Oleh Anas Alam Faizli
Cuba bayangkan 10 pesawat jumbo terhempas setiap minggu selama satu
tahun atau keseluruhan penduduk Petaling Jaya meninggal dunia. Jumlah
ini adalah antara 210,000-400,000 kematian di Amerika Syarikat yang
berpunca dari kecuaian perubatan setiap tahun berdasarkan laporan
Institute of Medicine (2013). Sistem penjagaan kesihatan di Amerika
mengalami kegagalan.
Ironinya, Amerika mempunyai sistem penjagaan kesihatan swasta
terbesar di dunia dan membelanjakan lebih banyak berbanding mana-mana
negara untuk sistem penjagaan kesihatan swasta dan juga awam yang
mencecah AS$2.8 trilion. Jumlah perbelanjaan ini untuk setahun lebih
besar berbanding nilai ekonomi United Kingdom yang berjumlah AS$2.6
trilion atau ekonomi Perancis yang berjumlah AS$2.7trilion. Sekiranya
tiada perubahan yang dilakukan kepada sistem penjagaan kesihatan negara
ini, kita mungkin akan menjadi seperti Amerika. Jadi, bagaimanakah
prestasi Malaysia sebenarnya?
Penduduk berusia dan mengukur prestasi penjagaan kesihatan
Menjelang 2030, penduduk Malaysia akan menua seperti Jepun. Asia dan
Malaysia, khususnya, ialah salah satu kelompok penduduk paling pantas
berusia di dunia. Menurut Asia Pasific Risk Center (APRC) yang
berpangkalan di Singapura, situasi penuaan rantau ini akan mengakibatkan
kos penjagaan kesihatan sebanyak $20 trilion pada 2030.
Jepun membelanjakan 8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
untuk penjagaan kesihatan; yang 80 peratus daripada perbelanjaan ini
dibiayai oleh kerajaan. Sedangkan Malaysia ketinggalan di belakang
dengan hanya 4.4 peratus KDNK diperuntukkan untuk penjagaan kesihatan
dan hanya 52.4 peratus dibiayai kerajaan. Jumlah keseluruhan
perbelanjaan penjagaan kesihatan awam dan swasta ialah RM50.3 bilion –
93 peratus dibelanjakan untuk kos operasi dan hanya 7 peratus
diperuntukkan untuk pembangunan.
Peratusan KDNK yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan meletakkan
Malaysia pada kedudukan 156 dunia. Majoriti rakyat Malaysia menggunakan
kemudahan penjagaan kesihatan awam. 75 peratus rakyat Malaysia
menggunakan sistem rawatan hospital dan 90 peratus rakyat Malaysia
menggunakan sistem pesakit luar penjagaan kesihatan awam. Walaupun
begitu, kerajaan hanya membelanjakan 52.4 peratus untuk penjagaan
kesihatan. Ini membuktikan dua perkara; kos yang lebih tinggi untuk
kemudahan swasta dan keupayaan majoriti rakyat untuk menggunakan sistem
penjagaan kesihatan swasta.
Cubaan untuk merumuskan sistem penjagaan kesihatan dalam hanya sebuah
rencana bukan satu kerja mudah. Sistem penjagaan kesihatan adalah
rumit, kerana ia mempunyai pelbagai indikator yang perlu diukur dengan
tahap prestasi yang berbeza. Ini termasuklah pesakit, doktor, pembekal
perubatan, rangkaian niaga, serta agensi yang menyelia aktiviti
penjagaan kesihatan, termasuk pihak kerajaan.
Bagaimana kita mahu mengukur penjagaan kesihatan sebuah negara?
Sebuah sistem pengukuran prestasi penjagaan kesihatan yang berkesan
sangat penting dalam memastikan kita tidak mengikut jejak langkah
Amerika. Sebuah pelan pemantauan yang secara berterusan boleh memastikan
peningkatan kualiti, keberkesanan, kebertanggungjawaban dan paling
mustahak kemampuan. Pengukuran ini juga perlu meliputi keseluruhan aspek
penjagaan kesihatan termasuklah kepuasan pesakit, kecekapan pengamal
perubatan, utilisati perubatan, kualiti klinikal, peralatan, teknologi
dan prestasi kewangan.
Bagaimana kita mengukur prestasi? Sekiranya kemampuan menanggung kos
kesihatan menjadi ukuran, kos melahirkan bayi di hospital di United
Kingdom dan Australia dengan tempoh tinggal di hospital selama 2.6 hari
ialah pada kadar median sebulan gaji berbanding median gaji tiga bulan
di Malaysia. Kos melahirkan anak sengaja dipilih sebagai contoh kerana
kehamilan dan kelahiran merupakan sebab nombor satu kemasukan ke
hospital iaitu 19.9 peratus untuk hospital awam dan swasta (Kementerian
Kesihatan, 2016).
Statistik penjagaan kesihatan terpilih di bawah boleh menjadi ukuran bagi mengukur kedudukan Malaysia.
Keuntungan, subsidi atau tanggungjawab kerajaan
Wujud debat berterusan sama ada penjagaan kesihatan ialah
tanggungjawab individu atau kerajaan. Mudah untuk menuduh individu tidak
mengambil berat akan kesihatan mereka
sedangkan kerajaan sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam
memastikan perkhidmatan pada tahap terbaik. Bagaimanapun, seseorang yang
mempunyai kesedaran penjagaan kesihatan yang tinggi tidak akan mampu
melakukan apa-apa sekiranya persekitaran kesihatan awam yang disediakan
tidak mempunyai piawaian kualiti yang baik. Kerajaan mempunyai
tanggungjawab untuk memastikan kualiti terbaik bekalan air bersih,
program imunisasi yang menyeluruh, makanan sihat dan penginapan mampu
milik, dan pelbagai lagi isu alam sekitar dan persekitaran kita.
Satu lagi perbincangan yang wujud ialah sama ada perbelanjaan
kerajaan terhadap penjagaan kesihatan ialah satu bentuk subsidi atau
hanya sekadar pelepasan tanggungjawab kerajaan. Sekiranya kita bersetuju
yang ia merupakan salah satu tanggungjawab utama kerajaan, kita perlu
mula menggunakan terma yang tepat untuk melabel perbelanjaan penjagaan
kesihatan.
Saya merasakan tidak bertanggungjawab apabila dalam Makmal
Rasionalisasi Subsidi PEMANDU, penjagaan kesihatan diletakkan sebagai
salah satu perkara dalam program rasionalisasi subsidi.
Identifikasi
sebegitu akan menjadikan tanggapan bahawa penjagaan kesihatan ialah satu
bentuk subsidi dan bukannya pelaburan atau tanggungjawab kerajaan. Ini
pastinya akan memberi kesan tidak baik kepada penjagaan kesihatan.
Jika kita bersetuju yang penjagaan kesihatan ialah tanggungjawab
kerajaan, kita perlu mula bertindak ke atas isu-isu lain yang berkaitan
seperti penswastaan, kos ubat-ubatan dan perkhidmatan, modal insan dan
fasiliti, pentadbiran pihak ketiga dan juga meneroka model lain yang
terbukti berjaya dilaksanakan di negara lain dan akhirnya mengenal pasti
langkah tepat yang boleh dicontohi dan diteladani.
Penswastaan penjagaan lesihatan dan keuntungan hospital swasta dan GLC
Pada tahun 1983 bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, kerajaan
Malaysia melancarkan dasar penswastaan yang membolehkan pihak swasta
memainkan peranan lebih besar dengan mengambil alih tanggungjawab
kerajaan dalam pelbagai bidang termasuklah penjagaan kesihatan dan
pendidikan. Sejak itu kos penjagaan kesihatan meningkat mendadak.
Hospital swasta yang secara tradisional dahulunya diuruskan organisasi
bukan kerajaan dan badan keagamaan semakin diambil alih oleh pengurusan
hospital swasta yang berorientasikan keuntungan. Idea dalam pelaksanaan
ini mudah, golongan kaya berkemampuan mendapatkan rawatan di hospital
swasta dan ini akan mengurangkan beban di hospital kerajaan yang
seterusnya mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit
kurang berkemampuan.
