Baru-baru ini kecoh tentang penipuan
skim cepat kaya minyak sawit mentah yang dibongkar oleh Jabatan
Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam satu serbuan di Lembah Klang
pada 17 April lalu susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh 248
mangsa penipuan ini.
Mengapa skim cepat kaya
masih wujud? Walaupun saban kali ada sahaja disiarkan dalam berita
orang ramai yang tertipu, kehilangan wang berpuluh-puluh ribu ringgit,
ada yang menjadi gila malah ada juga yang membunuh diri tetapi perkara
ini masih terus berlaku. Mengapa boleh jadi begini? Penulis sebenarnya
biasa bergaul dengan orang yang aktif terlibat dalam skim-skim seperti
ini. Pada dasarnya terdapat tiga golongan yang menyertai skim ini.
Golongan yang pertama ialah golongan yang suci
hati tidak tahu bahawa ini adalah penipuan. Kemudian setelah menyedari
bahawa skim tersebut sebenarnya adalah satu penipuan lalu mereka tidak
lagi menyertainya.
Golongan yang kedua ialah
mereka yang tahu bahawa skim tersebut adalah satu penipuan tetapi mereka
berharap agar sempat mengambil keuntungan sebelum syarikat tersebut
ditutup dan pengusahanya membawa lari wang pelabur. Mereka mengambil
risiko dengan harapan mereka adalah peserta terawal dan sempat mengaut
keuntungan.
Tetapi sekiranya mereka sudah
berada di penghujung masa maka mereka mungkin kerugian sebelum sempat
mendapat keuntungan. Malah lebih jahat lagi apabila mereka mengajak
orang lain menyertai skim ini demi untuk mendapatkan komisen kerana
menarik ahli baharu kerana sekarang ini skim cepat kaya beroperasi ala
MLM yang membolehkan mereka mendapat komisen jika menarik ahli baharu.
Yang
yang paling malang ialah golongan ketiga. Golongan ketiga ialah mereka
yang benar-benar percaya bahawa skim tersebut adalah tulen. Mereka
percaya bahawa sebenarnya memang wujud satu skim pelaburan yang boleh
memberikan pulangan yang berlipat kali ganda dalam jangka masa singkat.
Apabila
sesuatu skim itu runtuh pula mereka akan percaya bahawa ia adalah
kerana salah pihak pengurusan. Contohnya, pihak pengurusan tamak atau
tidak cekap. Selain itu, sekiranya ditutup kerana diserbu penguat kuasa
mereka akan mengatakan kerajaan cemburu dengan kekayaan mereka.
Penulis
sendiri pernah bertemu dengan seorang rakan yang kehilangan wang dalam
skim cepat kaya setelah diserbu penguat kuasa. Menurut individu ini,
skim cepat kaya yang disertainya itu adalah betul, tetapi kerajaan
sengaja membuat serbuan dan menutupnya kerana jika tidak dihentikan maka
skim-skim kerajaan seperti ASB, ASN dan lain-lain lagi akan terjejas.
Bagi mereka jika skim cepat kaya tersebut popular maka tidak ada orang
yang menyimpan dalam ASN, ASB dan sebagainya.
Kerana itulah dakwaan
mereka kerajaan bersungguh-sungguh membuat serbuan dan menutup operasi
syarikat skim cepat kaya tersebut.
Kerana itu
golongan kedua iaitu golongan yang tahu bahawa ia penipuan tetap
mengambil risiko menyertainya untuk mengaut keuntungan sebagai peserta
terawal dan golongan ketiga iaitu golongan yang dengan suci hati percaya
bahawa skim itu memang benar-benar wujud adalah merupakan rahmat kepada
pengusaha skim cepat kaya ini. Tanpa kedua-kedua golongan ini maka
sudah pasti sudah lama skim cepat kaya ini berkubur.
Dan
dua golongan manusia ini sentiasa memberi harapan baharu kepada
penjenayah-penjenayah skim cepat kaya untuk terus menjalankan perniagaan
haram mereka. Penulis juga pernah berjumpa dengan seorang rakan yang
telah menyertai hampir empat skim cepat kaya dalam masa yang berlainan.
Dia kehilangan wang berpuluh-puluh ribu ringgit.
Dan
lebih malang lagi apabila wang pelaburan tersebut diperoleh dengan
membuat pinjaman peribadi dari bank. Tetapi mereka ini akan
berlumba-lumba-lumba menyertai jika ada sahaja skim cepat kaya yang
baharu wujud. Dan ia berakhir dengan kerugian beribu-ribu ringgit lagi.
Tetapi
golongan ini tidak pernah serik. Yang menariknya apabila ada skim
baharu yang dikeluarkan mereka akan menyertainya hanya dengan satu
kata-kata keramat iaitu “Yang ini lain, tak sama macam yang dulu’. Ini
untuk mengelakkan seseorang itu memikirkan bahawa mereka tertipu lagi.
Contohnya mereka akan mengatakan “Yang dulu tu lain, itu internet, yang
ini lain. Skim ini kita dapat berjumpa sendiri dengan pengusaha itu.
Mesti kali ini bukan tipu”.
Barangkali
inilah yang dikatakan bahawa kita tidak pernah belajar daripada
kesilapan. Percayalah, tidak ada jalan singkat untuk menjadi senang.
Kita perlu bekerja untuk mendapat gaji dan kita perlu berniaga menjual
barang untuk mendapat keuntungan. Semuanya memerlukan usaha.
Jika
kita berpegang pada pepatah Inggeris too good to be true iaitu sesuatu
yang nampak terlalu bagus itu selalunya adalah penipuan, kita pasti
selamat. Kita hendaklah sentiasa curiga apabila ada orang yang
menawarkan kepada sesuatu yang memberi keuntungan sangat tinggi dan
pulangannya pula terjamin kerana ia tidak pernah wujud dalam dunia
pelaburan.
Sekiranya kita menyimpan di
simpanan tetap kita akan mendapat keuntungan sekitar empat peratus
setahun. Itu biasa. Sekiranya kita melabur di amanah saham mungkin kita
akan mendapat purata keuntungan 10 peratus setahun. Itu biasa. Tetapi
jika sesuatu pelaburan yang menjamin pulangan sehingga berpuluh-puluh
kali ganda dalam masa beberapa bulan maka itu luar biasa. Maka ini
penipuan. Kalau kita berpegang pada prinsip ini kita tidak akan tertipu.
PENULIS ialah bekas Pensyarah Kolej Profesional Mara Indera Mahkota Kuantan, Pahang dan kini seorang usahawan.
Post a Comment