Oleh
KEHIDUPAN sebagai
seorang pelajar pastinya sibuk dengan menghadiri puluhan kuliah serta
perlu menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah mengikut garis masa
yang telah ditetapkan.
Tidak dinafikan, dalam
menjalani kehidupan di alam kampus, kadangkala masa seorang siswa sering
tersekat untuk melakukan aktiviti kegemaran seperti bersosial dan
riadah lantaran komitmen pelajaran yang tinggi.
Pun begitu, corak kehidupan yang
dilalui seorang pemuda, P. Prabakaran, 22, sebagai pelajar jurusan
undang-undang Kolej Brickfields Asia di Kuala Lumpur mungkin sedikit
berbeza berbanding teman seangkatannya.
Manakan tidak, seawal usia 22 tahun,
anak kelahiran ibu negara itu telah mencipta sejarah apabila dipilih
menjadi Ahli Parlimen Batu susulan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.
“Menjadi seorang pelajar dan pada masa
sama sebagai wakil rakyat sememangnya bukan suatu tugas mudah. Namun,
semua itu dianggap cabaran dan akan dilangsaikan sebaiknya demi kebaikan
rakyat,” jelasnya
Pada PRU-14, Prabakaran yang
bertanding atas tiket calon Bebas memperoleh undi sebanyak 38,125
menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Dominic Lau Hoe Chai
(13,687), calon Pas, Azhar Yahya (10,610) dan Bebas, Datuk VM Panjamothy
(383).
Kemenangan Prabakaran juga disifatkan
ekoran kegagalan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua
bertanding di Parlimen Batu selepas pegawai pengurus pilihan raya
menolak pencalonannya atas alasan dikenakan denda oleh Mahkamah Tinggi
Shah Alam sebanyak RM2,000 kerana mengaibkan pegawai polis.
Mengulas lanjut, Prabakaran yang kini
menyertai PKR turut melahirkan rasa teruja untuk menghadiri Persidangan
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang dijadualkan
berlangsung Isnin ini hingga 16 Ogos depan
.
Teruja
“Perasaan teruja dan gementar semuanya
bergabung sekali. Lebih menarik, bukan saya seorang sahaja yang pertama
kali bersidang di Dewan Rakyat untuk penggal ini sebaliknya 90 ahli
Parlimen baharu turut melalui perkara sama.
“Sebagai persediaan awal sebelum
bersidang, saya banyak mempelajari selok-belok Parlimen daripada wakil
rakyat berpengalaman seperti Tian Chua. Dia merupakan sumber inspirasi
dalam mencorak perjalanan politik saya,” ujarnya.
Prabakaran turut menghantar beberapa
soalan melibatkan permasalahan golongan belia dan isu perumahan rakyat
kepada pihak Parlimen untuk dibahaskan pada persidangan kali ini.
Persidangan Dewan Rakyat disifatkan
sebagai medan terbaik buat semua ahli Parlimen yang dilantik melalui
kuasa rakyat mempamerkan kebolehan berdebat sekali gus mencari
penyelesaian segala permasalahan yang berlaku.
Dalam konteks persidangan kali ini,
ahli Parlimen berpengalaman dan yang baru dilantik akan berkongsi arena
bagi mempamerkan kebolehan masing-masing khususnya dalam seni berdebat
yang dianggap wajib untuk setiap ahli dewan.
“Untuk tiga bulan pertama, saya akan
mengambil pendekatan mendengar dan memerhati sahaja perbahasan usul
terutamanya daripada mereka yang lebih senior. Pengalaman sebenarnya
merupakan guru terbaik untuk kita belajar sesuatu.
“Banyak ahli Parlimen berpengalaman
memberi nasihat kepada saya agar mendengar terlebih dahulu untuk
memahami seni perbahasan di Dewan Rakyat selain hanya perlu berhujah
berdasarkan fakta kukuh serta tepat,” jelasnya.
Sejarah
Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal
Pertama Parlimen ke-14 yang dijadualkan berlangsung Isnin ini bakal
menjadi lipatan sejarah baharu negara berikutan kerajaan Pakatan Harapan
(PH) buat pertama kali berada di kerusi kerajaan.
Sebelum ini, selama hampir 61 tahun,
kerusi kerajaan telah dikuasai oleh BN manakala parti politik seperti
PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara
(Amanah) dan Pas bertindak sebagai pembangkang.
Pun begitu, pada PRU-14, landskap
politik negara yang dicorakkan melalui tsunami rakyat berubah sepenuhnya
apabila BN gagal menguasai majoriti kerusi untuk mempertahankan posisi
kerajaan di Parlimen.
Berkongsi pandangan sedemikian, Dekan
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti
Utara Malaysia, Prof. Madya Ahmad Marthada Mohamed memberitahu,
persidangan Dewan Rakyat pada kali ini dianggap sebagai paling
bersejarah dan penuh dengan pembaharuan.
Menurutnya, gelombang perubahan yang
dibawa rakyat pada PRU-14 lalu telah membolehkan PH membentuk kerajaan
baharu dengan majoriti mudah sekali gus mendominasi kerusi di Dewan
Rakyat pada penggal kali ini.
“Ini merupakan satu permulaan yang
begitu berbeza. Meskipun BN sebelum ini menguasai Parlimen namun parti
tersebut dilihat gagal memperoleh majoriti kerusi seperti dimiliki PH
sekarang.
“Peralihan bersejarah itu memberi
gambaran jelas bahawa pentadbiran negara sedang melalui era baharu di
mana pihak yang menjadi pembangkang sebelum ini diangkat menjadi barisan
kerajaan dan sebaliknya,” katanya.
Situasi sedemikian turut
menterjemahkan bahawa rakyat mempunyai kuasa penuh bagi mencorakkan hala
tuju Malaysia melalui kerajaan yang diinginkan dan boleh menolaknya
sekiranya dianggap tidak mampu membangunkan negara.
“PH bakal menjadi barisan kerajaan
yang kuat di Dewan Rakyat memandangkan jumlah ahli Parlimen daripada
parti itu seramai 113 orang ditambah pula dengan beberapa wakil rakyat
Bebas yang lebih memihak kepada gabungan tersebut.
“Pada masa sama, tindakan pemimpin di
Sarawak mengambil keputusan drastik untuk keluar daripada BN akan
seterusnya membentuk gagasan Sarawak yang dilihat lebih bersifat mesra
PH turut memantapkan lagi parti kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kehadiran wakil rakyat
Bebas yang dianggap sebagai sekutu PH juga disifatkan memudahkan lagi
proses persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung Isnin ini.
Sekiranya ahli Bebas lain seperti Ahli
Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang sebelum
ini bertanding menggunakan tiket BN turut memihak kepada PH, sokongan
kerajaan dijangka lebih menyeluruh.
“Sokongan yang diterima itu bakal
memberi kelebihan kepada PH untuk membuat keputusan di Dewan Rakyat
seperti menggubal undang-undang baharu tanpa mendapat bantahan daripada
banyak pihak.
“Oleh itu, hasrat PH menerusi
manifesto mereka pada PRU-14 yang mahu menghapuskan Akta Antiberita
Tidak Benar 2018 berkemungkinan dapat direalisasikan susulan sokongan
yang dimiliki kerajaan baharu ketika ini,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat ke-14 turut
menyaksikan gabungan suara antara pemimpin berpengalaman dan juga yang
masih hijau dalam arena ini sama ada mereka yang berada di pihak
kerajaan mahupun di kerusi pembangkang.
Apa yang pasti, rakyat kini sedang
menanti untuk melihat bagaimana PH memainkan peranan sebagai parti
memerintah ketika persidangan selain corak perbahasan digunakan pemimpin
pembangkang terutamanya ahli Parlimen BN.
“Saya jangkakan tiada sebarang masalah
akan berlaku pada mesyuarat pertama berikutan kebanyakan ahli Dewan
Rakyat sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu selain
mempelajari selok-belok persidangan.
Berkesan
“Meskipun ramai ahli Parlimen muda
namun ini tidak bermakna persidangan penggal ini tidak berkesan serta
kurang berkualiti. Melihat kepada latar belakang pendidikan yang
dimiliki kebanyakan ahli dewan, saya yakin hujah berkesan dapat
disampaikan,” katanya.
Kehadiran beberapa muka baharu sebagai
wakil rakyat di bawah payung pimpinan kerajaan PH juga memberikan lebih
warna pada persidangan kali ini kerana hujah yang bakal disampaikan
mereka antara paling dinantikan.
Pastinya, kemunculan pertama kali Ahli
Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai wakil rakyat
kerajaan antara yang paling dinantikan memandangkan pemimpin tersebut
memiliki aura bertenaga serta dinamik sewaktu memberi hujah.
“Pendebat terbaik dunia itu juga
dilihat bakal mengambil aura bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli
ketika berdebat di Dewan Rakyat memandangkan masing-masing mempunyai
kelebihan sebagai tokoh pendebat.
“Dalam pada itu, wakil pembangkang
seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merupakan
antara yang dijangka memberikan persaingan sihat ketika berhujah
seterusnya menciptakan persidangan berkualiti,” ujarnya.
Lebih manis, Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad yang mewakili kerusi Parlimen Langkawi turut mencipta
sejarah apabila kembali semula ke Dewan Rakyat selepas berehat hampir 15
tahun sebagai pemimpin utama negara.
Sementara itu, menurut Setiausaha
Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama
Parlimen ke-14 yang dijadualkan berlangsung Isnin ini mencatat sejarah
baharu negara apabila menyaksikan paling ramai muka baharu mengangkat
sumpah.
Jelasnya, seramai 90 ahli Parlimen
yang kali pertama memenangi PRU-14 dan 121 ahli Parlimen pada
persidangan ke-13 turut menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah pada
persidangan kali ini.
“Persidangan kali ini turut
menyaksikan seramai 11 ahli Parlimen kembali semula ke Dewan Rakyat
setelah sekian lama. Keadaan ini menggambarkan campuran ahli Parlimen
berpengalaman dengan mereka yang kali pertama terlibat sebagai wakil
rakyat.
“Selain itu, Prabakaran yang merupakan
Ahli Parlimen Batu juga dikategorikan sebagai ahli Dewan Rakyat termuda
yang mana beliau masih merupakan seorang pelajar,” jelasnya.
Mengenai perjalanan persidangan
pertama Dewan Rakyat Isnin ini, Roosme memberitahu, ia akan dimulakan
dengan majlis pemasyhuran Speaker diikuti majlis mengangkat sumpah
kesemua 222 Ahli Parlimen.
Katanya, selepas itu, beliau akan
menerima usul pelantikan dua Timbalan Speaker Dewan Rakyat disusuli
dengan istiadat pembukaan sidang Parlimen yang akan dirasmikan oleh
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 17 Julai ini.
Post a Comment