LONDON - Seorang
pembantu guru besar dari pekan Hemel Hempstead, England yang gagal
mengingati rupa isterinya jika mereka berjauhan disahkan menghidap
masalah kognitif dikenali sebagai aphantasia, lapor akhbar Daily Mail
baru-baru ini.
Andy van Terheyden, 37,
kelihatan keliru apabila diminta menggambarkan sesuatu termasuk rupa
isteri sendiri, kelahiran anaknya, rupa saudara-mara mahupun mana-mana
detik pada hari perkahwinannya.
“Selama
ini saya menganggap itu memang perangai Andy tetapi satu artikel yang
saya baca Ogos lalu mengubah semuanya. Saya dan Andy mengambil satu
ujian atas talian tentang kemampuan menggambarkan sesuatu objek atau
suasana dan keputusan antara kami jauh berbeza,” kata isterinya,
Punteha.
Aphantasia diperkenalkan oleh Pakar Neurologi
Tingkah Laku dan Kognitif di Sekolah Perubatan Universiti Exeter,
Profesor Adam Zeman pada 2015 bagi menggambarkan individu yang gagal
membentuk sebarang gambaran maya dalam minda mereka.
Masalah itu dipercayai menjejaskan antara dua
hingga tiga peratus penduduk seluruh dunia atau anggaran 2 juta
penghidap di Britain sahaja. “Agak menarik apabila satu pertiga daripada
penghidap masalah ini sukar mengenal muka dan satu pertiga lagi sukar
mengingati maklumat individu lain mahupun suasana yang pernah dilalui
dalam hidupnya,” jelas Zeman. – Agensi
Post a Comment