Bukan itu sahaja, pada tahun 1993 perkhidmatan farmaseutikal bawah
Kementerian Kesihatan juga telah diswastakan. Malah, Renong pernah
diberikan kontrak jangka panjang eksklusif untuk membekalkan ubat-ubatan
sehingga menyebabkan peruntukan pembekalan kerajaan meningkat dua kali
ganda untuk tahun berikutnya. Tetapi penswastaan masih diteruskan,
dengan perkhidmatan sokongan lain seperti dobi dan linen, pengurusan
sisa klinikal, pembersihan, perkhidmatan kejuruteraan dan
penyelenggaraan turut diswastakan tiga tahun kemudian pada tahun 1996.
Dalam masa setahun sahaja, kos perkhidmatan ini meningkat kepada RM450
juta daripada RM140 juta.
Kesan daripada penswastaan, doktor berpengalaman dan berkelulusan
tinggi turut berpindah ke sektor swasta. Dalam masa dua puluh tahun
sahaja, sektor penswastaan memiliki dua pertiga keseluruhan pakar
perubatan dan pembedahan. Masalah sumber manusia berlaku. Akhirnya masa
menunggu dan kualiti perkhidmatan di hospital kerajaan berdepan masalah
besar. Terdapat juga yang mengalami tragedi apabila pesakit lambat
didiagnosis atau lewat menerima rawatan menyebabkan kematian.
Seperti yang digambarkan sebelum ini, kos penjagaan kesihatan di
hospital swasta sangat tinggi. Misalnya, kos bersalin Kelas 1 di
hospital awam hanyalah RM800 berbanding kos rawatan sama di hospital
swasta yang puratanya mencecah RM3,500-RM6,000. Baru-baru ini, kos
ubat-ubatan juga meningkat mendadak kerana pelaksanaan GST. Dalam sektor
swasta, kos GST dipindahkan kepada pesakit kerana ia tidak diserap oleh
institusi perubatan swasta.
Kita perlu mengenal pasti kos sebenar penjagaan kesihatan. Mengapa
perlunya permit kelulusan untuk ubat-ubatan? Mengaut keuntungan melampau
tidak boleh dibenarkan terutama sekali untuk konglomerat gergasi
Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Sime Darby, Pantai, Khazanah,
KPJ dan lain-lain yang memegang lebih 40 peratus jumlah katil di
hospital swasta.
Kesan penswastaan kepada sektor penjagaan kesihatan yang berlaku
mendesak wujudnya penilaian semula dasar penswastaan. Kerajaan memakai
tiga topi, sebagai pembekal penjagaan kesihatan awam, sebagai penggubal
dasar, serta pelabur untuk mengaut keuntungan penjagaan kesihatan yang
nyata mempunyai kepentingan yang bertentangan.
Permintaan dan pembekalan Insurans serta perbelanjaan pentadbiran pihak ketiga
Mandat penswastaan penjagaan kesihatan ialah untuk memindahkan beban
penjagaan kesihatan kepada pihak swasta. Pada masa yang sama sebuah
model kewangan perlu dirangka bagi menangung kos dan industri insurans
telah menjalankan peranan mereka dengan baik setakat ini. Dianggarkan
kos untuk menginsuranskan semua rakyat Malaysia pada kadar minimum
premium bagi menanggung kos rawatan di hospital ialah RM30 bilion setiap
tahun.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah pemegang polisi
insurans telah meningkat dan lebih banyak hospital swasta ditubuhkan.
Dengan pembentukan permintaan dan bekalan ini, secara logiknya kos
penjagaan kesihatan sewajarnya menurun. Bagaimanapun, ini tidak berlaku.
Kalau dahulu, peningkatan mendadak kos perkhidmatan penjagaan kesihatan
dan harga ubat-ubatan boleh diperhatikan dengan jelas. Tetapi kini
permintaan baru terbentuk. Penyiasatan berlebihan, rawatan berlebihan,
dan dalam sesetengah kes; penyiasatan klinikal yang tidak diperlukan
dilakukan di hospital swasta. Amalan ini menyebabkan lambakan bekalan
naik mendadak.
Wujud juga keperluan untuk menilai kembali bayaran tinggi yang
dikenakan oleh pakar-pakar kita. Secara purata daripada bil rawatan
hospital standard, nisbah antara bayaran kepada hospital termasuk kos
perubatan, peralatan, alatan pakai buang dan penjagaan jururawat
hanyalah pada nisbah 60 peratus, selebihnya ialah bayaran kepada doktor
pakar. Bayaran kepada mereka mengikut peraturan dalam Jadual Bayaran
Ke-13 perlu dinilai kembali secepat mungkin.
Seperti industri lain, kos penjagaan kesihatan juga tinggi kerana
kewujudan orang tengah yang sebenarnya tidak perlu, dikenali sebagai
Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) atau dikenali juga sebagai Organisasi
Pengurusan Penjagaan (MCO). Tugas mereka ialah menawarkan pentadbiran
luaran antara pembekal perubatan, syarikat dan syarikat insurans. Mereka
membantu dalam proses tuntutan, polisi korporat dan peruncitan dan
kemudahan kewangan. Pendapatan terbesar mereka wujud dalam bentuk upah
atau komisyen ke atas premium, yang dipiawaikan oleh Insurance
Regulatory Development Authority (IRDA). Kebanyakan rakyat tidak
menyedari bayaran premium tambahan yang dikenakan oleh syarikat insurans
untuk perkhidmatan TPA.
Regulasi boleh dikuatkuasakan dengan meminda dan memasukkan
peruntukan tambahan ke dalam akta sedia ada seperti Akta Perkhidmatan
dan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (PHFSA). Terdapat
sekurang-kurangnya 30 TPA/MCO bergiat aktif dalam negara buat masa kini.
Sumber manusia dan kemudahan penjagaan kesihatan Malaysia
Menurut Kementerian Kesihatan (2016), kita mempunyai seramai 46,491
doktor di hospital awam dan swasta; yang memberikan kita nisbah kepada
populasi sebanyak 1:656, doktor gigi pada nisbah 1:4,775, ahli farmasi
pada nisbah 1:2,900, nisbah pakar optik ialah 1:2,900 dan pakar mata
dengan nisbah 1:19,053. Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) menetapkan
nisbah 1:400 yang bermakna sasaran seramai 75,000 doktor menjelang 2020.
Adakah kita mempunyai hospital latihan yang mencukupi dan bekalan
pelajar perubatan yang mencukupi bagi mencapai matlamat itu? Ini
bermakna 28,905 doktor baru diperlukan dalam masa empat tahun.
Bagaimanapun Kementerian Kesihatan berkata yang mereka tidak
mempunyai kemudahan mencukupi bagi menyerap graduan baru bagi latihan
amali dan housemanship. Kerana itu, pengambilan pelajar
perubatan baru terpaksa dibekukan. Ini secara tidak langsung bermaksud
kita tidak mempunyai hospital yang mencukupi.
Ketika ini terdapat 143 hospital awam dengan 41,389 katil dan 183
hospital swasta dengan 12,963 katil. Oleh kerana 75 peratus penduduk
Malaysia memilih hospital awam, ini bermakna sebuah hospital awam perlu
memberikan perkhidmatan kepada 157,342 rakyat Malaysia sementara sebuah
hospital swasta perlu memberikan perkhidmatan kepada 40,983 rakyat
Malaysia.
Kini hanya terdapat 44 hospital latihan. Kekurangan hospital latihan
diterjemahkan dalam masa tambahan yang perlu dilalui oleh graduan
perubatan sebelum mereka boleh ditempatkan. Pegawai perubatan sedia ada
yang terbeban dengan beban kerja berlebihan juga tidak mampu memberikan
latihan terbaik kepada graduan baru perubatan.
Tetapi ada jalan keluar. Kita boleh membina lebih banyak hospital
latihan, serta kita juga perlu menilai kembali peraturan sedia ada dan
membenarkan graduan perubatan untuk menjalani latihan housemanship
di luar negara di universiti-universiti yang menerima kelulusan untuk
berbuat demikian oleh Kementerian Pendidikan. Klinik di luar bandar juga
boleh dinaik taraf untuk menjadi hospital mini yang lengkap dengan
doktor berkelayakan. Ini akan meningkatkan penempatan untuk doktor
pelatih dan pegawai perubatan.
Saya sentiasa menyokong gaji minimum dan pendapatan yang lebih banyak
kepada tenaga kerja.
Walaupun jumlah keuntungan dalam sektor penjagaan
kesihatan besar, wang yang diperuntukkan untuk gaji para doktor hospital
awam kita hanyalah sebahagian kecil. Peratusan EBITDA/perolehan sektor
swasta penjagaan kesihatan Malaysia dianggarkan dalam 35 gperatus
sedangkan gaji/perolehan ialah pada kadar 20 peratus. Sekiranya kita
membandingkan kadar ini dengan negara maju lain, misalnya di Australia
yang berada pada kadar 12 peratus EBITDA/perolehan dan 45 peratus
gaji/perolehan.
Akta Penjagaan Mampu Milik dan hospital tak berorientasi keuntungan
Kerajaan Korea Selatan bertindak bijak apabila mereka memilih untuk
mempromosikan dasar pencegahan lebih baik berbanding pemulihan. Dalam
jangka masa panjang, langkah ini terbukti menjadi penyelesaian yang
mengurangkan kos. Kerajaan Korea Selatan akan menyerap keseluruhan kos
perubatan untuk rakyatnya dengan syarat mereka melakukan pemeriksaan
perubatan setiap tahun tanpa gagal.
Terdapat juga beberapa pilihan lain yang boleh diteroka seperti
penubuhan hospital sosial, apabila badan bukan kerajaan menguruskan
hospital dalam bangunan yang diberikan kerajaan. Akta baru juga boleh
dirangka yang boleh dikenali sebagai “Akta Penjagaan Mampu Milik” yang
mewajibkan kerajaan untuk menyediakan penjagaan kesihatan mampu milik.
Tindakan untuk menyesuaikan kos insurans premium kepada pendapatan juga
boleh diperkenalkan bagi memastikan semua rakyat Malaysia mampu
memilikinya.
Muhammadiyah yang merupakan organisasi reformasi di Indonesia
menjalankan aktiviti yang menumpukan kepada bidang agama dan pendidikan.
Beberapa sekolahnya juga dibuka kepada orang bukan Islam. Ketika ini
terdapat 5,754 sekolah di bawah pengurusan Muhammadiyah. Usaha terbaru
mereka ialah menguruskan klinik dan hospital perubatan yang tidak
berorientasikan keuntungan. Ketika ini, mereka memiliki ratusan klinik
dan hospital perubatan di Indonesia.
Memandangkan 19.9 peratus kes rawatan hospital berkaitan dengan
kehamilan, kita boleh bermula dengan mewujudkan rangkaian hospital
materniti dan kanak-kanak pada harga mampu milik.
Hospital ini akan
memberikan perkhidmatan berkaitan dengan capaian yang lebih luas. Kita
boleh mewujudkan rangkaian hospital ini di lot-lot kedai. Hospital ini
perlu dioperasikan oleh badan bukan beroerientasikan keuntungan atau
koperasi.
Karnataka, sebuah negeri di selatan India menjadi pemacu penjagaan
kesihatan mampu milik apabila memperkenalkan Skim Kesihatan Yeshasvini,
sebuah skim untuk penduduk luar bandar menggunakan penjagaan kesihatan
berkualiti dengan harga hanya RM0.30 (5 Rupees) setiap bulan. Skim ini
memberikan perundingan pesakit luar percuma dan lebih 1,700 jenis
pembedahan yang semuanya percuma! Dalam masa tujuh bulan selepas
dilancarkan, lebih 5,000 orang petani menjalani pelbagai jenis
pembedahan dan 23,500 petani menerima perundingan perubatan sebagai
pesakit luar.
Penjagaan kesihatan tanggungjawab bersama
Menurut Laporan Isi Rumah Negeri II yang dikeluarkan pada Ogos 2016
oleh Khazanah Research Institute (KRI), kebanyakan isi rumah terutama di
kawasan bandar tidak mampu untuk menanggung diet yang mencukupi nutrisi
selepas mengambil kira perbelanjaan lain yang perlu dikeluarkan. Ini
secara langsung memberikan kesan kepada situasi kesihatan mereka. Ini
merupakan cerminan yang banyak perkara yang secara tidak langsung
memberi kesan kepada penjagaan kesihatan. Maka, penjagaan kesihatan
bukanlah tanggungjawab mutlak Kementerian Kesihatan, tetapi
tanggungjawab bersama setiap rakyat Malaysia.
Kutipan kolektif cukai persendirian, cukai hartanah, cukai barangan
dan perkhidmatan, cukai jalan dan pelbagai dana yang dikutip daripada
masyarakat, perlu diterjemahkan kepada manfaat rakyat. Wang yang dikutip
oleh kerajaan perlu dipindahkan kembali kepada dua tanggungjawab utama
kerajaan- kesihatan dan pendidikan. Bajet perlu diperuntukkan kepada
aktiviti dan program perubatan. Ini akhirnya akan membawa banyak faedah
kepada kerajaan, memastikan tenaga kerja yang berterusan sihat dan
produktif, yang akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara.
Di masa depan, bayaran kepada doktor tidak sewajarnya berasaskan
kepada perkhidmatan yang diberikan, seterusnya akan mengelakkan
penyiasatan dan rawatan tidak diperlukan.
Ketidaksamarataan pendapatan
antara kakitangan sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta perlu
dirapatkan. Sangat mustahak untuk negara melabur lebih dalam kemudahan
kesihatan awam dengan menggandakan jumlah pegawai perubatan kita,
hospital dan hospital latihan dalam jangka masa sepuluh tahun akan
datang. Penswastaan perlu dinilai semula, insurans penjagaan kesihatan
kebangsaan untuk golongan miskin perlu ditubuhkan, penilaian pengurangan
kos untuk rangkaian penjagaan kesihatan menyeluruh, pembentukan
hospital tidak berorientasikan keuntungan, sistem penilaian prestasi
penjagaan kesihatan kebangsaan dan lebih banyak program kesedaran
kesihatan perlu diperkenalkan.
Saya sentiasa menyokong sepenuhnya bahawa kerajaan bertanggungjawab
menyediakan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang mencukupi kerana
kedua-duanya ialah hak asasi paling asas yang diperlukan untuk membentuk
dan memajukan sebuah negara. Masyarakat yang sihat dan berpendidikan
ialah tulang belakang mana-mana negara maju. Keduanya merupakan
pelaburan penting yang perlu dilakukan kerajaan. Penilaian kembali yang
lebih menyeluruh untuk sistem dan industri penjagaan kesihatan, dan
pengukuran prestasi penjagaan kesihatan ialah sangat mustahak dan
penting demi masa depan kita. Asasnya, sesuatu perlu dilakukan secepat
mungkin. Marilah bersama-sama bertindak dengan segera atau sistem
penjagaan kesihatan Malaysia akan gagal.
ANAS ALAM FAIZLI memegang ijazah kedoktoran dalam pentadbiran
perniagaan. Beliau adalah seorang profesional bidang pembinaan dan
minyak dan gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan pengarang
Rich Malaysia, Poor Malaysians serta bertweet di @aafaizli.
Ukuran sistem penjagaan kesihatan: Kita bakal gagal?
Written By zabidi on Tuesday 11 October 2016 | 8:28 am
Labels:
Kesihatan
Post a Comment