ANTARA nilai utama kemanusiaan yang dibawa oleh Islam ialah nilai
keadilan. Ia akan
menjadikannya sebagai pengukuh kehidupan individu,
keluarga, masyarakat dan negara. Al-Quran menjadikan penegakan keadilan
di antara manusia sebagai matlamat semua risalah samawi sehingga
diutuskan kepada mereka rasul-rasul a.s dan kerana faktor penegakan
keadilan, maka dibangunkan langit dan bumi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan langit dijadikannya (bumbung)
tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca
keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;
Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu
mengurangi barang yang ditimbang. (al-Rahman: 7-9)
Maksud keadilan ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak, sama
ada yang berhak itu individu atau kumpulan manusia. Islam memerintahkan
agar setiap orang berlaku adil terhadap dirinya dengan menyeimbangkan
antara hak dirinya, hak Tuhannya dan hak orang lain.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya bagi jasadmu ada
haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi
tetamu ada haknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas adalah teguran Rasulullah SAW kepada Abdullah Ibnu Amru
r.a apabila dia mengabaikan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa
pada siang hari dan berqiamullail pada malam harinya.
Adil kepada keluarga
Begitu juga Islam telah memerintahkan agar berlaku adil pada
keluarga, sama ada kepada suami, isteri dan anak-anak. Ketika Basyir
ibnu Saad Al-Ansari hendak mendapatkan persaksian Rasulullah SAW
terhadap hibah atau pemberian tertentu, dia mengutamakan pemberian
tersebut kepada sebahagian anak-anaknya.
Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya, Adakah semua anak kamu
berikan yang seumpama ini?" Basyir menjawab, tidak." Rasulullah SAW
bersabda, Carilah penyaksian ke atas pemberian tersebut selain
daripadaku, aku tidak akan membuat persaksian atas ketidakadilan."
(riwayat Nasaie)
Ini menggambarkan keadilan harus diberikan, sama ada kepada yang
disayanginya atau tidak disayanginya supaya perasaan sayang seseorang
itu tidak bersekongkol dengan kebatilan.
Alangkah hebatnya perintah untuk berbuat keadilan ini sehingga
al-Quran meminta kepada kita agar berlaku adil, walaupun terhadap orang
yang kita musuhi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman,
hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak
melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua)
kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalamkan apa yang
kamu lakukan. (al-Maidah: 8)
Keadilan sosial
Antara bentuk keadilan yang paling jelas ditekankan oleh al-Quran
ialah keadilan sosial di mana ia memberi maksud keadilan dalam
pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat,
mendekatkan jurang yang luas antara yang kaya dan miskin, membataskan
monopoli orang-orang yang kaya dan mengangkat taraf hidup orang-orang
miskin.
Al-Quran turut menganjurkan supaya diberi perhatian penting kepada
orang-orang yang kurang bernasib baik dan pengabaian terhadap perkara
ini dengan ancaman neraka.
Firman Allah SWT yang bermaksud: (Lalu diperintahkan malaikat penjaga
Neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia,
kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahiim; Selain itu, masukkanlah
dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya 70 hasta,
(dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dahulu tidak
beriman kepada Allah Yang Maha Besar dan dia juga tidak menggalakkan
(dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh)
orang miskin. (al-Haqqah: 30-34)
Agama juga memerintahkan kepada kita untuk berlaku adil dalam
perkataan. Kemarahan kita tidak boleh menjadi alasan untuk kita tidak
berkata benar dan kerelaan kita kepada seseorang tidak menjadi pendorong
kepada kita untuk kita berkata suatu yang tidak benar.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila kamu mengatakan sesuatu
(semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil,
sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu). (al-An'aam: 152)
Home »
Bicara Islam
» Perintah melakukan keadilan
Perintah melakukan keadilan
Written By zabidi on Monday, 19 May 2014 | 8:54 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment