Headlines News :
Home » » Mengurus emosi, mental ketika PKP

Mengurus emosi, mental ketika PKP

Written By zabidi on Tuesday, 2 June 2020 | 9:06 am

BUKAN mudah menyesuaikan diri dengan suasana kebiasaan baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kehidupan masyarakat berubah malah ada yang terasa 'terpenjara' di kediaman sendiri.

Melalui empat fasa PKP, keadaan ini boleh memberi kesan kepada emosi dan tingkah laku jika tidak diurus dengan baik.

Perunding Psikiatri Sunway Medical Centre Velocity, Dr Lim Wai Jenn berkata, setiap perubahan yang berlaku dalam kehidupan boleh memberi tekanan hingga menyebabkan individu mengalami kebimbangan dan kemurungan.

Menurutnya, adalah perkara biasa individu mengalami gangguan ketidakstabilan emosi atau kerisauan dan kebimbangan yangsederhana dalam kehidupan harian.

"Bagaimanapun, jika gangguan ini kerap berlaku atau berlanjutan hingga menjejaskan tidur, selera makan, keupayaan untuk berfungsi dan keseronokan melakukan sebarang aktiviti, ini berkemungkinan tanda masalah kesihatan mental yang lebih serius," katanya.

BERKONGSI masalah dengan rakan masalah bagi mengurangkan tekanan.
BERKONGSI masalah dengan rakan masalah bagi mengurangkan tekanan.
Beliau berkata, ada juga individu mengalami serangan panik apabila ia mempunyai gejala fizikal seperti sesak nafas, menggeletar, tekanan di dada, jantung berdebar-debar, menggeletar, berpeluh atau hampir pengsan.

"Biasanya gejala ini berlaku secara tiba-tiba, tanpa dijangka dan tiada sebarang punca. Sebilanganya mungkin berasakan mereka mengalami serangan jantung. Gejala ini boleh berulang tanpa amaran.
"Dalam situasi ini, mereka digalakkan berjumpa pakar psikiatri untuk mendapatkan perundingan bagi mengurangkan gangguan kehidupan individu terbabit. PKP tidak menghalang pesakit mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor.

"Komunikasi berkesan amat penting supaya pesakit mengetahui masih ada yang mengambil berat tentang dirinya dan bersedia membantu mengurangkan masalah dialami," katanya.

Katanya, pendekatan saling mengambil berat dan memberi perhatian antara satu sama lain boleh membantu mengharungi PKP selain menitikberatkan penjagaan kesihatan mental dan emosi.

Dr Lim berkata, kanak-kanak turut tidak terkecuali terkesan dengan penularan Covid-19 dan PKP.

KANAK-KANAK turut terkesan dengan PKP.
KANAK-KANAK turut terkesan dengan PKP.
"Dalam keadaan ini, ibu bapa berhadapan cabaran menjaga anak bagi memastikan mereka tidak mengalami masalah gangguan emosi dan kecelaruan tingkah laku.

"Rutin harian yang teratur dapat membantu membentuk tingkah laku yang sihat dan mengurangkan kerunsingan," katanya.

Selain itu, Dr Lim berkata, ibu bapa boleh mengatur rancangan aktiviti atau menyusun jadual harian anak bagi mengurangkan kebosanan dan kegelisahan mereka.

Jelasnya, ibu bapa yang bimbang kesihatan mental dan emosi anak, wajar berkomunikasi dengan mereka dengan lebih kerap.

"Ini memberi peluang kepada anak untuk berkongsi apa yang mereka rasai sekali gus boleh mengurangkan tekanan dialami.

"Pada masa sama, ibu bapa boleh memantau atau mengehadkan penggunaan media sosial anak, jika mendapati mereka terlebih pendedahan dan memperoleh maklumat yang tidak tepat hingga menimbulkan kegelisahan serta kemurungan," katanya.

IBU BAPA perlu meluangkan lebih masa dengan anak.
IBU BAPA perlu meluangkan lebih masa dengan anak.
Tip penjagaan kesihatan mental semasa PKP

A. Ketahui fakta

Kebiasaannya otak mudah tertekan dan terganggu apabila menghadapi situasi yang tidak diketahui dan tak pasti seperti Covid-19.

Fakta diperlukan supaya otak boleh merancang, bersedia dan menyelesaikan masalah, namun perlulah merujuk sumber yang dipercayai serta tepat.

B. Tumpu kepada maklumat yang ingin diketahui untuk tindakan berikutnya

Atasi pemikiran negatif dengan memperoleh maklumat tepat untuk melakukan aktiviti berfaedah.

Buat senarai tugas kerana tindakan ini mampu membuatkan rasa lebih bertenaga dan selamat.

C. Rutin

Cara terbaik untuk kekal tenang dan berfokus ialah mengekalkan rutin harian seperti bersenam, makan, membaca buku dan tidur.

Aktiviti ini dapat mengelakkan kebosanan, keresahan dan berfikir secara berlebihan.

D. Menapis maklumat

Pilih maklumat yang berkualiti dan diperlukan saja bagi mengelakkan terdedah kepada maklumat tidak tepat yang akhirnya mengganggu emosi.

E. Hubungan sosial

Memperkukuhkan hubungan sosial dengan ahli keluarga dan rakan kerana ia dapat mengurangkan tekanan sekali gus meningkatkan tahap kesihatan.

Hubungan ini boleh dipereratkan menerusi panggilan telefon dan komunikasi menggunakan Internet.

F. Badan dan minda sihat

Tidur mencukupi, diet yang sihat dan senaman adalah penting untuk menguatkan sistem imun badan bagi menghalang tekanan dan gangguan kebimbangan.

G. Ketenangan

Melakukan aktiviti yang memberikan ketenangan sama ada menerusi senaman pernafasan, mendengar muzik, memasak, berkebun dan sebagainya kerana dapat mengurangkan tekanan serta berasa lebih tenang.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER