GOLONGAN ilmuan adalah salah satu aset yang sangat berharga kepada
negara. Peranan mereka
menjadi tanggungjawab yang sangat penting, bagi
memenuhi hasrat kerajaan dan rakyat negara kita, untuk melahirkan
generasi yang berilmu dan berdaya saing.
Mendidik manusia yang
berilmu bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan usaha
yang berterusan.
Oleh itu sewajarnyalah guru diberi penghormatan yang
tinggi, sebagaimana firman Allah SWT:Bermaksud: “Allah meninggikan
darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan (Allah meninggikan)
orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu)
beberapa darjat.”
Guru hendaklah mendidik murid mereka dengan
penuh semangat dan kesungguhan, di samping mengemaskinikan teknik
pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan, semoga dengan itu
apa yang diajarkan, akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari murid,
dengan itu, mereka mudah memahami dan menerima segala pelajaran yang
mereka pelajari.
Guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya
dengan semua pelajar di sekolahnya, supaya dengan itu segala ajarannya
akan memberi kesan kepada semua murid-murid, Imam Ghazali di dalam
kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi
berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat :
1. Ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep). Penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.
2. Perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi.
3. Guru yang cemerlang akan melahirkan anak didik yang gemilang, ianya
terbukti sebagaimana Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pendidik
yang cemerlang sehingga lahirlah di zamannya sahabat-sahabat yang hebat
seperti Khulafa’ Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A’uf, Abu Hurairah, Saad
bin Abi Waqas dan sebagainya.
Golongan guru atau ilmuan juga
pernah disebut oleh Rasulullah SAW seumpama bintang di langit yang
menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan di lautan,
ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas
bin Malik yang bermaksud :
“Sesungguhnya perumpamaan orang-orang
yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti
bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan
samada di darat atau di lautan. Apabila ia terbenam atau hilang,
dikhuatiri akan hilang arah petunjuk.”
Pembentukan adab dan
budi pekerti juga perlu menjadi tunggak kepada setiap pendidik, bagi
memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan
segala sifat yang terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan di
masa-masa yang akan datang. Ibnu Khaldun sangat menekankan soal adab
dan dalam mendidik peribadi manusia, sebagaimana sabda Rasulullah
bermaksud : “Muliakanlah anak-anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti
mereka.”
Untuk itu, hak pendidik dan para ilmuan perlu diingati, Saidina Ali bin Abi Talib mengatakan, bahawa hak orang alim ada 7 :
1. Jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab.
2. Jangan halang jika dia hendak berdiri.
3. Jangan buka rahsia di hadapannya.
4. Jangan mengumpat orang di hadapannya.
5. Hormatlah dia kerana Allah.
6. Jangan duduk membelakanginya.
7. Jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluannya.
Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat
martabat guru, sejajar dengan apa yang telah disebut oleh Islam :
-Memberi layanan yang baik dan beradab terhadap guru.
-Mengenang jasa mereka yang mendidik anak-anak kita.
-Menyebarkan sejarah kecemerlangan ulama’-ulama’ dan ilmuan dalam peradaban Islam.
-Menerbitkan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaannya.
-Sentiasa mendoakan guru dan bekas-bekas guru, agar di tempatkan bersama para Solehin.
Jesteru itu, marilah kita bersatu hati bersama para guru,
menggembeling tenaga, bagi menyemai benih keimanan dan ketaqwaan, agar
terbentuk sebuah negara maju dan cemerlang, kerana negara akan maju jika
rakyatnya berpengetahuan dan berkemahiran, negara akan aman, jika
rakyatnya beriman serta mengamalkan ajaran Islam.
Negara akan hancur
sekiranya rakyat berpecah-belah dan negara akan mundur sekiranya rakyat
malas dan lemah.
Post a Comment