Oleh Nor Hatina Shuib
PORNOGRAFI bukan lagi tabu atau larangan yang perlu ditangani secara senyap kerana suka atau tidak, ia masalah serius.
Masalah
ini perlu ditangani masyarakat, kerajaan dan ibu bapa kerana apabila ia
gagal diberi perhatian, keadaan ini mencalit seribu satu sejarah hitam
kepada institusi kekeluargaan.
Kajian Penduduk dan Keluarga Kelima 2014 mendapati 35.3 peratus golongan remaja mudah terdedah kepada pornografi.
Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memandang serius
hasil kajian ini kerana 60.8 peratus golongan berkenaan memperoleh akses
laman web pornografi menerusi internet.
Ini diikuti 35
peratus lagi melalui telefon pintar, manakala 20 peratus daripada cakera
padat (CD) dan cakera padat video (VCD) lucah.
Realitinya,
pornografi kanak-kanak, bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang
serius. Kelompok ini sepatutnya disayangi dan dilindungi, bukan didera
atau dieksploitasi secara fizikal, mental mahupun seksual.
Dalam
seminar mengenai kesan pornografi terhadap kerosakan otak di Jakarta,
Indonesia beberapa tahun lalu, Pakar Bedah Saraf Hospital San Antonio,
Amerika Syarikat, Dr Donald L Hilton Jr, mendedahkan ketagihan bahan
lucah berupaya mengakibatkan bahagian tengah hadapan otak yang dikenali
sebagai 'Ventral Tegmental Area' (VTA) secara fizikalnya mengecil.
Ini
berikutan rangsangan dan ketagihan pornografi menimbulkan perubahan
tetap kepada bahan kimia 'neurotransmiter' dan melemahkan fungsi kawalan
badan yang membuatkan individu ketagih pornografi tidak dapat mengawal
kelakuan mereka.
Dr Donald menegaskan kerosakan otak akibat ketagihan pornografi paling teruk, lebih teruk daripada ketagihan dadah kokain.
Internet biak ketagihan
Realitinya,
dunia internet tanpa sempadan terlalu mudah 'membiakkan' individu
ketagih bahan seks dan merekrut 'perogol' belia tanpa sedar memandangkan
semua bahan rangsangan seks boleh diakses hanya di hujung jari.
Jutaan
kanak-kanak berkemungkinan, secara sedar atau tidak, melanggan atau
membeli sesuatu perkhidmatan, ditawarkan di internet kerana boleh
dikatakan kebanyakan pelajar sekolah rendah dan menengah memiliki
tablet, telefon dan komputer, yang menjadi medan pengantara untuk
mengakses bahan tidak bermoral ini.
Dalam isu ini, kerajaan
dilihat proaktif menyusun langkah kawalan. Timbalan Menteri Komunikasi
dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, awal Julai lalu melihat isu
pornografi kanak-kanak agenda penting untuk diperjuangkan dalam
kementerian beliau.
Kementerian itu bertegas meneruskan
usaha membanteras kesalahan membabitkan pornografi kanak-kanak dengan
mewujudkan kerjasama dengan semua pihak berkuasa, termasuk polis.
Polis
pula memberi maklum balas positif. Laporan khas New Straits Times
sebelum ini menyatakan polis melancarkan perisian bagi mengesan kegiatan
pornografi kanak-kanak.
Unit Tindakan Pencegahan Jenayah
Internet Kanak-Kanak Malaysia diperkenalkan bagi mengesan mereka yang
melayari laman sesawang pornografi kanak-kanak.
Walaupun
kerajaan dan anggota masyarakat boleh memantau perkara ini dengan
kawalan teknologi, tetapi siapakah individu paling dekat yang boleh
menyelamatkan kanak-kanak ini daripada anasir jahat ini sebenarnya?
Makin parah
Menyoroti
isu tidak berkesudahan ini, Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan
Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd
Awal, berkata isu pornografi bukan isu baharu untuk diperkatakan.
Pembabitan
remaja terhadap bahan pornografi menjadi semakin parah berikutan
perkembangan teknologi dan media baharu yang begitu pesat.
Satu ketika dulu, medium menonton pornografi hanya menerusi video yang dibeli secara haram atau pasaran gelap.
Hari
ini, medium berubah dengan capaian lebih mudah menerusi tontonan di
internet, telefon pintar dan tablet. Justeru, cara menangani juga perlu
berbeza.
Noor Aziah melihat isu itu selayaknya digalas ibu bapa yang memainkan peranan utama memantau kegiatan anak.
Justeru,
setiap ibu bapa perlu memiliki ilmu teknologi, terutama dalam kaedah
penggunaan gajet seperti telefon, komputer riba dan tablet.
"Kegiatan anak boleh dipantau dengan pemeriksaan laman sesawang yang mereka kerap kunjungi.
"Dalam
isu ini, ibu bapa sepatutnya menjadi 'jawatankuasa' penapis filem dan
internet kepada anak.
Hanya dengan kawalan dan pemantauan serta didikan
agama, barulah gejala tidak bermoral ini dapat dibanteras," katanya.
Undang-undang
mengenai pornografi sudah ada dalam Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak
2001 dan juga dalam Akta Keganasan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Apa
yang lebih utama ialah kefahaman dan kesedaran ibu bapa terhadap isu
serius ini dan kempen dalam masyarakat membanteras bahaya pornografi
kepada kanak-kanak ini.
Ia satu bentuk eksploitasi terhadap kanak-kanak dengan golongan ini terdedah kepada maksiat dan seks bebas.
Akhirnya mengakibatkan hamil tanpa nikah, kelahiran anak tak sah taraf dan buang bayi serta perkahwinan bawah umur.
Kanak-kanak dan remaja juga sewajarnya mendapat pendidikan reproduktif untuk mengelak mereka diperdaya.
Bagi yang beragama Islam, ilmu agama dapat mengurangkan bahana ini daripada menjalar dan mempengaruhi minda masyarakat.
Ibu bapa jadi 'penapis' atasi isu pornografi
Written By zabidi on Thursday, 2 August 2018 | 12:56 pm
Labels:
Rencana
Post a Comment