Oleh KHALIS IBRAHIM
ASIA Barat adalah wilayah yang paling kuat dilanda kecamukan sejak penjajahan imperialis Barat.
Setelah tumbangnya kerajaan Turki Uthmaniyah, negara-negara jajahan
empayar Islam yang terakhir itu dibahagi oleh rejim Barat melalui
Perjanjian Sykes-Picot.
Disamping bertujuan memecahkan tanah
jajahan empayar Uthmaniyah kepada kuasa-kuasa besar Barat ketika itu,
ramai pengamat politik berpendapat perjanjian tersebut juga meletakkan
objektif penubuhan sebuah negara baru bagi menempatkan pelarian Yahudi.
Rentetan dari itu, wujudnya Israel sebagai negara baru hasil rampasan
tanah milik rakyat Palestin.
Sehingga hari ini, Israel
menjadi agenda terpenting dasar luar “polis dunia” Washington khususnya
mengenai keselamatan negara haram tersebut. Keberadaan PBB sejak
ditubuhkan pasca perang dunia juga bagi memastikan keutuhan strategik
negara tersebut.
Menariknya mengenai Israel ialah mengenai
kedudukannya di rantau Asia Barat. Dikelilingi negara-negara majoriti
umat Islam termasuklah Lubnan, Jordan, Syria dan Mesir.
Ini
bermaksud, jika negara-negara Arab yang mengepung Israel dari sudut
geografi itu bersepakat untuk menekan Israel dari sudut tekanan politik
mahupun ketenteraan, Zionis bakal menghadapi kesusahan.
Bantuan kemanusiaan ke Gaza lebih banyak datangnya dari sukarelawan Eropah dan jauh di timur Asia termasuk Malaysia.
Negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin sudah terbuai dengan konflik politik negara mereka yang tidak berkesudahan.
Hakikatnya, negara Arab mampu berhadapan dengan Israel jika mereka
mahu. Malah, mereka juga mampu berganding bahu bagi melawan musuh yang
satu sungguhpun wujud kepentingan bagi beberapa negara.
Sejarah
pernah mencatatkan dalam Perang Arab-Israel 1973, Mesir mampu
bekerjasama dengan Syria bagi merampas semula tanah yang dirampas
Israel.
Pakatan itu turut dibantu oleh negara Arab lain seperti
Iraq yang menghantar satu divisyen besar terdiri daripada 18,000 orang
tentera.
Walau bagaimanapun, Perang Arab-Israel hanyalah sebuah
sejarah. Hari ini negara-negara Arab sedang mengalami konflik politik
dalaman yang kian meruncing.
Seakan-akan mengalami satu
perancangan rapi umpama domino, negaranegara Arab menjadi lebih
kacau-bilau dalam pasca Arab Spring dan menuju ke arah negara yang
gagal.
Dalam isu kedaulatan Palestin, kewujudan kesatuan seperti
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Liga Arab yang sepatutnya
memikirkan jalan penyelesaian hanyalah tampalan kerana tidak mampu
berbuat apa-apa.
Konflik di Palestin merupakan “multi-issues”
melibatkan isu keagamaan, kemanusiaan, politik serantau serta ekonomi
jauh merentasi lingkungan mazhab dan perkauman sempit.
Semua
menyedari akan pencerobohan Zionis ke atas Palestin. Kerana itulah,
kumpulan Hamas yang sunni boleh meminta jasa Iran sebagai republik Syiah
yang mempunyai kekuatan ketenteraan bagi memberi tekanan kepada Israel
dan menyokong perjuangan fraksi penentang di Palestin.
Namun, ini tidaklah bermaksud umat Islam perlu mengharapkan bantuan dari “orang luar” sahaja.
Mereka perlu berdiri dengan kaki sendiri serta saling melengkapi dan membantu dalam isu Palestin.
Menteri Pendidikan Palestin, Sheikh Ahmed Al-Najjar dari parti Hamas
pernah menyebut dalam satu wacana; “Rakyat Palestin tidak mengimpikan
bantuan ketenteraan dari negara umat Islam. Kami sudah ada barisan
pejuang yang komited dan cintakan syahid.
“Kami juga tidak memaksa bagi meminta bantuan dari sudut material.
Namun, apa yang kami sangat dambakan daripada kamu wahai umat Islam ialah doa kerana ia senjata dan bantuan paling ampuh.”
Pada bulan mulia yang pernah mencatatkan 313 tentera kebenaran
menumpaskan 1,000 tentera kebatilan, janganlah kita lupa untuk mendoakan
kesejahteraan serta kemenangan mereka di sana.
>> Penulis merupakan mahasiswa Fakulti Sains, Universiti Malaya dan ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).
Gaza menangis, di mana umat Islam?
Written By zabidi on Monday, 14 July 2014 | 9:30 am
Labels:
Global


Post a Comment