Headlines News :
Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Ziyad optimis raih emas, pecahkan rekod di Solo


KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru para kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli optimis membawa pulang pingat emas di Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo (Surakarta), Indonesia meskipun tiada sasaran diletakkan ke atas kontinjen negara.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu yang bakal beraksi dalam acara lontar peluru F20 turut menyasarkan untuk memecahkan rekod APG miliknya.

Namun, atlet berusia 32 tahun itu yang meraih gelaran juara dunia 2013 dan 2017 tetap berwaspada dengan cabaran hebat yang menantinya di Solo.

"Walaupun ada saingan yang saya rasa kuat seperti Thailand, Brunei dan Singapura tapi bagi saya mereka bagi saingan yang sihat dan saya akan cuba pecahkan rekod yang saya buat di sana.ADVERTISEMENT

"Saya memang sudah bersedia sejak pulang dari Sukan SEA di Hanoi, Vietnam lagi, jadi saya akan cuba beri 100 peratus di Solo nanti," katanya kepada Bernama semasa melakukan latihan di Majlis Sukan Negara di sini, semalam.

Menurut Muhammad Ziyad beliau belum bersedia untuk memperbaharui rekod lontaran kontroversinya di Paralimpik Tokyo 2020 iaitu 17.94 meter (m) sambil mengakui masih banyak perkara perlu diusahakan untuk sekali lagi melakukan lontaran sejauh itu.

"Saya nak sasar untuk kejohanan dunia seterusnya untuk pecahkan rekod di Tokyo itu, buat masa sekarang masih mencari teknik untuk dapatkan sama seperti di Tokyo," tambahnya.

Muhammad Ziyad memaklumkan walaupun berasa sedikit tertekan kerana menjadi sandaran emas, beliau menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat buatnya untuk membuat yang terbaik di temasya berkenaan.

Kali terakhir Muhammad Ziyad beraksi di APG ialah ketika di Kuala Lumpur apabila berjaya menggondol emas dengan melakukan lontaran sejauh 16.81m pada 2017.

Pada Sukan SEA Hanoi, beliau berjaya menghadiahkan negara pingat gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 17.20 meter (m) di Stadium Nasional My Dinh, pada Mei lepas.

Sementara itu, bagi jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly berkata turut bakal mengejar misi menggondol emas dalam penampilan semulanya di pentas antarabangsa selepas pulih daripada kecederaan dialaminya di Paralimpik Tokyo tahun lalu.

Atlet berusia 25 tahun berasal dari Kangar, Perlis itu memaklumkan bakal mendapatkan semula momentumnya untuk beraksi dalam acara lompat jauh lelaki T20 setelah sekian lama tidak beraksi.

"Walaupun ini temasya pertama (selepas pulih) tapi saya memang nak buat terbaik untuk dapatkan emas, saya akan kejar semula momentum saya," katanya.

Abdul Latif sebelum ini merangkul emas lompat jauh lelaki T20 di Stadium Olimpik Tokyo tahun lalu walaupun mengalami kecederaan sekali gus mengulangi pencapaian yang diraih di temasya sama di Rio 2016.

Atlet paralimpik negara akan berlepas pada 26 Julai ini bagi menyertai temasya berprestij berkenaan yang akan berlangsung dari 30 Julai hingga 6 Ogos di Solo, Indonesia.

Sebelum ini dilaporkan, Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) mengesahkan kira-kira 1,285 atlet dari 11 negara akan mengambil bahagian dalam 14 jenis sukan pada temasya dwitahunan itu yang kembali dianjurkan buat pertama kali selepas edisi Kuala Lumpur 2017.

APG Solo melibatkan 14 jenis sukan iaitu memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, bola sepak CP, goalball, judo, powerlifting, bola tampar duduk, renang, ping pong, bola keranjang kerusi roda dan tenis kerusi roda.

 

Hoki: Hanya yang lengkap dos vaksin COVID-19 dibenarkan sertai MJHL, Piala Tun Abdul Razak 2021


KUALA LUMPUR:
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mewajibkan kesemua pemain dalam Piala Tun Abdul Razak 2021 dan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 melengkapkan dua dos vaksin untuk bermain dalam dua kejohanan domestik itu.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, syarat itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi penganjuran kedua-dua kejohanan berkenaan dalam membendung penularan COVID-19 ketika ini.
 
"Kesemua pemain perlu menerima dua dos vaksin, jika tidak, anda tidak akan dibenarkan menyertai kejohanan. Kita akan minta mereka tanda tangan untuk pastikan bahawa semua pemain telah melengkapkan dua dos vaksin," katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.
 
Piala Tun Abdul Razak 2021 dijadual bermula pada 10 hingga 20 November ini, manakala MJHL 2021 bakal berlangsung bermula 26 November hingga 2 Januari 2022.
 
Sementara itu beliau berkata terdapat sedikit perubahan bagi penganjuran MJHL 2021 dengan kejohanan itu akan dilangsungkan bagi kategori lelaki sahaja.
 
Bagaimanapun Anil Jeet berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk menganjurkan kejohanan bagi kategori wanita pada awal tahun depan.
 
Menurutnya format yang digunakan pada edisi MJHL sebelum ini iaitu pecahan dua divisyen akan dikekalkan dengan divisyen satu akan dipertandingkan secara liga satu pusingan melibatkan 10 pasukan, manakala bagi divisyen dua pula, kumpulan dipecahkan mengikut penyertaan diterima KHM.
 
Saingan Piala Tun Abdul Razak 2021 pula akan menyaksikan satu divisyen dipertandingkan bagi kategori lelaki merangkumi empat kumpulan manakala kategori wanita juga dengan satu divisyen melibatkan tiga kumpulan.
 
Sementara itu beliau berkata pendaftaran bagi MJHL 2021 yang dibuka sejak Selasa lepas (7 Sept) akan ditutup pada 21 Sept ini manakala permohonan pasukan bagi menyertai saingan Piala Tun Abdul Razak 2021 pula akan dibuka pada 17 hingga 30 September ini.
 
Kedua-dua kejohanan berkenaan akan dilangsungkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.
 
Saingan MJHL tahun lepas terpaksa dibatalkan berikutan pandemik COVID-19, namun Piala Tun Abdul Razak 2020 dilangsungkan dengan jayanya tanpa ada sebarang jangkitan wabak berkenaan dalam kalangan pemain dan pegawai terlibat.
 
Pasukan Perak dan Pahang masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2020.
-- BERNAMA

Atlet wanita 'kuasai' kontinjen negara


KUALA LUMPUR: Penyertaan kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini, mencatat sejarah tersendiri apabila 60 peratus atau 18 daripada 30 atlet yang layak, adalah atlet wanita.

Pada temasya Rio 2016, Malaysia diwakili 15 atlet wanita, iaitu 47 peratus daripada keseluruhan 32 atlet ketika itu, menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini.

Tokyo 2020 juga menyaksikan 13 atlet negara bakal membuat penampilan pertama pada temasya sukan terbesar dunia itu, manakala lebih 50 peratus mempunyai pengalaman sebelum ini.

Penerjun negara, Leong Mun Yee bakal mencatat sejarah penyertaan terbanyak bagi atlet Malaysia di Sukan Olimpik, dengan penyertaan kelima iaitu edisi Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Jaguh berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang bakal beraksi buat kali keempat berturut-turut selepas Sukan Olimpik Beijing, London dan Rio 2016, manakala ini kali ketiga berturut-turut buat ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang turut bertanding di London dan Rio.

Bagi acara badminton, pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying juga bakal membuat penampilan ketiga berturut-turut pada temasya sukan kali ini, selepas pulang dengan meraih pingat perak pada edisi lepas.

Dalam kenyataan sama, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merakamkan penghargaan, kepada semua yang menjadi tulang belakang dalam persiapan dan persediaan kontinjen negara, selain mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang telah layak, untuk berjuang membawa Jalur Gemilang di pentas Tokyo 2020.

"Ini saat dan detik yang cukup bermakna. Saya tahu para atlet kita telah memberikan komitmen cukup tinggi untuk sampai ke tahap ini, meskipun dihambat dengan penularan pandemik COVID-19.

"Mereka membawa nama negara, berjuang demi negara, demi Malaysia. Kita teruskan sokongan demi Malaysia buat mereka semua, dan kita doakan semoga kesemua atlet kita dipelihara daripada sebarang musibah, lebih-lebih lagi dalam keadaan penularan wabak COVID-19 ini," katanya.

Sementara itu, KBS turut mengumumkan kontinjen negara akan dibarisi 63 orang, terdiri daripada 30 atlet dan 21 jurulatih daripada 10 jenis sukan, serta 12 pegawai, bagi membantu menguruskan kontinjen dalam pelbagai aspek sepanjang temasya tersebut berlangsung.

KBS memaklumkan bagi memastikan pengurusan kontinjen negara berjalan lancar, tiga pegawai sekretariat mewakili Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan urusan harian sekretariat kontinjen.

Dua pegawai sekretariat juga dilantik sebagai 'COVID Liaison Officer' (CLO), bagi menguruskan keperluan prosedur COVID-19 seperti ditetapkan pihak penganjur, sebagai langkah memastikan wabak itu dapat dikekang.

Ketua Pegawai Perubatan Kontinjen (CMO) Dr Kamarul Hashimy Hussien, akan mengetuai seramai lima kakitangan perkhidmatan sokongan sains dan perubatan sukan, bagi menyediakan perkhidmatan khusus kepada atlet negara.

Pasukan pelayaran yang terdiri daripada empat atlet dan tiga jurulatih akan menjadi skuad pertama berlepas ke Tokyo pada Khamis (8 Julai) bagi persiapan logistik dan latihan, sebelum aksi pelayaran membuka tirai pada 25 Julai di Enoshima Yard Harbour, diikuti oleh sekretariat kontinjen Malaysia pada 10 Julai.

Kelompok kedua 40 atlet dan pegawai daripada sukan renang, terjun, badminton, gimnastik, memanah dan menembak akan berlepas ke Tokyo pada 17 Julai, bersama pasukan sokongan sains dan perubatan sukan.

Perkampungan sukan yang akan dibuka secara rasmi pada 13 Julai di Harumi Futo, bakal menempatkan 10,000 atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen dari 206 negara, selain dua lagi perkampungan sukan satelit turut dibuka di Enoshima, bagi sukan pelayaran dan Shuzenji untuk berbasikal. - BERNAMA

Arif Aiman bintang masa depan JDT


KUALA LUMPUR: Kenapa Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu risau dengan ketiadaan Safawi Rasid memandangkan mereka sudahpun melahirkan bintang masa depan mereka iaitu Arif Aiman Hanapi?

Pemain berusia 18 tahun itu masuk menggantikan Safawi yang mengalami kecederaan ketika bertemu UiTM FC di Shah Alam kelmarin dan terus mencetus impak segera dengan jaringan pembukaan buat pelawat pada minit ke-11.

Jaringan terbabit menyaksikan Arif muncul penjaring termuda Liga Super buat JDT iaitu pada usia 18 tahun 10 bulan sekali gus memintas rekod yang dipegang Hadin Azman yang dilakukan ketika berusia 18 tahun 11 bulan pada 2013.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora mengakui kemasukan Arif membantu menambahkan lagi ketajaman jentera serangan pasukan itu yang berjaya menamatkan 90 minit perlawanan dengan empat gol berbalas kosong.

"Kita membantu dia bertambah yakin kerana dia ada kemahiran, bakat, masih muda dan ada masa depan yang cerah. Apa yang penting adalah dia tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang.

"Dia memiliki keazaman dan kemasukannya merevolusikan segalanya. Dia begitu pantas, bijak dan satu perkara yang baik apabila kita boleh bergantung pada pemain berusia 18 tahun untuk mendapatkan gol pada malam ini (kelmarin)," katanya.

Sebagai rekod, kemenangan ke atas skuad The Lion Troops itu membolehkan mereka merakam tiga kemenangan berturut turut dan menghimpun sembilan mata maksimum.

Apa yang mengagumkan, tiada pasukan dapat membolosi gawang mereka sepanjang tiga perlawanan ini selain turut meledak lapan gol setakat ini.

Dalam masa sama, Mora mengakui rombakan yang dilakukan pada aksi terbabit tidak menjejaskan perancangan untuk mengutip mata penuh memandangkan pasukan itu 'dilimpahi' dengan pemain yang berkualiti.

"Pasukan ini sangat seimbang kerana semua pemain yang diturunkan dapat memberikan persembahan yang terbaik. Pasukan ini ada banyak kualiti dan kita tidak dapat nafikan betapa bagusnya pemain walaupun tidak diturunkan sebelum ini.

"Kami menentang pasukan yang sukar tetapi pemain tahu apa tanggungjawab yang digalas sebagai pemain JDT. Kemenangan ini pasti menyuntik motivasi kami untuk aksi seterusnya," katanya.

`Orang bola' wajar jadi presiden MFL


KUALA LUMPUR: Dengan kejutan yang diberikan Datuk Hamidin Mohd Amin selepas mengumumkan mahu melepaskan jawatan sebagai presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), siapa yang akan menjadi orang 'nombor satu' badan pengendali liga itu selepas ini?

Hamidin yang kekal menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk penggal 2021-2025 sudahpun memberi bayangan di mana kerusi terbabit perlu diisi dengan 'orang luar' dan bukanlah dalam kalangan individu dari badan induk itu.

Pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-57 di Putrajaya kelmarin, Hamidin enggan sekiranya presiden MFL itu dipilih dalam kalangan EXCO meskipun badan induk sememangnya sudah memiliki wakil dalam lembaga pengarah organisasi itu.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad berpandangan sebaliknya apabila melihat kerusi penting itu wajar diisi oleh 'orang bola' dengan satu daripada timbalan presiden FAM ketika ini sepatutnya menerajui organisasi itu.

"Saya berpandangan eloklah jawatan Presiden MFL itu dipegang oleh satu daripada timbalan presiden sedia ada khususnya timbalan presiden yang senior. 'Kepala' mestilah dari FAM kerana badan induk itu pun memang berkait rapat dengan MFL.

"Kepala' yang baru itu nanti bolehlah kalau mahu memilih mana-mana individu yang difikirkan boleh menyumbang untuk membantu, tiada masalah untuk ambil orang luar menyertai mereka dalam kabinet MFL selepas itu.

"Walaupun saya dimaklumkan Hamidin tidak mahu EXCO nya jadi Presiden MFL tetapi kalau ditanya pandangan, saya berpendapat timbalan presiden boleh mengisi tempat itu sebagai orang nombor satu," katanya kepada BH Sukan.

Dalam masa sama, Ridzuan menjelaskan keputusan Hamidin melepaskan jawatan presiden MFL untuk memberi tumpuan kepada FAM sememangnya satu keputusan yang baik.

"Di FAM pun, memang sudah banyak kerja yang perlu dilakukan Hamidin. Jadi baguslah dia melepaskan jawatan di MFL supaya dia boleh terus membawa FAM dan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi," katanya.

 

Real Madrid disingkir kelab divisyen tiga


 MADRID: Real Madrid mengalami kekalahan paling mengejutkan dalam saingan Piala Raja Sepanyol apabila juara bertahan itu disingkirkan kelab divisyen tiga, Alcoyano.

Alcoyano menewaskan skuad kendalian Zinedine Zidane 2-1 dan menyaksikan pemainnya dibuang padang dalam masa kecederaan.

Zidane memasukkan Eden Hazard, Karim Benzema dan Toni Kroos sebagai pemain gantian, manakala pemain Alcoyano Ramon Lopez dilayangkan kad merah pada minit ke-109 kerana mengasari Casemiro.

Alcoyano membuat kejutan dengan Juanan meledak gol kemenangan ke atas Madrid yang terus mempamerkan kemerosotan prestasi.

Selepas tewas kepada Athletic Bilbao dalam saingan separuh akhir Piala Super Sepanyol minggu lalu, Madrid dimalukan pula oleh kelab kerdil Alcoyano.

Dengan hanya satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, kekalahan memalukan ini pasti menambah tekanan ke atas Zidane. - AFP

'Zii Jia tidak sepatutnya tewas'


 KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak sepatutnya tewas dalam perlawanan pusingan pertama saingan Terbuka Thailand Toyota menentang Sameer Verma dari India, di Bangkok, semalam.

Legenda badminton negara, Rashid Sidek, berkata selepas memenangi set pertama dan mendahului 18-7 di set kedua, Zii Jia sepatutnya tidak berdepan masalah untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan.

Pada perlawanan itu, Zii Jia yang tampil sebagai pilihan kelapan terpaksa akur tewas 21-18, 25-27, 19-21.

"Kalau ikut logiknya, dia tidak patut kalah. Dia bukan pemain kelompok bawahan, kini sudah berada di ranking ke-10 dunia. Dia juga ada pengalaman beraksi dalam saingan lebih mencabar seperti ketika mara sehingga separuh akhir Seluruh England (Mac tahun lalu).

"Besar kemungkinan, dia berasa terlalu yakin di set kedua selepas mendahului dengan jurang mata yang agak jauh. Apabila lawan dia berjaya menyamakan keduduan di set kedua dan menang, itu pastinya memberi lawannya keyakinan yang lebih tinggi.

"Apabila bermain set ketiga, Zii Jia sudah pasti berasa lebih tertekan berbanding lawannya. Jadi, mungkin dia tidak dapat mengawal tekanan dan menyebabkan permainannya banyak tidak menjadi," katanya kepada BH Sukan.

Rashid yang juga bekas ketua jurulatih kebangsaan, berkata Zii Jia perlu menjadikan kekalahan itu sebagai pengajaran buat dirinya untuk kembali bangkit apabila beraksi dalam kejohanan seterusnya.

"Dia kena terima kekalahan ini...jadikan pengalaman ini sebagai motivasi untuk dia bangkit. Tingkatkan lagi prestsi dan perbaiki segala kelemahan yang ada," katanya.

Kekalahan di pusingan pertama saingan Terbuka Thailand Toyota itu menyaksikan Zii Jia perlu menunggu seketika bagi mengetahui sama ada dia layak atau tidak beraksi pada saingan Jelajah Akhir Dunia BWF 2020 yang juga akan diadakan di Bangkok minggu depan.

Pada saingan Terbuka Thailand Yonex minggu lalu dia mara sehingga ke suku akhir.

Hanya lapan pemain terbaik dalam ranking Jelajah Akhir Dunia layak beraksi pada kejohanan akhir musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$1.5 juta (RM6.07 juta).

Biarpun ketika ini, Zii Jia berada di kedudukan kelapan namun dia perlu menanti sehingga tamat saingan Terbuka Thailand Toyota berikutan masih ada beberapa pemain yang turut berpeluang layak masih beraksi dalam kejohanan itu.

Khabib mahu jadi petani, tak minat bertarung lagi

 


LONDON: Khabib Nurmagomedov tidak berminat untuk kembali ke UFC dan mengakui sudah merancang menjadi petani serta belajar.

Ia sekali gus menafikan dakwaan Presiden UFC, Dana White yang menganggap juara lightweight itu bakal kembali untuk satu pertarungan terakhir dan berusaha melebarkan rekod 30-0.

"Anda boleh bertarung hingga usia 40 tahun, tapi ia perlukan matlamat. Saya mempunyai matlamat untuk berada di puncak dan saya sampai di sana," kata Khabib.

"Saya tidak lagi berminat untuk bersaing. Tahun depan saya akan tamatkan pengajian. Saya ingin (membuat) tesis, melanjutkan kursus master, menumpukan lebih banyak masa untuk belajar.

"Saya membela biri-biri, saya cenderung membangunkan ladang. Saya ingin terus mengembangkan bidang ini. Saya juga mempunyai lembu.

"Saya ingin mengambil bahagian di tempat yang boleh membawa faedah. Tidak semestinya dalam politik.

"Ketika ini saya dapat memberi faedah tanpa menjadi ahli politik, dan ia sudah cukup bagi saya."

Khabib membuat kejutan apabila mengumumkan untuk menggantung sarung tangan selepas menewaskan Justin Gaethje, 31, di UFC 254.

Ia pertarungan pertama sejak kehilangan ayahnya, Abdulmanap, yang meninggal dunia pada usia 57 tahun pada Julai lalu selepas dijangkiti COVID-19. - AGENSI

Austin, Hulk Hogan terhebat sepanjang zaman

NEW YORK: Siapa bintang terhebat WWE sepanjang zaman? Apa yang membuatkan bintang gusti itu dilabel sebagai bintang? Adakah kerana perlawanan dan gerakannya? Perlawanan yang pecah panggung? Karisma atau semua di atas?

Berikut adalah senarai 10 bintang gusti terbaik WWE sepanjang zaman pilihan Sun Sports.


1. Stone Cold Steve Austin


Stone Cold Steve Austin
Stone Cold Steve Austin
Dia memiliki gerakan penyudah paling popular - Stone Cold Stunner namun senjata terhebat Austin adalah intensitinya.
Intensitinya menyebabkan perlawanannya begitu laris dan popularitinya melonjak. Tiada bintang gusti yang lebih bersemangat seperti Austin dalam tempoh 1998 hingga 2001.
2. Hulk Hogan


Hulk Hogan
Hulk Hogan
Watak yang penuh kontroversi tetapi dia adalah antara tarikan utama bagi gusti moden dan diminati segenap lapisan penyokong.

Gaya kartunnya mungkin ketinggalan zaman namun dia adalah 'raja' kemahiran penting dalam gusti iaitu manipulasi penyokong - dia membuatkan penyokong menentang The Rock pada WrestleMania X8.

3. Shawn Michaels


Shawn Michaels
Shawn Michaels
Digelar 'The Showstopper' dan 'Mr WrestleMania' apabila dianggap bintang gusti terhebat di dalam gelanggang.

Ketika mempertahankan gelarannya pada 1996, dia meningkatkan lagi standard perlawanan utama ke tahap yang sukar dicabar dan walaupun bersara pada 2010, dia masih yang terbaik
.
4. The Undertaker


The Undertaker
The Undertaker
'The Deadman' ini masih karakter gusti terbaik sejak penampilannya 30 tahun lalu dan 'gergasi' yang hebat dengan ketinggian hampir tujuh kaki namun tetap pantas dan lincah.

Rekod tanpa kalahnya di Wrestlemania lebih berprestij daripada Kejuaraan WWE namun rekod tanpa kalahnya ditamatkan pada 2014.

5. The Rock


The Rock
The Rock
Bintang gusti paling berkarisma sepanjang zaman dan itu membuatkan dia menjadi bintang pecah panggung apabila menceburi bidang perfileman.

Dia juga seorang penggusti yang baik dan pernah berentap dengan Steve Austin, Triple H, Hulk Hogan, serta Mick Foley serta memiliki hubungan yang begitu rapat dengan penyokong.

6. Bret Hart


Bret Hart
Bret Hart
7. Brock Lesnar


Brock Lesnar
Brock Lesnar
8. John Cena


John Cena
John Cena
9. Triple H


Triple H
Triple H
10. Charlotte Flair


Charlotte Flair
Charlotte Flair

Tan Aik Mong legenda badminton negara meninggal

KUALA LUMPUR: Negara kehilangan seorang legenda badminton dengan pemergian Tan Aik Mong, pada 31 Mei 2020

Mendiang yang berusia 70 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) selepas bertarung dengan kanser hati.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut merasai kehilangan besar itu selain menyifatkan Aik Mong sebagai seorang 'hero badminton negara'.

"Baru saja mendapat khabar berita pemergian sahabat kita, Tain Aik Mong, bekas pemain badminton negara era 70-an," kata Reezal dalam entrinya menerusi akaun Facebook miliknya. "Mendiang menghidapi kanser hati dan meninggal dunia di SJMC pada umur 70 tahun 

"Mendiang adalah bekas pengerusi kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pernah menganggotai pasukan Piala Thomas sebagai pemain simapanan pada tahun 1970 serta menjuarai Piala Asia pada 1971.

"Dengan pemergian ini, negara kehilangan seorang hero badminton negara. Sekalung takziah diucapkan kepada keluarga mendiang."

Mendiang yang bergiat aktif mewakili negara dari tahun 1966 hingga 1975 pernah berada dalam skuad negara yang meraih pingat perak di Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1970.

Selain itu, mendiang pernah mewakili negara di temasya Sukan SEA dengan dua pingat perak berada dalam genggamannya dalam acara perseorangan dan berpasukan di Singapura pada 1973.

Di Kejohanan Asia yang berlangsung Jakarta pada 1971, mendiang meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki.

Sementara itu, BAM dalam ciapan Twitter menerusi presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut merasai kehilangan mendiang dengan berkata: "Salam takziah kepada keluarga mendiang Tan Aik Mong yang kehilangan seseorang yang sudah mencurahkan banyak keringat kepada BAM dan juga sukan badminton Malaysia.

"Tentunya mendiang akan dirindui dalam kalangan komuniti badminton."

Malaysia tamatkan saingan di Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Tembok Besar China nyata sukar dirobohkan.Satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terpaksa akur dengan kehebatan pilihan pertama dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong apabila tewas 12-21, 16-21 dalam aksi separuh akhir Terbuka Indonesia, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan cabaran Malaysia pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu berakhir selepas beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut terkandas di peringkat separuh akhir.

Mereka juga tunduk di tangan wakil dari China yang juga pilihan kedua, Wang Yi Lyu-Huang Dongping 13-21, 20-22.

Kedua-dua pasangan negara itu kini mengalihkan fokus kepada aksi di Terbuka Jepun di Tokyo yang bermula Selasa ini.

Skuad sepak takraw tamatkan kemarau emas

SKUAD sepak takraw negara berjaya menamatkan kemarau pingat emas apabila muncul juara acara antara regu pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia Selasa lalu.

Pada aksi final yang berlangsung di Dewan Ranai, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang itu, regu negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd. Razak selaku tekong, Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) berjaya menewaskan regu tuan rumah dalam pertarungan tiga set, 18-21, 22-20 dan 21-11.

Kemenangan itu berjaya mengembalikan kegemilangan atlet negara dalam sepak takraw selepas kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas adalah pada Sukan Asia 1995 di Hiroshima, Jepun.

“Saya menitiskan air mata apabila melihat kejayaan yang dilakar skuad negara selepas begitu lama Malaysia tidak memenangi emas dalam acara ini,” kata jurulatih negara, Abdul Latib Ahmad.

Ia juga merupakan pingat emas keempat negara dalam temasya kedua terbesar dunia itu selepas tiga lagi diraih skuad boling menerusi acara perseorangan lelaki dan trio wanita selain kemenangan yang dicatat oleh ratu squasy negara, Datuk Nicol David dalam acara perseorangan wanita.

Akta Sukan 1997 boleh hukum PSM

Oleh Mat Sport

KINI terjawab sudah betapa Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akhirnya termalu sendiri gara-gara cuba menegakkan benang basah apabila mahu berkeras dengan peraturan yang juga pernah dilanggarnya dalam sebuah kejohanan anjurannya pada 2012.

Ugutan tindakan tatatertib PSM tidak termakan oleh pemain, jurulatih dan pengadil yang cuba disasarkan dan penarikan balik kebenaran penganjuran tidak memberikan ‘kudis’ langsung kepada niat suci murni Utusan Malaysia demi kesinambungan dan pembangunan sukan tradisi ini.
Kejohanan Sepak Takraw Utusan 2017 tetap berlangsung dengan jayanya dari Khamis hingga Ahad lalu dengan sistem kiraan mata tersendiri, 15 dan 21 mata malah mendapat sambutan hebat dengan penyertaan besar 334 regu dalam enam kategori.
Fakta dan rekod itu sudah membuktikan jadi Mat Sport tidak mahu cakap besar seperti pemimpin PSM sewaktu bermesyuarat dengan pegawai-pegawai kanan Utusan, pertengahan bulan lalu mengenai kejohanan ini.
Kepada PSM, Mat nasihatkan jagalah pasukan kebangsaan kita sahaja. Dengan hanya menewaskan Filipina, Brunei, Kemboja dan Laos, semua peminat sudah cerdik bahawa emas antara regu Sukan SEA baru-baru ini memang kurang bernilai dan bukan penanda aras kejayaan kita langsung.
Thailand, Indonesia dan Myanmar serta Korea Selatan akan menunggu dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-32 di Bangkok, kurang sebulan dua lagi. Itulah kayu pengukur sebenar anda, PSM.
Lagi satu tolonglah PSM, jangan diulang boikot perlawanan akhir macam Oktober tahun lalu pada kejohanan itu. Memalukan! Tidak fasal-fasal nanti kena denda RM80,000 oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) lagi.
Berbalik kepada Kejohanan Sepak Takraw Utusan, Mat fikir Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mungkin perlu beri perhatian kepada tindak-tanduk PSM ini.
Misalnya di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997, sebuah badan sukan yang didapati cuba mengganggu kemajuan sesebuah sukan itu seperti larangan terhadap Kejohanan Utusan ini boleh dikenakan tindakan tertentu.
Langkah ini boleh diambil sama ada atas inisiatif Pesuruhjaya Sukan sendiri atau berdasarkan aduan daripada mana-mana pasukan atau atlet yang bertanding yang mungkin berasa persediaan mereka khususnya segi kewangan dan pemain, terjejas teruk angkara PSM.
‘Servis’ di kaki anda untuk ‘melibas’ mereka pula.

Kita dan bola

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN  

Demam final Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah makin terasa. Kelmarin, ada yang menunggu sejak pukul 4 pagi di Stadium Shah Alam, Selangor semata-mata nak pastikan mereka dapat tiket menonton perlawanan Ahad ini. Di Alor Setar, Kedah pun senario­nya hampir sama. Para peminat sudah terpacak di Stadium Darul Aman seawal 6 pagi.

Begitulah keadaannya apabila sudah jatuh cinta de­ngan bola sepak. Sememangnya majoriti rakyat Malaysia adalah peminat tegar sukan bola sepak. Kerana cinta lautan sanggup direnangi, api pun sanggup diredah.

Bersukan adalah suatu aktiviti yang amat digalakkan dalam Islam kerana dengan bersukan, kesihatan dan kecergasan tubuh badan dapat dikekalkan sekali gus menjauhkan diri daripada sebarang penyakit. Berkaitan hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih kasih kepada Allah daripada mukmin yang lemah. (Riwayat Muslim).

Sememangnya dapat menonton aksi pasukan kegemaran kita secara langsung di stadium amat mengujakan. Lebih-lebih lagi jika pasukan kita itu mempamerkan aksi cemerlang dan banyak menyumbat gol.

Dalam keghairahan itu, marilah kita renungkan beberapa perkara sebagai perbandingan antara bola dan kita.

* Ada yang sanggup menunggu sejak 5 pagi untuk beli tiket bola.

Semangat ini memang baik. Alangkah baiknya jika semangat itu boleh kita terjemahkan dalam kehidupan seharian dan hendaknya kita boleh bangun seawal 5 pagi untuk solat tahajud atau qiamullail. Jika tidak mampu setiap hari, usahakan seminggu sekali atau sebulan sekali.

* Ada yang sanggup cuti dan beratur dalam hujan.

Memang hebat apabila hati sudah terpikat de­ngan sesuatu dan dalam hal ini bola sepak. Mudah-mudahan peminat yang terlibat juga akan lebih teruja berbuat demikian dalam mencari lailatulqadar dalam bulan Ramadan al-mubarak.

* Ada yang pulang hampa kerana gagal dapat tiket.

Ini barangkali boleh dijadikan gambaran kepada mereka yang gagal beroleh syurga Allah di akhirat kelak. Kalau di dunia, kegagalan itu mungkin kerana lambat datang tetapi di akhirat kelak, kegagalan meraih syurga Allah adalah kerana kelalaian kita beribadat dan mematuhi perintah serta larangan Allah.

Sukan bukan sekadar menguji kekuatan dan kehebatan fizikal tetapi lebih jauh lagi ia membina hubungan ukhuwah serta silaturahim demi perpaduan ummah.

Janganlah kita mudah dihasut oleh syaitan yang ingin melaga-lagakan umatnya supaya sentiasa bertelingkah dan bermusuhan. Bersedia menerima kekalahan dan ja­ngan bergaduh serta emosional jika pasukan kita tewas.

Perasaan fanatik membabi-buta dalam menyokong atau menentang sesebuah pasukan tiada kaitan dengan Islam. Sebabnya, ia bercanggah dengan ajaran Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih-sayang.

Paling penting, kepada peminat di stadium dan juga para pemain bola sepak, pastikan anda tunaikan kewajipan solat Maghrib dan Isyak sebelum perlawanan yang bermula 9 malam. Tahniah kepada mereka yang sentiasa menjaga solat mereka waima ketika di dalam stadium.

Syeikh Abu Bakar Al-Jaizairi dalam bukunya Minhajul Muslimin berkata, bermain bola sepak boleh dilakukan dengan syarat meniatkannya untuk daya tahan tubuh, tidak membuka aurat (bahagian paha dan lainnya) serta si pemain tidak menjadikan permainan tersebut dengan alasan menunda solat. Selain itu, permainan tersebut harus bersih daripada gaya hidup glamor yang berlebihan, perkataan buruk dan ucapan sia-sia seperti celaan, cacian dan sebagainya.

Dengan sukan mudah jadi jutawan

Oleh Ahmad Salim Bachok

Seorang rakan berseloroh dengan saya berkata bahawa di negara kita sekarang, untuk menjadi jutawan adalah lebih mudah berbanding beberapa tahun dulu. Menurutnya, dulu hendak menjadi jutawan perlu berniaga. Selepas agak berjaya dalam perniagaan dan mahu menjadi kaya atau jutawan, seseorang perlu menyertai politik.

Maka ahli perniagaan yang berjaya dan kaya-raya, menurut kawan saya ini, adalah ahli perniagaan yang juga ahli politik yang berjaya. Tetapi menurutnya, ada juga jalan singkat untuk menjadi jutawan ketika itu. Seseorang itu hanya perlu mempunyai nasib atau tuah, iaitu dengan membeli loteri yang menawarkan hadiah utamanya sejuta ringgit, katanya sambil ketawa.

Sekarang, untuk menjadi jutawan adalah lebih mudah. Beberapa tahun lalu ada beberapa siri realiti televisyen yang menawarkan hadiah sejuta ringgit. Kalau tidak silap ada seorang lelaki Melayu telah memenanginya.

Selepas itu, satu lagi siri permainan di televisyen berhadiah sejuta ringgit, Who Wants To Be A Millionaire? telah menjadi rancangan televisyen paling diminati di negara kita ketika itu. Saya tidak pasti adakah antara pesertanya yang menjadi jutawan melalui rancangan yang dihoskan Datuk Jalaluddin Hassan itu.

Tetapi kini peraduan atau cabutan bertuah berhadiah sejuta ringgit bukan lagi sesuatu yang aneh atau luar biasa. Dari semasa ke semasa, dalam usaha untuk meningkatkan jumlah penyimpan dan simpanan, beberapa bank terkemuka tanah air menawarkan pelbagai hadiah bernilai jutaan ringgit kepada pelanggannya.

Bagaimanapun, institusi simpanan yang paling terkenal dengan hadiah sejuta ringgit dan pelbagai hadiah lumayan lain tentu sekali Skim Simpanan Premium, iatu satu produk Bank Simpanan Nasional (BSN).

Terkini dan paling sensasi adalah tiga jutawan jaguh paralimpik kita yang bukan sahaja menerima RM1 juta setiap seorang, tetapi turut menerima pelbagai hadiah bernilai lain seperti kereta dan kediaman, ihsan kerajaan negeri dan syarikat korporat yang prihatin dan menyokong kejayaan di peringkat dunia insan istimewa ini.

Sesungguhnya pencapaian tiga pingat emas itu adalah yang terbaik buat skuad olahraga sepanjang Malaysia menyertai temasya Sukan Paralimpik. Menurut ketua jurulatih negara bagi atlet berkenaan, R Jaganathan, kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan pengorbanan atlet terbabit.

Maka ia sewajarnya diraikan oleh setiap rakyat negara ini. Justeru pelbagai hadiah lumayan yang diberi adalah manifestasi kegembiraan serta penghargaan setiap kita kepada kejayaan mereka di Rio.
Saya melihat sikap kita dalam menghargai kejayaan individu di dalam dunia sukan sebagai sesuatu yang amat positif. Kalau dulu sukan mungkin hanya dilihat dari sudut patriotisme dan sesuatu yang mampu menyatukan pelbagai kaum di negara ini, kini ia melangkah setapak lagi sebagai sesuatu yang mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang cemerlang, selain mengharumkan nama negara.

Sesungguhnya di negara lain terutamanya di negara barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah, sukan adalah kerjaya pilihan yang sangat lumayan dan memberi nilai ekonomi tinggi kepada sesuatu negara itu. Malah, trend atau kecenderungan ini turut berlaku di beberapa negara Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan China. Kini beberapa pemain golf terkemuka Thailand, Taiwan dan Filipina dianggap antara individu berpendapatan paling tinggi di negara mereka.

Bercakap mengenai golf, saya masih terbayang-bayang kehebatan Rory McIlroy melakukan birdie pada pertarungan playoff menentang Ryan Moore yang berlangsung di Atlanta, Georgia pada pagi Isnin lalu itu telah menobatkannya sebagai juara di Jelajah PGA AS serta meraih bonus Piala FedEx yang bernilai RM41.2 juta.

Dia turut menerima hadiah kejohanan sebanyak RM6.32 juta di kejohanan itu. Bayangkan, untuk satu kejohanan itu Rory menerima habuan sebanyak RM47.5 juta

Untuk rekod, sejak mula menjadi pemain golf profesional, Rory berjaya memenangi RM258 juta wang tunai hadiah kejohanan. Selain itu, dia turut menerima wang penajaan jenama produk sebanyak RM603.6 juta, menjadikan pendapatan pemain golf Ireland Utara berusia 27 tahun ini sebanyak RM861 juta setakat ini!

Kerana itulah saya ingin menganjur agar kejayaan pemain golf nombor tiga dunia ini dijadikan pendorong utama kepada setiap atlet di negara ini, terutamanya pemain golf kita. Mungkin nampak sukar, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil kerana Malaysia memiliki lebih 200 padang golf bermutu tinggi yang tentunya mampu melahirkan ramai pemain golf terbaik.

Setidak-tidaknya kita mampu menyaingi kemampuan Korea Selatan dan Thailand yang telah melahirkan begitu ramai pemain golf terkemuka lelaki dan wanita yang meraih kejuaraan di pelbagai kejohanan di peringkat dunia.

Dikatakan juga, oleh kerana biaya untuk bermain golf di Korea adalah terlalu mahal, ramai jaguh golf lelaki dan wanita negara itu dikatakan mendapat latihan awal mereka di beberapa padang golf di negara ini. Jadi, mana perginya jaguh golf kita?

Bola sepak ubah takdir kanak-kanak jalanan


PERNAH menjadi Juara Piala Dunia Bola Sepak pada tahun 2002 bersama pasukan negara kelahirannya Brazil, Gilberto Silva, 39, tahu peritnya membesar tanpa harta benda.

Dia mengakui menangis sewaktu mendengar kisah sedih seorang kanak-kanak jalanan.
“Saya datang daripada keluarga miskin tetapi sekurang-kurangnya saya mempunyai keluarga di sekeliling saya.

“Sudah tentu ada cabarannya berbanding kanak-kanak India yang saya temui, kisahnya membuat saya menangis,” ujar bekas pemain tengah Brazil itu.

Silva yang kini merupakan pengarah teknikal di kelab Panathinaikos, Greece, bertemu kanak-kanak tersebut di program Street Child World Cup.

Program berkenaan adalah satu inisiatif untuk memberi harapan dan membuang stigma kanak-kanak jalanan.

Semangat

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Street Child United, John Wroe, kanak-kanak jalanan mempunyai semangat baharu melalui perlawanan bola sepak.

“Kita boleh membantu mereka dengan menaikkan semangat mereka melalui perlawanan bola sepak amal ini.

Malah, saya bersedia untuk menganjurkan perlawanan kebajikan piala dunia kali ketiga di Rusia pada tahun 2018 kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Konvensyen Bekas Pemain Bola Dunia di Manchester baru-baru ini.

Katanya, suara mereka boleh didengari apabila berada di atas padang yang sama berbanding mendengar kisah menyedihkan mereka seperti wabak penyakit di Colombia dan ‘debu hidup’ di Vietnam.

Namun, mereka akan menjadi seseorang apabila bermain bola sepak di atas padang.

Jelas Wroe, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sebanyak 150 juta kanak-kanak yang tinggal di jalanan di seluruh dunia.

Ini sekali gus akan menjadikan mereka negara kesembilan terbesar di dunia dan Wroe percaya kanak-kanak tersebut memerlukan tiga hak asas kepada diri mereka.

“Pertama, mereka mahu perlindungan daripada keganasan, pada Piala Dunia 2014 di Brazil, remaja berusia 14 tahun, Rodrigo Celton telah dibunuh dua minggu sebelum perlawanan akhir.
“Kedua, hak untuk mendaftar di tempat kelahiran mereka, jika tidak didaftar secara rasmi, bagaimana mereka hendak dilindungi.

“Seterusnya ialah akses kepada pendidikan, ada yang mahu menjadi jururawat, peguam dan lain-lain, tetapi bagaimana jika mereka disekat daripada menerima pendidikan?,” ujarnya.

Wroe memberitahu, dengan menganjurkan perlawanan bola sepak amal itu dalam tahun yang sama dengan Piala Dunia, ia memberi peluang kepada kanak-kanak jalanan ini sebuah pengalaman yang jarang berlaku.

Kuasa

“Pada Piala Dunia 2014 kita mempunyai penonton lebih 200 juta orang di seluruh dunia dan ia mencetuskan mesej yang benar-benar positif,” ujarnya.

Sementara itu, Silva yang juga bekas pemain utama Arsenal yang juga dikenali sebagai The Invincibles berkata, dia telah melihat perlawanan amal seumpama itu sejak berada di pasukan lamanya lagi.

Dia juga telah terlibat dengan beberapa projek komuniti semasa di utara London. Malah, dengan beberapa projek di peringkat antarabangsa seperti Save the Children di sebuah kem pelarian di Iraq dan projek pendidikan di Beijing, China.

Bagaimanapun, dia mengakui Street Child World Cup menawarkan sesuatu yang berbeza melalui bola sepak.

“Perlawanan tersebut menunjukkan bahawa bola sepak mempunyai kuasa mengubah hidup seseorang.

“Saya dapat melihat perkara berkenaan ketika kanak-kanak ini bermain, orang ramai menumpukan sepenuh perhatian kepada mereka,” ujarnya. – AFP

Meraikan jagoan istimewa 
bertaraf dunia

OLEH  nazmizan mohamad 

MEREKA dikategorikan Orang Kelainan Upaya atau ringkasnya OKU, namun keupayaan mereka jauh menandingi kita yang dikategorikan normal. Saat negara meletakkan harapan kepada atlet normal untuk menghadiahkan emas pertama buat negara sekali gus menyaksikan lagu Negaraku berkumandang di bumi Rio, Brazil, impian tersebut hanya tinggal impian.

Misi memburu emas pertama Olimpik ditunda ke empat tahun lagi pada edisi berikutnya di Tokyo, Jepun. Namun hari ini, atlet yang dikatakan kurang upaya telah membuatkan rakyat Malaysia mengalirkan air mata apabila lagu Negaraku berkumandang bukan sekali tetapi dua kali di bumi Rio.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli membuka mata dan minda seluruh masyarakat bahawa kekurangan yang ada pada diri masing-masing bukanlah titik noktah dalam kehidupan, sebaliknya kekurangan itulah yang menjadikan mereka kini permata yang bernilai.

Kejayaan kedua-dua atlet paralimpik itu hadir melalui pengorbanan yang cukup besar – bukan sahaja diri mereka sendiri tetapi seluruh ahli keluarga mereka. Sebagaimana ibadah haji dan korban melatih kita untuk berkorban dalam hidup ini, begitu juga yang telah dilalui kesemua atlet paralimpik ini.

Hidup ini memerlukan pengorbanan. Kalau diperhatikan bagaimana Nabi Ibrahim AS yang tidak memiliki anak sehingga dikatakan berusia 89 tahun, lalu dikurniakan anak-anak bernama Ismail dan Ishak, tiba-tiba diarahkan untuk ditinggalkan Ismail dan Hajar di Padang Pasir Mekah yang kering kontang.

Bentuk geografi Mekah pada ketika Nabi Ibrahim dia­rahkan meninggalkan anak dan isterinya itu bukan seperti Mekah hari ini yang ada penduduk, orang pun ramai, ada kemudahan tetapi Mekah pada ketika itu ialah padang pasir yang luas, kering-kontang yang tidak ada apa-apa dan tidak berpenghuni.

Ke hulu ke hilir Sayyidatina Hajar mencari-cari air untuk diberikan kepada anaknya Ismail, sehingga terbitnya air zamzam yang terus menerus mengalir hingga ke hari ini yang lahir hasil daripada pengorbanan Nabi Ibrahim.

Begitulah juga kejayaan atlet paralimpik negara tidak hadir sekelip mata sahaja. Pelbagai onak duri, cabaran berliku yang perlu ditempuhi sebelum sejarah pingat emas di Temasya Sukan Paralimpik Rio ini.

Lebih besar juga pengorbanan ibu ayah serta keluarga yang tanpa lelah memikul amanah yang telah diberikan Allah. Jika dahulu layanan ‘negara’ terhadap mereka ha­nya satu pertiga daripada layanan yang diberikan kepada atlet normal, kini di bawah teraju Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Khairy Jamaludin - kita dan mereka tiada bezanya lagi.

Sebagaimana sukarnya latihan yang atlet normal lalui, sebegitu sukar juga yang mereka jalani, malahan kudrat dan tenaga mereka lebih banyak digunakan terutama bagi atlet paralimpik yang kekurangan anggota dan perlu menggunakan kerusi roda.

BINA PRASARANA KHUSUS

Sebagai seorang bekas atlet negara yang lebih 15 tahun berkecimpung di dalam arena ini, saya merasakan sudah tiba masanya kerajaan menyediakan prasarana dan kemudahan yang lebih khusus untuk golongan OKU ini.

Saya akui, kita telah memiliki kompleks latihan di Kampung Pandan untuk kegunaan atlet paralimpik negara, namun apa yang cuba diutarakan di sini ialah kemudahan di peringkat permulaan.

Sebagaimana Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail dan sekolah sukan lain yang diwujudkan di Malaysia bagi menghimpunkan atlet yang cemerlang di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) mahupun Sukan Malaysia (Sukma), sebegitu jugalah yang perlu ada untuk atlet paralimpik negara.

Mereka ini rata-ratanya lahir dari pelbagai latar belakang pendidikan dan cemerlang di negeri masing-masing seterusnya dihimpunkan di Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menjalani latihan berpusat di bawah kendalian jurulatih yang telah dipilih.

Namun, majoriti daripada mereka tidak menyambung pengajian sebaliknya menjalani latihan secara sepenuh masa. Sekiranya kerajaan prihatin dengan masa depan atlet paralimpik ini, tidak salah sekiranya dibina sebuah sekolah sukan khas untuk menempatkan mereka ini.

Jika tidak pendidikan formal, cukup sekadar menyediakan peluang kemahiran dengan dibimbing oleh pelatih profesional serta dilengkapi pelbagai keperluan sebagaimana yang ada di sekolah-sekolah sukan.
Setidak-tidaknya, apabila bersara kelak, ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh atlet paralimpik negara untuk menampung kehidupan masing-masing terutama bagi yang tidak begitu menyerlah di pentas antarabangsa.

Bukanlah niat saya menafikan inisiatif yang telah diambil kerajaan ketika ini antaranya i-Talent yang menyediakan peluang untuk OKU mencapai impian menjadi atlet profesional, namun apa yang saya cuba nyatakan di sini ialah mewujudkan pusat pengajian khusus untuk mereka meningkatkan kemahiran sampingan dalam diri.

Terlalu besar sebenarnya ruang untuk kita melahirkan lebih ramai jaguh dunia menerusi kategori paralimpik, terlalu luas kategori yang dipertandingkan, apakah kita hanya berpuas hati dengan seorang Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad?

Jika kedua-duanya mampu melakar kejayaan di sebalik kekurangan yang dimiliki, tidak mustahil lebih ramai ibu bapa yang memiliki anak-anak OKU kini terbuka minda untuk menyerahkan anak mereka ke pangkuan negara jika segala prasarana lengkap disediakan.

Olahraga telah membuktikan dan tidak mustahil kita juga mampu melahirkan jagoan dalam acara renang, angkat berat, tenis, bola sepak, bola tampar, badminton, futsal dan acara lain lagi.

Pahit getir hidup dan perjuangan, terpaksa dihadapi demi kejayaan, terdidik sejak mula tabah berusaha, tanpa cuba melangkah tak mana, di mana kau berada, pencapaian tak tiba dengan mudah.

Moga bait lirik, Standing In The Eyes Of The World ini akan terus menjadi azimat dalam melahirkan atlet para­limpik bertaraf dunia. Teruskan melangkah atlet para negara, semangat juang anda tidak mampu ditandingi atlet normal lainnya. Anda kebanggaan negara!

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pusat Sukan, Universiti Malaysia Perlis.

Olimpik: Di mana kurangnya atlet kita?

OLIMPIK Rio 2016 sudah bermula lebih 10 hari sejak pembukaan gilang-gemilang di stadium bolasepak Maracana, Rio de Janeiro pada 5 Ogos lalu. 

Sejak itu seperti diduga negara kuasa besar, Amerika Syarikat, China, Britain, Jerman, Jepun dan Rusia te­rus mendahului senarai pungutan pingat. Bukan juga sesuatu yang memeranjatkan apabila negara maju se­perti Australia, Itali, Korea Selatan, Perancis, Hungary dan Belanda, mengekor rapat di belakang dengan kutipan emas, perak dan gangsa dalam pelbagai acara sukan yang didominasi mereka.

Dalam persaingan sengit bagi membuktikan siapa yang berjaya mengatasi segala cabaran untuk muncul sebagai pemenang dan merasa berdiri di podium menerima kalungan pingat, malah lebih istimewa untuk bergelar pemilik pingat Olimpik - walau cuba dinafikan - kita perlu secara gentleman mengakui yang kita agak tersentak dengan pencapaian atlet negara jiran tetangga.­

Kelmarin, di celah-celah negara yang berjaya me­rangkul emas di temasya sukan paling berprestij dunia itu misalnya terselit negara jiran kita di sempadan se­belah utara, Thailand, menduduki tangga ke-18. Bukan satu emas bahkan dua, di samping masing-masing satu pingat perak dan gangsa.

Malaysia sehingga artikel ini ditulis, baru meraih satu pingat perak. Pingat yang dihadirkan menerusi jaguh terjun papan anjal wanita negara, Pandelela Rinong kali ini bersama pasangan regunya, Chong Jun Hoong. Pencapaian lebih baik sedikit daripada Olimpik London 2012.

Harapan emas yang tinggal kini adalah menerusi jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang jika di atas kertas, mengikut ranking dunia, tidak ada masalah untuk merangkulnya.

Namun adat bertan­ding, ada hari menang dan ada hari kalah. Harapan penulis, dan sudah pastilah harapan seluruh rakyat Malaysia, kilauan emas yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama akan hadir menerusi badminton - satu-satunya acara sukan yang cukup diyakini, yang selama ini telah meletakkan nama negara di peta dunia.

Tentulah lebih manis dan istimewa apabila acara sukan yang tidak sah diperkatakan jika tidak menyebut nama Malaysia sebagai antara gergasi badminton dunia itu yang menghilangkan dahaga emas negara sejak sekian lama.
Bukan penulis tidak mengharapkan emas daripada acara sukan lain namun rasanya harapan dan impian ini lebih signifikan dan relevan dengan gelaran jaguh badminton dunia yang dipegang oleh atlet negara kita itu.
Kita seharusnya tahu mengukur baju di badan sendiri.

Jika terbukti badminton dan acara terjun yang mampu menjanjikan pingat, tidak salah jika kita membuat pelaburan besar dalam kedua-dua acara sukan ini. Rangka pelan strategik dengan sasaran emas.

Vietnam berjaya melakukannya dengan acara me­nembak. Singapura pula dengan renang. Jadi tidak salah untuk kita mengimpikannya dalam sukan badminton yang telah kita kuasai sejak sekian lama.

Penulis bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa kita memerlukan barisan atlet pelapis dengan segera.

Tokyo 2020 mungkin terlalu hampir untuk kita meletakkan sasaran emas kepada pengganti Chong Wei, namun tidak terlalu ambitious atau bercita-cita tinggi untuk kita merangkul perak atau gangsa.

Apa yang penting seperti dikatakan Khairy, kita perlukan pelapis. Tidak kiralah dalam sukan badminton, acara terjun mahupun berbasikal yang kita juga mempunyai wakil yang dibanggakan.

Di mana atlet kita 10 tahun akan datang? Adakah mereka akan berdiri di podium atau masih sekadar menjadi pemerhati? Penulis percaya semuanya terletak pada perancangan mantap dan teratur oleh organisasi sukan yang dipertanggungjawabkan.

Pada masa sama, pastikan atlet kita dibimbing agar mempunyai set minda yang betul untuk bersungguh-sungguh, berhempas pulas sepenuh daya mengejar gelaran juara dalam bidang sukan yang diceburi mereka. Bukan sekadar berpuas hati berjaya melayakkan diri ke ‘temasya’ Olimpik.

Dalam Coretan Marhaen dua tahun lalu, Neymar da Silva Santos Júnior pernah menjadi bahan coretan penulis apabila pemain lincah Brazil yang ketika itu baru berusia 22 tahun terpaksa melupakan aksi dalam Piala Dunia FIFA 2014 akibat kecederaan tulang belakang gara-gara disinggung lutut pemain Colombia, Juan Zuniga.

Justeru ketika membelek-belek laporan akhbar tentang Olimpik Rio 2016, kelmarin, penulis agak terkejut apabila membaca tajuk berita, Bisa Neymar makin menjadi. Nampaknya Neymar telah ‘meninggalkan’ kecederaan dua tahun lalu, bukan setakat pulih bahkan membantu pula pasukan bola sepak negaranya melangkah ke separuh akhir untuk bertemu Honduras. Dalam perlawanan yang menyaksikan Brazil membenam Columbia 2-0 itu, Neymar menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.

Penulis tidak pasti berapa lama tempoh yang diperlukan oleh seseorang atlet untuk pulih daripada kecederaan dan kembali beraksi di padang atau pentas pertandingan. Namun jika apa yang dilakukan oleh Neymar ini sesuatu yang menakjubkan, kita perlu belajar daripadanya.

Penulis tertarik dengan kata-kata legenda bola sepak Korea Selatan, Lee Young-pyo ketika menjadi pengulas sukan Piala Dunia FIFA 2011; “Anda tidak menyertai pertandingan untuk mencari pengalaman tetapi untuk membuktikan keupayaan.”

Mungkin dengan cara berfikir seperti itu pasukan bola sepak Korea Selatan kini semakin berjaya dan jauh meninggalkan kita. Ini pun kita perlu belajar juga.

Sultan sumbang 
RM50 juta kepada JDT

Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila mene­
rima sumbangan RM50 juta daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk terus menjadikannya kelab paling kukuh dari segi kewangan dalam bola sepak tempatan.

Juara Piala AFC itu telah pun dianggap sebagai kelab bola sepak tempatan terkaya dan paling ter­urus, dan sumbangan Sultan Ibrahim itu pasti akan membuatkan program pembangunan kelab itu semakin lancar.

Pengumuman sumbangan Sultan Ibrahim itu disahkan dalam kenyataan JDT menerusi akaun Facebook rasmi pasukan, JOHOR Southern Tigers

Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim membuat keputusan itu kerana ba­ginda gembira melihat sukan bola sepak memainkan pe­ranan pen­ting dalam menyatupadukan bangsa Johor selain mengharumkan nama negeri ini di persada dunia.

“Selain keprihatinan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dalam pembangunan negeri Johor, amal kebajikan, zakat dan waqaf serta yayasan dinaungi, baginda ber­kenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM50 juta kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim,” menurut kenyataan itu.

Sumbangan oleh Sultan Ibrahim itu disambut baik oleh pemilik JDT yang juga putera sulung baginda Tunku Ismail.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor yakin sumbangan tersebut bersandarkan kesedaran bahawa projek bola sepak Johor merupakan projek jangka panjang yang menjadi faktor menyatupadukan bangsa Johor.

“Sungguhpun dengan rezeki itu, kelab juga perlu berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat demi menjamin masa depan kelab dalam jangka masa panjang memandangkan kita tidak sekaya sesetengah kelab yang ditaja oleh hartawan di negara ini.

“Keutamaan kita kepada pembangunan infrastruktur dan bakat muda serta simpanan kewangan untuk masa depan. Kita perlu belajar daripada kesilapan dilakukan sesetengah pesaing kita kerana orang yang bijak belajar daripada kesilapan orang lain.

“Kita telahpun mencipta sejarah, sekarang terpulang kepada kita untuk berusaha meneruskan kecemerlangan. Apa yang kita te­lah capai hingga hari ini ha­nyalah permulaan dan perjalanan kita masih jauh,” katanya dalam laman Facebook itu.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut mengingatkan penyokong bahawa JDT sebahagiannya adalah milik rakyat Johor walaupun beliau adalah pemiliknya, sekali gus mahu penyokong bersama-sama beliau membangunkan kelab kerana tugas itu adalah satu tanggungjawab.

Tunku Ismail, yang juga Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) kini merupakan pemilik Kelab Bola­sepak Johor dengan pegangan milikan majoriti dan selebihnya milikan para penyokong.

JDT akan beroperasi sebagai kelab sepenuhnya yang merangkumi pasukan JDT, JDT II, JDT III, JDT IV, manakala PBNJ pula berfungsi sebagai pengelola kepada segala pertandingan bola sepak di peringkat negeri dan kebangsaan.

Kehancuran Yang Berbaloi ?

Oleh Edy Noor Reduan

Bila berada dalam keadaan tertekan, siapa pun boleh jadi bertindak di luar batasan, sifir perkiraan menjadi songsang, kesabaran hilang punca, kewarasan menjadi tipis, kemarahan tidak mampu ditampung, tindakan liar tak mampu dibendung.

Itulah yang berlaku di stadium Terengganu malam semalam. Perlawanan di antara pasukan Terengganu menerima kunjungan singa muda dari Singapura untuk timbal semula separuh akhir Piala FA. Perlawanan berkesudahan dengan singa muda layak ke perlawanan akhir Piala FA bertemu Kelantan, dengan pengadilan yang disaksikan berat sebelah.

Bukan sekadar menang-kalah bolasepak, bukan tidak biasa pengadil berlaku tidak adil, ia kerap sahaja berlaku memandangkan FAM itu sendiri tiada kualiti sejak turun temurun maka mutu pengadilan juga agak 'low class'. Bukan sekali keputusan upset luar biasa menjadi ratapan penyokong bolasepak, ia berlaku di mana-mana. Lagi pun ranking bola sepak negara meng'gua' di tangga 167 dunia, dari 199 tangga, apa nak gaduh?
 
Soalnya mengapa rusuhan itu berlaku? Apakah yang mempengaruhi penyokong sehingga sanggup membakar stadium sultan terengganu? Mereka bukan di bawah pengaruh alkohol, apakah punca mereka begitu berani demi bolasepak tangga 167 dunia?

Dari pengamatan halus saya dan secara logiknya, apabila saluran usus kosong, salur nafas pun sempit dengan tusukan injap jantung yang tidak menentu lantas memacu deras adrenalin negetif. Maka situasi ini menyebabkan kecelaruan dalam pemikiran berpunca dari 'pressure' tinggi pada salur sel-sel otak yang berhubung. Waktu ini jangan kata stadium, malah istana pun boleh terbakar.

Jangan dipandang sebelah mata peristiwa bakar stadium ini, jangan hanya kira dari sudut bolasepak semata, ia masih bukan soal menang-kalah suatu pasukan. Ia soal tindakkan menembusi batas norma.
Hujung tahun 2013, saya pernah menjangkakan bahawa rusuhan besar bakal berlaku pada tahun 2017, iaitu setahun sebelum mandat penggal ke 13 tamat. Punca asalnya ialah penafian demokrasi apabila rakyat tidak diberi pilihan untuk ubah pentadbiran negara. Kesengsaraan ekonomi pula menjadi pencetusnya.

Saya kira, rakyat terbanyak berdepan dengan pelbagai kecurangan ekonomi yang menyebabkan kehilangan kualiti hidup dalam skala yang besar. Duit tak cukup hingga hujung bulan ketika hutang sudah capai 'exceed'. Suami isteri kerja pun masih tak cukup, malah dengan tambahan kerja sebelah malam juga masih tidak cukup makan. Maka tahun 2017 adalah 'klimex'nya.

Namun dari suasana sosio ekonomi rakyat hari ini yang sangat terkesan dengan kezaliman dan penindasan regim pentadbiran negara, ketika rakyat terus dimangsakan di atas kebodohan dan kerakusan pemerintah yang hidup mewah kaya raya, rusuhan besar yang saya katakan berlaku tahun 2017 itu meleset, kerana ia akan berlaku lebih awal dari jangkaan.

Rakyat semakin tertekan, ia boleh dilihat di mana-mana, di jalanraya, di rumah, di pejabat, di pusat sukan, di rumah mertua. Untuk menghilangkan rasa tertekan, hiburan menjadi rebutan. Lihatlah sekeliling, bukankah negara ini rakyatnya semakin tergilakan pelbagai jenis hiburan?

Satu cara yang betul untuk melepaskan tekanan ialah mencari sasaran sebenar, dan protes lah. Jika perlawanan bolasepak tidak adil, sasarannya ialah badan FAM. Jika kek ekonomi negara dibahagi dengan cara tidak adil, maka protes lah pemerintah.

Bagi kes di Malaysia, biasanya jalanraya menjadi lokasi pilihan untuk protes. Tidak seperti kebanyakkan negara luar yang memilih bangunan kerajaan termasuklah parlimen sebagai pilihan protes, dan ia ambil masa berminggu.

Ada yang menyindir kononnya rakyat tidak lagi peduli dengan perlawanan di jalanraya. Ternyata telahan mereka tersasar bila himpunan 1 Mei baru-baru ini mendapat sambutan dan bantahan GST menjadi antara faktor utama.

Harus diingat, selama ini himpunan besar seperti BERSIH dan Blackout 505 adalah berkisar bantahan terhadap demokrasi yang disailang oleh regim demi terus berkuasa. Kesannya hanya kemarahan sementara dan kehidupan harus diteruskan. Tetapi bilamana wang poket bocor siang dan malam kena sailang dek regim, saya percaya kesannya terus ke jantung kehidupan seharian ke sebulanan.

Tidak perlu saya cerita pasal kesan GST atau perihal 1MDB yang menyaksikan duit simpanan pergi haji pun dirompak. Bila tiba masanya, tidak perlu jemput rakyat turun ke jalanraya, meraka yang bocor poketnya ini akan turun protes di jalanraya secara automatik, mungkin lebih dari itu. Di sini bermulanya detik revolusi.

Bibit-bibit revolusi bercambah dari hari ke hari. Revolusi kecintaan terhadap tanahair, revolusi kasih sayang di antara kita marhein.

Apakah revolusi itu membentuk kehancuran? Tidak, revolusi itu adalah pembangunan. Padahal negara ini sememangnya sudah hancur dengan hutang hampir mencecah trilion. Hanya tinggal fizikalnya sahaja, isi dan organnya sudah hancur tunggu masa berderai.

Bukan saya minta negara ini hancur, tetapi sudah saya katakan tadi, negara sudah pun hancur. Hanya belum dapat dilihat dengan mata yang nyata. Hanya revolusi mampu menyelamatkan negara.

Kehancuran tidak mampu dielakkan, kita akan bina semula negara ini dengan sistem dan polisi yang baru, ya semestinya polisi sebuah negara rakyat dalam erti kata sebenar. Revolusi itu adalah kelahiran semula.

Ia mungkin satu proses yang panjang. Namun percayalah, ianya berbaloi demi masa depan anak-anak kita.

Percayalah juga, melepasi revolusi penuh kecintaan kepada tanahair ini akan menyaksikan rakyatnya tidak lagi tergamak buang sampah merata-rata, apatah lagi membuang anak merata-rata.

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia
 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER