Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
Pembangunan teknologi angkasa sememangnya memerlukan perbelanjaan
yang amat besar. Justeru, penglibatan dalam membangunkan teknologi
berlaku amat perlahan namun berterusan.
Biarpun sudah bertukar perdana menteri, namun program angkasa tetap
diteruskan menerusi pembinaan Pusat Angkasa Negara yang kini telah telah
lengkap ke semua fasanya.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin
Ahmad, semua negara ingin menguasai angkasa kerana mereka akan dianggap
berkuasa.
Sebab itu, perlumbaan ke angkasa lepas tidak pernah berhenti, malah
semakin banyak negara ingin menghantar satelit dan angkasawan. Ini
membuktikan mereka menguasai teknologi angkasa lepas.
Malaysia juga tidak ketinggalan mencari peluang meneroka angkasa
lepas dan menerusi Program Angkasawan Negara (PAN) seorang angkasawan
telah berjaya ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2007.
Dua buah satelit kerajaan juga telah dihantar ke angkasa lepas iaitu
mikrosatelit pertama negara TiungSAT-1 pada 26 September 2000 dan
RazakSAT pada 14 Julai 2009.
Pembinaan dua satelit tersebut dan bakal disusuli satelit ketiga
tahun ini boleh dianggap lonjakan negara dalam industri angkasa lepas,
sekali gus mengangkat martabat sains dan teknologi negara.
Misi Malaysia tersebut disusuli dengan pembangunan kemudahan yang
diperlukan sejajar dengan pembinaan dan pelancaran satelit tersebut
untuk manfaat jangka panjang.
Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang Banting, Selangor telah mula dibangunkan untuk kegunaan pemantauan RazakSAT.
Pembangunan pusat angkasa tersebut merangkumi tiga fasa.
Berkongsi cerita mengenai perkembangan pusat tersebut yang
dibangunkan secara berperingkat, Dr. Noordin berkata, pusat tersebut
kini telah siap sepenuhnya.
Fasa pertama pembangunan adalah pembinaan kemudahan untuk menerima
segala data daripada satelit negara iaitu RazakSat iaitu Stesen Bumi.
Kedua adalah membina sebuah makmal yang dikenali sebagai Makmal Kalibrasi Optik.
Makmal tersebut berfungsi sebagai sebuah pusat untuk mengkalibrasi
kamera yang diletakkan pada satelit sebelum ia di hantar ke angkasa,"
katanya ketika ditemui di pusat tersebut baru-baru ini.
Jelas Dr. Noordin, makmal tersebut telah disiapkan pada tahun 2006
dan merupakan makmal pertama seumpamanya yang memiliki kebolehan
kalibrasi sistem optikal pada satelit.
Berfungsi sepenuhnya pada 6 April 2006, iaitu tiga bulan setelah ia
disiapkan, makmal itu memiliki sebuah bilik bersih, bilik kawalan habuk,
bilik kawalan, kawasan pemunggahan dan pejabat setinggi dua tingkat.
Setelah kejayaan demi kejayaan ditempa oleh negara dalam program
angkasawan, pusat tersebut dikembangkan lagi dengan membina kemudahan
fasa kedua dan ketiga.
Fasa seterusnya atau yang ketiga adalah pembinaan Pusat Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (AITC).
AITC yang berfungsi sebagai pusat pemasangan dan pengujian satelit sebelum ia dilancarkan ke ruang angkasa.
Antara ujian yang dilakukan terhadap satelit di AITC adalah ujian goncangan pada skala yang tinggi.
Seperti yang kita maklum, penggunaan roket untuk melancarkan satelit
ke angkasa akan menyebabkan gegaran yang kuat dan dikhuatiri terdapat
komponen satelit akan tertanggal seterusnya menyebabkan satelit gagal
berfungsi," katanya.
Katanya, ujian tersebut akan dilakukan pada satelit mengikut skala
gegaran yang sama ketika roket sebenar dilancarkan membolehkan jurutera
mengetahui tahap ketahanan komponen yang dipasang.
Bahkan, jika terdapat skru kecil yang tertanggal juga kadang kala
akan menjejaskan fungsi satelit. Ini harus dielakkan kerana untuk
membina dan menghantar sebuah satelit ke angkasa memerlukan kos yang
begitu tinggi.
Jika komponen-komponen pada satelit tidak berfungsi maka ia tidak
lagi berguna dan hanya membazirkan perbelanjaan yang dikeluarkan,"
katanya.
Pembinaan disiapkan pada tahun 2011 dan AITC menyediakan pelbagai ujian lain yang boleh dilakukan ke atas satelit.
Malah pusat itu menurut Dr. Nordin, turut menawarkan perkhidmatan
ujian yang sama kepada pihak industri yang terlibat dalam bidang
teknologi angkasa mahupun luar bidang tersebut.
Kita kini tidak mengehadkan penggunaan AITC ini untuk ujian satelit
negara sahaja. Sesiapa juga yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan
ujian tersebut boleh berbuat demikian," katanya.
Antara ujian yang ditawarkan adalah ujian getaran, ujian bunyi, ujian suhu, ujian tekanan udara dan pelbagai lagi.
Jelas Dr. Noordin, kemudahan tersebut adalah yang pertama seumpamanya
rantau Asia Tenggara dan perkhidmatan itu kini dibuka kepada umum sama
ada pihak dalam negara mahupun luar negara.
Pihaknya juga turut membuka peluang kepada pihak industri untuk
mengadakan lawatan bagi melihat sendiri perkhidmatan yang ditawarkan di
AIT dan kemudahan yang lain.
Sementara itu sebuah lagi pusat seumpamanya dijangka dibangunkan di Tuaran Sabah dalam tempoh terdekat.


Post a Comment