KUALA LUMPUR - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membuat keputusan
mengejut semalam apabila mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam Mesyuarat Agung Tahunan
(AGM) badan induk itu Oktober ini.
Beliau yang turut dicalonkan untuk jawatan Presiden Persekutuan Hoki
Asia (AHF) bagaimanapun menafikan keputusannya itu dibuat kerana kecewa
dengan prestasi kurang meyakinkan skuad hoki kebangsaan kebelakangan
ini.
Menurut Tengku Abdullah, beliau mahu memberikan laluan buat individu
lain menyandang jawatan No.1 MHC itu pada penggal akan datang selepas
menyandangnya untuk tempoh dua penggal sebagai presiden.
"Saya sudah terlalu lama menyandang jawatan ini malah saya juga amat
puas hati dengan pencapaian hoki sepanjang berada di bawah pimpinan
saya, kini sudah tiba masa untuk saya mengosongkan posisi Presiden MHC
pada AGM akan datang kerana ini adalah sebahagian daripada perancangan
saya.
"Setakat ini saya belum mendapat gambaran siapa calon sesuai untuk
menyandang jawatan Presiden MHC dan kalau boleh biarlah orang itu
mempunyai jiwa yang besar dalam sukan hoki selain mempunyai kewangan
kukuh," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi
MHC di sini semalam.
Tengku Abdullah yang dipilih memegang kerusi panas tersebut daripada
Tan Sri Anwar Mohamed Nor pada 2008 berjaya menguruskan badan induk
sukan hoki tersebut dengan baik sepanjang berada di bawah pimpinannya.
Malah Tengku Abdullah turut diberikan kepercayaan menerajui MHC pada penggal 2010-2014 selepas menang tanpa bertanding.
Antara pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh Tengku Abdullah dalam
MHC ialah menggabungkan hoki lelaki dan wanita di bawah satu bumbung
pada 2012.
Sementara itu, ditanya berhubung statusnya yang dicalonkan untuk
jawatan Presiden AHF, Tengku Abdullah hanya memberitahu semuanya
terserah atas sokongan ahli ke atasnya.
"Jika mereka memilih saya, saya akan membantu dan saya tiada apa-apa makluman terkini berhubung pemilihan tersebut.
"Sekiranya saya tiada dalam MHC saya masih boleh membantu jika diperlukan," kata Tengku Abdullah.
Tengku Abdullah dianggap calon paling popular untuk mengisi kerusi
Presiden AHF, apatah lagi dengan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga
Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Keputusan mengenai pemenang jawatan presiden AHF akan diumumkan dalam
kongresnya yang dijadual berlangsung 31 Ogos ini di Kuala Lumpur.
Tengku Abdullah tinggalkan MHC
Written By zabidi on Tuesday, 19 August 2014 | 10:05 pm
Labels:
Sukan


Post a Comment