Oleh
Kenyataan itu sekali gus
merumuskan bahawa bekas bintang kriket Pakistan itu sememangnya
bercita-cita besar untuk menjadi orang nombor satu di negara yang memikul bebanan hutang yang ‘melampau’ di dunia.
Dalam satu analisis bertajuk Imran Khan takes oath in Pakistan, a nation divided and in debt yang disiarkan akhbar The New York Times,
seorang penganalisis undang-undang berkata, Imran memang seorang
pemimpin yang bertuah. Meskipun tidak mendapat sokongan majoriti,
(partinya, Tehreek-e-Insaf bersekutu dengan calon bebas untuk membentuk
kerajaan campuran) beliau telah dipilih sebagai Perdana Menteri ekoran
banyak kelebihan yang dimilikinya.
Ciri yang paling menambat hati rakyat ialah
Imran dirujuk sebagai pemimpin yang bersih dengan tiada sejarah rasuah
selain karisma dan personalitinya sebagai individu yang sangat
mencintai tanah airnya.
Pun begitu, figura lulusan Universiti Oxford itu tidak dapat menolak daripada mewarisi satu negara
yang berdepan dengan ekonomi yang paling parah di dunia. Apa pun
provokasi dilontarkan, Imran tidak goyang sebaliknya sangat tenang,
positif dan berterusan melaungkan ikrar mahu mewujudkan Pakistan Baharu.
Malah Imran tanpa berselindung berkata, beliau mahu mentadbir Pakistan sebagai negara
kebajikan Islam seperti yang dilakukan Nabi Muhammad SAW. Semasa kempen
pilihan raya pada Julai lalu, Imran telah menggariskan banyak misi
untuk ‘melahirkan’ semula negaranya.
Antaranya, lelaki kelahiran Lahore itu mahu
menentang rasuah, membanteras kemiskinan dan ingin melakukan langkah
penjimatan untuk mengurangkan hutang negara.
Ia dimulai dengan menjual kereta kalis pelurunya, melantik dua pembantu
berbanding 524 orang sebelum ini, enggan tinggal di rumah rasmi Perdana
Menteri dan mengarahkan orang kaya di negara itu membayar cukai.
Pakistan yang disenaraikan sebagai negara
keempat paling tidak selamat di dunia bagi kaum hawa turut mendorong
Imran berjanji mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi. Beliau juga
mahu membantu 22.8 juta kanak-kanak negara itu yang tidak bersekolah. Statistik merekodkan, lebih 40 peratus penduduk negara itu masih buta huruf.
Namun begitu, pemerhati politik
antarabangsa melihat Imran perlu memikirkan cara untuk memulihkan
ekonomi Pakistan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, membaca artikel The Express Tribune Pakistan,
defisit akaun semasa Pakistan yang mencatatkan rekod tertinggi,
mencecah AS$18 bilion selain berdepan krisis mata wang, Imran nampaknya
memerlukan strategi luar biasa untuk menstabilkan negara yang dihuni majoriti penduduk beragama Islam itu.
Adakah beliau akan melakukan langkah
‘popular’ dengan meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)
atau terus mendapatkan bantuan China (sekutu paling dipercayai
Pakistan), ia masih belum diputuskan beliau.
Dari satu sudut, Imran juga mungkin pening
kepala memikirkan hubungan antara Islamabad-Washington yang sememangnya
telah terjejas sejak dahulu lagi. Meskipun Pakistan menolak dakwaan
tidak memberi sokongan mahupun dana kepada pejuang Taliban di
Afghanistan, Washington seperti tidak mempercayainya.
Dalam hal ini, Islamabad mendakwa
Washington telah menjadikan mereka sebagai kambing hitam untuk menutup
kegagalan mereka menyingkirkan Taliban.
Sehari selepas mengangkat sumpah, Imran ada berkata: “Mana-mana negara yang mahu berkembang perlu berdikari.”
Itu memang benar. Namun sejauh manakah
kemampuan Perdana Menteri ke-22 Pakistan itu? Menjadi pemimpin yang
memayungi lebih 208 juta rakyat sememangnya memerlukan keberanian besar
dan ia bukan satu perkara mudah.
Post a Comment