Arab Saudi serta Baghdad, Iraq sebelum ini mendapat ‘kelulusan daripada kepemimpinan Iran’.

Israel sebelum ini didakwa sengaja mencetuskan propaganda yang ‘melaga-lagakan’ AS dengan Iran berhubung pembangunan program senjata nuklear sebagai langkah untuk menutup ‘cerita’ mengenai penghasilan senjata nuklear oleh rejim Zionis.

Sehingga kini, Israel tidak pernah mendedahkan mengenai angkatan senjata nuklearnya yang dianggarkan mempunyai kekuatan maksimum.

Dalam pada itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan Iran sudah menghasilkan uranium melebihi perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

AS pula menegaskan, strategi untuk ‘meletakkan tekanan maksimum’ terhadap negara ini akan diteruskan.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump memberi amaran Teheran kini ‘bermain dengan api’ kerana melanggar perjanjian yang ditetapkan.

Sementara itu, CNN melaporkan, Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan AS menyenaraikan kumpulan Hezbollah sebagai cabaran utama dalam keselamatan global.

Kumpulan itu juga didakwa mampu mengukuhkan kedudukannya ‘untuk menyerang mana-mana kepentingan AS di seluruh dunia’.

Iran didakwa membiayai Hezbollah dengan menyalurkan dana dan senjata untuk kumpulan itu melancarkan serangan.

Pokok tin gergasi dalam rumah

JABALPUR: Sebuah bangunan empat tingkat kediaman sebuah keluarga di sini, menjadi perhatian kerana pokok tin gergasi berusia 150 tahun tumbuh di dalam bangunan berkenaan dengan dahannya menjulur keluar melalui tingkap.

Pemilik bangunan itu, Yogesh Kesharwani berkata, bangunan itu dibina mengelilingi pokok berkenaan pada 1994 oleh bapanya dengan bantuan seorang jurutera.

“Pokok itu berusia sekitar 150 tahun. Kami tahu tidak susah menebangnya namun kami juga sedar sukar untuk menanam pokok seperti itu,” katanya.

Pokok tin atau ‘peepal’ dalam Hindi dianggap suci bagi masyarakat India dan menebang pokok itu dipercayai membawa malang.

“Kami percaya ada 350 juta dewa dan dewi menghuni satu pohon pokok ‘peepal’.

“Pokok ini juga disebutkan dalam Geeta iaitu ayat suci Hindu,” katanya.

Menurut Kesharwani, rumah itu sering mencuri perhatian orang ramai dan menjadi tumpuan pelajar jurutera untuk mengkaji rekaan uniknya.

Lelaki itu turut menegaskan pokok terbabit tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarganya sejak rumah itu dibina.

Rakyat Bangladesh tuntut keadilan bagi mangsa cabul, bunuh

DHAKA: Demonstrasi di seluruh ibu kota Bangladesh masuk hari ke-10 berturut-turut hari ini selepas seorang remaja perempuan yang menuduh pengetua sekolahnya mengganggu beliau secara seksual dibakar sehingga mati.

Pembunuhan Nusrat Jahan Rafi, 19, mencetuskan kemarahan di seluruh negara dan menjadikan tindakan polis dalam kes itu dalam perhatian.

Penunjuk perasaan di Dhaka melaungkan slogan menuntut hukuman mati bagi pembunuh gadis itu, yang dikatakan polis diminta naik ke bumbung sekolahnya di Feni, di selatan ibu kota negara itu.

Polis berkata, penyerang kemudian mengarahkan mangsa menarik balik laporan polis terhadap pengetua.

Apabila mangsa enggan, beliau disimbah dengan minyak tanah dan dibakar.

Rafi meninggal dunia di hospital pada 10 April lalu selepas mengalami kesan terbakar 80 peratus.
Kematiannya mencetuskan tunjuk perasaan di beberapa bandar raya di negara itu. — AFP

Pelajar Bangladesh dibakar atas arahan pengetua - polis

DHAKA: Seorang pelajar perempuan dibakar sehingga mati di Bangladesh atas arahan pengetua selepas mangsa membuat laporan kerana diganggu secara seksual, kata polis hari ini.

Kematian Nusrat Jahan Rafi, 19, minggu lalu mencetuskan bantahan di seluruh negara Asia Selatan itu dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina berjanji mendakwa semua yang terbabit.



Nusrat dipujuk ke bumbung sekolah agama dihadirinya di mana penyerang memintanya menarik balik aduan gangguan seksual difailkan dengan polis.

Apabila mangsa enggan, dia disimbah dengan minyak tanah dan dibakar.

Polis berkata hari ini, seorang daripada 17 individu yang ditahan dalam kaitan dengan kematiannya menuduh pengetua sekolah mengarahkan serangan itu.

“Pengetua mengarahkan mereka supaya memaksa Nusrat menarik balik kesnya atau membunuhnya jika enggan,” kata superintendan kanan polis Mohammad Iqbal yang mengetuai siasatan.

Nusrat membuat laporan polis akhir Mac lalu untuk melaporkan gangguan seksual serta membocorkan video menunjukkan ketua balai polis tempatan mendaftarkan aduannya namun menolaknya sebagai ‘bukan masalah besar.’

Mohammad berkata, sekurang-kurangnya lima yang ditahan termasuk tiga rakan sekelas Nusrat, mengikatnya dengan selendang sebelum membakar mangsa.

“Rancangan ialah melakukan insiden itu seperti bunuh diri. Namun ia gagal selepas mangsa berjaya turun dalam keadaan terbakar kerana selendangnya terbakar dan melepaskan ikatan pada tangan dan kaki,” katanya.

Mangsa mengalami lecur pada 80 peratus tubuhnya dan meninggal dunia di hospital 10 April lalu namun merakam video sebelum kematiannya, mengulangi dakwaan jenayah itu angkara pengetua sekolahnya.

“Pengetua mencabul saya. Saya akan berjuang sehingga nafas terakhir,” katanya sambil mendedahkan beberapa penyerangnya.

Abang Nusrat, Mahmudul Hasan Noman berkata, individu rapat dengan pengetua terbabit memberi tekanan supaya keluarganya menarik balik kes terhadapnya.

Sheikh Hasina berikrar, ‘tiada seorang pun penjenayah akan terlepas tindakan undang-undang.’ -AFP

Lelaki tidak ingat rupa isteri jika berjauhan

LONDON - Seorang pembantu guru besar dari pekan Hemel Hempstead, England yang gagal mengingati rupa isterinya jika mereka berjauhan disahkan menghidap masalah kognitif dikenali sebagai aphantasia, lapor akhbar Daily Mail baru-baru ini.

Andy van Terheyden, 37, kelihatan keliru apabila diminta menggambarkan sesuatu termasuk rupa isteri sendiri, kelahiran anaknya, rupa saudara-mara mahupun mana-mana detik pada hari perkahwinannya.

“Selama ini saya menganggap itu memang perangai Andy tetapi satu artikel yang saya baca Ogos lalu mengubah semuanya. Saya dan Andy mengambil satu ujian atas talian tentang kemampuan menggambarkan sesuatu objek atau suasana dan keputusan antara kami jauh berbeza,” kata isterinya, Punteha.

Aphantasia diperkenalkan oleh Pakar Neurologi Tingkah Laku dan Kognitif di Sekolah Perubatan Universiti Exeter, Profesor Adam Zeman pada 2015 bagi menggambarkan individu yang gagal membentuk sebarang gambaran maya dalam minda mereka.

Masalah itu dipercayai menjejaskan antara dua hingga tiga peratus penduduk seluruh dunia atau anggaran 2 juta penghidap di Britain sahaja. “Agak menarik apabila satu pertiga daripada penghidap masalah ini sukar mengenal muka dan satu pertiga lagi sukar mengingati maklumat individu lain mahupun suasana yang pernah dilalui dalam hidupnya,” jelas Zeman. – Agensi
 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER