Oleh Amirul Akmal Redzwan
Telefon bimbit kini boleh dikatakan menjadi satu keperluan untuk semua
orang. Telefon bimbit bukan sahaja menjadi alat penghubung antara satu
sama lain tetapi gajet itu diperlukan untuk membantu seseorang
menyelesaikan tugas mereka.
Begitupun, penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh mengundang
padah dan membahayakan nyawa orang ramai berpunca daripada sikap pemandu
yang tidak bertanggungjawab.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten
Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesalahan menggunakan telefon bimbit
harus dititikberatkan kerana ia boleh menyumbang kepada nahas jalan
raya.
“Kami menganggap ia sebagai satu kesalahan yang serius kerana ia bukan
sahaja melibatkan diri sendiri tetapi turut membabitkan keselamatan
pengguna jalan raya yang lain.
“Sehubungan itu, kami akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan
bagi menunjukkan bahawa pihak kami komited dalam menangani masalah ini,”
katanya baru ini.
Nahas
Pada 13 November lalu melaporkan, kajian yang dilakukan Institut
Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendedahkan, 43.4
peratus pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu
kereta dan menunggang motosikal sehingga mendorong berlakunya nahas.
Sementara itu, Pakar Psikologi Trafik Pusat Pengajian Psikologi dan
Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr.
Rozmi Ismail berkata, kajian Miros itu amat membimbangkan dan tidak
boleh dipandang enteng oleh semua pengguna jalan raya.
Katanya, punca utama kemalangan kerana menggunakan telefon bimbit adalah
disebabkan gangguan dari segi konsentrasi pemandu itu sendiri.
“Apabila memulakan sesuatu perbualan, fokus mereka akan lebih tertumpu
kepada konteks perbualan tersebut sehingga mengabaikan risiko berlakunya
kemalangan.
“Oleh itu, bagi pemandu yang ingin menggunakan telefon bimbit, mereka
disarankan agar memberhentikan dahulu kenderaan di kawasan yang selamat
sebelum membuat sebarang panggilan atau membalas mesej,” katanya.
Jelas beliau lagi, untuk mengatasi masalah ketagihan terhadap telefon
bimbit, seseorang itu perlu bijak menggunakannya bagi mengelak mereka
daripada menjadi hamba gajet tersebut.
“Semuanya terpulang kepada individu itu sendiri. Manusia dikurniakan
akal dan fikiran. Mereka boleh memilih sama ada mahu menjadi hamba
terhadap telefon bimbit atau tidak.
Kesalahan baharu
“Hal ini kerana perbuatan memandu sambil menggunakan telefon bimbit
dianggap memandu secara berbahaya dan boleh didakwa melakukan kesalahan
mengikut kaedah 17A dalam kaedah-kaedah lalu lintas jalan 1959 serta
boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300,” ujarnya.
Dalam pada itu, memandu sambil menggunakan telefon bimbit antara 20
kesalahan baharu yang akan dihubungkan dalam pangkalan data MySikap
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi pelaksanaan Sistem Keselamatan
Kesedaran Automatik (Awas) berkuatkuasa tahun depan.
Awas adalah gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem
Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilaksanakan
pada 15 April lalu. Pesalah-pesalah jalan raya dikenakan mata demerit di
bawah Sistem Kejara.
Ketika ini, hanya kesalahan memandu melebihi had yang dibenarkan dan melanggar lampu isyarat terdapat dalam sistem tersebut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, pada ketika
ini data-data menunjukkan jumlah kemalangan jalan raya membabitkan
penggunaan telefon bimbit semakin membimbangkan.
“Kami dapati memandu sambil menggunakan telefon semakin meningkat dan
kami ada data-data menunjukkan peningkatan kemalangan jalan raya kerana
guna telefon bimbit. Kami mesti tambah 20 lagi kesalahan di bawah sistem
demerit yang akan dimulakan tahun hadapan.
“Antara kesalahan yang bakal dimasukkan ke dalam pangkalan data itu
ialah memotong di garisan berkembar, memotong kenderaan secara
berbahaya, menggunakan laluan kecemasan, membawa lebih muatan daripada
had yang ditetapkan dan muatan terjatuh atau tumpah sehingga menyebabkan
bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.-Kosmo
Jangan jadi hamba telefon bimbit
Written By zabidi on Sunday, 7 January 2018 | 12:11 pm
Related Posts :
Labels:
Teknologi
Post a Comment