Oleh Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri zainul abidin
SAYA tertarik dengan Twitter Imam dan khatib Masjidil Haram,
al-Syeikh Su’uud al-Syuraim yang
menyebut: (terjemahan) dakwaan bermimpi
Nabi Muhammad SAW menyuruh membunuh banyak nyawa adalah satu kejahatan
yang nyata”.
Beliau mungkin menjawab satu ucapan seorang tokoh
agama di Mesir dalam videonya yang mendakwa bahawa beliau bermimpi
berjumpa dan Nabi Muhammad SAW menyuruh membunuh penunjuk perasaan yang
membantah kerajaan tentera.
Salah guna
Demikian nama Nabi SAW sering digunakan untuk pelbagai kepentingan.
Oleh kerana nama Baginda SAW begitu laku, ramai yang cuba mengambil
kesempatan untuk pelbagai kepentingan diri dan puak.
Mendakwa
mimpi berjumpa Nabi SAW, di samping untuk kepentingan tertentu, ia juga
bertujuan untuk menunjukkan diri kepada orang ramai bahawa diri yang
bermimpi itu sangat istimewa. Inilah yang cuba ditonjolkan sesetengah
guru agama dalam membina pengaruhnya dalam masyarakat. Hal ini berbeza
dengan golongan salaf terdahulu yang sentiasa merendah diri dalam
memperkatakan tentang kedudukan mereka di sisi ALLAH SWT.
Imam
Ahlus Sunnah wal Jama’ah al-Imam Ahmad bin Hanbal adalah sarjana hadis
yang agung ketika seseorang berkata kepadanya: “Ibu saya telah bermimpi
bagi engkau syurga”. Jawab al-Imam Ahmad: “Wahai saudara!
Dahulu Sahl bin Salamah telah diberitahu perkara yang sebegini kemudian
dia melakukan pertumpahan darah manusia”. Kata Ahmad bin Hanbal lagi:
“Mimpi itu menggembirakan orang mukmin, bukan memperdayakannya”.
(al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 11/227. Beirut: Muassasah ar-Risalah).
Namun apabila agama menjadi bahan untuk kepentingan diri, maka mimpi
dijadikan hujah, sedangkan nas yang terang diketepikan. Betapa banyak
nas yang Nabi SAW melarang kezaliman, kesombongan, mengambil kesempatan
atas harta orang ramai dengan menggunakan nama agama dan lain-lain
penyalahgunaan dan penindasan.
Masakan Nabi SAW muncul dalam
mimpi seseorang yang akhirnya mencetus kesemua hal itu. Masakan ALLAH
mengiktiraf insan tertentu dengan diberikan kurniaan bermimpi Nabi
Muhammad SAW sedangkan dia akhirnya membuat perkara yang dilarang oleh
Baginda SAW.
Sesiapa yang mendakwa bermimpi Nabi Muhammad SAW
dengan satu mesej yang mencanggahi ajaran Baginda SAW, dia sebenarnya
berbohong. Jika pun dia bermimpi, itu sebenarnya syaitan yang menyerupai
orang lain, lalu kerana dia tidak kenal Nabi Muhammad SAW maka dia
menyangka itu Baginda SAW.
Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi
Muhammad SAW tetapi boleh menyerupai orang lain dan yang tidak tahu
menyangka itu Nabi SAW. Syaitan boleh menipu sesiapa sahaja sekalipun
yang berserban besar.
Kaut keuntungan
Hari ini ramai yang membuat pelbagai majlis atas nama Nabi Muhammad
SAW. Pada asasnya mengingati Nabi SAW dalam usaha mengamalkan ajaran
Baginda SAW memanglah sesuatu yang baik.
Bernasyid dan
berqasidah untuk hiburan hati juga tidak salah. Memuja dan memuji Nabi
SAW dalam puisi dan syair juga baik. Namun, jika Nabi SAW itu sekadar
satu upacara dalam menaikkan golongan tertentu ataupun mengaut
keuntungan tertentu maka itu tidak akan membawa masyarakat kepada Nabi
SAW.
Ada pula yang mendakwa kononnya Nabi SAW itu hadir ke
dalam majlis mereka secara jaga atau yaqazah. Ada yang melambai kononnya
Nabi SAW itu hadir. Sekadar lambai suka-suka maka itu sekadar hiburan.
Namun apabila melibatkan dakwaan tertentu berkaitan agama maka itu
perlukan dalil syarak. Takrif sahabat Nabi SAW di sisi ahli hadis ialah
‘sesiapa yang berjumpa dengan Nabi SAW, beriman dengan Baginda SAW dan
mati dalam iman’.
Soalannya, apakah mereka yang berjumpa Nabi
SAW dalam majlis-majlis di Malaysia ini telah menjadi sahabat Nabi SAW
sehingga mereka ini nanti kita sebut selepas nama mereka radiyalLahu
‘anhu.
Dakwaan yang seperti ini mempunyai kesan yang bukan
mudah. Jika kita masih ingat dahulu Ashaari Muhammad pengasas Pertubuhan
al-Arqam yang membawa ajaran sesat yang berasaskan mimpi dan
pertemuannya secara yaqazah (jaga) dengan Nabi SAW. Akhirnya pelbagai
dakwaan pelik dikeluarkannya dengan bersandar kepada dialognya dengan
Nabi Muhammad SAW yang dia dakwa itu.
Golongan sahabat Nabi SAW
telah menghadapi pelbagai krisis dan masalah. Mereka tidak pernah
menggunakan mimpi berjumpa Nabi SAW dalam pertikaian antara mereka.
Tidak pernah ‘Ali ataupun ‘Aishah ataupun al-Zubair ataupun Talhah
dalam krisis antara mereka yang telah membawa kepada penumpahan darah
itu mendakwa bermimpi berjumpa Nabi SAW dalam menentu kebenaran.
Padahal mereka lebih perlukan dan lebih layak untuk bermimpi berjumpa
Baginda SAW. Maka, kita kena ingat apa yang Nabi SAW ingatkan kita:
“Pada akhir zaman akan ada para dajal lagi pendusta.
Mereka
membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa
kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka
tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang
batil disangka benar). (Riwayat Muslim)
Cinta keluarga nabi SAW
Ramai orang suka menyandarkan diri mereka kepada Nabi SAW dengan
dakwaan mereka keluarga Baginda SAW ataupun pencinta keluarga Nabi SAW.
Paling hebat dalam hal ini golongan Syiah dan mereka yang mendekati
jalan yang diambil Syiah.
Kita tidak boleh nafikan bahawa kita
semua dituntut menyayangi keluarga Nabi SAW (ahlul bait). Saban hari
kita berselawat buat mereka. Namun, bukan semua ahlul bait itu mendapat
kemuliaan ALLAH.
Hanya ahlul bait yang mengikuti jejak langkah
Nabi SAW sahaja. Iman bukan warisan keturunan. Anak Nabi Nuh AS menjadi
penderhaka kepada beliau.
Maka tidak mustahil ada keturunan
Nabi Muhammad SAW juga yang tidak mengikuti jalan Baginda SAW. Perkataan
‘habib’ dan ‘sayyid’ bukan jaminan seseorang itu berada atas jalan Nabi
SAW.
Nabi Muhammad SAW menegaskan: “Sesungguhnya binasa
mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap
‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan.
Apabila
seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi
ALLAH! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
telaga di syurga
Dalam
keghairahan mendakwa sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW ataupun pencinta
Nabi SAW, kita janganlah lupa bahawa dalam hadis banyak golongan yang
Nabi SAW tidak mengaku mereka sebagai pengikut Baginda SAW.
Mendakwa itu mudah, tetapi untuk mendapat pengiktirafan dari Baginda SAW
memerlukan usaha kita semua agar berada atas panduan Baginda SAW.
Antara golongan yang Nabi SAW tidak mengaku sebagai pengikut Baginda
SAW ialah golongan menipu umat Islam terutama dari segi harta benda.
Suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi satu bekas makanan (untuk
dijual), lalu Baginda SAW memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan
Baginda SAW menjadi basah. Baginda SAW pun bersabda: “Apakah ini wahai
empunya makanan (peniaga)?.
Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai
Rasulullah!”. Baginda SAW bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan
bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?
Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim)
Pencinta dan keluarga Nabi SAW tidak boleh bersama dengan penipuan.
Nabi SAW tidak mengaku sebagai pengikut Baginda SAW. Bahkan pencinta
wajar tegas dalam memperkatakan kebenaran.
Sesiapa yang menipu
hakikat dan menyelewengkan kebenaran maka dia tidak diiktiraf sebagai
pengikut Nabi SAW. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya selepasku ini akan
adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan.
Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan
menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya
dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga).
Sesiapa yang
tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka,
maka dia dari kalanganku dan aku daripada kalangannya dan dia akan
mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi.
Sahih)
Moga kita semua sayangkan Nabi SAW. Berusaha mengikuti
jalan Nabi SAW. Menggalakkan orang ramai ke arah cinta Nabi SAW dengan
pelbagai pendekatan. Namun, jangan murah-murah lelong nama Nabi SAW
untuk kepentingan yang tidak diiktiraf oleh Nabi SAW!
Home »
Bicara Islam
» Jangan lelong murah nama Nabi SAW
Jangan lelong murah nama Nabi SAW
Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | 9:52 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment