Oleh OTHMAN MUSTAPHA
ISU eksploitasi kanak-kanak dalam kegiatan mengutip derma, jualan
amal dan sumbangan kebajikan terus mengundang polemik dalam masyarakat.
Eksploitasi golongan ini dalam kegiatan tersebut dikatakan melibatkan
pelbagai institusi seperti rumah anak yatim, rumah kebajikan, sekolah
agama, pusat tahfiz, madrasah dan sebagainya yang bergerak atas nama
kebajikan, amal jariah, pembangunan sosial dan juga agama.
Isu nasional ini sentiasa menarik perhatian pelbagai lapisan
masyarakat malah dilihat belum berkesudahan meskipun tindakan pencegahan
dan penguatkuasaan telah dijalankan oleh pihak bertanggungjawab. Lebih
ketara lagi, kegiatan ini terus berleluasa tanpa mengira waktu dan
tempat termasuklah semasa Ramadan.
Mengapakah kegiatan ini masih berlaku sedangkan langkah-langkah
tersusun telah diambil dan usaha juga telah digembleng dalam
menanganinya? Salah satu faktornya ialah kelicikan dalang terlibat yang
sering mengubah modus operandi kegiatan ini bagi mengaburi mata
masyarakat dan pihak berkuasa.
Jika dulu mereka menghantar kanak-kanak yang nampak penat bagi
menarik simpati orang ramai menggunakan van tetapi kini mereka bergerak
melalui teksi dan kenderaan persendirian. Kegiatan mengutip derma ini
juga dilakukan di pelbagai tempat bukan sahaja di kawasan tumpuan awam
seperti di gedung beli-belah, stesen minyak, medan selera dan restoran,
hentian rehat dan rawat (R&R), terminal bas, bank, pasar malam malah
juga di bangunan pejabat.
Umumnya, penglibatan kanak-kanak dalam kegiatan mengutip derma dan
jualan amal adalah satu pengeksploitasian terhadap golongan tersebut
yang mungkin telah menempuh pelbagai risiko, masalah keluarga, himpitan
kemiskinan, kesulitan hidup, diculik atau diperlakukan secara tidak
baik.
Keadaan ini bertambah buruk apabila ia dipercayai mempunyai kaitan
dengan pengeksploitasian agama dan sindiket ajaran salah seperti yang
dilaporkan berlaku di Kedah dan Sabah.
Mengimbau tragedi kemalangan maut yang berlaku pada 29 Disember 2006
di Kilometer 355.7 Lebuh Raya Utara Selatan turut menimbulkan soal
keselamatan dan perlindungan di kalangan remaja dan kanak-kanak yang
terlibat. Kejadian tersebut membabitkan lima pelajar Pusat Tahfiz Amal
di Kuala Kedah, Kedah, yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke pusat
berkenaan menaiki van selepas menjalani latihan perniagaan dan jualan
amal di ibu kota.
Ini menunjukkan dalang yang berselindung di sebalik kutipan derma dan
jualan amal memperjudikan kudrat serta keselamatan remaja dan
kanak-kanak terbabit demi mencapai matlamat amal mereka.
Menyusuli isu ini, tindakan pragmatik telah diambil oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui kerjasama strategik inter agensi
yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan,
Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pihak Berkuasa Negeri dengan merangka
dan merencana pelan komprehensif menangani isu pengeksploitasian remaja
dan kanak-kanak dalam kegiatan tersebut berdasarkan peruntukan
undang-undang sedia ada.
Antara undang-undang yang dirujuk ialah Enakmen Pentadbiran
Undang-Undang Islam di bawah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri selaku
pelaksana. Seterusnya. Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) di bawah
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM), Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670)
di bawah KDN dan PDRM, selain Akta Pungutan Rumah Ke Rumah Dan Di Jalan
1947 (Akta 200).
Jakim sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan
berhubung sebuah Pusat Tahfiz Amal yang bernaung di bawah satu ajaran
yang telah difatwakan sesat oleh kebanyakan negeri malah turut
mewartakannya sebagai bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli
Sunnah Wal Jamaah.
Bukanlah maksud kita cuba menyekat masyarakat berbuat amal jariah
malah ia memang dituntut di dalam Islam. Sifat dermawan dan murah hati
yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia memang harus dipuji dan
diteruskan. Namun saya mengingatkan bahawa niat yang murni jika
disalurkan kepada tempat yang salah khususnya mereka yang mengambil
kesempatan dan berselindung atas nama agama, mungkin akan menjadi saham
dalam menghidup atau menyuburkan aktiviti yang menyalahi akidah dan
syariah.
Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mengingatkan masyarakat
untuk tidak memberi sokongan kepada Pusat Tahfiz yang menjalankan
aktiviti kutipan derma atau apa yang didakwa sebagai jualan amal di
mana-mana premis dengan menggunakan kanak-kanak. Ini kerana kebanyakan
kegiatan yang dijalankan ini menyalahi peraturan dan undang-undang sedia
ada.
Kita juga mendapati mereka memanipulasi para pelajar untuk mengutip
derma dengan berselindung di sebalik `jualan amal atas dasar kononnya
ia falsafah akademik bagi mempelajari nilai-nilai Islam secara
praktikal. Inilah hakikat pembohongan terbesar mereka terhadap agama
demi keuntungan peribadi yang mesti kita banteras bersama-sama.
Akal yang waras dapat menilai sejauh mana kebenaran kumpulan ini,
mana mungkin seorang pengasas sekolah tahfiz mengamalkan hidup sosial
sebegitu, menjadi penyanyi dan mengeluarkan album. Justeru, masyarakat
harus sedar dan tidak terus berderma kepada pusat amal ini yang kononnya
bagi kutipan derma kanak-kanak agar tidak menjadi kelangsungan kepada
kumpulan ini.
Tindakan oleh pihak berautoriti hanya akan berkesan sekiranya
masyarakat bersama-sama tidak menyokong atau menghulurkan bantuan kepada
kumpulan ini.
Jakim dan pihak berkuasa agama Islam Negeri telah menyediakan Pelan
Tindakan Penguatkuasaan Menangani Isu Kutipan Derma Di Kalangan
Kanak-kanak. Pelan mengandungi lima teras strategik yang dirangka dengan
kerjasama 18 agensi merangkumi kerajaan, badan bukan kerajaan dan
institusi pengajian tinggi ini bagi membolehkan tindakan bersepadu dan
berkesan dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan Negeri. Antara yang
terlibat, JAIN, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, PDRM, KDN, KPDNKK,
JKM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Imigresen dan
PLUS.
Pelan Tindakan Penguatkuasaan Menangani Isu Kutipan Derma di Kalangan
Kanak-kanak ini diserahkan kepada semua JAIN pada 10 Jun 2013, untuk
dilaksanakan dan Jakim akan memantau perkembangan aspek
penguatkuasaannya dari semasa ke semasa.
Hasil perbincangan dan usaha bersepadu antara Jakim, JAIN dan
bank-bank di Malaysia serta Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia
akan mengambil inisiatif dalam memberi sokongan terhadap pelan yang
telah dihasilkan.
Sedikit masa lagi ia akan menjadi salah satu kempen bagi memastikan
tiada pihak memberi sokongan kepada pusat tahfiz atau sesiapa yang
menjalankan aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran pihak berkuasa
khususnya yang mengeksploitasi kanak-kanak.
Untuk mengenal pasti kesahihan sesuatu pusat tahfiz ini, orang ramai
perlu memastikan sama ada pihak berkaitan iaitu pengutip derma atau
pengelola telah mendapat pengesahan dan kebenaran pihak Malis Agama
Islam Negeri-negeri. Tanpa kebenaran tersebut, pihak-pihak berkaitan
melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah
Akta/Ordinan/Enakmen Pentadbiran Islam yang berkuat kuasa di
negeri-negeri.
Malangnya berdasarkan pemantauan dan tindakan operasi pencegahan yang
dijalankan oleh agensi penguatkuasaan mendapati kebanyakan individu
atau kanak-kanak yang menjalankan aktiviti kutipan derma ini tidak
mempunyai kebenaran atau memalsukan dokumen kebenaran tersebut.
Sehubungan itu, masyarakat harus berhati-hati dan bersama-sama
memberi sokongan terhadap kempen ini. Tanpa pemberian yang berterusan,
saya yakin kegiatan tidak sihat ini akan dapat dikurangkan.
Dalam konteks ini, peranan dan kerjasama strategik yang boleh
dimainkan oleh agensi-agensi lain diperkukuhkan bagi memastikan tindakan
dijalankan mengikut strategi jitu, tidak bersifat silo dan menyeluruh.
Jakim adalah responsif dalam menangani isu-isu seperti ini berlandaskan
tanggungjawab, teras-teras dasar negara serta komited untuk memperluas
jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain, pihak swasta dan
NGO sebagai penggemblengan usaha dalam mendepani permasalahan dan
isu-isu kemasyarakatan atau nasional.
Pengukuhan rakan strategik, penyelarasan perundangan bersama,
pembentukan kerangka kerjasama sistematik dan strategi lautan biru akan
menjadi sebahagian asas usaha meningkatkan keberkesanan Jakim mengatasi
isu-isu seperti pengeksploitasian kanak-kanak ini.
* PENULIS ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Eksploitasi kutipan amal kanak-kanak
Written By zabidi on Wednesday, 25 June 2014 | 11:25 pm
Labels:
Rencana


Post a Comment