Sabtu lepas saya bersama anak-anak berkesempatan menonton filem terbaru Upin dan Ipin. Apabila filem mula ditayangkan, anak-anak tidak berganjak dari tempat duduk dek kerana fokus menonton. 

Hebat betul penangan filem ini. Saya bersetuju dengan pandangan ramai penonton bahawa satu perkataan sahaja sudah cukup untuk menggambarkan filem ini iaitu epik.

Apa tidaknya, epik ini merupakan sebuah filem animasi anak tempatan. Sungguh membanggakan dan mengujakan. Tajuknya pun sudah mantap, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Malah filem ini turut mencipta kejayaan apabila mendapat rating tertinggi di tapak web filem iaitu Pangkalan Data Filem Internet dengan skor 9.6 daripada 10. Tinggi bukan? 

Maka dengan rating tinggi itu jugalah meletakkan filem animasi kanak-kanak ini sebagai filem tempatan yang meraih rating paling tinggi dalam sejarah perfileman Malaysia. Ia sekali gus merampas kedudukan filem Paskal yang memperoleh skor 8.8. 

Filem ini turut menerima pujian daripada ramai pengkritik filem yang memberikan respons positif iaitu kualiti penceritaan bagus serta dialog menghiburkan. Filem ini juga mencipta kelainan apabila mendapat sentuhan tiga pengarah muda berbakat besar iaitu Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim. 

Selain itu, pujian perlu diberikan kerana aspek aksi yang ditonjolkan serta runut bunyinya. Saya percaya bagi yang telah menonton, sepanjang masa emosi anda turut sama dibuai, malah anda juga terasa beraksi bersama Upin dan Ipin dalam filem ini. 

Filem yang telah mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan ini menelan belanja sebanyak RM20 juta sebagai kos pembikinan. Satu perkara yang amat membanggakan adalah filem ini menggunakan sepenuhnya kepakaran juruanimasi anak tempatan. 

Malah apabila diamati video pembikinan lagu untuk filem ini, menampakkan kerja keras yang dibuat sepanjang pembikinan filem. Bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Setelah empat hari ditayangkan, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal berjaya mengutip kutipan pecah panggung iaitu sebanyak RM5.3 juta. Malah filem ini juga kekal unggul di tangga pertama carta Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC) walaupun sudah seminggu ditayangkan serta berjaya menewaskan filem antarabangsa seperti Captain Marvel dan Dumbo. 

Apa yang unik dan istimewa adalah selain tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal memasuki panggung wayang Indonesia dan Vietnam. Jauh nampaknya perjalanan filem animasi ini. Ia bakal ditayangkan di Vietnam pada 27 April disusuli Indonesia pada 9 Mei ini. 

Malah Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md. Radzi juga berharap filem ini dapat menembusi pasaran China dan Taiwan. Sama-sama kita berdoa agar bukan sahaja berjaya menembusi pawagam di China dan Taiwan malah menempa sejarah dengan ditayangkan di seluruh pelosok dunia.

CERITA RAKYAT

Apakah yang menyebabkan filem ini sangat istimewa dan sudah masuk tahap wajib untuk ditonton oleh segenap lapisan rakyat Malaysia? Apa? Segenap lapisan? Ya, ia patut ditonton oleh semua orang. Daripada kanak-kanak sehinggalah kepada orang dewasa termasuk atuk dan nenek malah sesuai untuk ditonton oleh pelbagai bangsa. 

Jika filem antarabangsa boleh mengangkat cerita rakyat negara mereka, maka sudah sampai masanya untuk kita julang cerita rakyat Malaysia yang sentiasa kita dengar dan baca kisahnya untuk dijadikan watak di dalam filem. Ini merupakan salah satu cara untuk menghargai serta memperkenalkan cerita rakyat kepada generasi akan datang malah sebagai promosi kepada masyarakat dunia. 

Bayangkan di dalam cerita ini, Upin dan Ipin mengembara bersama rakan-rakan mereka ke sebuah kerajaan dongeng bernama Inderaloka selepas menemukan sebilah keris di dalam stor. Dalam pengembaraan itulah mereka bertemu dengan pelbagai watak yang pernah dibaca dan dikenali dalam buku cerita rakyat seperti Bawang Merah, Bawang Putih, Mat Jenin dan Pak Belalang. Semua watak perlu berpadu tenaga bagi mempertahankan kerajaan Inderaloka daripada Raja Bersiong yang jahat.

Apa yang sangat menyeronokkan apabila melihat watak Mat Jenin yang memang dikenali sebagai seorang yang suka berangan. Si cilik yang bertindak mengikis belakang kuali untuk dijadikan kopi. Pasti anda tahu itu watak Belalang yang bijak dalam filem P. Ramlee.

Ada juga kisah Mak Si Tanggang yang kelihatannya sungguh menyesal di atas perbuatannya yang telah menyumpah anaknya Si Tanggang menjadi batu. Garapan watak Mak Si Tanggang sungguh berlainan sekali dengan kisah yang kita pernah tonton dalam filem lama dahulu.

Apa yang menjadikan filem ini terasa hidup adalah soundtrack, kesan bunyi, muzik skor di samping dua buah lagu latarnya. Lagu Keris Sakti dinyanyikan oleh Fakhrul Razi, diiringi alunan gambus sungguh merdu bak menonton filem Bollywood dan Tamil kerana terdapat babak menari oleh semua watak yang ada.

Alunan suara Ernie Zakri menyanyikan lagu Buai Laju Laju, juga merdu dan menusuk kalbu. Bolehlah saya katakan bahawa kualiti karya Les’ Copaque ini sudah hampir dengan Disney, Pixar, dan Dreamworks. 

Banyak elemen dan budaya Melayu dalam filem ini. Sesuatu yang perlu dicontohi oleh pengarah dan penerbit filem tempatan untuk sama-sama mengetengahkan budaya tempatan yang unik.

Tahniah kepada kesemua yang terlibat dalam menyiapkan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. 
Anda semua telah berjaya menghasilkan karya yang begitu membanggakan kami sebagai rakyat Malaysia!

Syabas semua!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Johor.