Oleh Afiq Hanif
Kemerdekaan yang dikecapi membolehkan usaha menjadikan Malaya negara yang bebas dengan acuan tersendiri.
Selepas 59 tahun, arus pembangunan negara semakin hangat menerusi
pelbagai perubahan yang memberi impak kepada kehidupan seharian rakyat
daripada hanya megah dengan pertanian kepada sektor lebih
menguntungkan.
Dalam menghadapi 10 tahun akan datang, kemerdekaan yang membawa erti
pembangunan juga tidak terlepas dari arus pemodenan terutama membabitkan
teknologi semakin canggih.
Beberapa perubahan ketara teknologi perlu menjadi fokus untuk Malaysia meneruskan kecemerlangan.
Daripada hanya menjadi hamba beralih kepada pemacu pembangunan
digital yang boleh membuatkan negara lain terlopong meskipun Malaysia
masih muda secara relatifnya.
Internet untuk segalanya (IoT)
IoT mula menunjukkan taring, bermakna mungkin periuk nasi anda
sendiri akan dipasang dengan Internet membolehkan anda memasak nasi jauh
dari rumah.
Peranti elektronik mengambil alih manusia untuk menjadi pengguna
Internet paling besar dalam dunia baru yang membabitkan sensor
elektronik, rumah pintar dan tanda atau tag yang mampu mengesan tabiat
serta pergerakan pengguna.
Revolusi teknologi masa depan menyaksikan manusia, perkakasan
elektronik, objek dan pangkalan data berhubungan dalam masa sebenar
melalui Internet.
Dalam dunia masa kini, kita menuju ke era baru yang nyata menyaksikan
Internet muncul sebagai kuasa utama pelbagai penggunaan sedangkan
manusia hanya menjadi minoriti.
Di Malaysia, pelaksanaan Pelan Induk Internet Untuk Segalanya (IoT) menjadi petunjuk masa depan Internet yang lebih luas.
Jika ada pendekatan yang jelas, tidak mustahil Malaysia akan menjadi peneraju di rantau Asia Tenggara dalam IoT.
Kajian menunjukkan, terdapat 50 bilion peranti disambungkan di
Internet pada tahun 2020 berbanding jumlah penduduk yang ketika itu
hanya berjumlah 7.6 bilion.
Kenderaan cekap tenaga (EEV)
Sudah ada Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 diperkenalkan dua tahun
lalu dan antara agenda diberi penekanan dalam insentif berkenaan
membabitkan pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) dan mendorong
menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan dalam segmen itu
menjelang 2020.
Namun masih perlu diberi lonjakan kerana ia agak perlahan terutama membabitkan pemilikan dalam kalangan rakyat.
Antara sebabnya sudah pasti membabitkan harga yang mahal meskipun EEV
penting dalam menjamin kestabilan persekitaran hijau yang Malaysia
nikmati sekarang.
Jika dilihat beberapa tahun kebelakangan ini terdapat beberapa
syarikat memperkenalkan pelbagai model kenderaan dalam segmen EEV iaitu
kenderaan elektrik dan hibrid namun ia belum menjadi pilihan.
Nasib baik inisiatif kenderaan seperti bas elektrik diperkenalkan di
Melaka menjadi pemula yang baik apabila kita bercakap mengenai
pengangkutan awam.
Teknologi kesihatan
Ia perlu diketengahkan bagi mengumpul sebanyak mungkin data pesakit
yang boleh membantu mengurangkan masa menunggu dan merawat secara lebih
cekap.
Jika perkakasan dan perisiannya boleh disesuaikan dalam suasana
kesihatan di negara ini, tahap kecekapan boleh meningkat berkali ganda.
Maklumat kesihatan pesakit perlu diselaraskan yang boleh diakses
mereka di mana saja dan ia memerlukan prasarana mampu urus, mengumpul,
menterjemah serta menghantar data.
Sudah pasti ia memberikan jaminan kepada rakyat yang lebih sihat dengan penggunaan teknologi.
Sekolah digital
Mengajar subjek pengekodan memang langkah terbaik bagi sekolah di
Malaysia namun paling penting, sistem persekolahan yang diubah secara
menyeluruh menjadi lebih digital.
Paling asas, pengajaran berasaskan papan putih atau papan hitam mungkin boleh ditukar kepada skrin yang lebih interaktif.
Ia sekali gus meningkatkan kualiti pembelajaran selain mengurangkan penggunaan kertas.
Sekolah boleh memanfaatkan aplikasi untuk komunikasi antara ibu bapa
dan pelajar yang memungkinkan pemantauan dan interaksi lebih efisien.
Malah penggunaan gajet elektronik seperti peralatan multimedia
seperti persembahan slaid dan ‘power point’ membolehkan guru
menyampaikan pelajaran dengan cara lebih ‘hidup’.
Ia pembelajaran menyeronokkan yang memberi pengalaman audio dan
visual kepada murid malah perhatian murid serta interaksi dengan guru
lebih tinggi.
Bandar pintar
Lihat saja perancangan bandar yang belum sempurna memandangkan kekangan tertentu. Teknologi boleh menjadikannya lebih baik.
Beberapa model bersepadu termasuk sistem trafik, pengawasan dan
pengurusan kerajaan boleh diuruskan dengan teknologi yang tidak tertumpu
kepada hanya tumbuhnya bangunan seperti cendawan semata-mata.
Post a Comment