PUASA baru sahaja bermula dan umat Islam di sesetengah tempat
terpaksa berdepan dengan cuaca panas sepanjang berpuasa. Bagi
kanak-kanak yang baru belajar berpuasa, tidak tahan juga jadinya apabila
sebelum tengah hari lagi panas sudah berbahang.
Apabila berbuka puasa, minumanlah yang menjadi pilihan utama
kanak-kanak sehingga ada yang menyuruh ibu bapa menyediakan dua tiga
jenis minuman sebagai penghilang dahaga. Jika dibeli di bazar Ramadan
atau di mana-mana gerai, dua tiga jenis air juga yang dibeli.
Biasanya, apabila sudah kena air segelas dua, selera makan untuk nasi
dan lain-lain sudah mula hilang kerana perut sudah kembung dengan
pelbagai jenis air. Sudahnya, ada juadah yang tidak dimakan kemudian
dibuang begitu sahaja.
Inilah antara pembaziran yang sering berlaku pada bulan Ramadan. Itu
belum lagi dilihat di restoran-restoran, hotel-hotel yang menyediakan
bufet berbuka puasa dengan pelbagai pakej menarik. Ada yang mengenakan
bayaran RM40, untuk makan sepuas hati malah ada juga yang mencecah
RM100.
Di masjid-masjid dan surau, makanan dan minuman cukup banyak selepas
solat tarawih. Tidak cukup mulut hendak makan kerana memang rezeki
kita cukup banyak.
Pembaziran pada bulan Ramadan sukar dielak kerana kebanyakan
daripada kita lebih berhambakan nafsu. Tidak ramai yang menggunakan
akal sebelum berbelanja untuk berbuka puasa malah untuk menyambut hari
raya.
Pembaziran akan lebih terasa jika wang ringgit banyak dihabiskan
untuk berbuka puasa, bersahur dan memenuhi persiapan hari raya nanti.
Jika makanan dan minuman yang dibuat sendiri dan dibeli itu tidak habis,
memanglah membazir namanya.
Pembaziran ini boleh dikatakan berlaku saban tahun walaupun setiap
kali tibanya bulan puasa, azam untuk tidak membazir ditanam dalam jiwa
masing-masing.
Pembaziran boleh dielak jika had perbelanjaan dibuat berdasarkan
keperluan sahaja. Walaupun ia agak sukar, tetapi di atas kertas, memang
boleh kita andaikan kuantiti bahan makanan dan minuman yang diperlukan
dalam keluarga atau jiran di sekeliling rumah.
Menyediakan sendiri juadah untuk berbuka lebih menjimatkan dan sukar
berlaku pembaziran. Bagi yang ada masa, mereka boleh menyediakan
sendiri juadah berbuka kerana kosnya jauh lebih murah berbanding makanan
yang dibeli di luar.
Di samping keyakinan terhadap kualiti dan kebersihan makanan dan
minuman, wang dapat dijimatkan dan boleh disimpan untuk keperluan lain.
Pembaziran makan minum sepanjang Ramadan juga boleh dielak jika
ikatan penduduk di sesuatu tempat itu kukuh dari segi kejiranannya.
Suatu masa dahulu, di kampung-kampung, amalan bertukar-tukar juadah
berbuka puasa menjadi satu budaya yang unik dalam kalangan orang Islam.
Buat sejenis kuih, hantar kepada beberapa orang jiran, kemudian kalau
ada rezeki, dapatlah merasa kuih daripada jiran. Ataupun, kalau tidak
dapat hari ini, esok mungkin dapat balasan daripada jiran.
Di bandar-bandar, ia boleh dijadikan satu budaya jika hubungan
kejiranan penduduk sangat rapat. Ia boleh mengelak pembaziran kerana
pada asasnya, sejenis atau dua jenis kuih sahaja yang disediakan, tetapi
apabila tiba waktu berbuka puasa, mungkin dapat berbuka dengan tiga
atau empat jenis kuih.
Malangnya, budaya ini kian terhakis termasuklah di kampung-kampung
terpencil. Semua ini kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan
sehingga tidak sempat hendak menyediakan juadah. Hendak berbuka sendiri
pun kena beli, bagaimana hendak diberi kepada jiran.
Kemudahan mendapatkan kuih di gerai-gerai dan di bazar Ramadan turut
menjadikan kita malas hendak menyediakan sendiri juadah untuk berbuka.
Pelbagai jenis juadah yang boleh didapati di bazar Ramadan turut menjadi
daya penarik, asalkan ada wang.
Siapa yang tidak teringin kalau melintasi bazar Ramadan yang
menyediakan pelbagai jenis juadah daripada kuih-muih, minuman dan
lauk-pauk untuk berbuka. Pelbagai aroma dapat dihidu yang dengan mudah
menarik seseorang itu berbelanja di bazar Ramadan walaupun di rumah
sudah ada juadah untuk berbuka.
Inilah cabaran hebat untuk mengelak pembaziran. Itu belum dikira
lagi tawaran-tawaran hebat daripada gedung beli-belah seminggu dua lagi
iaitu semakin umat Islam menghampiri Aidilfitri.
Taktik peniaga yang licik sering menjadikan kita lupa diri, lalai dan akhirnya terpengaruh dengan `tawaran mereka.
Justeru sepanjang Ramadan ini, janganlah hanya berpuasa dengan
menahan nafsu makan minum di siang hari namun kawallah nafsu agar tidak
menjadi penyumbang kepada pembaziran.
Home »
Bicara Islam
» Bukan mudah melawan pembaziran
Bukan mudah melawan pembaziran
Written By zabidi on Saturday, 5 July 2014 | 9:54 pm
Labels:
Bicara Islam


Post a Comment