Oleh
Ini bukanlah kes yang jarang-jarang
berlaku kerana sindiket ini menjadi ancaman kepada orang ramai yang
mudah terpedaya dengan taktik licik sindiket ini sejak belakangan ini.
Pada 2017, sebanyak 400 kes penipuan menerusi
panggilan palsu dilaporkan di Pahang sahaja. Angka ini sangat
membimbangkan kerana kerugian yang dialami oleh individu bukannya
sedikit.
Penulis pun sudah beberapa kali
menerima panggilan misteri daripada pelbagai pihak yang mendakwa penulis
melakukan pelbagai kesalahan termasuklah panggilan dari mahkamah.
Rasa-rasanya tahun ini sudah empat kali penulis menerima panggilan
sedemikian termasuklah daripada pihak yang mendakwa mereka dari
institusi kewangan dan ibu pejabat polis kerana penulis dikatakan
melakukan kesalahan lalu lintas.
Oleh sebab
penulis selalu mendengar cerita daripada rakan-rakan yang selalu
mendapat panggilan yang serupa, penulis tidak melayannya. Bagaimanapun
kali pertama penulis menerima panggilan daripada ‘mahkamah’ dan oleh
sebab penulis tiada pengalaman, penulis melayannya.
Nasib
penulis baik kerana teringat bahawa telefon penulis didaftar bukan atas
nama penulis. Apabila penulis bertanyakan siapa yang bersalah sehingga
ada kes mahkamah, pihak ‘mahkamah’ yang menelefon penulis itu terdiam
dan akhirnya menyuruh penulis ke Mahkamah Ipoh untuk menyemak kesalahan.
Berkali-kali penulis bertanyakan siapa yang
bersalah dan apabila pertanyaan itu tidak boleh dijawab, akhirnya pihak
‘mahkamah’ yang menelefon penulis itu meletakkan gagang telefon.
Barulah penulis tahu bahawa penulis cuba ditipu. Lebih meyakinkan
penulis adalah apabila penulis mendail semula nombor yang membuat
panggilan itu, nombor itu tiada dalam perkhidmatan.
Kes
penipuan dan jenayah terancang ini mesti diberi perhatian serius oleh
orang ramai. Sudah ramai yang ditipu gara-gara takut akan tindakan yang
dikenakan oleh pihak-pihak ‘berkuasa’ tertentu yang mendakwa kita
bersalah, tidak membayar apa-apa hutang dan pelbagai jenis tunggakan
yang belum kita bayar.
Ini memperlihatkan
bahawa walaupun pemantauan dilakukan dengan pelbagai cara oleh pihak
berkuasa, sindiket ini masih berleluasa dan berjaya menipu orang ramai
dengan jumlah yang agak besar.
Kesedaran
orang ramai tentang penipuan yang licik ini sangat penting untuk
membendung kegiatan tidak bermoral sindiket ini. Bagi yang pernah
terkena mungkin akan selamat tetapi mereka mesti berjaga-jaga kerana
pelbagai kaedah dilakukan oleh golongan ini untuk mencari kelemahan kita
yang akhirnya menguntungkan mereka atas angin.
Bagi
yang belum pernah terkena, setiap daripada kita mesti berhati-hati
dengan panggilan yang mencurigakan. Sebaiknya jangan dilayan panggilan
tersebut terutamanya apabila mendapati nombornya mencurigakan. Kalau
nombornya tidak mencurigakan, kewaspadaan perlu ada apatah lagi jika
butir-butir perbualan agak kabur dan tidak boleh dipercayai.
Oleh
hal demikian, janganlah dengan mudah memberikan identiti kepada si
pemanggil terutamanya apabila si pemanggil meminta nama sebenar, nombor
kad pengenalan apatah lagi nombor akaun bank jika tidak ingin menghadapi
masalah.
Pihak berkuasa mesti berusaha
dengan lebih keras memantau aktiviti sindiket ini supaya tidak terus
berleluasa di negara kita. Setakat ini sudah banyak tangkapan dibuat
membabitkan rakyat warga asing dan warga tempatan yang terlibat dalam
sindiket penipuan ini.
Kesedaran individu
sangat penting untuk menangani masalah ini. Kita mestilah memahami
bahawa dalam zaman yang serba canggih dan mencabar ini, pelbagai kaedah
dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk
mencari wang dengan cara yang mudah.
Post a Comment