Headlines News :
Showing posts with label Hiburan. Show all posts
Showing posts with label Hiburan. Show all posts

Tak ambil dadah, jangan babitkan ibu bapa – Fatiya Latiff


PETALING JAYA – “Tidak, saya tak ambil dadah.”

Itu yang dipertahankan pelakon Fatiya Latiff menjawab tuduhan netizen kononnya terjenak pengambilan bahan terlarang atau dadah sehingga mengubah personalitinya menjadi tidak tentu arah.

Menurut Fatiya atau nama penuhnya Nur Fathiah Abdul Latiff, 36, orang ramai tidak sepatutnya melemparkan tuduhan sesuka hati kerana khuatir dengan perasaan ibu bapanya sekiranya terbaca perkara sedemikian.

“Janganlah tuduh saya, tak baik. Kasihan ibu bapa saya.

“Kalau anda semua nak buli saya teruskanlah tetapi janganlah cakap perkara yang boleh mengecilkan hati mereka,” katanya dalam sesi siaran langsung baru-baru ini.

Katanya, jangan sesekali membabitkan kedua ibu bapanya dalam setiap oenulisan berkaitan dirinya dalam media sosial.

“Perkara itu ibarat anda main permainan tetapi main tipu (guna jalan singkat untuk menang).

“Janganlah tulis perkara yang boleh malukan umi dan abah saya sebab mereka sudah banyak bersuara dan jangan buat mereka bersuara.

“Anda tidak kenal mereka dan anda tak tahu apa mereka boleh lakukan sekiranya terus menyakitkan perasaan saya. Jangan cakap sesuatu yang boleh cetuskan kemarahan sebab mereka boleh hantar anda ke neraka,” kongsinya.

Terdahulu, nama Fatiya menjadi bualan hangat dalam media sosial selepas mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi terhadap pasangan selebriti Zahirah MacWilson dan Aiman Hakim Ridza.

‘Drama’ panas membabitkan Fatiya seterusnya bersambung sehingga mencetuskan perbalahan antaranya dengan pelakon, Zarina Anjoulie dalam media sosial.

Sikap mengejutkan itu membuat ramai mula melemparkan pelbagai dakwaan dengan menuduh Fatiya sudah dibuang keluarga, mempunyai masalah kesihatan mental dan mengambil bahan terlarang.

Fatiya bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut dengan memberitahu dirinya dalam keadaan yang sihat dan hanya mengalami sedikit stres . – KOSMO! ONLINE

'Usah jadikan lawak alasan bebas persenda agama'


KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu parodi terkenal, Azman Naim meluahkan pandangan terhadap isu lawak mempersendakan agama, menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Menerusi entri dalam Instagram (IG), Azman berkata, lawak jenaka perlu ada batas dan tidak boleh sewenang-wenangnya biarpun dalam medium media sosial.

Azman menyelar pandangan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti MUDA, Lim Wei Jiet menerusi akaun Twitter yang beranggapan penahanan reman pengasas bersama Crackhouse Club House, Rizal Van Geyzel sebagai satu percubaan untuk menidakkan kebebasan bersuara.NT

"Semua benda kena ada batas. Tidak semua benda boleh buat lawak, lebih lagi, membabitkan isu agama dan bangsa. Bukan semua benda boleh dikategorikan dalam ruang kebebasan bersuara.

"Jangan mula, jangan jadikan normalisasi dan kena ada had. Kita duduk dalam negara pelbagai agama, kaum dan budaya.

"Benda ini rapuh. Kalau salah 'tuning', boleh jadi padang jarak, padang tekukur.

"Banyak lagi benda boleh dijadikan bahan lawak. Apabila muncul pihak liberal yang menyokong dan 'mastermind' kepada gerakan ini, saya tak boleh diam," kongsinya dalam IG.

Kata Azman, tindakan berlawak menggunakan sentimen agama dan perkauman kemudian dikelaskan sebagai kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan lawak biasa.

"Sampai bila perkara ini nak diteruskan? Sampai orang terima atau mati bertikam sesama sendiri?

"Saya bukan orang alim. Saya jahat, tetapi jangan sentuh hal agama dan kaum. Seperti mana saya menghormati agama dan kaum lain, begitu juga saya harap sebaliknya," katanya.

 

'Ingatkan dah sampai masa saya ... ' - Aishah kongsi pengalaman perangi COVID-19

 


PENYANYI Aishah akui pernah mempunyai rasa seperti nyawanya mahu berakhir ketika sedang bertarung melawan COVID-19.

Kata Aishah, 56, ketika itu oksigen dalam badannya agak merosot dan dia bermimpi dikelilingi kucing yang pernah dibantu dan disayangi.
 
“Pernah masa mula-mula saya berada dalam keadaan oksigen yang agak tak berapa bagus masa itu …Ingatkan dah sampai dah masa (pergi) saya … rupanya saya mimpi. 
 
“Saya mimpi dikelilingi anak-anak kucing yang saya sayang serta kucing liar yang pernah saya beri makan.
 
“Doakan saya sihat dan dapat menjadi manusia yang lebih berbakti bukan sahaja pada orang yang susah dan anak kucing saya tapi pada semua,” katanya.
 
Pelantun lagu Bahtera Merdeka itu berkongsi luahan hati serta keadannya yang masih dirawat di hospital kerana jangkitan COVID-19.
 
Aishah juga turut berterima kasih kepada semua yang turut membuat bacaan yasin sejak semalam untuk mendoakan kesembuhannya.
 
Dalam masa yang sama, Aishah turut berterima kasih kepada petugas barisan hadapan iaitu doktor dan jururawat yang menjaganya sepanjang di hospital.
 
“Mereka (frontliners) ini insan yang Allah untuk buat kerja macam Ini. Doakan mereka juga terlindung dari penyakit,” beritahunya lagi.
 
Sebelum ini, Aishah dilaporkan positif COVID-19 selepas melalui prosedur Kit Ujian Pantas (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta.

Bintang Bollywood Aamir Khan umum perceraian

 


MUMBAI: Superstar Bollywood, Aamir Khan semalam mengumumkan perceraian selepas 15 tahun berkahwin dengan Kiran Rao.

Pasangan itu dalam kenyataan memaklumkan, bersetuju untuk berpisah, tetapi akan membesarkan anak bersama-sama dan tidak menolak kerjasama pada masa hadapan.

"Sepanjang 15 tahun ini, kami berkongsi banyak perkara menarik, gembira, sedih dan menyakitkan, tetapi kini, mahu mulakan babak kehidupan baharu sebagai bukan pasangan suami isteri, tetapi keluarga kepada anak kami.

"Kami merancang untuk berpisah agak lama dan kini selesa untuk merasmikan rancangan ini, hidup secara terpisah, namun berkongsi kehidupan seperti dilakukan keluarga besar.

"Kami tetap menjadi ibu bapa setia kepada Azad, yang akan dijaga bersama. Kami juga akan terus bekerja sebagai gandingan dalam filem, Paani Foundation, dan projek lain disukai kami," katanya.

Aamir, 56, dan Kiran, 47, bertemu buat pertama kali ketika menjalani penggambaran filem pada 2001 dan berkahwin pada Disember 2005.

Aamir, pelakon India paling popular di China menerusi filem mengenai gusti, 'Dangal', bercerai dengan pelakon Reena Dutta pada 2002.

Pasangan berkenaan turut berterima kasih kepada keluarga masing-masing yang banyak memberi sokongan serta kasih sayang terhadap mereka. - AFP

Cabaran bikin filem era pandemik

 


KUALA LUMPUR: Menerapkan norma baharu dalam pembikinan filem, bukan sedikit cabaran dihadapi pengarah Azhari Zain dalam menyiapkan filem genre drama berat, Petaka.

Bakal menemui penonton di saluran Astro First, mulai 4 Februari ini, Petaka yang menjalani penggambaran ketika seluruh negara 'berperang' melawan COVID-19, disiapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Azhari yang juga pensyarah di fakulti Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, produksi mengawal tiga komponen utama dalam SOP iaitu pengendalian penggambaran, makanan dan kebersihan atau 'hygiene' serta penjarakan sosial sepanjang berada di lokasi.

"Alhamdulillah, kami berjaya mempraktikkan SOP sepanjang penggambaran. Dalam pendekatan pertama, kami perlu mengawal pengendalian penggambaran membabitkan kru, pelakon dan orang awam.

"Kita memastikan kru memakai pelitup muka, mengawal perjalanan penggambaran daripada bertembung dengan orang awam dan pelakon tambahan yang terbabit dalam Petaka," katanya kepada BH Online.

Petaka yang membariskan pelakon lama dan baharu termasuk Azman Ahmad, Wan Maimunah, Nabila Huda, Jaja Iliyes, Coki dan PU Azman, berkisar isu kekeluargaan dan faktor hitam dari luar yang merosakkan keharmonian kemanusiaan.

Azhari berkata, pihaknya juga memastikan pengendalian makanan dan kebersihan membabitkan keperluan asas diselia berpandukan SOP yang menjadi prasyarat ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dalam meneruskan penggambaran ketika pandemik COVID-19.

"Kami ikut saranan MKN seperti menyediakan makanan dalam bungkusan. Secara tidak langsung, ini memudahkan pergerakan penggambaran yang membabitkan beberapa lokasi di Kedah," katanya.

Selain itu, Azhari berkata, elemen penjarakan sosial juga sentiasa dipatuhi sepanjang tempoh penggambaran.

"Soal penjarakan sosial bukan sahaja ke atas orang awam, malah antara pelakon dan kru sepanjang berada di lokasi. Kebersihan sangat diutamakan dan penggunaan cecair pembasmi kuman diwajibkan setiap masa.

"Ini bagi melancarkan penggambaran dan semoga kita terlindung daripada virus berbahaya itu," katanya.

Penerbit, Arie Zaharie, Azhari Zain dan kru produksi ketika penggambaran filem Petaka.
Penerbit, Arie Zaharie, Azhari Zain dan kru produksi ketika penggambaran filem Petaka.

Bercerita lanjut mengenai buah tangannya itu, Azhari yang pernah menghasilkan Jin Notti dan 7 Petala Cinta memberitahu, Petaka bermain dengan konflik bukan sahaja fizikal, malah dalaman atau emosi yang kuat.

"Genre drama berat menjadi kegemaran saya dan pasukan produksi. Petaka bukan sahaja mengenai perasaan pelakon dan karakter, malah membabitkan kolaborasi dengan pergerakan kamera dan pencahayaan untuk mencetuskan emosi.

"Ini lebih 'visible' dan dirasai penonton kelak. Saya berterima kasih kepada pasukan termasuk pasca produksi yang menghasilkan suntingan serta skor muzik yang menepati kehendak filem ini.

"Saya suka drama berat kerana yakin ia menjadi kegemaran majoriti rakyat Malaysia untuk melihat bagaimana kesengsaraan orang lain.

"Penonton juga mahu lihat bagaimana penyelesaian diambil, pengajaran dan hikmah yang dapat dipelajari daripada sesebuah karya," katanya.

Mengenai gandingan pelakon lama dan baharu dalam Petaka, Azhari mencipta keserasian atau 'bonding' sebelum penggambaran bermula.

"Wan Maimunah misalnya, kami 'terbangkan' ke Kuala Terengganu sehari untuk bersama pelakon lain, keluar minum, berkongsi cerita dan mendengar kisah menarik beliau.

"Ini secara tidak langsung mencipta ikatan dan 'bonding' antara mereka makin terserlah. Hubungan rapat Wan Maimunah dengan Azman dan Jaja yang menjadi anak beranak dalam Petaka agak ketara.

"Alhamdulillah ini dapat mencernakan sebuah aliran emosi yang kuat antara ketiga-tiga mereka," katanya.

Selain itu, Azhari menganjurkan kelas latihan menggunakan teknik emosi dan pengukuhan karakter agar pelakon dapat menghayati watak.

"Kami isikan nilai karakter yang menekankan formula 3P iaitu personaliti, profesion dan 'private' kepada pelakon baharu seperti PU Azman dan Coki. Semua ini dilakukan agar mereka dapat menguasai watak dan situasi," katanya.

Sebelum ini, Azhari banyak mengarahkan filem terbitan Metrowealth Pictures. Pernah menjadi penulis untuk filem Soulmate Hingga Jannah, Duyung dan Nana Tanjung 2.

'Turunkan gambar atau tunggu saman'


KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie memberi amaran terakhir kepada syarikat pengeluar produk makanan kesihatan berasaskan sistem piramid menurunkan gambarnya untuk tujuan promosi jika tidak mahu disaman.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Osman, 53, mendakwa gambarnya digunakan secara berleluasa oleh ejen produk berkenaan di laman sosial seperti Facebook (FB) dan Instagram (IG) tanpa izin, lalu mencemar nama baiknya.

"Saya tidak pernah diupah atau dilantik untuk memasarkan atau mempromosikan produk terbabit.

"Saya tahu gambar saya disalahgunakan ejen syarikat terbabit, kira-kira sebulan lalu.

"Saya juga menafikan pernah menjalani sesi fotografi bersama syarikat terbabit. Sebaliknya, gambar saya dipalsukan.

"Mereka menggunakan wajah saya tetapi tubuh orang lain bagi mempromosikan produk. Sedangkan saya tidak pernah mengamalkan produk mereka.

"Saya juga tidak tahu-menahu kewujudan produk terbabit atau menyatakan sebarang bentuk sokongan untuk barangan dikeluarkan," dakwanya pada sidang media virtual di sini, hari ini.

Awie berkata, selepas menyedari apa yang didakwanya ada unsur penipuan, dia melantik peguam untuk mengendalikan kes berkenaan.

"Saya tidak mahu orang ramai tertipu menggunakan produk berkenaan disebabkan gambar saya, walhal saya tidak tahu menahu mengenai produk yang dipasarkan itu," katanya.

Awie berkata, surat tuntutan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates sudah dihantar pada 6 Januari lalu yang antara lain menuntut agar semua gambarnya tidak digunakan lagi.

Sementara itu, peguam bela dilantik Awie, Adnan Seman, berkata pihaknya memberi tempoh tujuh hari bermula dari tarikh surat tuntutan dikeluarkan, untuk pihak terbabit mengambil tindakan.

"Selepas berbincang dengan Awie dan menyemak FB dan IG, banyak bukti gambar anak guam saya digunakan untuk produk berkenaan.

"Ini memberi gambaran seolah-olah Awie pengguna produk terbabit dan dilantik sebagai duta.

"Syarikat terbabit sudah menjawab surat tuntutan pada 13 Januari lalu dan menafikan menggunakan gambar Awie tanpa kebenaran.

"Mereka mendakwa syarikat dan ejen tidak pernah menggunakan gambar Awie. Namun, kami ada bukti mereka berbuat demikian. Malah, melalui carian Google, semua gambar Awie terpampang," katanya.

Adnan berkata, selepas sidang media virtual ini, pihaknya akan memantau sebarang perkembangan sebelum tindakan susulan diambil.

Fly With Yaya Tohoku, dicalon untuk anugerah antarabangsa

KUALA LUMPUR: Siri animasi pelancongan mesra Muslim Malaysia “Fly With Yaya Tohoku’ terbitan studio animasi, Monsta, dicalonkan bagi kategori Anugerah Pendatang Baharu, Anugerah Kecemerlangan Licensing International 2020, Amerika Syarikat.

Monsta, sebuah syarikat yang dikenali menerusi francais animasi popularnya, BoBoiBoy dalam satu kenyataan hari ini berkata, pencalonan itu adalah satu pencapaian penting dan menunjukkan terdapat permintaan sejagat untuk watak Muslim di dalam media.



“Kami berharap pencalonan ‘Fly With Yaya Tohoku’ dalam Anugerah Kecemerlangan Licensing International akan membuka lebih banyak peluang untuk jenama Monsta dan jenama Malaysia secara amnya, selain mempromosi destinasi mesra Muslim dalam pasaran global.

Monsta mengambil masa dua tahun untuk membina satu jenama kukuh bagi Yaya menerusi siri-sirinya dalam usaha untuk membuktikan seorang wanita Muslim yang kuat dan berkeyakinan juga mampu menarik minat penonton antarabangsa.

Siri itu mengisahkan Yaya yang mengembara seluruh dunia menerokai destinasi menarik dan mesra Muslim.

Respons terhadap rancangan itu adalah luar biasa, dengan lebih daripada 21 juta orang menonton Rangkaian YouTube Monsta dalam 13 bulan.

Monsta turut mempunyai rancangan menggunakan pendekatan yang sama untuk mempromosi dan memberikan nafas baharu kepada industri pelancongan Malaysia yang terjejas, dengan mempromosi destinasi pelancongan tempatan, pasca COVID-19 nanti.

Fly With Yaya Tohoku dicalonkan dalam kalangan 600 peserta daripada syarikat dari 22 negara, termasuk The Coca-Cola Company, Puma, Shiseido, Mattel, Hasbro, Bando, The Hershey Company dan banyak lagi.

Tahun lalu, anugerah itu dimenangi permainan video dalam talian popular, Fortnite. – BERNAMA



Nasihat Sajat cara baik, jangan terus hukum - Dr Maza

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) menyifatkan tindakan usahawan kosmetik Muhammad Sajad Kamaruzaman atau Nur Sajat, memakai pakaian menyerupai wanita itu adalah salah di sisi agama, namum umat Islam perlu menasihatinya.

Katanya beliau terkilan dengan tindakan orang ramai terus menghukumnya dan mengatakan bahawa Muhammad Sajad dilaknat Allah, adalah satu tindakan yang tidak tepat dari segi agama.

“Kita perlu nasihat beliau (Muhammad Sajad) secara baik. Cuma saya tidak bersetuju orang ramai mengatakan bahawa beliau dilaknat Allah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di Kangar, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof hari ini kesal dengan tindakan usahawan kosmetik Muhammad Sajad, yang menjalani ibadah umrah dengan berpakaian seperti wanita, malah telah mencemarkan imej Islam.

Di Kelantan, Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad berkata ibadat golongan ‘transgender’ yang beragama Islam tetap sah, walaupun individu berkenaan telah menukar bentuk fizikalnya.

Bagaimanapun, beliau berkata Islam menghalang tasyabbuh (kesamaran) identiti, kerana ia melibatkan banyak perkara terutama berkaitan ibadat.

"Apa yang penting individu ‘transgender’ itu perlu berhati-hati ketika melakukan pergaulan, dengan hanya bergaul dengan golongan daripada jantina asal dia sahaja (ketika berada di masjid)," katanya.

Di Kuantan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan Muhammad Sajad, yang didakwa memakai telekung semasa mengerjakan umrah yang tular di laman sosial.

Katanya beliau telah meminta supaya mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri untuk mengeluarkan kenyataan, yang dilihat lebih layak dalam perkara itu.
- Bernama

Sebelas hari tayangan, Pusaka raih RM7.2 juta

FILEM Pusaka berjaya meraih kutipan RM7.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya teruja dengan pencapaian filem penyiasatan seram itu.

"Kami amat gembira dengan sambutan yang diberikan penonton di pawagam.

“Pusaka adalah satu idea yang segar untuk filem seram tempatan dan ia ditulis penulis rasmi Astro Shaw. Kolaborasi antara Director Think Tank dan Razaisyam Rashid sangat berbaloi malah kami terbuka untuk bekerjasama dengan pengkarya filem serta pelakon baru," katanya.

 Lebih membanggakan, Pusaka turut memintas kutipan hujung minggu filem Maleficent, The Terminator dan sebuah karya baharu antarabangsa, Doctor Sleep.

Bukan itu sahaja, Pusaka turut mendominasi tangga pertama filem pecah panggung Golden Screen Cinemas (GSC) selama lima hari berturut-turut.

Filem terbitan Astro Shaw itu dibintangi Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Fauziah Ahmad Daud, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, Draman Muhammad, Aloy Paradox dan Yuna Rahim.

Tonjolkan kebaikan agama dalam filem, drama

 Oleh Latifah Arifin

PERSOALAN kewajaran karya seperti filem dan drama yang menyentuh sensitiviti agama dengan alasan ‘berdakwah’ atau menegur realiti dalam masyarakat, termasuk institusi keagamaan, terus menjadi polemik di negara ini.

Malah, ia turut mengundang teguran daripada ilmuwan atau tokoh agama yang menekankan konsep niat tidak menghalalkan cara.

Polemik itu kembali mendapat perhatian ramai susulan tersiarnya poster penerbitan telefilem yang didakwa memaparkan babak tidak bermoral lelaki berperwatakan wanita di pusat tahfiz, sekali gus dianggap mencalarkan imej agama dan institusi pendidikan.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian, berkata penerbitan karya berunsurkan agama secara komersial adalah dakwah baik, tetapi ia perlu adil dan tidak bersifat menghukum.

“Perkara ini baik cuma ada sebahagian karya tidak digambarkan dengan cara betul.

“Sepatutnya, pembikin filem perlu menonjolkan sisi baik agama supaya boleh menjadi contoh. Jika tidak, dikhuatiri penonton akan percaya terhadap karakter negatif ditonjolkan,” katanya
 
Yasmin Hanani memberi contoh, ada karya mewujudkan karakter penunggang agama dalam kalangan ustaz hingga tidak adil kerana seolah-olah memberi persepsi negatif kepada ahli agama.
“Jika ustaz atau ahli masjid digambarkan watak tidak boleh dipercayai, akan ada masyarakat bersikap menghukum secara melulu dengan mengaitkan orang agama dengan perwatakan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, jika paparan dalam drama atau filem dibuat untuk menonjolkan realiti dalam masyarakat, alasan itu tidak cukup kukuh untuk dipertahankan, apatah lagi apabila ia mengangkat isu agama.

“Orang kita sangat suka menunjukkan sisi buruk untuk menggambarkan kehidupan masyarakat, bahkan gemar mengambil contoh apa dilakukan segelintir orang berbanding majoriti yang lain.
“Sebagai contoh, dalam 10,000 umat Islam, hanya ada seorang terbabit dalam salah laku di pusat tahfiz, itulah yang diambil untuk dijadikan cerita.

“Begitu juga kerana seorang pemimpin bersikap jahat, maka rakyat mengambil sikap pukul rata hingga ketidakpuasan hati menyebabkan berlakunya kucar-kacir dalam negara,” katanya.

Yasmin Hanani berkata, sekiranya perkara itu terus berlaku terutama membabitkan hal agama, masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap agamawan dan institusi agama.

“Bukan tidak boleh kita ‘mengkomersialkan’ agama sebagai subjek dalam karya filem dan drama, cuma jangan sampai mengundang fitnah kepada Islam dan pendukung agama.

“Saya berharap penggiat seni boleh melakukan kajian lebih terperinci sebelum menghasilkan karya dan boleh belajar daripada filem dan drama Iran yang menonjolkan jalan cerita menarik.

“Mereka masih boleh membina karakter tanpa perlu ada adegan bertentangan syarak seperti babak bapa merogol anaknya sendiri hingga hamil, tidak memerlukan adegan ranjang,” katanya.

Justeru, menurut Yasmin Hanani, adalah lebih baik menutup mana-mana ruang yang boleh mendatangkan kemudaratan untuk mencegah masyarakat daripada terdedah kepada keburukan.
 
Sementara itu, pendakwah, Rohidzir Rais, berkata penghasilan karya yang menjadikan Islam dan institusi agama sebagai pesalah, seolah-olah menghukum mereka tanpa bicara, sekali gus menunjukkan pengaruh Islamofobia turut ada dalam kalangan umat Islam.

“Islamofobia bukan hanya melanda Barat yang anti-Islam, sebaliknya dalam umat Islam sendiri yang terpengaruh dengan dakyah liberalis dan orientalis dalam penulisan serta media.

“Sikap sinis dan memandang serong terhadap orang agama, melahirkan karya drama dan filem yang umpamanya memaparkan wanita bertudung labuh atau lelaki berjubah serta berserban sebagai watak antagonis jelik, keji, lucah dan menyakitkan hati.

“Sebaliknya watak yang kelihatan kurang beragama atau meninggalkan agama seperti pelacur dan gay diangkat sebagai watak protagonis mulia dan ikhlas,” katanya.

Rohidzir yang juga Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR) berkata, Islam digunakan tanpa sedar untuk menghasilkan keuntungan bersifat material.

“Hakikatnya, kesedaran masyarakat kepada apa sahaja produk Islam memaksa stesen televisyen dan penerbit berlumba-lumba menghasilkan produk yang boleh menarik lebih ramai penonton.
“Pada satu sisi, ia kelihatan amat baik kepada penonton yang mendapat peluang menimba ilmu dan menjadi saingan kepada program lain yang lebih bersifat hiburan.

“Bagaimanapun, program yang terlalu menjurus kepada populariti dan keuntungan memberikan impak negatif apabila muncul ‘pendakwah segera’ yang tidak berilmu hingga ada filem seolah-olah menggambarkan Islam sebagai pengganas,” katanya.

Antara saranan Rohidzir, pengkarya seni yang mahu menghasilkan karya berkaitan Islam perlu ikhlas mengasihi agama terlebih dahulu dan mendapat gambaran mendalam dalam terhadap subjek yang ingin diketengahkan.

“Tepuk dada tanya iman. Jika benar menghasilkan drama dan filem untuk dakwah, mengapa Islam diletakkan ke dalam kandang pesalah hingga menjauhkan masyarakat daripada Islam.

“Niat baik tidak bererti jika pelaksanaannya adalah bertentangan daripada hasilnya,” katanya.

Rohidizir mencadangkan supaya badan dianggotai lepasan agama dengan minat dan kemahiran dalam karya kreatif diwujudkan.

“Badan yang boleh diwujudkan di bawah stesen televisyen atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu, bertujuan menilai kesan diperoleh penonton daripada karya ini.
“Sekurang-kurangnya, lantiklah penasihat syariah yang mampu menilai dan memberikan penambahbaikan kepada karya dihasilkan,” katanya.

Kingdom papar cerita, kesan khas mengagumkan

KUALA LUMPUR: Mengangkat nilai persahabatan dan kesetiaan sebagai tema utama, filem arahan Shinsuke Sato, Kingdom, mampu menarik penggemar siri Manga untuk berkunjung ke pawagam apabila ia mula ditayangkan pada 18 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, kali pertama menontonnya, dia terpesona mengikuti jalan cerita karya bercorak aksi dan pengembaraan itu.

“Ketika menonton Kingdom buat kali pertama, saya terpegun dengan jalan ceritanya yang dikira berbeza daripada filem aksi pernah menemui penonton, sebelum ini. Kemudian barulah saya dimaklumkan, ia adalah karya yang diangkat daripada siri Manga dan diarahkan pula oleh sutradara popular dengan animasi Jepun.

“Selain tertarik dengan aksi pelakon ketika melakonkan babak bertempur, imej janaan komputer (CGI) mereka juga sangat berkualiti, terutama adegan peperangan membabitkan puluhan ribu tentera.
“Jujurnya, saya akui, bukan mudah untuk menukar persepsi orang ramai mengenai filem Kingdom. Namun, kita berani mengambil risiko untuk membuka mata masyarakat terhadap karya hebat ini,” kata Izham.

Katanya juga, Primeworks selaku pengedar filem itu tidak sabar untuk berkongsi naskhah menghiburkan berkenaan bersama khalayak.
KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar. - NSTP/Rohanis Shukri
Kingdom berkisar mengenai seorang anak muda yatim piatu, Shin (lakonan Kento Yamazaki) yang bercita-cita untuk keluar daripada kancah kemiskinan sebagai hamba dan menjadi seorang jeneral.

Shin bertemu dengan pemuda yang ditakdirkan bakal menjadi Maharaja Qin, Eisei (Ryo Yoshizawa). Dia mampu membantu Shin dalam mencapai impiannya.

Mereka bersama-sama berusaha mendapatkan takhta Eisei dan menyatukan semua wilayah yang berperang.

Selain Yamazaki dan Yoshizawa, filem yang berlatarkan zaman purba China ini juga dibarisi pelakon hebat lain seperti Masami Nagawasa, Kanna Hashimoto, Kanata Hongo dan Takao Osawa.

Tahniah Upin dan Ipin!

Oleh Suhana Mohamed

SUDAHKAH anda meluangkan masa ke panggung wayang menonton naskhah terbaharu terbitan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. (Les’ Copaque) bersama keluarga anda? Pergilah segera, usah terlepas menonton filem yang satu ini. 

Sabtu lepas saya bersama anak-anak berkesempatan menonton filem terbaru Upin dan Ipin. Apabila filem mula ditayangkan, anak-anak tidak berganjak dari tempat duduk dek kerana fokus menonton. 

Hebat betul penangan filem ini. Saya bersetuju dengan pandangan ramai penonton bahawa satu perkataan sahaja sudah cukup untuk menggambarkan filem ini iaitu epik.

Apa tidaknya, epik ini merupakan sebuah filem animasi anak tempatan. Sungguh membanggakan dan mengujakan. Tajuknya pun sudah mantap, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Malah filem ini turut mencipta kejayaan apabila mendapat rating tertinggi di tapak web filem iaitu Pangkalan Data Filem Internet dengan skor 9.6 daripada 10. Tinggi bukan? 

Maka dengan rating tinggi itu jugalah meletakkan filem animasi kanak-kanak ini sebagai filem tempatan yang meraih rating paling tinggi dalam sejarah perfileman Malaysia. Ia sekali gus merampas kedudukan filem Paskal yang memperoleh skor 8.8. 

Filem ini turut menerima pujian daripada ramai pengkritik filem yang memberikan respons positif iaitu kualiti penceritaan bagus serta dialog menghiburkan. Filem ini juga mencipta kelainan apabila mendapat sentuhan tiga pengarah muda berbakat besar iaitu Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim. 

Selain itu, pujian perlu diberikan kerana aspek aksi yang ditonjolkan serta runut bunyinya. Saya percaya bagi yang telah menonton, sepanjang masa emosi anda turut sama dibuai, malah anda juga terasa beraksi bersama Upin dan Ipin dalam filem ini. 

Filem yang telah mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan ini menelan belanja sebanyak RM20 juta sebagai kos pembikinan. Satu perkara yang amat membanggakan adalah filem ini menggunakan sepenuhnya kepakaran juruanimasi anak tempatan. 

Malah apabila diamati video pembikinan lagu untuk filem ini, menampakkan kerja keras yang dibuat sepanjang pembikinan filem. Bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Setelah empat hari ditayangkan, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal berjaya mengutip kutipan pecah panggung iaitu sebanyak RM5.3 juta. Malah filem ini juga kekal unggul di tangga pertama carta Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC) walaupun sudah seminggu ditayangkan serta berjaya menewaskan filem antarabangsa seperti Captain Marvel dan Dumbo. 

Apa yang unik dan istimewa adalah selain tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal memasuki panggung wayang Indonesia dan Vietnam. Jauh nampaknya perjalanan filem animasi ini. Ia bakal ditayangkan di Vietnam pada 27 April disusuli Indonesia pada 9 Mei ini. 

Malah Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md. Radzi juga berharap filem ini dapat menembusi pasaran China dan Taiwan. Sama-sama kita berdoa agar bukan sahaja berjaya menembusi pawagam di China dan Taiwan malah menempa sejarah dengan ditayangkan di seluruh pelosok dunia.

CERITA RAKYAT

Apakah yang menyebabkan filem ini sangat istimewa dan sudah masuk tahap wajib untuk ditonton oleh segenap lapisan rakyat Malaysia? Apa? Segenap lapisan? Ya, ia patut ditonton oleh semua orang. Daripada kanak-kanak sehinggalah kepada orang dewasa termasuk atuk dan nenek malah sesuai untuk ditonton oleh pelbagai bangsa. 

Jika filem antarabangsa boleh mengangkat cerita rakyat negara mereka, maka sudah sampai masanya untuk kita julang cerita rakyat Malaysia yang sentiasa kita dengar dan baca kisahnya untuk dijadikan watak di dalam filem. Ini merupakan salah satu cara untuk menghargai serta memperkenalkan cerita rakyat kepada generasi akan datang malah sebagai promosi kepada masyarakat dunia. 

Bayangkan di dalam cerita ini, Upin dan Ipin mengembara bersama rakan-rakan mereka ke sebuah kerajaan dongeng bernama Inderaloka selepas menemukan sebilah keris di dalam stor. Dalam pengembaraan itulah mereka bertemu dengan pelbagai watak yang pernah dibaca dan dikenali dalam buku cerita rakyat seperti Bawang Merah, Bawang Putih, Mat Jenin dan Pak Belalang. Semua watak perlu berpadu tenaga bagi mempertahankan kerajaan Inderaloka daripada Raja Bersiong yang jahat.

Apa yang sangat menyeronokkan apabila melihat watak Mat Jenin yang memang dikenali sebagai seorang yang suka berangan. Si cilik yang bertindak mengikis belakang kuali untuk dijadikan kopi. Pasti anda tahu itu watak Belalang yang bijak dalam filem P. Ramlee.

Ada juga kisah Mak Si Tanggang yang kelihatannya sungguh menyesal di atas perbuatannya yang telah menyumpah anaknya Si Tanggang menjadi batu. Garapan watak Mak Si Tanggang sungguh berlainan sekali dengan kisah yang kita pernah tonton dalam filem lama dahulu.

Apa yang menjadikan filem ini terasa hidup adalah soundtrack, kesan bunyi, muzik skor di samping dua buah lagu latarnya. Lagu Keris Sakti dinyanyikan oleh Fakhrul Razi, diiringi alunan gambus sungguh merdu bak menonton filem Bollywood dan Tamil kerana terdapat babak menari oleh semua watak yang ada.

Alunan suara Ernie Zakri menyanyikan lagu Buai Laju Laju, juga merdu dan menusuk kalbu. Bolehlah saya katakan bahawa kualiti karya Les’ Copaque ini sudah hampir dengan Disney, Pixar, dan Dreamworks. 

Banyak elemen dan budaya Melayu dalam filem ini. Sesuatu yang perlu dicontohi oleh pengarah dan penerbit filem tempatan untuk sama-sama mengetengahkan budaya tempatan yang unik.

Tahniah kepada kesemua yang terlibat dalam menyiapkan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. 
Anda semua telah berjaya menghasilkan karya yang begitu membanggakan kami sebagai rakyat Malaysia!

Syabas semua!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Johor.

Ali XPDC enggan digelar ustaz

PENGHIJRAHAN yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu tidak pernah memadamkan api seni dalam diri vokalis kumpulan XPDC, Mohd Ali Ismail atau Ali XPDC dalam dunia nyanyian.
Meskipun pernah terfikir untuk meninggalkan industri selepas nekad mengubah gaya hidup ke arah mendekatkan dirinya kepada Allah, Ali tidak mahu anugerah tersebut dipersia-siakan begitu sahaja.
Oleh sebab itu, biarpun sering sibuk dengan undangan ceramah sehingga terpaksa terbang ke luar negara, dia masih bergiat aktif dengan kumpulan XPDC melakukan konsert atau memenuhi persembahan nyanyian.

Ditemui usai majlis Tamankan Hati Warga Utusan baru-baru ini, kata lelaki berusia 50 tahun itu, kerjayanya selaku pendakwah dan penyanyi kini seimbang serta bergerak seiring dengan satu niat iaitu untuk menyampaikan mesej yang baik kepada peminat.

WARTAWAN!: Bagaimanakah Ali mengimbangi dua profil karier yang jauh berbeza iaitu selaku penyanyi dan pendakwah dalam satu masa sama?

ALI: Sebenarnya ia tidak jauh beza kerana kedua-duanya merupakan profesion yang saya sayang. Dahulu, ketika awal-awal berhijrah, saya fikir mahu bertenang sahaja dan fokus sepenuhnya dengan usaha mendalami ilmu agama. Namun saya tersedar, suara saya ini juga rezeki. Jadi, apa salahnya ia digunakan untuk jalan serta niat yang betul. Jika dahulu saya menyanyi sekadar menghiburkan, sekarang lebih ke arah menyebarkan mesej yang baik kepada peminat.

Pernahkah anda dicemuh dengan kata-kata seperti tidak layak bergelar ustaz atau sebagainya?

Saya bukan ustaz dan tidak mahu digelar begitu kerana sedar diri ini belum cukup ilmu untuk mendapat gelaran tersebut. Saya cuma berkongsi pengalaman hidup dengan harapan lebih ramai yang turut berhijrah dengan saya. Bukan saya tidak pernah dicemuh atau disindir namun itu cuma dugaan kecil. Saya pernah berdepan peristiwa ada seorang anak muda yang mengatakan dia peminat saya yang datang dan memberitahu bahawa dia suka dengan perubahan saya sekarang. Katanya, jika saya yang tua boleh berubah, mengapa tidak dia. Itu yang membuatkan saya terus bersemangat.

Adakah anda masih bersetuju menyanyikan lagu-lagu lama sewaktu menerima undangan nyanyian?

Boleh, saya tiada masalah kerana itu kenangan. Ia sudah lepas dan berlalu lagipun ramai yang mengenali saya menerusi rangkaian lagu bersama Terarossa dan XPDC.

Apakah imej pendakwah iaitu berjubah dan berkopiah seperti yang anda tampilkan ini dibawa ke pentas nyanyian?

Semuanya bergantung terhadap kesesuaian majlis dan persembahan. Saya tidak meletakkan tahap keimanan seseorang pada imej atau baju semata-mata. Kalau tidak sesuai berjubah, saya pakai sahaja baju-baju persembahan biasa.

Anda ada menyatakan selain peminat, golongan artis juga menjadi antara sasaran untuk diajak ke arah penghijrahan. Apakah cabaran terbesar apabila berdakwah dengan rakan sendiri?

Kita tidak boleh memaksa dan jangan ambil hati. Setiap kali memberi nasihat, saya serahkan kepada mereka sama ada untuk terima atau tidak. Kawan tetap kawan, ia tidak putus tetapi tanggungjawab sebagai pendakwah tetap dilakukan.

Boleh kongsikan perkembangan terkini kerjaya seni anda?

XPDC bakal mengadakan konsert bersama May tidak lama lagi, namun tarikh sidang akhbarnya masih dalam perbincangan. Saya juga bekerjasama dengan Mel Wings, Ejam EYE dan Iwan untuk sebuah album dakwah bertajuk Daie namun ia masih dalam pembikinan.

‘One Two Jaga’: Filem nikmat, seni tiada tara

Oleh Faisal Tehrani

“One Two Jaga” menurut saya, adalah mimpi basah untuk setiap pengkritik filem. “One Two Jaga” menurut saya, adalah menghampiri kesempurnaan sebagai sebuah filem. “One Two Jaga” menurut saya adalah satu tiket untuk Malaysia memenangi Oscar.

Betul, tidak silap baca: Oscar. Laluan Malaysia menakluk Hollywood bukan terletak di atas burit kapal Jho Low, apatah lagi di tangan licin Riza Aziz (menerusi Leonardo Dicaprio tentunya).

Fatwa filem saya ini mengalami proses ijtihad seni yang benar. Saya akan menjelaskan bagaimana saya memilih untuk memberikan hukum sedemikian polos.

Ada yang memilih untuk melihatnya sebagai filem mengenai gejala rasuah. Saya tidak akan menulis mengenai rasuah. Menurut saya, rasuah dalam “One Two Jaga” hanya umpanan.

“One Two Jaga” adalah sebuah filem mengenai nasib pekerja asing di Malaysia. Semuanya berlaku dalam satu hari. Bagaimana nasib manusia berubah dan takdir kita berseliratan bertembung dan menjadi kusut tidak terlerai.

Pekerja migran di negara kita mewakili kira-kira 15% daripada tenaga buruh. Di rantau Asia Pasifik Timur, Malaysia adalah negara ke-4 menampung buruh asing.

Mereka ialah dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Vietnam, China dan India. Saya adalah cucu dan cicit kepada pekerja asing sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.

Saya berpendapat, ramai lagi yang sedang membaca ulasan filem ini dapat menghubungkan diri mereka dengan nasib buruh asing ini, sedikit sebanyak; cair atau pekat kita merupakan orang yang pernah menjadi luaran di negara ini.


Saya tidak ingat bila kali akhir saya berasa tidak puas dengan sebuah karya seni untuk sekali tonton. Mungkin, kali akhir itu menerusi Babel (2007) arahan Alejandro González Iñárritu tulisan Guillermo Arriaga.

Filem lakonan Brad Pitt dan Cate Blanchett tersebut memanfaatkan multi naratif yang mengeksploitasi “babel”, atau suasana kacau dan mengelirukan sebagai sebab akibat.

Bukan mudah untuk menggarap sebuah karya seni dengan tema hak asasi manusia. James Dawes, seorang sarjana sastera bandingan graduan Universiti Harvard menulis di dalam “That the World May Know: Bearing Witness to Atrocity” menegaskan, sebuah karya seni (dalam hal ini filem) dengan subjek hak asasi manusia tidak harus memilih plot linear “sentimental-conventional”. “One Two Jaga” nyaris jatuh ke dalam stereotaip begini.

Ini kerana kita tidak mahu khalayak yang membaca karya hak asasi atau menontonnya berasa telah mencapai katarsis dan sudah melakukan bahagian mereka (iaitu membaca atau menonton) serta berkongsi kepedihan watak. Padahal, kepedihan sebenar jauh dari apa yang disuguhkan.

Kita juga tidak mahu pembaca atau penonton menyangka pertempuran atau konflik hak asasi itu berpenghujung kerana hukum karma dijatuhkan.

Dalam “One Two Jaga”, mereka yang melakukan jenayah dan kesalahan sedikit sebanyak sudah ditahan dan sedang menunggu tarikh perbicaraan. Padahal isu atau masalah sebenar hak asasi tersebut jauh dari berakhir. Bahkan masih tepu dan merebak di luar sana.

Terakhir, seorang karyawan seni seperti Nam Ron sudah tentu tidak mahu menenggek penderitaan insan lainnya demi untuk menjual tiket tayangan atau meraih anugerah.

Tetapi, seperti mana saya tuliskan novel Bagaimana Anyss Naik Ke langit, dan Profesor; topik hak asasi manusia di dalam karya yang memiliki naratif mempunyai pendekatan tersendiri. Ia tidak meraikan hubungan emosi atau empati.

Dalam hal ini, “One Two Jaga” dipersembahkan dengan bersahaja dan tanpa perlu melayan kesengsaraan Sumiati lakonan cemerlang Asmara Abigail. Kita juga tidak perlu bertanya, siapakah ibunya Joko iaitu anak Sugiman lakonan kelas dunia Ario Bayu.

Untuk membolehkan naratif menjauhi identifikasi kenestapaan tanpa perlu berlebihan (tidak banyak adegan tangis melalak yang penuh ratapan) atau menjolok kesukaran dan trauma mangsa (juga adegan yang menonjolkan kesakitan Timothy Castillo sebagai Rico diberikan sekadarnya), “One Two Jaga” berjalan di atas landasan multi naratif yang membolehkan dua isu berjalan serentak: penderitaan masyarakat migran di Malaysia, bersekali dengan mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan mereka.

Di situ takdir bertembungan dan memberikan kejutan yang menghiris.
Filem ini malah mendedahkan kegagalan protagonis Sugiman, anaknya Joko terkorban syahid oleh sistem yang berlapisan korupsi, dan filem tidak perlu merintihi pengorbanan pekerja-pekerja asing itu.

Dalam satu adegan membakar mayat pekerja dari Myanmar yang terbunuh di tempat kerja, Amerul Affendi sebagai Adi sangat selamba memberitahu Joko lakonan Izuan Fitri; “Jarakkan kayu-kayan itu agar mayatnya senang terbakar, lagipun kita nak hantar pulang ke siapa kalau dihantar ke Myanmar”.
“One Two Jaga” tidak menyediakan solusi kepada masalah migran dan rasuah, itu harus dilakukan oleh medium sastera. Tetapi, sebagai filem ia sudah memberikan satu mesej pasti kepada penonton, kumpulan yang akan membuat penentuan (people “who decided to do something”) agar melihat pekerja asing selaku mangsa.

Sementara kaum penguasa dan penindas adalah anjing; selamanya anjing yang jangan dikhuatiri, bahkan ditenung, dan paling-paling pun dilempari batu.

Asmara Abigail sebagai Sumiati memberikan persembahan yang mantap. Sementara Ario Bayu sebagai abangnya, Sugiman membuatkan kita tertanya-tanya; mengapakah kita sukar mendapatkan pelakon bertaraf dunia seperti ini di sini.

Saya ingin memuji Izuan Fitri selaku Joko. Anak ini, bernama Joko adalah pusat naratif. Ia adalah mangsa yang terkorban, tidak bersalah, sarat harapan dalam hidup dan penuh keberanian untuk mencuba.

Dia adalah pusat “One Two Jaga” yang memberikan kita rumus “polis mati pencuri jaga”. Lakonan Izuan yang masih muda mengumpul seluruh itu dan mustahil terjadi tanpa bimbingan Nam Ron.

Sinematografi oleh Mohd Helmi Yusof sangat berjaya menonjolkan sisi muram Kuala Lumpur, dengan kawasan Pudu dan lengkok Bangkok Bank yang sesak dek warga asing. Penjuru kusam dan kelam kota Kuala Lumpur tidak hanya menjadi poskad tetapi diberi makna-makna yang mengesankan.

Sebuah filem yang baik tidak akan menjadi baik tanpa suntingan yang kemas. Di tangan Razaisyam Rashid, “One Two Jaga” tidak hanya menjadi cantuman gambar tetapi visual yang sakit dan perit.
Nam Ron dan Bront Palarae, serta pasukan kreatifnya melakukan kerja seni yang cemerlang. “One Two Jaga” adalah karya yang tidak indah, tetapi penting. Sangat penting.

Anda membaca pertama kali di sini: fatwa saya sebagai mufti filem, Malaysia harus mencalonkan “One Two Jaga” sebagai entri Academy Award dari Malaysia (sebetulnya dari Asia Tenggara).

Ia ada resipi filem kecil yang pernah meraih Oscar untuk kategori Best Foreign Language Film. Ia punya kesempurnaan lakonan yang mengesankan. Ia punya kejujuran dan kepolosan yang diperlukan.

Untuk pencalonan Oscar “One Two Jaga” memerlukan dana agar ia dapat ditayangkan selama paling kurang 7 hari di panggung komersial di Amerika Syarikat dalam waktu terdekat. FINAS di bawah kerajaan Pakatan Harapan harus memikirkan dengan serius saranan ini.

Tontonlah “One Two Jaga”, ia kebalikan dari “Crazy Rich Asians”, ini filem tentang “Downtrodden Oppressed Asians” dan lanskap kita tidak dipinjam semata-mata untuk menggambarkan hal yang muluk-muluk sahaja.

“One Two Jaga” adalah kenikmatan dan kesenian yang tiada tara.

Untung sabut filem Malaysia

PEMBIKINAN filem boleh menerbitkan pelbagai genre naskhah, bagaimanapun belum tentu jika menggunakan formula yang sama sesebuah karya akan memperoleh kutipan pecah panggung.
Tagline Wakanda Forever yang menjadi dialog dalam filem ikonik pecah panggung tahun ini yang masih ditayangkan, Avengers: Infinity War dengan kutipan luar biasa sebanyak RM2.7 bilion merupakan sepotong ayat sarkal yang mudah dihadam. Wakanda Forever menjadi tular di seluruh dunia.

Ironinya, Wakanda hanyalah sebuah negara fiksyen yang diwujudkan oleh Marvel Comics buat adiwira Black Panther yang ikut masuk beradu dengan lebih 15 karakter lain dalam naskhah arahan Anthony Russo dan Joe Russo itu. Bagaimanapun, kuasa sebuah filem untuk mewujudkan kepercayaan terhadap medium visual dan penceritaan yang mereka bikin ternyata mampu ‘merasuk’ penonton.

Avengers: Infinity War hanya satu daripada puluhan ribu naskhah filem antarabangsa yang telah menyihir penonton dengan persembahan mereka. Dalam filem, tidak ada satu garis yang menjadi tabu, tetapi semuanya okey dan lulus dengan cemerlang kerana mengguna pakai filem adalah sebuah seni, dan seni terlalu subjektif untuk dinilai sebagai buruk juga molek.

Namun, tidak semua naskhah yang dihasilkan sama ada menggunakan teknologi paling moden atau pemain panggung paling hangat mampu menjadi sebuah filem pecah panggung. Tidak ada formula tertentu yang mengatakan sesebuah naskhah akan laris manis saat ia mula ditayangkan sama ada ia berteraskan cinta, kehidupan atau fiksyen.

Di Malaysia, menonton naskhah yang diisi padat dengan intrik gengsterisme kemudian musim segalanya berkaitan mistik dan hantu sebelum kononnya mendalami pula kehidupan mat rempit pernah meledakkan pasaran sinema tempatan. Filem yang menjual cinta jangan cakap berapa banyak dihasilkan sepanjang tahun.

Filem terbitan Shaw Brothers, Adik Manja memegang rekod kutipan paling tinggi pada tahun 1980-an, sebanyak RM3.5 juta. Sembilu 2 pula memegang rekod filem kutipan tertinggi pada era 1990-an (ditayangkan pada tahun 1994) dengan kutipan sebanyak RM6 juta, sebelum Lagi Lagi Senario menyemarakkan pasaran filem milenium dengan kutipan sebanyak RM6.3 juta pada 2001. Pada tahun-tahun berikutnya, kutipan filem tempatan menyaksikan filem bersifat aksi seperti Polis Evo mengutip sebanyak RM17.47 juta dan gabungan dua gergasi iaitu Skop Productions dan Astro Shaw pada tahun 2017 menerusi filem Abang Long Fadil 2 menyaksikan pulangan yang lumayan iaitu RM18.14 juta.

Itu hanya sekadar beberapa rekod naskhah tempatan dalam pelbagai genre. Kutipan tiket bernilai belasan juta disifatkan sebagai luar biasa untuk pasaran filem Malaysia sekarang. Sementelah, tidak ada satu analogi yang tepat dalam memberi justifikasi sama ada filem aksi tersebut laris kerana barisan aktornya, pengucapan dialog atau itulah yang disebut untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Namun, menurut pemilik syarikat produksi MIG Production Sdn. Bhd. David Teo yang pernah mencetak keuntungan sehingga RM8.18 juta menerusi filem seram Ngangkung pada 2010, corak pasaran filem tempatan pada masa ini sudah ‘tidak cantik’. Masakan tidak, sejak 2014 sehingga 2017, David mengaku mengalami kerugian sebanyak RM15 juta dalam penerbitan filem.

Pilih digital

“Industri kreatif berubah dari masa ke masa. Formula yang diguna pakai tujuh tahun dahulu sudah tidak relevan dengan corak tontonan peminat filem di Malaysia. Sekarang penonton lebih berminat menonton filem secara digital berbanding ke panggung wayang.

“Selain faktor penapisan yang dilakukan oleh Lembaga Penapisan Filem yang saya kira sudah tidak relevan, faktor ekonomi memainkan peranan menyebabkan penonton berkira-kira untuk ke panggung wayang. Penggiat seni tidak bebas berkarya kerana penapisan yang ketat. Penonton terutama anak mula beralih ke platform digital yang lebih terbuka berbanding filem di panggung wayang.

“Semua faktor di atas memberi kesan secara tidak langsung kepada kejatuhan jumlah penonton di pawagam. Jika dahulu 100 buah filem ditayangkan 50 judul akan mengaut keuntungan, 30 judul akan bawa pulang modal dan 20 filem rugi. Hari ini situasinya berbeza, daripada 100 buah filem yang ditayangkan 98 buah filem akan mengalami kerugian,” kata David.

Sebagai orang lama yang sudah masak dengan sifir untung rugi dalam bisnes yang dijalankan, David juga mengaku selaras perubahan kerajaan baharu, beliau lebih senang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum kembali melaburkan modal dalam filem seterusnya. Justeru itu, penerbit yang menerbitkan empat buah filem pada tahun lalu belum memulakan sebarang penggambaran filem pada tahun ini.

“Saya mahu menunggu dasar-dasar dalam industri kreatif yang bakal dikeluarkan oleh kerajaan baharu. Namun, saya sudah mempunyai empat skrip filem dan hanya menunggu masa sesuai untuk menjalani penggambaran,” ujar David.

Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof yang telah mengarah lebih 10 buah filem turut bersetuju dengan kenyataan David. Kerugian adalah satu risiko yang perlu diterima semua penerbit filem di seluruh dunia.

Syamsul yang pernah mengarah filem pecah panggung Munafik pada 2016 dan berjaya mengutip RM17 juta mendedahkan modal yang relevan dengan keadaan semasa dan pasaran kecil di Malaysia adalah RM1.5 juta. Jika modal yang digunakan lebih besar daripada itu pihak penerbit berdepan risiko yang tinggi.

“Kos yang relevan hanyalah RM1.5 juta, tetapi penonton Malaysia mahu filem berkualiti dan ia datang dengan pakej modal yang besar serta proses pembikinan yang lama. Saya sendiri menggunakan modal lebih daripada itu kerana mahu kualiti dan kepuasan bukan sahaja buat penonton, tetapi juga diri sendiri,” kata Syamsul yang bakal muncul dengan filem Munafik 2 pada 30 Ogos depan.

Jelas pewaris kepada syarikat produksi yang paling banyak mencetak naskhah hit yang dimiliki oleh bapanya, Datuk Yusof Haslam, formula membikin filem mengikut trend atau meletakkan pelakon popular dalam sesebuah karya juga tidak menjamin kejayaan sesebuah filem. Hal itu dibuktikan dengan beberapa buah filem Hollywood dan Bollywood yang meletakkan pelakon kelas A, tetapi tetap gagal menarik penonton ke pawagam.

“Filem bagaimana yang penonton mahukan bersifat subjektif. Orang kita selalu kata penggiat filem tempatan tidak kreatif kerana asyik menghasilkan filem genre sama seperti seram dan cinta. 

Walaupun genre filem diulang pakai, tetapi olahan setiap filem berbeza. Mengikut kajian saya penonton tempatan bukan menolak filem tempatan, tetapi mereka muak menonton filem yang tidak berkualiti.

“Penonton juga tidak kisah siapa pengarah dan pelakon sesebuah filem. Mereka hanya mahu filem yang ditonton berbaloi dengan wang dan masa yang dihabiskan,” ujarnya.

Dan sebagai sebuah hasil seni yang disifatkan subjektif, penerbit masih gagal menebak dengan busar panah yang tepat tentang naskhah yang mereka hasilkan pasti mendapat pulangan lumayan.

Refleksi kemodenan animasi BoBoiBoy

Oleh NURUL FADILA AWALUDIN

WARNA-WARNI dunia fantasi animasi kerap dipandang terarah kepada golongan kanak-kanak berbanding dewasa. Berbeza dengan karakter adiwira terbitan Marvel Comics mahupun DC Comics, karya antarabangsa itu sering mempamerkan watak adiwira yang tampak hidup di alam realiti.

Meskipun naskhah berbentuk nyata (live action) lebih menjadi tarikan penonton terutama dalam penghasilan tayangan layar perak, namun karya animasi juga mempunyai magis tersendiri untuk menarik khalayak ke pawagam.

Ini dibuktikan apabila filem animasi antarabangsa terbitan Walt Disney Animation Studios dan Walt Disney Pictures, Frozen pada tahun 2013 berjaya mencatat sejarah apabila menjadi naskhah kartun kanak-kanak yang meraih kutipan pecah panggung hasil tayangan seluruh dunia sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion).

Selain itu, filem Minions (2015) juga mendapatkan kutipan sebanyak AS$1.15 bilion (RM4.7 bilion) manakala filem Incredibles 2 (2018) mencatat AS$1.14 bilion (RM4.6 bilion).
Kejayaan tersebut lantas membuktikan skop penonton naskhah animasi tidak hanya tertumpu kepada golongan kanak-kanak sahaja.

Terdorong dengan impak positif itu, Ketua Pegawai Kandungan Animonsta, Anas Abdul Aziz berazam untuk mengangkat martabat karya animasi tempatan setaraf antarabangsa.
Bermula dengan kecenderungan terhadap buku komik adiwira antarabangsa seperti Superman, Batman dan Spiderman, Anas kemudian menyimpan hasrat untuk menghasilkan karya sebegitu mengikut cara tersendiri.

Namun, melihat kepada naskhah animasi tempatan yang sebelum ini lebih memberi fokus kepada watak hero dewasa seperti Kluang Man dan Cicak Man, Anas mengambil inisiatif mengubah corak adiwira tersebut kepada kanak-kanak lingkungan usia 12 tahun.

Maka, dengan itu terhasilnya karya animasi BoBoiBoy yang kini mendapat tempat dalam kalangan penonton tempatan. Bukan sahaja meraih sambutan hangat, bahkan kutipan filem sulung BoBoiBoy: The Movie pada tahun 2016 turut mencatat kutipan sebanyak RM15.77 juta.

Langkah awal

Selain Malaysia, BoBoiBoy juga telah dipasarkan kepada lebih 60 buah negara dan dialih suara kepada beberapa bahasa antaranya Arab, Tamil, Urdu, Vietnam dan Mandarin.
Di sebalik kejayaan siri animasi BoBoiBoy yang tampak seronok ditonton di kaca televisyen, pelbagai proses perlu diambil kira terutama melibatkan kesan khas dan plot penceritaan bagi memperoleh kesetiaan penonton.

Asimilasi antara cita rasa dewasa dan kanak-kanak menjadi tunjang utama penceritaan termasuk mendapat suntikan jenaka. Sisi humor terutama melibatkan watak Papa Zola dan Gopal menjadikan naskhah BoBoiBoy lebih santai.

Kedua-dua karakter tersebut merupakan antara pelakon utama dalam naskhah animasi BoBoiBoy selain Yaya, Tok Aba, Abu Du, Fang, Ying, Koko Ci, dan Ochobot.

Disebabkan itu, penulisan skrip menjadi komponen penting dalam tujuh langkah asas dalam pembikinan siri animasi popular berkenaan sebelum sedia ditayangkan.

“Penceritaan adalah elemen penting kerana ia bukan sahaja dapat menghiburkan kanak-kanak tetapi golongan dewasa juga dapat menonton naskhah ini. Dalam pada memberi penekanan terhadap babak aksi yang menjadi intipati utama, tetapi nilai pengajaran dan komedi turut diterapkan agar kelihatan seimbang dan sesuai untuk tontonan oleh pelbagai peringkat usia,” jelas Anas.

Kemudian skrip yang ditentukan akan menjalani proses konsep. Pada bahagian tersebut, lakaran karakter animasi, kostum dan latar dilakukan secara dua dimensi (2D). Daripada itu, lakaran 2D berkenaan kemudian akan dipindahkan ke bahagian modeling untuk dihasilkan dalam bentuk 3D.
Bagi memudahkan proses lakaran dilakukan, rata-rata pelukis memilih menggunakan tablet lukisan grafik digital bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

Pada bahagian modeling, lakaran 2D tersebut akan ditukar menjadi 3D agar tampak lebih realistik termasuk menggerakkan karakter animasi dengan menggunakan aplikasi dipanggil perisian maya.

“Selesai di bahagian modeling, lakaran yang telah disiapkan kemudian dipindahkan kepada unit animation bagi membolehkan karakter tersebut bergerak mahupun melakukan sebarang pergerakan mengikut plot penceritaan.

“Unit animation juga perlu membuat perincian terhadap pergerakan mulut dan ekspresi karakter untuk dipadankan dengan audio pelakon suara,” terang Anas mengenai proses pembikinan BoBoiBoy.

Memerlukan tahap kesabaran dan kemahiran tinggi, unit animation memerlukan tempoh sekitar tiga hingga empat minggu untuk menyiapkan satu episod dengan menyasarkan visual gerakan animasi selama enam saat yang dapat disiapkan dalam masa satu hari.

Berakhir di bahagian animation, unit rendering kemudian menjalankan tugas mereka dengan menambahkan pencahayaan kepada visual yang dihasilkan.

Setelah itu, bagi memberi sentuhan lebih dramatik, unit compositing yang bertindak memasukkan elemen kesan khas seperti visual letupan. Penekanan diberikan terutama saat pembikinan babak pertarungan BoBoiBoy dan melakukan pecahan kuasa.

Menjadikan compositing sebagai proses terakhir penghasilan BoBoiBoy secara visual, rakaman audio pelakon suara turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan animasi selepas penulisan skrip. Pelakon suara

Pemilihan suara yang berpadanan dengan karakter perlu dilakukan secara terperinci agar ia bersesuaian mengikut watak dan plot cerita.

Kedengaran seperti satu tugas mudah memandangkan pelakon suara lebih banyak dilihat dalam penyumbangan vokal berbanding tenaga.

Namun, bagi pelakon suara watak Gopal, Dzubir Zakaria yang menggalas tanggungjawab tersebut sejak BoBoiBoy memulakan tayangan pada tahun 2011, mengakui ia bukan satu tugas senang.
Pelakon suara perlu menjiwai emosi karakter yang perlu ditonjolkan berdasarkan suara termasuk memastikan penjagaan kesihatan rapi agar kualiti suara tidak terjejas.

“Sekiranya melibatkan babak aksi mahupun berlari, saya juga perlu melakukan perkara sama seperti berlari dan melompat demi menjiwai watak.

“Penjagaan kesihatan juga penting kerana sekiranya saya mengalami batuk atau selsema ia akan menjejaskan tahap vokal. Disebabkan suntingan dilakukan secara digital, saya perlu memastikan tahap suara berada dalam keadaan baik untuk mendapatkan hasil yang sama.

“Sekiranya vokal asas berubah, sistem suntingan suara digital turut berubah dan ia akan kedengaran berbeza sekali gus menjejaskan mood penonton,” kata Dzubir. Minat
Ini membolehkan rakaman suara dilakukan lebih awal bagi memudahkan unit animation melakukan suntingan gerakkan kepada watak.

Pemilihan pelakon suara turut memainkan peranan penting dalam menambat hati penonton. Bagi watak utama, BoBoiBoy, pemilik suara karakter tersebut dilakonkan oleh Nur Fathiah Diaz, 19.
Bukan sekadar menarik minat golongan kanak-kanak, tetapi individu dewasa turut mempunyai kecenderungan terhadap kartun animasi popular berkenaan.

Minatnya berputik selepas menonton animasi di kaca televisyen, empat pelukis grafik Animonsta iaitu Nurul Aliyah Faaiqah Shamsor Nizam, 21, Nurfatin Zulkefli, 24, Siti Nurelyana Maurad, 23, dan Mohd. Ariff Abd. Rahman. 24, memilih organisasi berkenaan sebagai tempat membina kerjaya.

Mereka tertarik dengan watak dan plot penceritaan adiwira kanak-kanak yang ditonjolkan dalam BoBoiBoy sekali gus mengakui gemar menonton kartun animasi tempatan dan antarabangsa.
Biarpun kadangkala hasil lakaran mereka ditolak, namun disebabkan minat, tekanan untuk menghasilkan kreativiti tidak menjadi halangan untuk mereka terus berkarya.

“Minat terhadap kerjaya animasi bermula sewaktu saya masih di usia kanak-kanak kerana disebabkan gemar membaca komik. Tidak dinafikan kerjaya dalam industri kreatif ini mempunyai pelbagai cabaran tetapi disebabkan minat, segalanya bukan halangan,” ujar bekas penuntut KRU Academy dalam jurusan Diploma Animasi 2D, Nurul Aliyah.

Penerimaan positif khalayak terhadap kerjaya pembikinan animasi dan perkembangan teknologi semasa secara tidak langsung sektor tersebut menawarkan banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan belia






































Kejujuran realiti korupsi, virus sosial

Oleh MOHD. HAIKAL ISA

Menghabiskan durasi sekitar 95 minit menonton filem berjudul One Two Jaga arahan Nam Ron umpama memberi landskap baharu buat dunia perfileman tanah air.

Hal ini kerana, ia merupakan percubaan berani sebuah naskhah yang mengangkat perihal korupsi dunia kepolisan dan ketidakadilan tangga sosial.

One Two Jaga direalisasikan dengan begitu cemerlang bersama barisan pemain handalan seperti Zahiril Adzim, Amerul Affendi dan Bront Palarae sendiri yang turut bertindak sebagai penerbit. Turut merancakkan adrenalin penonton ialah beberapa nama hebat negara jiran, Ario Bayu dan Asmara Abigail dari Indonesia serta aktor kelahiran Filipina, Timothy Castillio.

Filem berkenaan barangkali tidak diperhebatkan dengan nilai komersial seperti dalam naskhah-naskhah tempatan yang telah atau sedang hangat di pawagam seperti Hantu Kak Limah mahupun Munafik 2.

Bagaimanapun, dari segi pengisian, ia sebenarnya mempunyai saham tinggi yang mampu membuatkan nama Malaysia terbang jauh pada peta perfileman.

Lihat sahaja kejayaan perdananya. Belum lagi ditayangkan secara rasmi di pawagam, filem terbitan produksi Pixel Play dengan kerjasama Jazzy Pictures dan Creative Pitching Center tersebut sudah terpilih sebagai salah sebuah daripada tujuh filem Asia yang bersaing bagi kategori Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Asia New York 2018 ke-17 Julai lalu.

Suka atau tidak, realitinya orang kita lebih akur dimomok-momokkan dengan naskhah yang menjual elemen hiburan mengekek-ngekek ataupun filem hantu yang mengecutkan perut.

Sedangkan, filem yang memaparkan realiti sebenar dalam kehidupan seharian seperti One Two Jaga dipandang enteng tanpa fokus yang serius.

Mengangkat karya yang membongkar rasuah dunia kepolisan? Itu tindakan berani yang juga buah tangan kedua Nam Ron di bangku pengarah arus perdana, diikat cermat bersama komitmen menyeluruh kru produksi serta pelakonnya.

Bukan ingin menuding jari terhadap institusi penguatkuasa undang-undang tersebut dalam karya, namun pengkisahan realiti harus didedahkan dengan penuh tanggungjawab, itu pegangan Nam Ron.

Imej polis

Pelakon yang secara khususnya tuan punya One Two Jaga, Bront menjelaskan pendedahan sisi gelap dunia kepolisan dalam gejala rasuah bukan bertujuan menjatuhkan imej badan beruniform tersebut.

Katanya, ia berkisar tentang apa yang dilalui dalam masyarakat dan boleh memberi kesedaran sosial.
“Kali pertama memang kertas cadangan filem ini ditolak tetapi apabila visi dan tujuannya dijelaskan, barulah ia diluluskan, itu pun selepas beberapa kali dirombak.

“Saya akui agak mencabar kerana penggambaran tertangguh disebabkan perlu menunggu skrip yang diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kisah rasuah yang berlaku dalam badan uniform itu bukan perkara baharu, bahkan diperangi mereka sehabis-habisan,” jelas pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin itu.

One Two Jaga disifatkan sebagai dark atau gelap. Ditanya tentang keyakinan untuk mengajak penonton ke panggung bagi meraikan filem yang kurang komersial berkenaan, Bront optimistik selepas melihat momentum yang dilantunkan dua filem tempatan, Hantu Kak Limah dan Munafik 2.

“Sekarang selera orang kita untuk menonton filem tempatan sedang membuak-buak. Terima kasih buat Hantu Kak Limah dan Munafik 2.

“Namun, saya tidak nafikan ramai yang menganggap filem yang sudah ke festival sebagai filem membosankan atau terlalu berat. Stigma sebegitu akan ada, namun saya harus bersifat optimistik untuk filem ini ‘pergi’ dari segi kutipan,” katanya lagi.

Realiti

Sementara itu, pemegang watak Adi, pelakon berbakat besar, Amerul Affendi boleh diklasifikasikan sebagai antara terjemahan paling ‘menjadi’ dalam One Two Jaga.

Ujar Amerul ketika diwawancara Kosmo!, gejala korupsi atau rasuah adalah perkara yang harus diketengahkan dalam arus perdana untuk memberi pengetahuan atau kesedaran umum.

Banyak pihak dalam sesebuah organisasi sengaja membutakan mata dan mentulikan telinga hanya kerana ‘tersangkut’ dengan tuntutan kelangsungan hidup, sementelah tersepit untuk mengejar kemewahan demi orang yang disayangi.

“Ada sesetengah orang punya tanggungan besar untuk terus hidup. Polis pun sama macam kita. Mereka juga kadangkala tertekan untuk mencari wang demi keluarga. Apa yang kita tahu, menyumpah andai seseorang itu ditangkap rasuah.

“Dalam dunia ini, bukan semua polis baik, namun kita juga tidak boleh menafikan bukan semua polis bersih daripada rasuah. Bukan hanya profesion kepolisan, di mana-mana organisasi juga pasti akan ada ketidakadilan yang membenihkan gegala rasuah.

“Saya pun kasihan melihat warga asing datang ke negara kita untuk mencari rezeki demi keluarga, namun tersangkut dalam putaran kehidupan yang mencengkam dengan pelbagai perkara,” kata Amerul yang pernah menggondol trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi naskhah Pekak.

Mengulas tentang beberapa dialog ‘kasar’ yang diperdengarkan dalam One Two Jaga, Amerul atau nama lengkapnya, Mohd Amerul Affendi Mohd. Mawardi berharap pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) akan terus memberi ruang dan kelonggaran untuk anak tempatan berkarya, namun atas kesedaran tanggungjawab bersama.

“Walaupun kena ‘beep’ beberapa dialog, saya berasa sudah tiba waktunya kita diberikan sedikit kelonggaran untuk melontarkan dialog yang disifatkan kasar.

“Saya rasa penonton kita sudah berfikiran terbuka untuk menghadamkan dialog-dialog kasar. Perkara ini memerlukan kerjasama orang ramai kerana saya juga berpendapat audiens (orang dewasa) semua sudah besar panjang,” getus Amerul.

Buat pelakon dari seberang yang melakonkan karakter warga asing bernama Sumiati iaitu Asmara Abigil, dia sedar kewujudan senario menyedihkan rakyat Indonesia yang mencari rezeki di negara lain untuk mencari sesuap nasi

Imigrasi

Asmara pernah bertemu dengan warga Indonesia dalam pesawat penerbangan yang berhasrat untuk bermastautin di negara jiran seperti Malaysia dan Singapura demi mencari peluang pekerjaan lebih lumayan.

“Isu imigrasi sangat sensitif, namun saya akui rakyat Indonesia ramai masuk ke Malaysia untuk bekerja. Ada yang dilayan okey, ada yang sebaliknya.

“Namun, isu ini kerap kali berlaku di seluruh dunia. Korupsi sudah menular seperti kanser atau wabak berbahaya dalam kalangan penduduk dunia.

“Apabila menaiki pesawat untuk melawat sesuatu negara saya sering terserempak dengan rakyat Indonesia yang ingin ‘lari’ dari kepompong kemiskinan dengan berhijrah ke negara lain,” dedah Asmara yang sebelum ini berlakon dalam filem Pengabdi Setan dan Sultan Agong.

Bekerja dengan produksi Malaysia buat kali pertama, Asmara amat bertuah kerana pengalaman yang diperoleh disifatkan sangat bermanfaat.

“Saya kenal Bront melalui filem Pengabdi Setan. Terlibat dalam filem ini memberikan saya pandangan baharu tentang perfileman. Semua yang berlakon dalam filem ini memberi kerjasama yang baik. Diharapkan selepas ini akan datang lebih banyak tawaran berlakon bersama produksi Malaysia,” kata Asmara tersenyum.

One Two Jaga mula ditayangkan di 57 buah pawagam seluruh negara bermula 6 September lalu.

Bukan ingin menidakkan adrenalin deras penonton terhadap dua filem tempatan yang sedang berlumba memecah rekod (anda tahu filem apa), cukuplah One Two Jaga diuar-uarkan keberkesanan penyampaiannya dalam kalangan kita seandainya pungutan tiket tidak setanding dua karya fenomena tersebut.




































Tiara keutamaan hidup Achey

SEMENJAK kehadiran anak angkat, Nur Tiara Zinnirah Nasir sekitar Ramadan lalu dalam hidup pasangan suami isteri, Achey dan Nor Hasanah Yahaya, aneka haruman debunga kasih sayang yang mewangi dalam kehidupan mereka.

“Ya, masih lagi berusaha (untuk mendapatkan anak sendiri). Namun, saya dan orang rumah tidak mahu tertekan mahupun terkejar-kejar dalam urusan mendapatkan anak sendiri.
 
“Kehadiran Tiara dalam hidup kami pun datang secara tiba-tiba. Namun, kami amat bersyukur dengan kurniaan ini. Dia akan kami besarkan seperti menatang minyak yang penuh,” ujar Achey ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran produk kosmetik, Dyxy di ibu negara baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Achey berkata, banyak pengalaman baharu yang ditempuhinya bersama isteri dan anak angkatnya sehingga baginya pada waktu sekarang, dia hanya ingin memberi fokus penuh melihat puterinya itu membesar.

“Tiara sudah berusia tiga bulan, macam-macam perkara yang saya lalui. Tidur lewat malam sehingga pukul 4 pagi, itu satu kebiasaan dan saya tidak mahu tertinggal momen ini.

“Saya bersyukur. Harapnya apabila diperkenankan hasrat oleh Tuhan untuk menimang anak sendiri, saya tidak akan kekok dalam menguruskan hal anak kecil.

“Saya dan isteri tetap berjumpa doktor. Doktor berpesan supaya masing-masing jaga pemakanan dan bersenam. Paling penting sekali jangan tertekan,” katanya.

Andai tidak berjaya untuk mendapatkan anak sendiri tahun depan atau tahun-tahun mendatang, Achey berkata, dia tidak menolak kemungkinan untuk menambah anak angkat.

“Saya mahu anak banyak. Kalau boleh saya mahu 10 orang cahaya mata. Kalau ada rezeki, saya akan ambil lagi anak angkat sama ada diperkenankan hasrat dapat anak sendiri atau tidak.

“Rezeki saya semakin bertambah dengan kehadiran Tiara. Alhamdulillah, semoga anak ini membesar dengan sempurna. Saya dan isteri akan memberikan yang terbaik,” kongsinya.

Instagram percuma

Tiara kini mempunyai Instagram sendiri dengan jumlah pengikut melebihi 100,000 orang. Kata Achey, dia tidak mahu akaun Instagram anaknya itu dijadikan medium untuk mengeksploitasi keuntungan.

Dengan itu, Achey bersama isterinya bersepakat membantu mereka yang memerlukan dari sudut promosi produk secara percuma melalui akaun berkenaan.

“Ada individu yang memohon untuk melakukan rebiu produk lada di Instagram Tiara, kami terima dan tidak mengenakan sebarang bayaran.

“Apa yang lebih utama andai mereka sentiasa mendoakan Tiara berada dalam keadaan yang baik. Kami tidak terima wang ringgit kerana bagi kami doa lagi penting. Apatah lagi, akaun saya dan isteri sudah digunakan untuk tujuan sebegitu (rebiu produk berbayar dan promosi),” jelas Achey.

Ditebak pertanyaan berkenaan cara membesarkan Tiara dalam suasana glamor atau kemewahan, Achey berkata, dia tidak akan berbuat demikian, sebaliknya lebih ke arah kesederhanaan.

“Saya dan orang rumah akan beri apa yang dia perlu, bukan apa yang dia mahu. Saya tidak mahu dia membesar dengan tanggapan cahaya glamor itu seronok.

“Apa yang kami lalukan, dekatkan dia dengan suasana sederhana seperti sentiasa pulang ke kampung halaman di Ijok, Kuala Selangor,” ujar Achey lagi.

Sementara itu, dedah Achey, dia mempunyai alternatif sendiri apabila isterinya gagal menghasilkan susu badan sendiri.

“Isteri saya berusaha untuk memberikan susu badan untuk anak angkat, namun kurang berjaya. Jadi, doktor sarankan agar berhenti kerana risau akan menjadi punca kanser payudara.
“Pilihan lain yang saya ada hanyalah kakak saya, Nordiana. Dia kebetulan sedang menyusu badan, jadi dialah ibu susuan Tiara sekarang.

“Selain itu, biras saya pun menjadi ibu susuan Tiara. Jadi tiada masalah untuk halalkan hubungan Tiara dan keluarga kami. Kedua-dua keluarga muhrimnya,” kata Achey.

Kongsinya, urusan untuk menghalalkan Tiara dan keluarganya sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan sehingga dia merujuk pandangan ustaz.

“Saya mendapatkan pandangan ustaz dan mufti berhubung perkara ini sebab ia sangat merisaukan saya. Menurut mereka, Tiara perlu sekurang-kurangnya lima kali puas susuan. Syukur kerana dia sudah dapat lapan kali susuan.

“Urusan ini selesai pada Aidiladha lalu dan semuanya berjalan lancar. Tiara sudah jadi darah daging saya,” ujar Achey menutup bicara.

Achey yang mengambil anak angkat pada Ramadan lalu bernama Nur Tiara Zinnirah Nasir selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga bersama isteri, Nor Hasanah Yahaya lega apabila isu ibu susuan selesai, sekali gus anaknya itu sudah menjadi darah daging mereka.

Abam Bocey Jauhi Makanan, Mulakan Misi Kecilkan Badan

Sebelum ini, Abam Bocey pernah menjadi viral dengan ungkapan “Gemok Is Awesome”. Abam menyifatkan saiz badannya itu yang menyebabkan dia dikenali ramai sehingga memenangi anugerah Pelawak Lelaki Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2015.

Ungkapan Abam pada masa itu mendapat perhatian jurulatih kecergasan selebriti, Kevin Zahri, yang merasakan tagline itu boleh menyebabkan orang yang mengalami masalah obesiti tidak berusaha mengurangkan berat badan manakala penyanyi dan komposer Aizat Amdan merasakan ungkapan itu hanyalah ‘ungkapan tipu diri’

Dalam satu muat naik ke Instagram baru-baru ini, Abam telah menulis bahawa dia kini menjauhi makanan kerana ingin menguruskan badan.
Jauhi makanan. Walaupun perubahannya kecil, api tak mengapa kecil-kecil lama-lama kecikkkkk!!! Usaha untuk perubahan…perlahan-lahan….. #kitausaha#misimengecil#gemokisawesome#taksukabolehjalan#kitabaikramaisayang
Usaha Abam itu mendapat sokongan pengikutnya yang memintanya melakukan perubahan secara perlahan supaya akhirnya mencapat berat badan yang diidamkan.
Sebenarnya, impian Abam bukan sesuatu yang mustahil. Ramai orang telah berjaya mengurangkan berpuluh-puluh kilogram berat badan melalui diet dan senaman. Buatlah macam manapun asalkan secara sihat, tidak perlu suplemen, pil atau minuman tambahan untuk kuruskan badan. Kalau Abam boleh dapatkan khidmat pakar nutrisi dan jurulatih peribadi lagi cantik.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER