TIDAK semua yang dinamakan tekanan atau stres hanya mengundang implikasi
negatif. Ada kalanya ia bermanfaat untuk memastikan kualiti hidup serta
kerjaya kita lebih baik.
Beberapa kajian oleh pakar kesihatan
menemui dapatan yang baharu dan unik. Berikut antara beberapa kebaikan
yang boleh diperoleh daripada tekanan;
1. Tekanan membantu kita menjadi lebih kreatif.
Ahli psikologi, Larina Kase dari Pennsylvania berkata, tekanan
selalunya wujud bersama sebuah kejayaan atau kreativiti kerana minda
yang terlalu santai tidak akan perasan tentang kepentingan kepelbagaian.
“Tekanan selalunya meningkat apabila kita menemui sesuatu yang baharu
kerana perubahan secara tipikal datang bersama tekanan baharu.
“Hasil kreativiti kita juga menimbulkan sedikit kegelisahan kerana
memikirkan pandangan orang lain terhadap karya kita,” ujarnya penulis
buku Pemimpin Berkeyakinan: Bagaimana Tokoh Paling Berjaya Melangkah
Lebih Luar Biasa.
2. Tekanan bagus untuk sistem imunisasi kita.
Pakar psikiatri klinikal, Mark Goulston mendedahkan, tekanan dalam
skala yang kecil boleh membantu menguatkan sistem imun badan apabila
hormon tekanan (cortisol) dilepaskan.
Katanya lagi, apabila tekanan terhasil, tubuh badan akan kekal kuat, bertenaga dan sihat.
Namun begitu, ujarnya, tekanan terlalu tinggi pula akan menyebabkan
hormon terhasil berlebihan yang boleh menyumbang kepada obesiti
abdinomal.
3. Tekanan membantu meningkatkan kesihatan diri.
Melakukan angkat berat, berlari atau memperuntukkan selama 45 minit
dengan berbasikal adalah senaman yang memberikan tekanan yang baik
kepada tubuh badan kita.
Penyelaras pendidikan sepanjang hayat
bagi American Council on Exercise (ACE), Jessica Matthews berkata,
tekanan dalam senaman yang sederhana menyediakan kualiti kesihatan yang
baik selain beberapa kesan positif yang lain.
“Dari perspektif
psikologi, tuntutan badan ketika bersenam membantu menjadi lebih
berkesan dalam menyempurnakan kehidupan harian.
“Senaman biasa
juga berpotensi untuk merendahkan kadar hormon tekanan manakala
meningkatkan tahap endorfin dalam badan lalu menghasilkan perasaan yang
menyegarkan,” ujarnya yang juga jurulatih kesihatan.
4. Tekanan membantu menyelesaikan masalah.
Dalam kehidupan kita, sudah tentu kita pernah berhadapan dengan cabaran
untuk membuat sebuah keputusan yang besar. Kerisauan seperti ini juga
sebenarnya bermanfaat.
Menurut Dr Kase, tekanan membayangi
penghargaan kita kepada sesuatu yang kita miliki kerana jika seseorang
tidak mengendahkan sesuatu, maka dia tidak perlu memikirkan tentangnya.
5. Tekanan boleh memastikan keselamatan anak-anak lebih terjamin.
Menurut pakar, seseorang ibu yang merasa tekanan yang lebih mampu
meningkatkan kadar keselamatan anak-anak mereka daripada ancaman bahaya.
Bahkan, sebuah kajian dari University Johns Hopkins mendedahkan, paras
kortisol ibu yang mengandung berada pada paras yang lebih baik
berbanding ibu yang lain.
Bagaimanapun, kajian menyarankan supaya
ibu tidak terlalu bersifat melindungi sehingga menjejaskan perkembangan
komunikasi anak-anak.
6. Tekanan menyumbang kepada kualiti kerja yang baik
“Pada satu-satu masa, tahap tinggi tekanan dan kebimbangan mampu
memastikan kalian lebih bertenaga, fokus dan bermotivasi di tempat
kerja,” kata Dr Kase.
Beliau berkata, tanpa tekanan yang cukup,
seseorang tidak mungkin dapat berusaha dengan lebih baik dan
mengurangkan tahap kesilapan.
“Anda perlu mengambil risiko untuk
memajukan kerjaya dan meningkatkan nilai diri bagi posisi yang lebih
tinggi. Anda cuma perlu bijak berjaya mengendalikan tekanan bagi membina
keyakinan dalam kerjaya dan lain-lain perkara dalam kehidupan
seharian,” ujarnya.
7. Tekanan menjadikan kita bertambah sihat selepas rawatan kesihatan atau pembedahan.
Kajian menunjukkan hubungan antara tekanan jangka pendek yang positif
sebelum rawatan pembedahan atau perubatan boleh mewujudkan semangat
berjuang sehingga berpotensi menentang kanser payudara.
Hal ini
kerana, kajian membuktikan bahawa tekanan boleh menyekat penghasilan
estrogen yang bertindak sebagai pemain utama dalam pembangunan kanser
payudara.
“Respon kepada tekanan kita membuatkan kita lebih
berwaspada dengan sebarang cabaran, bahaya bahkan peluang,” jelas Dr
Goulston.
Malah, kata beliau lagi, tekanan yang turut membebaskan
adrenalin membantu seseorang lebih fokus dan berfikir dengan lebih
jelas.
Mengapa tekanan baik untuk kita?
Written By zabidi on Saturday, 13 September 2014 | 11:48 pm
Labels:
Kesihatan


Post a Comment