PUTRAJAYA - Rakyat perlu bersedia menerima hakikat bahawa mereka
mungkin tidak akan
berpeluang menonton kejohanan bola sepak Piala Dunia
secara percuma pada masa hadapan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana kos mendapatkan hak siaran eksklusif
kejohanan tersebut meningkat setiap kali penganjurannya, selaras dengan
perubahan kecanggihan teknologi produksi yang digunakan.
Beliau berkata, pada tahun ini sahaja, Radio Televisyen Malaysia
(RTM) telah membelanjakan RM20 juta untuk mendapatkan hak penyiaran
Piala Dunia 2014.
"Saya menjangkakan kos mendapatkan hak penyiaran pasti akan terus
meningkat, mungkin kepada RM40 juta hingga RM50 juta pada masa akan
datang," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pra
pelancaran sambutan Kemerdekaan ke57 di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan
rakyat berhubung ketidakseragaman penyiaran perlawanan di beberapa
saluran televisyen.
Pada masa sama, Ahmad Shabery berkata, semua pihak perlu menerima
hakikat bahawa keputusan berhubung penyiaran semua perlawanan Piala
Dunia bergantung kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Kita kena faham sukan sudah menjadi mahal kerana ini merupakan
sebuah industri besar, dulu kita anggap sukan untuk dapatkan pingat dan
menjaga kesihatan sahaja.
"Oleh itu, industri besar ini perlu dilindungi oleh pihak yang mengasaskannya, dalam konteks ini ialah FIFA," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan semua negara menyediakan
siaran perlawanan Piala Dunia secara percuma kepada rakyat
masing-masing.
Beliau memberi contoh Singapura dan Britain yang menetapkan penduduk
negara berkenaan perlu membuat pembayaran untuk menonton perlawanan
kejohanan tersebut.
"Paling banyak pun mereka hanya boleh melihat sedikit sedutan-sedutan
perlawanan sahaja, tetapi di Malaysia masih beruntung kerana dapat
lihat sebahagian secara percuma melalui RTM," katanya.
Tiada lagi siaran percuma Piala Dunia - Shabery
Written By zabidi on Wednesday, 25 June 2014 | 10:44 pm
Labels:
Sukan


Post a Comment