Oleh Rashidah Ibrahim
Dipaksa menguruskan ladang ternakan buaya yang bakal ditinggalkan
bapanya menjadi cabaran yang tidak diduga kepada Ng Siew Hiah, 51.Dia
sendiri tidak tahu mengapa bapanya memilihnya sedang abangnya
terlebih dulu bersama menguruskan ladang buaya itu selama 40 tahun.
Siew Hiah berkata, mulanya dia susah hati apabila diminta bapanya
meneruskan tradisi memelihara buaya di ladang peliharaan Jalan Sembilan,
Kampung Belading, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor.
“Permintaan bapa buat saya menangis. Ini kerana saya tak pernah suka
buaya. Walaupun bapa pelihara buaya sejak datuk ada lagi, saya tak ambil
kisah. Saya tak pernah pegang dan tak pernah masuk ke tempat peliharaan
itu,” katanya.
Menurutnya, ketika selesa bekerja di restoran, tiba-tiba bapanya
memujuk supaya mengalihkan tumpuan kepada buaya. Perubahan dalam
hidupnya berlaku apabila bapanya mendesak dia agar berjinak-jinak dengan
haiwan dua alam itu.
“Saya enggan tapi bapa paksa juga. Mula-mula hendak tanam
keberanian, bapa paksa saya turun ke kolam buaya. Bayangkan perasaan
saya ketika itu. Takut sangat tapi tak boleh jerit atau menangis.
“Semasa dalam kolam, saya kawal perasaan takut. Saya azam saya mesti
menang. Semua pekerja lelaki berdiri di sekeliling memantau
keselamatan.
“Itulah pengalaman pertama saya dengan buaya. Selepas itu, saya
belajar hal buaya dengan bapa,” katanya yang memelihara buaya jenis air
masin dikenali sebagai buaya tembaga pelbagai saiz.
Kini, Siew Hiah pemilik Teluk Sengat Crocodile Farm Sdn Bhd seluas 10 hektar yang diusahakan sejak tahun 1997.
Dia mendakwa taman buaya tiga generasi terbesar itu di Semenanjung Malaysia dan dibuka untuk pelancongan sejak dua tahun lalu.
Sewaktu zaman bapa dan datuknya, ladang buaya itu tidak pernah
dibuka kepada orang luar. Mereka memeliharanya sebagai hobi. Dia hanya
membuka tempat itu untuk lawatan pada 2014.
Menurutnya, pada peringkat permulaan berjinak-jinak dengan buaya,
dia tetap tidak suka. Tetapi disebabkan terpaksa akur dengan permintaan
bapanya, hatinya masih berbelah-bahagi. Pada masa sama, Siew Hiah sempat
membuat beberapa permintaan kepada bapanya.
“Saya kata kalau bapa mahu saya urus ladang buaya, gantikan jambatan
pejalan kaki lama dengan dua jambatan lebih kukuh dan pasang peneduh.
“Jalan tanah merah pula perlu disimen agar tidak lecak ketika hujan
manakala kawasan kosong perlu bina petak kolam. Yang peliknya, bapa akur
saja dengan permintaan saya,” katanya.
Siew Hiah berkata sebelum meninggal dunia, bapa memegang tangannya
dan berpesan: “Jangan buang dan jangan lepaskan buaya-buaya saya.”
Bapanya meninggal pada usia 80 ketika beliau berumur 47 tahun.
Selepas kematian bapanya, katanya, entah dari mana datangnya
semangat keberanian apabila tiba-tiba dia jadi kuat seperti lelaki dan
bersedia melaksanakan tanggungjawab itu.
“Mengenang pesanan bapa, saya jadi bersemangat dan berikrar pada diri sendiri untuk uruskan buaya,” katanya.
Katanya, dia banyak belajar mengenai replitia itu daripada pekerja
ayahnya yang dipanggil Pak Mat atau nama sebenar Mohd Dul Endau, 66.
Menurutnya, tidak siapa menyangka dia akan menjadi pemilik ladang ternakan buaya itu, baik Pak Mat mahupun dirinya sendiri.
“Pak Mat kata pada saya, ‘macam mana kamu nak mengurus sedangkan
kamu tak pernah suka dan tidak pernah ambil tahu hal buaya’?” katanya.
Namun, setelah mengambil alih, Siew Hiah berjaya membuktikan
kemampuannya. Kalau dulu, semua buaya diletak dalam satu kolam tanah,
kini ada 81 kolam simen dan lapan kolam pembiakan.
Penjagaannya juga lebih teratur. Ada kolam dikhaskan untuk anak
buaya, kumpulan usia tertentu, untuk mengawan dan buaya kurang upaya
(cacat).
Dia mengasingkan buaya cacat seperti dilahirkan tanpa ekor, sumbing
dan sebagainya kerana jika dibiarkan hidup bersama yang sempurna
fizikal, buaya cacat itu akan dibaham.
“Di bawah pengurusan saya, semua kolam mesti dibersihkan. Mula-mula
pekerja enggan kerana mereka tak pernah buat sepanjang bekerja dengan
bapa.
“Tapi saya mahu tempat ini bersih dan tidak berbau. Saya terpaksa
tunjuk contoh, turun dulu dan bersihkan satu kolam kemudian barulah
pekerja ikut bersihkan semua kolam lain,” katanya sambil ketawa.
Menceritakan sejarah ladang itu, Siew Hiah berkata, pada asalnya ada
300 buaya peninggalan datuknya dibiakkan di bawah penjagaan bapanya.
Kini ada 1,100 buaya dewasa di situ. Selain mempunyai lesen, buaya
dewasa dipasang mikrocip sebagai pengenalan diri.
“Jika buaya itu mati, mikrocip perlu dikeluarkan sebagai bukti ia
sudah mati. Namun, pada zaman datuk belum ada peraturan itu. Usia buaya
di sini ada pelbagai peringkat termasuk peninggalan datuk yang sudah
berusia melebihi 100 tahun,” katanya.
Ladang itu kini menjadi kunjungan ramai pada hari cuti umum dan cuti sekolah manakala hari biasa jarang dikunjungi.
Dia bersyukur kerana kini kebanyakan ahli keluarganya menyayangi buaya termasuk ibu dan anaknya.
Mereka suka bermain dengan anak buaya, namun dia mengingatkan jangan
terlalu percaya dengan haiwan peliharaan kerana mereka boleh bertindak
ganas pada bila-bila masa tanpa dijangka.
“Sebab itu kalau hendak dibawa bermain, saya akan tutup mulut anak
buaya dengan lilitan pita.
Selepas itu, barulah boleh ditatang, dipeluk
atau dicium tanpa risiko dicederakan,” katanya.
Selepas lima tahun mengambil alih pemilikan kolam itu, dia kini memiliki banyak maklumat mengenai haiwan itu.
Menurutnya, buaya menimbus telur dengan tanah dan dijaga selama 85
hari sehingga menetas. Ia akan bertindak garang jika telurnya diambil.
“Tapi kami terpaksa ambil juga supaya anaknya tidak dimakan binatang
lain atau dihurung semut. Saat telur atau anaknya diambil, si ibu lari
ke kolam dengan mata berair macam menangis,” katanya.
Katanya, buaya diberi makan ayam yang dicampakkan seekor demi seekor ke dalam kolam.
“Buaya tua pula tidak selalu diberi makan. Enam bulan tak beri makan pun ia masih bertahan dan tidak mengganas,” katanya.
Siew Hiah berkata, buaya peliharaannya tidak dijual melainkan dalam bentuk daging segar sebagai ubat.
Sementara itu, Pak Mat berkata, buaya tidak ada penyakit sebaliknya anggota tubuhnya mempunyai khasiat.
“Kalau tercedera dalam air kerana bergaduh, ia pantas lari ke dalam
air dan lukanya akan sembuh sendiri. Tetapi kalau cedera di darat ia
boleh mati. Buaya usianya panjang, selalunya mati kerana tua atau
dipanah petir sahaja,” katanya sambil menambah, kaki depan buaya ada
empat jari seperti itik dan kaki belakang lima jari seperti cicak.
Post a Comment