Headlines News :
Home » » Ubah minda patuhi peraturan jalan raya

Ubah minda patuhi peraturan jalan raya

Written By zabidi on Sunday, 21 April 2019 | 10:43 am

Oleh Suhaila Annuar

 BERAPA ramai daripada kita akan bersedia untuk memberhentikan kenderaan jika lampu isyarat di persimpangan jalan raya bertukar kuning? Majoriti akan memecut laju bukan? Malah jika ia bertukar merah sekalipun, masih ramai yang langgar. Setuju?

Tahukah anda berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), salah satu sebab utama kemalangan dan kematian di jalan raya adalah disebabkan melanggar lampu isyarat merah.

Kebanyakan kejadian ini disebabkan pemandu melintasi simpang ketika lampu merah sudah dinyalakan.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman juga mendedahkan sebanyak 301 penunggang motosikal maut, manakala 299 lagi cedera kerana perbuatan melanggar lampu isyarat sepanjang enam bulan pertama 2017.

Hampir empat tahun penulis bertugas di Putrajaya, memang tidak dapat dinafikan perbuatan melanggar lampu isyarat merah ibarat perkara biasa buat mereka yang memandu termasuk di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Tidak kira motosikal, kereta atau bas, seperti sudah menjadi kebiasaan untuk tidak mematuhi lampu isyarat merah di sini. Disebabkan itu, menjadi tabiat penulis apabila memandu dan melalui persimpangan berlampu isyarat di sini, untuk menunggu satu atau dua saat sebelum memulakan perjalanan, walaupun lampu isyarat sudah bertukar hijau.

Motifnya kerana bimbang jika ada pemandu lain melanggar lampu isyarat merah dari arah lain.
Menurut Perbadanan Putrajaya (PPj), ada kemalangan dikesan dalam setiap tahun akibat perbuatan melanggar lampu isyarat merah di bandar pintar ini.

Berdasarkan rekod PPj setakat ini, terdapat 184 persimpangan berlampu isyarat di Putrajaya.

Ia beroperasi 24 jam dan ditetapkan dalam kedudukan 'flashing' di lokasi tertentu pada waktu malam dan dipantau melalui sistem sensor dan manual mengikut keperluan di satu-satu kawasan.

Bagi penulis, sebanyak mana bilangan lampu isyarat di sesuatu lokasi, ia bukan alasan untuk pemandu tidak mematuhinya. Atas apa juga alasan, perbuatan melanggar lampu isyarat merah ini tidak boleh dipandang sebelah mata.

Sampai bila kita hendak bagi alasan ‘banyak sangatlah traffic light dekat sini’ atau ‘Simpang ni tak sepatutnya ada traffic light’ serta ‘Aku kejar masa’ dan ‘Aku nak cepat’.

Walaupun Putrajaya kini menjadi tumpuan dunia kerana statusnya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kegagalan penunggang motosikal dan pemandu untuk mematuhi undang-undang jalan raya sedikit sebanyak mencemarkan imej bandar ini.

Kita sibuk mencanang mahu Malaysia maju, malah sibuk meminta kemudahan pengangkutan serba canggih termasuk kereta terbang. Kalau peraturan semudah ini pun kita masih tidak boleh patuhi, jangan pelik 2025 nanti kita masih pada takuk lama.

Cukup-cukuplah berminda kelas ketiga. Sama-samalah kita berubah kepada kelas yang lebih baik.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER