Oleh Prof Dr Muhaya Mohamad
SELAGI hidup, selagi
itu kita tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah. Ramai orang
apabila ditimpa masalah menjadi tertekan, tidak dapat mengawal perasaan,
cepat marah, murung atau kecewa.
Lebih berat lagi apabila kita menyalahkan orang lain sebagai penyebab
kepada masalah dan tidak melihat kesilapan diri sendiri. Mulalah kita
mengadu atau bercerita mengenai masalah itu dan mengharapkan orang lain
memahami, bersimpati malah membantu menyelesaikan masalah kita.
Hal ini berlaku kerana dalam kehidupan ini kita akan temui tiga ragam
manusia. Pertama, orang malas berfikir. Kedua, orang berasa dia sudah
berfikir. Ketiga, orang yang berasa lebih baik mati daripada berfikir.
Tiga jenis manusia
Hakikatnya dalam kehidupan ini jenis manusia ketiga paling ramai (hampir
95 peratus), yang sanggup menanggung susah begitu lama atau lari
daripada memikirkan masalah. Apabila berdepan masalah, adakah kita
hendak menghabiskan masa memikirkannya atau mencari jalan penyelesaian?
Golongan 'orang yang jernih' dan bijak, menghabiskan 80 peratus masanya
untuk memikirkan jalan penyelesaian. Hanya 20 peratus masa diguna untuk
mengikut rentak emosi, memikirkan masalah dan nasib, akibat daripada
masalah menimpa hidup.
Orang bijak lagi beriman tidak akan tunduk dengan emosi negatif apabila
ditimpa masalah sebaliknya kembali mendekatkan diri kepada-Nya kerana
mereka percaya qada dan qadar Allah SWT.
Itulah sepatutnya dilakukan hamba-Nya apabila dibebani masalah, mengadu
kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Bijaksana.
Allah SWT bersama orang yang dekat dan sentiasa mengadu kepada-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu
mengenai Aku maka (jawablah) sesungguhnya aku amat hampir: Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah
mereka menyahut seruan-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul" (Surah
al-Baqarah, ayat 186)
Banyakkan doa
Dekati Allah SWT dengan membanyakkan berdoa kerana doa itu senjata orang
Mukmin. Maka berdoalah tidak kira sama ada ketika kita susah atau
senang. Hal ini penting kerana sering berlaku masa senang kita lupakan
Allah SWT hingga tidak berdoa kepada-Nya.
Masa susah baru ingat Allah SWT dan hendak berdoa hingga mengalir air
mata. Ketika itu tidak putus-putus berdoa dengan penuh harapan, mengadu
kesusahan dan mohon belas ihsan daripada-Nya supaya dilepaskan daripada
masalah yang membebankan hidup.
Jika semasa senang kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa
berdoa, andai ditakdirkan menghadapi kesusahan dan kita berdoa memohon
bantuan-Nya, Allah SWT senang hendak memakbulkan doa kita kerana Allah
Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati hamba-Nya.
Sesungguhnya doa itu ibadat dan di mata Allah SWT, orang yang tidak
berdoa ialah orang sombong kerana berasakan dia tidak bergantung kepada
sesiapa pun untuk berjaya sedangkan jika Allah SWT tidak mengizinkan,
mustahil kita mendapat apa yang dimiliki hari ini.
Membaca bismillah
Mulakan semua pekerjaan dengan membaca bismillah, berdoa serta berharap
yang baik-baik daripada Allah SWT. Kita tidak tahu apakah bahaya yang
akan datang, bahkan tidak tahu siapa kawan atau lawan.
Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Berdoalah kamu
kepada Allah SWT dalam keadaan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah
bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak menerima doa daripada hati yang
lalai dan alpa."
Berbaik sangka dengan semua orang di samping berwaspada dan bergantung
harap kepada Allah SWT supaya melindungi daripada sebarang kesusahan dan
musibah akibat hasad dengki orang yang berniat buruk terhadap kita.
Alangkah ruginya jika kita kurang berdoa terutama selepas menunaikan
solat dengan alasan terkejar-kejar urusan duniawi. Antara waktu mustajab
doa adalah selesai solat maka ambillah masa untuk beristighfar,
berzikir seterusnya berdoa kepada Allah SWT.
Iktibar ajaran Nabi SAW
Ambil iktibar daripada ajaran junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW
bersabda kepada Ibnu Abas semasa kecil: "Wahai anak kecil, sesungguhnya
aku ingin mengajarmu beberapa kalimah iaitu, jagalah Allah (jaga
perintah-Nya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintah-Nya)
nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu).
Apabila engkau memohon, pohonlah kepada Allah. Apabila engkau meminta
pertolongan, minta tolonglah kepada Allah."
Jangan jemu berdoa kerana doa seseorang mungkin dimakbulkan melalui tiga
cara: "Apabila seseorang Mukmin berdoa dengan sesuatu doa, yang tidak
ada dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, Allah akan beri salah
satu daripada tiga perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan
doanya di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberikan
balasan pada hari akhirat), ataupun diselamatkan dia daripada keburukan
yang seumpamanya."
Lantaran itu bersabarlah apabila berdoa dan terus berdoa kerana ia satu
ibadat. Semakin banyak kita beribadah, semakin banyak pahala yang
diperoleh,semakin taat kita kepada-Nya.
Home »
Bicara Islam
» Malas berdoa sifat orang angkuh
Malas berdoa sifat orang angkuh
Written By zabidi on Sunday 9 October 2016 | 10:36 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment