Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Menjadi satu masalah yang besar apabila penceramah ataupun penulis
mengutip semua cerita yang
dia jumpa dalam buku tanpa mampu menilai
kemunasabahannya. Bagi mereka yang tidak memahami disiplin ilmu,
menganggap setiap yang ada dalam kitab itu sahih. Terbaru kita dengar
ada pihak mempopularkan cerita memanggil arwah di Telaga Barahut
(Barahut atau disebut juga Burhut seperti yang dinyatakan dalam Lisan
al-'Arab).
Kononnya, ada orang memanggil roh dari telaga berkenaan
untuk mengetahui di mana hartanya disimpan oleh kawannya sebelum dia
meninggal dunia. Mungkin niatnya ikhlas, tapi cerita itu tidak berasas
dan 'kartun' sekalipun disebut dalam beberapa kitab. Saya terbayang,
jika ini benar, bolehlah kita pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan
bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang.
Sahih
Walaupun
asas nama Telaga Barahut itu disebut dalam hadis yang thabit riwayat
al-Tabarani dan selainnya sebagai seburuk-buruk telaga, namun cerita si
fulan memanggil roh kawannya dari telaga itu tiada asas yang sabit.
Mudah untuk difahami seperti cerita Nabi Khidir. Kisah itu ada dalam
Al-Quran dalam Surah al-Kahf. Nama Khidir itu pula disebut dalam Sahih
al-Bukhari. Namun cerita dalam Hikayat Melayu Lama Hang Tuah bertemu
Khidir tiada asas yang boleh dipercayai.
Menggunakan
kewujudan cerita itu dalam al-Quran dan as-Sunnah sebagai dalil untuk
membenarkan cerita yang direka kemudian adalah satu kaedah yang tertolak
dan tidak boleh diterima sama sekali. Cerita yang datang kemudian, jika
pun hendak diterima, hendaklah dinilai keselarasan dengan Al-Quran dan
as-Sunnah serta logik yang kukuh.
Menjadikan alasan ia
wujud dalam sesebuah kitab (dalam Bahasa Melayu kitab bermaksud buku)
bukan alasan yang diterima di sisi ahli riwayat. Kewujudan sesebuah
cerita dalam sesebuah kitab tidak menjadi bukti kesahihannya. Bahkan,
banyak riwayat dalam kitab-kitab terdahulu yang tidak sahih. Dalam
kitab-kitab tafsir ada pelbagai riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik.
Tidak
boleh semuanya dipercayai. Ada disiplin ilmu yang mesti diikuti sebelum
memetik kisah-kisah itu. Benar seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi:
"Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di
medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk
dibersihkan".
Katanya juga: "Seakan-akan Yahudi ketika
tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan
selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain
sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata
peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang
pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat
mencekik kitab-kitab kaum muslimin". ( Al-Qaradawi, Thaqafah
al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Palsu
Dalam
kitab-kitab hadis banyak hadis yang palsu. Para ulama hadis menyuruh
kita menyemak sanad dan matan sebelum sesuatu hadis diterima. Bahkan
para sarjana hadis bertungkus-lumus melakukan klasifikasi hadis bagi
membezakan yang sabit daripada selainnya.
Kata al-Imam Ibn
al-Salah (meninggal 643H): "Ada beberapa golongan yang membuat hadis
palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka
kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan
dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima
pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada
mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan
mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah". (Ibn al-Salah, `Ulum
al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).
Dalam
membaca bahan sejarah juga demikian. Bukan semua yang ada dalam buku
sejarah itu boleh dipetik tanpa menyemak sanad dan matannya. Empunya
kitab sejarah terbesar al-Imam al-Tabari (meninggal 310) sendiri
mengingatkan hal ini pada mukadimah kitabnya: "Apa yang terkandung di
dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara
berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau
pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya
sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia
mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku,
tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku
meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku". (Al-Tabari, Tarikh
al-Tabari, 1/8. Beirut: Rawai' al-Turath al-'Arabi).
Saya
petik kata-kata Syeikh Dr Salah 'Abd al-Fattah al-Khalidi dalam
membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari:"Para ahli
sejarah Islam menulis himpunan riwayat yang begitu banyak dalam
penulisan mereka. Mereka mencampuradukkan antara yang sahih dengan yang
palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan apa yang sahih daripada yang
sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat tersebut dan tidak
pula menjelaskan kedudukan perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan
secara bersanad. Mereka juga menyebut perawi bagi setiap sanad.
Selain
itu, mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai
riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu
dengan yang lain. Ini bukanlah bererti kehendak mereka adalah untuk
berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi
tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang
menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap berita yang sampai kepada
mereka sama ada riwayat itu benar, dusta, betul atau salah". (Salah
'Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, hlm. 7).
Malangnya
apabila kedangkalan disiplin ini tidak dikuasai, ada yang menceduk apa
sahaja yang dia jumpa tanpa menghayati disiplin dalam periwayatan.
Logik
Perkara
yang tidak logik dan menyanggah akal waras tidak mungkin hendak
dikaitkan dengan Islam. Inilah yang kita ulang apa yang disebut oleh
sesetengah sarjana hadis:”Apabila engkau melihat sesebuah hadith
menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan
usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu.” (Al-Sayuti,
Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut: Dar al-Fikr).
Ilmuwan
al-Azhar sendiri, Dr Al-Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah juga
menyebut:"Sepertimana para ulama hadis mengambil berat berhubung analisa
kritis terhadap sanad yang merupakan analisa kritis luaran, mereka juga
membuat analisa kritis terhadap matan (textual criticism) iaitu analisa
kritis dalaman. Ini terbukti dengan mereka menjadikan salah satu tanda
hadis palsu ialah percanggahannya dengan al-`aql (akal), atau
al-musyahadah (apa yang disaksi di alam kenyataan), atau al-hiss (apa
yang dikesan oleh pancaindera) sedangkan ia tidak mampu untuk
ditakwilkan dengan takwilan yang hampir dan mungkin (untuk
diselaraskan). Dalam banyak keadaan mereka maksudkan ialah percanggahan
dengan Al-Quran, atau al-Sunnah yang masyhur lagi sahih, atau sejarah
yang diketahui, sedangkan ia tidak mampu untuk ditaufiqkan
(diharmonikan). (Abu Syahbah, Difa' an al-Sunnah, m.s. 31. Kaherah:
Maktabah al-Sunnah).
Buku memang banyak. Pun begitu,
mensahihkan sesuatu perlukan kaedah yang betul. Bukan salah untuk
mengutip cerita yang lemah sekadar iktibar, tapi hendaklah jangan
disandarkan kepada agama Allah yang maha mulia ini. Jangan pula cerita
itu menjatuhkan mertabat Islam sebagai agama yang rasional dan penuh
dengan alasan yang munasabah bagi setiap perkara nanti orang bersalah
sangka kepada agama.
Kisah pengajaran orang soleh dan para
wali boleh dipetik tapi pasti ia seiras dengan nas Al-Quran dan
as-Sunnah. Juga agama tidak mungkin membawa sesuatu yang tidak dapat
disaksikan kebenarannya oleh akal yang waras. Jangan kita main ceduk
semua benda dan masukkan ke dalam bakul agama. – drmaza.com, 2014.
* Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas Mufti Perlis.
Home »
Bicara Islam
» Jangan ‘main ceduk’ apa saja ke bakul agama
Jangan ‘main ceduk’ apa saja ke bakul agama
Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | 9:51 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment